Advs

Followers

February 14, 2013

Ini Kisah Jelita & Perkasa [5]



BAB 5

JELITA Suria ralit menantikan Encik Johan yang sudah berjanji untuk mengambilnya setelah tamat waktu sekolah hari ini. Tidak sedar penantiannya yang tadinya sendiri kini sudah berteman di sisi. Insan itu tersenyum lebar padanya yang membuatkan Jelita Suria bereaksi spontan dengan memalingkan wajah.
            Siapa pula mamat ini? Fikir Jelita Suria sendiri. Tetapi daripada pakaian yang dipakai, dia tahu… mungkin salah seorang seniornya di sini. Tetapi siapa? Hendak berpaling semula dan mengintai nama dia baju, baik tak payah! Pura-pura tidak kenal sahaja walaupun Jelita Suria merasakan mata lelaki itu tidak beralih langsung daripada wajahnya.
            Disebabkan tidak selesa, Jelita Suria sudah bangun berdiri. Membawa kaki untuk terpacak di hujung perhentian bas yang kosong ini. Entah pukul berapa abah akan sampai? Abah harus membawa emak ke klinik dulu untuk pemeriksaan. Sekarang fizikal Puan Hayati sudah berubah. Alahan emak juga sudah berkurangan dan kelihatan lebih sihat bertenaga. Melihatkan seri di wajah emak kini, hati Jelita Suria disapa bahagia.
            Dahulunya dia bimbang andai kasih emak dan abah akan berkurangan untuknya. Tetapi kini dia sudah bersedia untuk berkongsi dengan adiknya pula. Mendengarkan kata Akma, Jelita Suria menjadi lega. Ada adik atau tak ada, kasih emak dan abah padanya pasti sama. Cuma Akma mengingatkan dirinya agar tidak cemburu buta pada adik sendiri pula. Pastinya adik yang bakal lahir ini memerlukan tumpuan yang lebih daripada semua.
            Mengenangkan perasaan tidak senangnya ketika di awal berita kehamilan emak, membuatkan Jelita Suria menguntumkan senyuman lucu. Kata Marlisa, dirinya macam budak-budak! Tapi kini, dia kena matang. Dia kan bakal jadi kakak dan dia bukan lagi budak-budak.
            “Tersenyum sorang… ada benda happy yang nak kongsi ke?”
            Teguran itu menyentakkan Jelita Suria. Lelaki yang tadinya jauh dengan jarak beberapa langkah kini berdiri begitu rapat dengan dirinya. Laju Jelita Suria menjarakkan dengan membuka langkah.
            Perasan akan riak tidak senang di wajah gadis itu, bibirnya terus tersenyum. Kebetulan yang begitu indah rasanya hari ini. Lama sudah dia tidak berselisih bahu dengan gadis itu. Sibuk dengan kelas tambahan. Sibuk dengan peperiksaan percubaan. Jelita Suria di hadapannya kini kelihatan berlainan sedikit daripada hari pertama yang dilihatnya.
            Sorry, saya tak suka cakap dengan orang yang saya tak kenal.” Tegas Jelita Suria berkata apabila melihat lelaki itu masih menatap wajahnya.
            “Satu sekolah… pun tak kenal ke?”
            “Tak kenal!”
            “Boleh kenal-kenal kan?” Ayat hendak memancing.
            Tetapi mustahil juga. Lihatlah siapa yang hendak dipancing, Jelita Suria yang memang tidak mudah untuk menerima kawan baru dalam hidupnya. Kalau ada pun, mungkin kena tunggu bertahun macam Marlisa. Lagipun untuk apa dia berkawan dengan lelaki ini? Ada mendatangkan faedah dalam hidup ke?
            ‘Tak mendatangkan kerugian juga kalau kenal-kenal?’ Ada satu bisikan halus yang bergema di hati. Jelita Suria menelan liur sendiri. Dia sedaya upaya cuba menepis bisikan yang hanya bakal memesongkan pendiriannya selama ini.
            “Jelita Suria… mahal sangat ke nak cakap boleh berkenalan?” soal lelaki itu lagi.
            Jelita Suria melepaskan keluhan. Dia tidak mahu melayan. Itu bukan didikan yang dititipkan oleh Encik Johan dan Puan Hayati dalam hidupnya. Berkenalan antara lelaki dan perempuan harus ada batasan. Bukan semua orang perlu dikenal. Kalau teman sekelas, mungkin wajar. Teman satu tuisyen, masih boleh diterima akal walaupun banyak juga yang tidak dilayan. Tetapi lelaki yang entah siapa-siapa ini, memang harus dimasukkan dalam kategori tidak diperlukan sama sekali!
            Kelibat kereta Toyota Avanza milik Encik Johan hanya memberi sejuta kelegaan dalam hati Jelita Suria. Tergesa-gesa dia meluru ke kereta agar tidak perlu terus menghadapi renungan tajam lelaki yang tidak diambil tahu nama itu. Masuk ke dalam kereta, sempat lagi dia melihat sekilas pandangan yang sarat dengan rasa kecewa itu. Ah, pedulikan dia Jelita Suria!
            “Siapa tu Jelita?” Tegas suara Encik Johan bertanya. Hatinya  mulai rasa tidak senang jika anak gadisnya ini sudah memandai berkawan dengan lelaki yang tidak kelihatan seperti sebaya dengan Jelita Suria. Teman lelakikah?
            “Tak kenal abah. Abang senior agaknya…” jujur jawapan Jelita Suria.
            “Jelita tahu kan, abah tak suka kalau duk kawan melalut sangat antara laki perempuan?”
            “Tahu abah… Jelita takkan buat macam tu.”
            Mendengar jawapan daripada bibir Jelita Suria, Encik Johan melepaskan nafas lega. Bukan mudah hendak menjaga anak. Banyak perkara yang harus dikawal agar mereka sedar akan kebaikan dan keburukan dalam hidup. Bukan niatnya hendak mengongkong. Dia tidak mahu anaknya hanyut dalam kehidupan yang sudah menjadi kebiasaan kepada manusia sekarang. Pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan. Memang nampak biasa untuk manusia di zaman moden ini. Namun, kebiasaan itu tidak bermakna apa yang dilakukan oleh masyarakat itu betul dan tidak salah.

MONYOK sahaja wajah itu menghadap mee goreng dalam pinggan. Air sirap yang dibeli pun disisip sedikit sahaja. Bakinya dibiarkan dihabiskan oleh orang sebelah. Perkasa Armana yang duduk berhadapan dengannya sudah memulakan sesi soal jawab dengan pandangan pelik. Agaknya terlalu jelas di wajah ini, riak kecewa yang terpalit sejak kelmarin. Nak makan pun sudah tak lalu. Semuanya kerana gadis itu.
            “Tolonglah… nyahkan muka tikus mondok ni dari pandangan aku. Nak makan pun hilang selera.” Selamba teman Sarip Dol yang bernama Razali mengalunkan kata tanpa mengetahui hakikat kadar kemusnahan dalam sanubari temannya ini. Dikecewakan sebelum sempat menyerlahkan keunikan diri.
          “Hang ni Sarip… tak payahlah buat teruk sangat! Budak form one reject  pun nak sedih sampai macam ni ke?” Perkasa Armana pula masuk campur untuk memberi nasihat. Dia sudah tahu keseluruhan cerita. Apa yang terjadi siap dengan rempah ratus sekali. Ternyata, Sarip Dol langsung tiada bakat untuk mendapatkan perhatian gadis tingkatan satu itu.
            “Hang tak tau… jangan cakap apa.” Sarip Dol menolak pinggan yang masih berbaki dengan mee goreng lazat itu. Tanpa sebarang kata, dia bangkit meninggalkan teman yang lain. Razali dengan muka tak berperasaan menarik pinggan yang ditinggalkan oleh Sarip Dol. Rezeki usah dibazirkan.
            Perkasa Armana yang melihat langkah lesu Sarip Dol menggelengkan kepala dengan keluhan panjang. Apalah sahabatnya yang seorang itu, takkan betul-betul jatuh cinta pula? Itulah, bila dia memberi nasihat… sedap sahaja diketawakan. Sekarang tengok, orang lain tengah sibuk mengulangkaji untuk hadapi peperiksaan. Manusia yang seorang itu sedang melayan kecewa. Tak padan dengan diri yang hendak mengambil SPM!
            Lantas Perkasa Armana bangkit dari bangku panjang di kantin itu. Langkah Sarip Dol diekori dari belakang. Sebagai seorang sahabat, dia tahu tanggungjawabnya. Dan sekarang, dia harus sedarkan temannya ini daripada hanyut dengan perasaan entah apa-apa itu! Geram pula Perkasa Armana memikirkan sikap tidak matang Sarip Dol ini. Tetapi… Sarip Dol ini jenis kepala gila-gila, takkan tak boleh sembunyikan sedikit pun rasa kecewanya? Hairan juga.
            Melihat langkah kaki Sarip Dol, Perkasa Armana seakan sudah dapat menghidu ke mana hendak dituju kaki itu. Lama langkah itu diberhentikan di hadapan kelas 1 Klasik Nasional. Dan pandangan itu tertunak pada satu wajah yang leka menjelaskan sesuatu pada teman di sebelah. Mata Perkasa Armana turut fokus pada figura yang dipandang temannya. Lama. Terpaku matanya. Sehinggakan Sarip Dol sudah bergerak pun dia tidak sedar. Perkasa Armana, jangan hanyut!
            “Bodohkan aku… duk melayan sangat lara macam bercinta sepuluh tahun sudah!” Ucapan itu menerpa gegendang telinga Perkasa Armana apabila dia kembali ke kelas dan mengambil tempatnya. Wajah Sarip Dol sudah tertawa.
            “Tak apalah dia tak nak kenal pun. Aku still boleh tengok dia dari jauh…” sambung Sarip Dol yang sekali lagi mulai tenggelam dalam emosi.
            Perkasa Armana hanya diam tanpa kata. Sebaris nama dan seraut wajah itu mula berlayar di ruang kepala. Jelita Suria. Mengapa mata ini tidak mahu berdusta? Apa yang dipandang tadi adalah benar-benar… Jelita!

PENGUMUMAN yang diperdengar sebentar tadi menjadi mangkin untuk riak gembira di wajah Sarip Dol. Bukan main ceria lagi lelaki itu apabila ditugaskan menjaga 1 Klasik Nasional. Perkasa Armana terpaksa memberi jelingan berkali-kali agar Sarip Dol sedar, jangan nak over feeling sangat! Kalau kecewa lagi, siapa yang terpaksa menghadap wajah bak tikus mondok itu? Mereka juga.
            “Armana… hang ikut akulah!” Gembira Sarip Dol mempelawa.
            Perkasa Armana tanpa sebarang bantahan menerima cadangan itu. Sememangnya dia tidak punya tugasan untuk jaga mana-mana kelas. Sebab tugasan untuk memantau adalah di bawah tanggungjawabnya. Biro disiplin kan!
            Masuk saja ke dalam kelas yang menempatkan 35 pelajar itu, Sarip Dol dan Perkasa Armana terus mengambil tempat di kerusi kosong yang tersedia di hadapan kelas. Baru beberapa saat melabuhkan punggung, sudah ada bisikan kurang menyenangkan jiwa menyapa telinga.
            “Itu Abang Arman kan? Kan?”
            Perkasa Armana sudah terasa hendak muntah. Tak boleh ke budak-budak perempuan dalam kelas ini menutup mata dan buat kerja yang lebih berfaedah? Daripada membisik nama dia yang sudah wajib didengar oleh satu kelas juga. Terasa menyesal pula mengikut cadangan Sarip Dol tadi. Baru sahaja hendak bersuara namun terbantut tindakannya. Melihat Sarip Dol yang sudah ‘hanyut’ itu, dia hanya mampu mengeluh dengan rasa menyampah.
            Entah kenapa, matanya turut mengikuti hala tuju pandangan lelaki itu. Tepat sekali! Jelita Suria yang dipandangnya. Tetapi ada perkara yang aneh di situ. Jelita Suria juga memandang temannya. Wah, ada cinta yang sedang berputik ke?
            Jelita Suria menjeling tajam. Tidak menyangka, dia akan berjumpa lagi dengan mamat ‘mari berkenalan’ itu! Entah apa nama makhluk itu, dia pun tidak ingin untuk tahu. Yang dia tahu, tangannya sudah terasa gatal untuk melayangkan apa sahaja alatan yang mampu mengetuk kepala lelaki itu. Sungguh kurang sopan memandang wajahnya secara terang-terangan dalam kelas ini.
            “Sabaq la Jelita… dia pandang aja pun.” Marlisa cuba menyabarkan Jelita Suria yang begitu jelas menunjukkan rasa marah melalui pandangan mata itu.
            “Dia ni, tak ada adablah!” gumam Jelita Suria geram. Dia cuba juga untuk tidak pandang ke hadapan. Tetapi pandangan yang melekat di wajah terasa begitu kuat. Terasa sangat tidak selesa. Keluhan dilepaskan. “Aku patut pergi cakap depan-depan ke? Biar dia faham… aku tak suka!”
            Marlisa tersenyum meleret. “Amboi… orang lain pandang, bukan main marah ya! Kalau Abang Mirza tenung hang sampai nak tembus dinding ke rumah sebelah pun, tak cakap apa. Tadah aja muka… tak apa pulak.” Usik Marlisa selamba.
           Serta-merta wajah Jelita Suria terasa panas. Malu! Dia malu dengan teguran itu. Dan dia malu dengan dirinya. Benarkah dia bersikap begitu dengan Mirza Haidar?
            “Abang Mirza lainlah…” Balas Jelita Suria dengan penuh gugup. Namun sedikit pun dia tidak mampu menenangkan jantungnya yang mulai kencang itu.
            “Abang Mirza lain?” suara Marlisa begitu nakal. “Lain macam mana tu? Macam… ehem-ehem ke?” usiknya dengan gembira. Suaranya pula perlahan sahaja, hanya untuk pendengaran Jelita Suria. Sekali lagi, panorama yang indah tersaji di depan mata. Marlisa sedar, sejak kebelakangan ini Jelita Suria cepat sahaja blushing kalau disebut nama abangnya itu.
            “Lisa!!!” Jelita Suria mengetap bibir dengan rasa geram. Usikan itu makin menghangatkan wajah. Terlupa terus pada makhluk di depan mata yang menghadirkan rasa tidak senang di jiwa. Mindanya sudah terganggu dengan andaian tidak bertauliah oleh Marlisa. Mana mungkin dia menganggap Abang Mirza begitu. Dia cuma berasa segan.
            Tidak mahu menatap lirikan nakal mata Marlisa, dia menghalakan pandangan ke hadapan. Tanpa dipinta, sudah ada satu lagi pandangan yang terpaku di wajah. Tanpa sedar mata keduanya bersabung tanpa isyarat.  

5 comments:

  1. Best..... #^_^
    Next entry please....

    ReplyDelete
  2. Waaaa nmpknye Perkasa da terpukau ngn Jelita...

    ReplyDelete
  3. mamat 'mari berkenalan'? hahaaa lawak ah nama tu.

    ReplyDelete
  4. love at the first sight ♥♥♥...


    ~ uly ct~

    ReplyDelete