Skip to main content

Ini Kisah Jelita & Perkasa [4]



BAB 4

PULANG sahaja dari sekolah petang itu, Jelita Suria terkejut melihat emaknya terbaring lesu di sofa. Neneknya, Puan Kamariah juga ada. Di sebelah nenek, Mak Ngah dengan Akma sepupunya yang juga dengan baju sekolah masih belum berganti. Pasti dia juga baru tamat waktu persekolahan. Namun yang menghairankan Jelita Suria, kenapa mereka semua sedang duduk di sisi emaknya? Macam ada yang tidak kena?
            “Kenapa dengan mak? Sakit ke?” soal Jelita Suria risau. Pandangan ditebarkan ke sekeliling, mencari kelibat Encik Johan.
            “Kenapa dengan mak, nenek… Mak Ngah?” soalnya lagi. Pandangan manusia di situ hanya pada Puan Hayati dan bukan padanya. Tetapi kenapa? Emak sakit ke? Hati Jelita Suria dibanjiri resah. Emak sakit apa? Baru tadi pagi emak bergelak ketawa dengan jenakanya. Baru semalam emak cakap yang emak suka tengok Jelita Suria gembira berkawan baik dengan budak sekolah. Langsung tiada lagi omelan berkenaan perlian nama dan sebagainya. Dan hari ini, emak sakit… Jelita Suria merasakan lumpuh terus jiwanya melihat wajah emak yang lesu tidak bermaya.
            “Nenek nak tunggu abah Jelita balik! Sampai hati dia tak boleh balik jenguk mak hang, saat-saat genting macam ni!” marah Puan Kamariah. Wajah menantunya dielus perlahan.
            Dahi Jelita Suria berkerut. Matanya berisyarat dengan Akma, sepupu sebaya dengannya. Namun Akma mengjungkit bahu. Dirinya juga tidak mengerti mengapa dia ke sini selepas habis sesi sekolah tadi. Bila dipandang wajah nenek dan emaknya, mereka berdua asyik berdrama dengan riak tidak puas hati sahaja. Dari tadi juga neneknya tidak berhenti-henti dengan ‘sumpahan’ hendak memarahi Pak Long!
            Wajah Jelita Suria sudah dirundung pilu. Biarpun tidak dapat membaca plot ‘drama’ yang dimainkan oleh nenek dan Mak Ngah, dia turut mengambil tempat di sisi emaknya. Menghulurkan simpati yang tidak dikenal pasti sebab.
            “Yati!!!” suara Encik Johan yang cemas membuatkan nenek dan Mak Ngah terus tegak di situ. Jelita Suria dan Akma sudah merapat sesama sendiri. Masing-masing kabur tentang situasi sebenar.
            Sebentar kemudian, Encik Johan sudah dipeluk erat oleh Puan Kamariah.
            Congratulations my son…” ucap Puan Kamariah gembira.
            Membuntang biji mata Jelita Suria. Emaknya sakit dan nenek mengucapkan tahniah? Sudah mereng agaknya Puan Kamariah ini? Bibirnya diketap geram. Wajahnya emaknya direnung dengan penuh simpati. Mata emak terkatup rapat dan kelihatan sangat lena di mata Jelita Suria. Apalah nasib emaknya ini, sudahlah sakit… emak mentua pula bersorak riang.
            “Betul ke mak?” Kuat suara abah menerpa telinga Jelita Suria yang mulai larut dengan rasa sedihnya. Dan abahnya menyambung lagi, “Alhamdulillah…” Saat itu Jelita Suria rasa hendak marah. Bagaimana abah pun boleh berjangkit penyakit pelik nenek? Tidak nampakkah mata dua orang itu bahawa emaknya sakit?
            “Abah, nenek…” jerit Jelita Suria geram. “Mak sakitkan? Kenapa abah cakap Alhamdulillah? Abah dah tak sayang mak? Abah suka kalau mak tak ada? Jelita tak sangka… abah sanggup tengok mak macam ni…” beremosi luahan Jelita Suria. Tanpa sedar, air mata sudah menitis di pipi.
            Akma pula sudah mula menarik Jelita Suria rapat dengannya. Sedih pula dia melihat tangisan itu.
            “Sayang abah… Jelita Suria.” Encik Johan mendekati Jelita Suria yang sudah memulakan drama air mata di tengah ruang tamu ini. Bibirnya tersenyum kecil. Dadanya yang tadi hendak rasa meletup, terasa berkurang. Ketenangan mula memenuhi jiwa. Betapa luasnya rezeki yang dikurniakan Allah dalam hidup mereka. Dulu seorang, kini…
            “Mak… mengandung. Jelita akan jadi kakak.” Tutur Encik Johan dengan rasa bahagia. Tidak sama sekali dia menyangka, akan diberikan peluang untuk mengecap rasa indah itu sekali lagi. Alhamdulillah. Bibirnya terus tersenyum, bahagia. Namun, termati senyuman itu apabila riak di wajah Jelita Suria tidak seperti yang dijangka. Kenapa?
            “Jelita tak suka?”
            Jelita Suria hanya mendiamkan diri. Tidak suka? Tidak tahu apa reaksi yang harus diberikan kepada abah yang menanti jawapannya. Dia sudah terbiasa dengan menjadi satu-satu permata dalam keluarga kecil mereka. Dan kini, akan muncul seorang lagi insan… adik? Janggal. Jelita Suria terasa janggal biarpun dia sukakan kehadiran seorang lagi insan yang akan menemani emak dan abah.
            “Jelita kena jaga mak elok-elok. Mak tu masa mengandung Jelita pun, selalu tak sihat. Lemah sangat badan dia… Jelitalah kena bertanggungjawab, tolong abah… jaga kesihatan mak. Boleh kan?” soal Puan Kamariah pula.
            Namun Jelita Suria masih kaku tanpa suara. Adik? Wajah Akma di sisi dipandang kosong. Apa rasanya ada adik sendiri? Akma pasti tahu kerana sepupunya itu ada tiga orang hero di bawahnya.

ADIK adalah satu spesies di muka bumi yang deskripsi tugasannya menyusahkan seorang abang! Dan itulah rasa Perkasa Armana kepada istilah adik yang wujud dalam dunianya. Tidak tahu di mana Puan Zaidah dan Encik Muaz mengutip makhluk itu! Melihat Putra Azad yang terkial-kial menyarung sneakers di kaki membuatkan Perkasa Armana menghela nafas tidak henti.
            Putra Azad! Ulangnya dalam hati. Putralah sangat. Menyampah. Kan lebih sedap kalau namanya juga diberikan, Putra Armana. Lebih mengasyikkan telinga bunyinya. Tidaklah gundah hatinya memikirkan mengapa Perkasa. Perkasa Armana!
            “Azad… cepatlah! Hang ni tolong jangan nak bagi aku marah boleh tak?” Soalan hendak marah pun sudah ada bunyi marahnya. Perkasa Armana mendengus kasar. Diberikan tanggungjawab untuk menghantar si gemuk ini ke Pusat Tuisyen Iqra Ilmu di Sungai Nibong bukanlah satu masalah baginya. Perkara itu hanya akan menjadi masalah apabila masa lapang sejam lalu disia-siakan begitu sahaja dan masuk lima belas minit hendak pukul empat, baru Putra Azad kalut bersiap. Siapa yang takkan marah? Sudahlah dia pun harus ke tuisyen juga.
            “Abang ni, kecohlah. Ada lagi lima minit ni. Sir Taqi tak marahlah.” Pandai sahaja Putra Azad mengalunkan ayat pemujukan yang tidak begitu berkesan untuk bertindak balas pada abangnya itu. “Azad dah siaplah. Boleh gerak…” malas sahaja Putra Azad mengatur langkah dan mencapai helmet di motor Yamaha Lagenda berwarna hitam itu.
            Perkasa Armana yang sejak tadi sudah panas, tidak mahu bercakap banyak. Enjin motor dihidupkan dan terus dipecut ke destinasi. Sebaik sahaja memarkirkan motor, matanya menghantar langkah Putra Azad ke pusat tuisyen yang terletak di atas kedai kek itu. Dan dia pula terus menghala ke arah Ayamas. Hendak membeli air sejuk sebelum naik ke kelas yang pasti sudah bermula sepuluh minit lalu. Argh, Putra Azad punya pasal… dia pun ikut lambat!
            Putra Azad yang sudah melangkah masuk ke dalam kelas terus sahaja menuju ke tempat duduk kegemarannya. Namun hairan sudah menerpa. Satu wajah yang sentiasa awal di situ, tiada! Wajah teman baik peneman gadis itu dipandang aneh. Matanya diisyaratkan pada tempat duduk kosong di sebelah.
            “Dia tak sihat. Sebab tu tak datang…” malas sahaja jawapan itu dialunkan.
            Berkerut dahi Putra Azad. “Aku nampak minggu lepas dia okey aja.”
            Dan balasan ayat yang membuatkan Marlisa menjulingkan biji matanya ke atas. Apa bendalah Putra Azad ini merepek? Kalau Jelita Suria sihat minggu lepas, takkan tak ada kemungkinan untuk sakit minggu ini? Ikutkan hati, hendak diluku sahaja kepala si gemuk yang suka sangat mengusik Jelita Suria. Pasti Jelita Suria berasa sangat aman di rumah. Syukur Alhamdulillah. Marlisa pula yang menghela nafas lega bagi pihak Jelita Suria.
            Kemunculan Sir Taqi ke dalam bilik yang memuatkan hampir 30 pelajar itu membantutkan suara Putra Azad untuk terus bertanya. Sudahlah dalam seminggu hanya dua kali dia berkesempatan untuk menatap wajah Jelita Suria. Dan minggu ini, tidak berpeluang pula. Kacau!
            Disebabkan frust tidak dapat bersua dengan Jelita Suria, Putra Azad terus mengeluarkan coklat Cloud 9 yang sentiasa penuh dalam begnya itu. Dibuka bungkusan warna coklat itu dan kunyahan dimulakan dengan rasa sebal. Suara Sir Taqi pun sudah timbul tenggelam tidak kedengaran dek kerana gangguan konsentrasi pada minda.
            “Azad… makan tu perlahan sikit. Hang duk kacau orang lain nak belajaq la Azad…” selamba Sir Taqi menegur. Seisi kelas sudah ketawa. Namun Putra Azad seperti biasa, dengan wajah tidak berperasaan dia terus mengunyah.
            Marlisa di belakang sudah mencebik. Patutlah badan Putra Azad sedemikian rupa. Lihatlah mulut itu, tidak berhenti beroperasi sejak masuk ke dalam kelas tadi. Tetapi hairan juga, kalau Jelita Suria ada di depan mata… mulut Putra Azad akan kurang kerja kunyahannya. Ia lebih gemar untuk tersenyum sahaja. Malu mungkin!
Marlisa tersenyum sendiri. Besar sungguh penangan Jelita Suria kepada Putra Azad yang ‘comel’ ini. Silap-silap… kurang daripada beberapa bulan lagi, Putra Azad takkan montel macam ini lagi. Membayangkan keadaan itu, terpecah tawa Marlisa. Kelas yang sepi secara tiba-tiba mengebaskan pipinya. Terasa bagai dibius. Semua mata tertumpu pada Marlisa. Dan Marlisa, sudah disimbah rona merah di wajah. Malunya!!!

PUAN Hayati muntah tidak berhenti. Makan dan muntah. Hanya itu sahaja rutinnya yang terkini. Tidak sama sekali dia menyangka, alahan untuk adik Jelita Suria ini akan lebih teruk daripada kakaknya. Dengan langkah yang lemah, Puan Hayati melangkah ke ruang makan. Pinggan dan lauk yang berbaki di atas meja tadi sudah siap berkemas. Siapa lagi, kalau bukan Jelita Suria yang menyumbang khidmat.
            Kasihan Jelita Suria… sudahlah sejak semalam anak itu demam. Belum baik demam dan kini harus menjaganya pula. “Jelita…” diseru perlahan nama itu.
            Jelita Suria tersenyum kecil membalas panggilan emaknya.
            “Dah la… Jelita pergi rehat. Dah makan ubat?”
            Jelita Suria mengangguk. Dia sudah selesaikan segala urusan perutnya termasuklah menelan beberapa biji ubat yang diberikan oleh doktor di Poliklinik Perdana semalam.
            “Mak nak apa-apa? Air panas ke? Jelita boleh ambil.”
            “Tak payahlah… Jelita pergi rehat.” Puan Hayati baru hendak melangkah ke depan, tiba-tiba teringatkan sesuatu. Nama Jelita Suria dilaung lagi.
            “Lisa telefon tadi… mak lupa nak cakap. Dia nak datang petang ni.” Ucapnya sekadar untuk mengingatkan Jelita Suria. Mungkin ada tugasan atau ulangkaji yang hendak dilakukan bersama anak gadis itu. Melihat keakraban Jelita Suria dengan sahabatnya, hati ini menjadi senang sekali. Jelita Suria kadangkala menjadi terlalu pesimis untuk menerima kawan baru dan sikap itu adakalanya hanya menghadirkan ketidaksenangan dalam hati. Anaknya itu bukan sombong tetapi terlalu berhati-hati. Dan mujurlah kini Jelita Suria sudah mula menyedari dan melakukan perubahan sedikit demi sedikit.
            Jelita Suria yang sudah berada di depan pintu biliknya menjenguk kepala pada kelibat Puan Hayati yang kini sedang menonton TV pula. Pintu bilik dibiarkan terbuka. Jelita Suria membaringkan badan di atas katil. Kipas yang mula berpusing dengan kelajuan sederhana itu menyejukkan wajah. Tidak sedar, entah bila matanya terkatup dan dia terlena. Mata itu hanya terbuka semula apabila dikejutkan suara bak guruh milik Marlisa.
            Jelita Suria tidak tahu pula, Marlisa ada bakat dalam seni suara. Dan apabila dikhabarkan tentang itu, Marlisa ketawa dengan galak.
            “Banyaklah hang ni Jelita… seni suara pulak. Aku duk panggil dengan penuh kelembutan, hang tak sedar. Mak hang cakap, jerit aja. Aku pun… apa lagi.” Laju bibir Marlisa berbicara.
            “Banyak ke kerja?” Lemah Jelita Suria menyoal.
            “Tak banyak pun. Kalau larat, aku bolehlah tunjuk sekarang… Sir Taqi ajar formula baru. Takut nanti hang buat sendiri, keliru pulak.”
            “Hang tunggu sat. Aku pi tandas dulu.” Badan Jelita Suria begitu tidak selesa. Mungkin selepas menyegarkan wajah, dia boleh fokus semula.
            Marlisa mengangguk dan mula melangkah ke ruang tamu. Senyuman lebar dihulurkan pada emak Jelita Suria.
            “Jelita cakap dia nak jadi kakak, betul ke mak cik?” Sibuk pula Marlisa petang ini hendak menanyakan perihal itu. Bukan apa, dia cuma ingin tahu. Saat dikhabarkan perkara itu oleh Jelita Suria, wajah sahabatnya itu kelihatan begitu gundah. Takkan takut dapat adik?
            “Insya-Allah, Lisa… ni baru dua bulan. Jelita cakap dengan kamu? Dia nampak seronok tak?” sengaja Puan Hayati bertanya.
            “Macam takut aja. Dia tak suka ke mak cik?”
            “Tak nampak macam tak suka… tapi mungkin sebab dia dah sorang, 13 tahun pulak. Mungkin risaukan tu kot.”
            Marlisa mengangguk. Mungkin juga. Tapi dia rasa, kalau ada adik pun apa salahnya. Pasti seronok. Macam dia dan Abang Mirza. Jelita Suria pasti akan lebih gembira dengan kehadiran seorang lagi peneman dalam keluarga mereka ini.
            Dan jeritan Jelita Suria yang tiba-tiba bergema mengejutkan kedua insan di ruang tamu ini.
            “Jelita kan yang jerit?” soal Puan Hayati cemas.
            Marlisa lebih laju berlari ke arah tandas yang dimasuki Jelita Suria. Pintu yang terkuak tanpa ketukan itu memboleh dia melihat keadaan Jelita Suria. Wajah itu dibasahi peluh seperti terkejut akan sesuatu.
            “Apa benda ni Lisa? Aku sakit teruk ke sampai ada benda pelik macam ni?” soal Jelita Suria mengejutkan Marlisa yang tergamam melihatnya.
            Marlisa pula terasa panas wajahnya. Sebuah senyuman dihadiahkan buat Jelita Suria sebelum dia berpaling mencari pandangan Puan Hayati. “Anak mak cik… buat saya pulak rasa malu.” Komennya sebelum melangkah ke depan.
Dia rasa, Jelita Suria lebih memerlukan Puan Hayati di saat ini. Sama juga sepertinya di ‘waktu’ itu. Tapi, keadaannya tidaklah senaif Jelita Suria yang nampak sangat macam tak tahu apa-apa. Takkan tak tahu? Itu tandanya Jelita Suria dah jadi anak dara! Hisy!

Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

Cerpen: Lain di Mulut, Lain di Hati

JAMBANGAN bunga ros yang berada di atas mejanya itu dicapai. Tanpa melihat nama pengirim pun dia sudah boleh meneka, siapa pengirimnya. Terus dengusan tidak senang dilepaskan. Tanpa menunggu sesaat, jambangan bunga itu sudah terhumban ke dalam tong sampah di sudut bilik.             Huh! Apa dia fikir aku ni perempuan, nak cair kalau disogokkan dengan bunga. Kalau aku cakap benci, memang akan benci selamanya! rungutnya.             Serentak itu, pintu biliknya diketuk. Terjengul wajah Selina, setiausahanya.             “Encik Irfan, Puan Eryna nak jumpa.”             Sekali lagi dia melepaskan dengusan kasar. Tidak cukup dengan bunga yang merimaskan, sekarang, tuan punya badan pula muncul di depan mata. Ah, benci!             “Suruh dia balik! Saya tak nak jumpa dia.” Kuat dan lantang sekali suara Irfan sehingga begitu jelas buat pendengaran Eryna yang sedang duduk menunggu di luar bilik. Eryna tersentak. Riak wajahnya terus beruba

Cerpen: Hati ini [End]

BUNYI suara yang bertingkah dari ruang tamu mengkakukan langkah Ana di anak tangga terakhir. Dia yang turun ke bawah dengan niat untuk membasahkan tekak terkaku seketika. Tidak mahu menonjolkan diri di hadapan tetamu mama dan papa, tanpa berfikir panjang dia sudah memalingkan badan hendak bergerak ke atas semula. Namun sekali lagi, dirinya terus kaku di situ. Suara yang melaungkan namanya membuatkan badannya menjadi gementar secara tiba-tiba.             “Ana…” namanya dipanggil sekali lagi. Dia kenal suara itu. Terlalu kenal. Tetapi dia tidak mahu memalingkan wajahnya. Atas sebab apa, dia tidak pasti. Ikutkan sahaja kata hati.             Sentuhan di bahu membuatkan Ana tersentak. Pantas dia berpaling dengan wajah yang sudah berubah riak. Dia tidak suka dengan sentuhan itu. Sentuhan yang tidak menghormati dirinya sebagai seorang wanita muslim. Seketika mata mereka bertemu. Ana terkedu. Seakan tersedar dari mimpi… senyuman yang menghiasi

Cerpen: Dia yang aku cinta

Berdebar-debar rasanya saat menanti di ruang legar ini. Menanti kehadiran insan yang disayangi. Menanti saat yang ditunggu-tunggu selama ini. Disunting menjadi suri dalam hidup lelaki yang dicintai. Ah! Indah sungguh rasa…             “Tahulah nak tunggu insan tercinta. Kut iya pun… tak perlulah tayang riak wajah teruja, yang terlebih perisa pulak!” teguran berunsur perlian itu hanya membuatkan dia menjeling manja.             “Biarlah!” balasnya dengan menyampah.             Tiada siapa pun tahu apa yang dirasainya selama dua tahun ini. Hidup berjauhan dengan insan yang memenuhi ruang hatinya. Sungguh menyeksakan jiwa dan raga sahaja!             “Akak…” panggilan itu membuatkan dia melepaskan dengusan manja.             “Apa?!” soalnya geram. Geram saat khayalan indahnya dicantas dengan kejam. Sedangkan, hanya itu yang mampu dilakukan di saat ini.             “Tu…” mulut si adik sudah memuncung ke satu sudut.             Matanya turut berlari mencari. Seketika dia