BAB 2
TERESAK-esak
Jelita Suria melepaskan tangisannya. Sejak daripada tadi tangisan itu tidak
berhenti. Hati ini sememangnya terasa benar kesedihan itu. Sampaikan bila Puan
Hayati dan Encik Johan pujuk pun, dia tidak ambil endah. Diteruskan lagi
tangisan itu sehingga bengkak matanya.
“Tak
sudah lagi ke Jelita Suria?”
Jelita
Suria menelan liurnya kesat. Suara Encik Johan kedengaran begitu tegas. Dia
tahu, bila itu nadanya, maka dia harus menamatkan segala ‘drama’ ini dengan
segera. Kalau tidak, bakal bernanahlah telinga ini harus menahan kemarahan
abah. Encik Johan sememangnya tidak suka melihat air matanya jatuh begini.
“Jelita
nak menangis untuk hari ini aja. Tak boleh ke abah?”
Encik
Johan duduk bersila di sisi Jelita Suria yang duduknya berpeluk lutut. Muka
anak gadisnya bersandar pada lutut sendiri. Bahu itu terhenjut sedikit. Masih
menangis nampaknya. Perlahan Encik Johan menarik nafas dan dihela panjang. Dia
tahu, Jelita Suria hanya akan begini bila hati gadis itu dilanda kesedihan. Dan
kesedihan kali ini pasti akan berpanjangan untuk tempoh seminggu akan datang.
Sifat anaknya ini begitu mudah dibaca.
“Yati…”
dilaung nama isterinya. “Dah tunjuk dekat dia?” soal Encik Johan.
Puan
Hayati menggeleng. “Tak mau tengok. Tapi tak mau berhenti menangis jugak.”
Lantas
Encik Johan mengusap lembut kepala Jelita Suria. Dagu anaknya ditarik perlahan
supaya mendongak kepala. Mata yang merah itu mengusik hati seorang bapa ini.
Tidak sangka begini sekali kesedihan Jelita Suria.
“Kenapa
Chiko tinggalkan Jelita, abah?”
akhirnya Jelita Suria bertanya juga. Air mata yang masih jatuh ke pipi dikesat
dengan rasa sedih yang masih menebal. Alangkah terkejutnya dia tadi, apabila
pulang sahaja dari sekolah dan Chiko
si kucing kelabu itu sudah tiada. Tidak cukup dengan kesedihan yang dialami di
sekolah, balik ke rumah, dia sudah kehilangan sahabat baiknya. Chiko… sampai hati tinggalkan akak!
“Abah
tak tau nak cakap macam mana… tapi yang tulah Mak cik Jahara bagi tau dekat
mak, Chiko dah lari dengan Bruce Lee rumah sebelah. Dia siap ambil
gambar tunjuk bukti dekat mak. Mak pun dah tengok.”
“Kenapa
dengan Bruce abah?” soal Jelita Suria
terus dengan tangisannya. “Bruce Lee
tu dah la hodoh, tak padan dengan Chiko!”
sambungnya lagi.
Encik
Johan dan Puan Hayati berpandangan sesama sendiri. Nyata, senyuman sumbing
terbias di wajah mereka. Kalau hendak lepaskan tawa, rasa tidak kena dengan
keadaan kerana anak gadis mereka ini masih melayan kesedihan disebabkan tragedi
hari ini.
“Jelita
Suria…”
Jelita
Suria terus memotong bicara abahnya, “Tak pernah Jelita bayangkan, Chiko bersanding dengan Bruce Lee. Nak bayangkan pun tak lalu!”
Bicara Jelita Suria masih bernada serius walaupun intipati kata sudah
membuahkan tawa di bibir Puan Hayati.
“Macam-macam
anak abang ni!” Puan Hayati sudah berlalu ke tandas. Tinggallah Encik Johan
yang masih mampu melayan kerenah sedih anak daranya ini.
“Jelita…
ada apa dengan rupa paras. Allah tak letakkan itu sebagai syarat untuk seorang
manusia melepasi titi sirat menuju ke syurga.”
Spontan,
Jelita Suria menghentikan tangisannya. Bicara yang pada mulanya berkisar
tentang kucing kesayangannya, kini membuka ruang kepada abah untuk mengalunkan
kuliah. Jelita Suria mengetap bibir. Tahulah, silapnya dalam berbicara. Tetapi
tidak mengapa, ada abah dan emak untuk memperbetulkannya. Bukankah sudah
menjadi amanah kepada mereka untuk mendidik anak-anak dengan pengetahuan yang
sebaiknya.
“Ingat
tak kisah Bilal bin Rabah?” soal Encik Johan pada anak gadisnya yang kini sudah
meletakkan dagu di hujung lututnya. Manja sekali aksi Jelita Suria. Aksi yang
sama sentiasa dipamerkan ketika dia sebagai seorang bapa menjalankan sesi
tarbiah dan mendidik anaknya itu. Dan aksi itu juga buat dia mengerti, Jelita
Suria sentiasa menanti butir bicara berbau keagamaan seperti ini. Hati dan
fitrah manusia yang berjanji akan taat setia kepada Allah sememangnya tidak
dapat dipisahkan sama sekali kerana hati itu sentiasa menanti kehadiran secebis
kata-kata yang akan menyuluh ke jalan hidayah.
“Abah…
Jelita dengar. Ceritalah…” pintaan dengan suara lunak itu makin menaikkan
semangat Encik Johan. Terus bibirnya basah dengan bicara. Kisah seorang sahabat
nabi yang begitu teguh imannya walau diuji dengan kekejaman. Namun atas
keyakinan pada kalimah ‘Ahad’ iaitu Allah yang satu, maka tiada suatu perkara
pun di muka bumi ini mampu mengalihkan pendirian lelaki berkulit hitam itu.
“ARGH!!!
I’m melting!” kuat ucapan itu
menerpa. Hampir sahaja Jelita Suria tersedak dek kerana rasa terkejut yang
menyinggah. Cepat sahaja kepala berpaling ke sisi melihat reaksi teman
seusianya di kantin sekolah bercat kuning cair ini.
“Gila
handsome!” Sekali lagi bibir itu
berkata. Berkerut dahi Jelita Suria. Dalam mindanya sudah tertanya-tanya, ‘Gila
pun boleh handsome ke?’ Malas hendak
melayan kelakuan manusia yang kelihatan pelik bagi pandangan matanya, Jelita
Suria meneruskan suapan nasi lemak yang masih berbaki dalam pinggan.
“Abang
senior kita. Dia ketua untuk biro disiplin. Semua panggil Abang Arman…” Dan
sekali lagi informasi yang tidak diingini menyinggah ke cuping telinga Jelita
Suria. Tidak tahu kenapa, bukan sahaja minda malah tekaknya turut berasa loya
dengan intonasi yang digunakan oleh si dia tidak diketahui nama ini dalam
menjelaskan perihal ‘watak’ jejaka yang tidak diketahui rupa itu.
Sudah
hampir empat minggu sesi persekolahan berlangsung dan dia masih menyepi sendiri
setiap kali masuk waktu rehat. Tetapi, bersyukur kepada Dia! Jelita Suria sangat
tidak kisah untuk makan seorang diri daripada menghabiskan waktu rehatnya
dengan bergosip sambil mencuci mata seperti insan-insan di sebelahnya ini. Kata
abah, pandangan pertama boleh dimaafkan. Pandangan kedua dan seterusnya…
terimalah dosanya. Pandangan yang memerlukan urusan, tidak mengapa. Pandangan
yang sengaja diadakan? Oh, jawab sendirilah.
Botol
air yang berisi air kosong, dibuka dan diteguk sopan. Sudah menjadi kebiasaan
Jelita Suria meminum air kosong yang dibawa daripada rumah. Emak juga berpesan
supaya kurangkan minum air manis. Peringatan
yang sama malah lebih keras buat air berkarbonat yang hanya menjanjikan
keburukan untuk kesihatan tubuh badan. Mungkin kerana dirinya satu-satunya
permata buat emak dan abah, terasa ditatang bagai minyak yang penuh. Segala
suatu perkara tentang dirinya dititikberat dengan teliti. Kasih emak dan abah,
mana hendak dicari!
Jam
di pergelangan tangan dikerling sekilas. Waktu rehat masih berbaki lima minit
lagi. Jelita Suria segera bangun sambil membawa pinggan kotor untuk dimasukkan
ke dalam besen di hujung kantin. Kemudian dia ke singki pula, sekadar berkumur
untuk memasihkan kebersihan mulut agar tiada sisa makanan berbaki. Dan terus
dia melangkah menghala ke tangga.
“Tunggu!”
Baru setapak kaki Jelita Suria mengenai tangga, sudah ada suara yang mematikan
langkahnya. Tanpa mengangkat kepala, dipalingkan sedikit wajahnya ke arah punca
suara itu. Tag yang berjahit kemas di kiri baju menyapa mata.
“Perkasa…”
bibirnya menyebut perlahan. Sangat perlahan sehingga orang di hadapannya
menundukkan kepala secara spontan ke arah wajahnya. Terkejut dengan reaksi itu,
Jelita Suria memalingkan wajah.
“Mana
tag nama?” tegur suara itu. Mungkin kerana itu dirinya ditahan, fikir Jelita
Suria. Matanya sudah tertunduk menyapa tudung yang kosong.
“Belum
dapat.”
“Kenapa
belum dapat? Kalau tingkatan satu, minggu kedua lagi semua dah dapat!” Tegas
lagi suara Perkasa Armana menegur si gadis di depan mata. Sudahlah dari tadi
asyik tertunduk sahaja. Macamlah dia hendak mengurat pula. Ingat Perkasa Armana
tak ada kerja lain ke?
“Nama
tersilap cetak.” Balas Jelita Suria yang masih tertunduk menghadap lantai
tangga.
“Bagi
nama. Kalau minggu depan masih macam ni, saya kenakan denda.”
Untuk
amaran itu, Jelita Suria sudah menghela nafas dengan rasa menyampah. Skema! Tak
ada tag nama pun nak denda ke? Macamlah kalau tak ada tag nama, boleh bawa
kepada kemusnahan sekolah.
“Nama?”
Gesa Perkasa Armana. Berat sungguh bibir gadis yang hanya berketinggian separas
lengannya itu untuk bersuara. Kemetot! Sempat lagi dia bergelak ketawa dalam
hati dengan menghayati ketinggian yang terbantut di depan mata ini.
Jelita
Suria mengetap bibir. Harap kali ini dia dapat berlalu dengan aman tanpa
sebarang perlian susulan. Perlahan, namanya diucap. “Jelita Suria Binti Johan.
1 Klasik Nasional.”
Selesai memberi nama, Jelita Suria
terus menaiki tangga. Tidak menanti walau sesaat pun untuk mendengar butir
bicara seterusnya daripada bibir ‘Abang Perkasa’. Uh, nama dia pun pelik juga. ‘Perkasa?’
Jelita Suria mengulang sebut dalam hati. Tersangatlah pelik.
SARIP
Dol tanpa amaran merampas buku catatan yang berada di tangan Perkasa Armana. Wajah
temannya itu direnung sekilas sebelum mula membaca nama yang tersenarai kemas
dalam buku ‘denda’ itu. Alahai, Perkasa Armana! Memang sangat sesuai dengan
jawatan sebagai Ketua Biro Disiplin pengawas sekolah. Kerjanya, asyik mendenda
orang sahaja.
Mata
yang pada mulanya tenang melewati nama yang biasa wujud dalam buku Perkasa
Armana, tiba-tiba menjadi buntang.
“Wooo, bro! Hang kenapa denda Cik Jelita
Suria aku yang cantik tu?” soal Sarip Dol tanpa menahan nafas. Takkan Jelita
Suria pun boleh ada kaliber untuk tersenarai dalam buku denda Perkasa Armana?
Mindanya sudah ligat berfikir.
“Sejak
bila jadi Cik Jelita Suria hang?” soal Perkasa Armana tanpa menjawab soalan
temannya. Tangannya juga menarik semula buku catatan di tangan Sarip Dol Ishak
itu.
“Tu
bukan persoalan aku. Yang aku nak tahu, apa salah dia?” Sarip Dol tidak puas
hati.
“Tak
pakai tag nama.” Mendatar sahaja nada Perkasa Armana. Sesungguhnya dia tidak
begitu berniat untuk mengulas apa-apa tindakan yang telah diambil olehnya
selaku pengawas sekolah ini. Dia diberikan amanah untuk dijalankan secara
telus. Tidak mahu amanah itu disalah guna kerana kelak dia juga harus menjawab
segalanya.
“Kecik
punya salah, sampai nak kena ambil nama ke?” Sarip Dol masih dengan nada tidak
puas hatinya. Begitu bersungguh hendak mempertahankan Jelita Suria yang diintai
sepanjang minggu orientasi empat minggu sudah. Comel! Dalam hati Sarip Dol
sudah mula berbunga-bunga.
“Dengan
budak form one pun nak feeling ke?” soalan Perkasa Armana
merencatkan lamunan Sarip Dol. Wajah Perkasa Armana jelas menunjukkan lelaki
itu tidak boleh terima dengan khayalan yang diimpikan sebentar tadi.
“Budak
kemetot pulak tu!” sambung Perkasa Armana lagi sambil membayangkan figura yang
singgah di depan matanya tadi. Spontan tawanya terburai. Dia tidak dapat
membayangkan si kemetot itu di samping Sarip Dol yang tinggi lampai ini.
Haruslah kelihatan begitu cacat sekali.
Dan
Sarip Dol terus menjeling tidak puas hati. Namun hatinya mulai ragu. Terlalu
kemetot ke Jelita Suria itu? Atau Perkasa Armana yang bersikap keterlaluan
mendeskripsi gadis itu?
Laaa jelita sedih sebab kucing dia lari rupenya...
ReplyDeleteBudak kemetot dia gelar... hihiiii
ReplyDeleteKelakar la jelita ni. Kucing pun jd hal. Tau plak dia hodoh ngn hensem. Lps ni harus bperang ngn perkasa lak hihi
ReplyDeleteThis comment has been removed by a blog administrator.
ReplyDeleteThis comment has been removed by a blog administrator.
ReplyDeletebiasalah... budak tak cukup umur lg memang kemetot. muehehe...
ReplyDeleteLuculah Jelita nangis sebab kucing. :)
ReplyDeletesuke2..:))
ReplyDelete~uly ct~
nama kucing sy pun chiko gak tp wrna hitam..
ReplyDeletechiko sy tu pun lari ngan kucing jantan rmh sblh...