Skip to main content

Ini Kisah Jelita & Perkasa [6]



BAB 6

BAGASI besar yang sudah siap dikemas, diletakkan ke sisi bilik. Hanya tinggal dua hari sahaja lagi, dia bakal berangkat ke Ireland. Jauhnya!!!
            Masa mula dapat tawaran, rasa seronok sampai tahap petala ketujuh. Tapi apabila makin dekat tarikh untuk berlepas, terasa ada sesuatu yang terpaksa ditinggalkan. Oh hati! Hati yang telah dicuri. Dia tidak sangka, hatinya mampu dicuri dengan begitu ajaib sekali. Ini bukan kes kena curi, ini kes bagi hati sendiri. Macam mana tu? Dia pun boleh jadi pening.
            “Abang!!!” jeritan adiknya kuat bergema. Malas sahaja dia bangkit dan melangkah ke luar bilik. Baru sahaja hendak marah tetapi dengan sendirinya semua amarah tertelan tak mahu keluar. Bagaimana mungkin dia marah, si pencuri hati sudah ada di depan mata!
            Dengan senyuman lebar kakinya sudah melangkah. Jelita Suria pula kalut tertunduk ke bawah. Sepasang baju kurung merah jambu itu menyerlahkan keayuan Jelita Suria. Sama ada matanya yang rosak atau memang hakikat di depan mata, Jelita Suria makin bertambah ayu dan jelita. Makin berat pula dia hendak terbang merentasi lautan ini. Hanya tinggal dua hari.
            Sorry, tak dapat datang hari Sabtu lepas.” Jelita Suria memulakan bicara. Majlis kesyukuran yang diadakan di rumah Marlisa tidak dapat dihadirinya kerana kebetulan adik abah, Pak Langnya baru balik dari umrah. Jadi afdal untuk mereka ke sana bagi ziarah.
            “Lisa dah cakap… tak apa. Jelita dapat datang hari ni pun, okey.” Kononnya okey, Mirza Haidar punya jawapan.
            Tetapi Marlisa sudah mula menjuihkan bibir tidak bersetuju dengan jawapan yang dialunkan oleh abangnya. Macam dia boleh lupa sahaja, mata keranjang makhluk yang bernama abangnya ini terintai-intai kelibat Jelita Suria. Bila dia cakap, Jelita Suria tidak dapat hadir, muka Mirza Haidar terus transform macam disimbah asid jadinya. Kecut!
            “Lisa… pergi siapkan air untuk tetamu. Biar abang berbual dengan Jelita…” arah Mirza Haidar, lantas mengajak Jelita Suria ke ruang tamu.
            “Tak payah susah-susah Abang Mirza, Jelita tak lama pun.”
            “Tak ada susahnya… Lisa memang suka buat air untuk tetamu.” Balas Mirza Haidar yang hanya menimbulkan riak tidak puas hati di wajah Marlisa “Lagi-lagi untuk bakal ipar kan…” bisiknya jelas untuk Marlisa.
            “Gatal!!!” gumam Marlisa. Dan matanya menghantar langkah kedua insan itu bertamu di ruang keluarga mereka sebelum dia bergerak ke dapur. Tidak sampai lima minit, air sejuk sudah tersedia. Sekali lagi langkahnya diiringi pandangan kepada ‘merpati dua sejoli’ itu yang sedang rancak berbicara. Oh, pembetulan… yang rancaknya, Mirza Haidar seorang sahaja. Jelita Suria macam biasa, sudah termalu-malu dengan gaya wanita tersopan di dunia.
            “Sembang apalah anak dara dengan anak teruna ni? Tak elok berdua-duaan macam ni…” bebel Marlisa sambil menjeling ke arah abangnya. Namun Mirza Haidar tersenyum nakal.
            “Abang pesan dekat Jelita… abang balik lepas lima tahun nanti, Jelita dah habis tingkatan lima. Bolehlah kami kahwin, kan?” selamba Mirza Haidar melafazkan hasrat hatinya. Jelita Suria makin tertunduk menekur tanah. Kalau boleh, gaya itu sudah hendak kambus diri di dalam tanah sahaja.
            Marlisa pula membulatkan biji mata. Baru dia faham, kenapa yang Jelita Suria tidak mampu hendak mengangkat muka. Jelita Suria kan sangat pemalu orangnya! Lebih khusus dengan Mirza Haidar, tindak balas ‘malu’ itu berlaku dengan pantas sekali pada Jelita Suria.
            “Mama!!!” jerit Marlisa kuat. Abangnya ini sudah gatal tahap tak boleh diselamatkan.
            Puan Mariah yang baru jejak kaki ke dalam rumah, tersentak. Suara Marlisa macam petir berdentum. Diurut seketika dadanya. Mujur tidak lemah jantungnya.
            “Abang ajak Jelita kahwin mama!!!” bersambung lagi jeritan Marlisa.
            Kali ini Puan Mariah benar-benar tergamam. Kahwin???

SEMANGKUK besar keropok ubi diletakkan atas meja. Perkasa Armana pandang dengan ekor mata, si gemuk yang berjalan ke hulu dan ke hilir di depan matanya. Akhir sekali, jasad itu menoktahkan langkah di depannya. Kerusi ditarik dan Putra Azad kini duduk bertentang dengannya di meja makan ini. Jam di dinding sudah menginjak ke angka 3 pagi. Perkasa Armana melemparkan pandangan pelik. Sejak bila si gemuk ini insaf untuk study malam-malam buta macam ini?
            “Azad tak boleh nak tidurlah.” Jawab Putra Azad tanpa ditanya.
            “Aku tak tanya pun! Hang jangan nak kacau aku, okey!” Perkasa Armana sudah memberi amaran. Sengaja dia tidur awal dan bangkit semula pada jam 2 pagi tadi. Niatnya untuk study malam semalam, terbantut. Sebabnya, Encik Muaz dan Putra Azad sibuk melayan siaran ESPN dengan jeritan dan hilaian tanpa henti. Disebabkan dalam dirinya tiada spesimen waima sekecil kuman pun untuk meminati sukan bola, maka dia malas hendak ambil port untuk turut bersama mereka di hadapan televisyen.
            Suasana yang tadinya sunyi sepi, kini mulai dicemari dengan bunyi. Bunyi unggas atau cengkerik boleh dimaafkan kerana ia bunyi dari alam. Tapi kalau bunyi manusia mencekik? Haruskah dicekik sahaja orang di depannya ini?
            “Makan tu perlahan sikit. Bisinglah!”
            “Abang tak lapaq ke?” Tidak peduli dengan teguran Perkasa Armana, Putra Azad bertanya soalan pula.
            “Perut aku bukan macam hang la! Buntal.”
            “Azad gemuk sangat ke?” serius Putra Azad menyoal. Terhenti kunyahan dalam mulut. Dahinya berkerut. Tidak tahu bagaimana cara untuk mengecilkan sedikit tubuhnya ini. Adakah kerana dia bersaiz besar maka Jelita Suria tidak memandangnya waima dengan ekor mata sekalipun? Buruk sangat ke dia?
            Perkasa Armana menghentikan kiraan momentum yang sedang diselesaikan pada saat itu. Wajah monyok Putra Azad di hadapannya kini membawa ingatan kepada Sarip Dol. Kenapa muka dua makhluk itu serupa sahaja? Takkan adiknya yang baru tingkatan satu ini pun sudah pandai hendak frust bercinta? Alahai… budak-budak zaman sekarang! Belajar atau tidak, mungkin sudah tidak menjadi keutamaan agaknya. Yang penting kena bercinta, kena ada makwe dan pakwe serta segala yang sama waktu dengannya. Pelik!
            “Hang ni awat?” serius Perkasa Armana menyoal.
            “Ada awek ni, tak mau pandang Azad sebelah mata pun abang.” Putra Azad bersemangat hendak bercerita. Tidak perasan akan cebikan di bibir Perkasa Armana yang sudah meluat hendak mendengar kisah cinta tidak semenggah itu.
            “Mak dengan abah, hantaq hang pi tuisyen… bukan nak suruh melayan awek okey! Dah la UPSR hang buat main, cuba fokus untuk skor PMR dengan SPM elok-elok! Ini tak… sibuk duk layan hikayat cinta yang buang masa. Belajaq la…” Ceramah motivasi percuma buat Putra Azad di pagi hari.
            Perkasa Armana kembali menghadap latihan yang tergendala sebentar tadi. Sekejap sahaja, dia memandang wajah Putra Azad kembali. Sugul wajah itu seakan tidak dapat mencerna perkataan belajar yang dialunkan sebentar tadi. Keluhan kecil meniti di bibir. Aduhai, banyak sungguh manusia yang harus diberi kesedaran tentang cinta di zaman belajar ini!
            “Cuba hang kuruskan badan dan belajar rajin-rajin… mungkin kalau macam tu, awek tu suka.”
            Bersinar terus mata Putra Azad. Perkasa Armana menjeling dengan ekor mata. Dia nampak semangat luar biasa yang tiba-tiba pop-out daripada diri Putra Azad seketika ini. Mungkin, akan ada insan yang bakal memerlukan supplement Herbal Life dalam rumah mereka. Dan gingko biloba untuk menguatkan ingatan juga. Dengan semangat yang terpancar ini, Putra Azad nampak macam ada harapan untuk skor straight A bagi peperiksaan akan datang. Pasti mak dan abah akan berbangga untuk menerima ‘menantu’ yang memberi inspirasi kepada pencapaian cemerlang Putra Azad.
            Perkasa Armana menjadi lega apabila ruang itu menjadi miliknya semula. Dapatlah dia menyambung bergembira sesi menjawab soalan Fizik. Tetapi, tersilap telahan agaknya. Putra Azad muncul semula.
            “Hang nak apa lagi ni?” Perkasa Armana menjadi marah. Gangguan yang begitu memberi kesan kepada mood mengulangkajinya.
            “Jelita nanti suka dengan Azad kan?” Putra Azad bertanya dengan sengihan lebar.
            “Hang pi belajaq dulu la… bagi dapat straight A. Dia mesti suka!” Dengan geram juga diberi jawapan kepada adiknya. Sibuk sungguh hendak mengejar cinta. Aku kejar dengan batang penyapu nanti, baru padan muka!
            Dan gangguan itu lesap juga akhirnya. Tetapi minda Perkasa Armana pula terganggu dengan sendirinya. Jelita? Kenapa banyak sangat manusia bernama Jelita yang disukai insan di sekelilingnya? Jelita yang disukai Putra Azad ini pula bagaimana? Sejelita si Jelita Suria? Argh!!! Yang dia sibuk sangat nak tahu tentang kejelitaan manusia yang tak ada kena-mengena dalam hidupnya kenapa??? Bukannya ada subjek SPM yang bertajuk ‘Jelita’!!!

TERSEDAK Jelita Suria saat meneguk air milo yang disediakan oleh Puan Hayati ini. Bicara Encik Johan begitu serius sekali. Tajam mata abah menikam wajahnya yang sekadar berbedak Pureen. Tidak tertelan nasi goreng emak yang begitu sedap ini hanya dengan satu soalan berbisa oleh Encik Johan.
            “Dah pandai nak cakap pasal hal kahwin ke Jelita?”
            Gulp! Liur yang berbaki ditelan dalam. Wajah Jelita Suria spontan tertunduk menekur meja makan yang beralas kain bercorak bunga. Dilapik dengan plastik jernih putih susu. Ditenung alas itu seperti baru kali pertama mereka menggunakannya. Baik dilihat ke muka meja daripada muka abah. Boleh kecut segala organ dalaman seperti direndam dengan cuka.
            “Jawab Jelita Suria!” Suara Encik Johan tidak meninggi tetapi begitu tegas sekali. Seakan hendak berdesing sahaja telinganya apabila mendengar perihal ‘kahwin’ yang dikhabarkan oleh Puan Mariah dan Encik Helmi.
            Jelita Suria mengerling pada wajah Puan Hayati. Nyata pandangan emak tidak dapat membantunya. Tetapi kenapa dia harus gentar? Dia tidak berbuat salah pun. Mirza Haidar yang mengusiknya dengan soal itu. Mana dia tahu itu yang akan dibicarakan oleh abang Marlisa pada hari dia ke sana. Niatnya hanya untuk menitipkan ucapan selamat. Tidak lebih!
            “Jelita tak tahu abah… Abang Mirza yang tiba-tiba cakap macam tu.”
            “Takkan Jelita tak tahu apa-apa? Selalu, hujung minggu duk ke sana. Jumpa Mirza kan?” Nada Encik Johan mulai meninggi. Dan itu membuatkan Jelita Suria tunduk lagi menghadap bumi. Kegugupan jelas terukir di wajah itu. Dia tidak mahu Jelita Suria berbohong. Dan dia juga tidak mahu anaknya menyalahgunakan kepercayaan yang diberikan olehnya selama ini.
            Dia benarkan Jelita Suria ke rumah ibu bapa Marlisa, untuk belajar! Bukannya untuk menyemai benih cinta. Dia tidak kisah kalau bakal dicop sebagai seorang bapa yang tidak memahami jiwa anak remaja zaman kini. Cukuplah kalau dia tahu, apa yang dilakukan ini adalah untuk mendidik jiwa anaknya agar menjadi muslimah sejati. Luaran dan dalaman!
            “Jelita memang pi untuk belajar abah. Jelita tak tipu. Abang Mirza tu memang suka mengusik. Dia tak seriuslah abah… Jelita ingat pesan abah. Jelita takkan lupa.” Laju Jelita Suria menyusun kata. Besar harapannya agar alasan itu diterima. Lagipun, apa yang dituturkan itu adalah benar belaka. Dia tidak bercinta! Bukan dia yang meminta Mirza Haidar untuk berbicara tentang perkahwinan dengannya. Dia sedar usianya yang masih remaja.
            “Mirza Haidar serius Jelita Suria!”
            Membulat mata Jelita Suria. Pandangan terus pada mata Encik Johan yang begitu marak dengan kemarahan di jiwa.
            Kepala Jelita Suria menggeleng laju. “Jelita tak tahu abah… Jelita berani sumpah, Jelita tak langgar pesanan abah. Jelita tak ada simpan perasaan dekat sesiapa pun. Jelita tak ada pun berkawan ikut suka hati… Jelita jaga diri elok-elok. Jelita pegang amanah yang abah dah bagi.” Bersungguh-sungguh diucapkan kata. Dia mahu abah percayakan dirinya. Dia bukan anak yang melanggar perintah emak dan abah. Tidak!
            Bukan impiannya untuk menempah neraka dengan melanggar perintah kedua ibu bapa. Selagi mana perintah mereka tidak melanggar syariat Allah, maka Jelita Suria wajib mematuhi kata-kata mereka. Dia tahu. Dia sangat jelas akan perkara itu. Dan apa yang sering diingatkan oleh Encik Johan pada dirinya agar menjauhi kebiasaan yang sudah sebati dalam masyarakat kini. Dia tahu, abahnya begitu gundah dan tidak selesa andai Jelita Suria sudah terjerat dalam fenomena cinta remaja.
            “Abah harap, Jelita takkan kecewakan abah. Dan abah harap, Jelita dan Mirza dapat jaga batas perhubungan. Dia bukan abang Jelita, walaupun Jelita cakap Mirza macam abang Jelita… dia tetap abang kawan Jelita yang juga membawa maksud, dia ajnabi yang halal untuk Jelita kahwin. Jelita fahamkan maksud abah?”
            Jelita Suria mengangguk dengan berat. Jelas sekali dengan maksud abah. Jaga batas perhubungan yang secara terangnya adalah tidak berhubungan dengan Mirza Haidar walau dengan apa cara sekalipun. Jelita Suria faham, dia tidak mempunyai keperluan pun untuk berbuat begitu. Namun, jauh di sudut hati terasa berat sekali.
            Benarkah dia menyukai Mirza Haidar seperti yang diandaikan oleh orang tuanya ini? Dan jika benar Mirza Haidar itu serius, adakah abah akan benarkan mereka berkahwin nanti? Maklumlah, Encik Johan kan penentang keras konsep berkahwin cinta yang menjadi trend zaman kini. Ah, Jelita Suria! Jauh sungguh fikirnya. Terlupa akan diri yang baru berusia 13 tahun!

Comments

  1. Garang sgt kot bapak Jelita ni..tp tabik dgn Jelita sbb dia matang walau br 13 thn, mmg good girl..hai la, ramai sgt watak hero nih, walau dh terang2 tajuk citer ada nama perkasa but still nk terfikir2 dan cuba agak2 jln citer ni camne..

    ReplyDelete
  2. kisah jelita dan perkasa, tapi logik jugak kan kalau keduanya watak utama, tanpa perlu di'satu'kan. ;)

    kalau perkasa nak dapatkan jelita, makin byk cabaran kot. kena merentasi Azad lagi... hehe.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Perkasa nmpk mcm jenis ego tak ingat je...of course byk halangan..kena bg readers sesak dada nafas bagai...mmg logik kalau diaorg tak bersatu pun, cuma akak je la yg frust menonggeng sbb akak nk Perkasa hero nyer

      Delete
  3. Waaaa Mirza ni awal2 da booking Jelita eh...

    ReplyDelete
  4. x sbr2 lah mirza ni..p balaja dululah

    ReplyDelete
  5. Ramailah pulak yg jatuh hati dekat jelita. Perkasa bila lagi?

    ReplyDelete
  6. nk jelita n perkasa jer...suai sesangat ngn tajuk..yg lain tu cmpk lombong jer;))

    ~uly ct~

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Cerpen: Lain di Mulut, Lain di Hati

JAMBANGAN bunga ros yang berada di atas mejanya itu dicapai. Tanpa melihat nama pengirim pun dia sudah boleh meneka, siapa pengirimnya. Terus dengusan tidak senang dilepaskan. Tanpa menunggu sesaat, jambangan bunga itu sudah terhumban ke dalam tong sampah di sudut bilik.             Huh! Apa dia fikir aku ni perempuan, nak cair kalau disogokkan dengan bunga. Kalau aku cakap benci, memang akan benci selamanya! rungutnya.             Serentak itu, pintu biliknya diketuk. Terjengul wajah Selina, setiausahanya.             “Encik Irfan, Puan Eryna nak jumpa.”             Sekali lagi dia melepaskan dengusan kasar. Tidak cukup dengan bunga yang merimaskan, sekarang, tuan punya badan pula muncul di depan mata. Ah, benci!             “Suruh dia balik! Saya tak nak jumpa dia.” Kuat dan lantang sekali suara Irfan sehingga begitu jelas buat pendengaran Eryna yang sedang duduk menunggu di luar bilik. Eryna tersentak. Riak wajahnya terus beruba

Cerpen: Hati ini [End]

BUNYI suara yang bertingkah dari ruang tamu mengkakukan langkah Ana di anak tangga terakhir. Dia yang turun ke bawah dengan niat untuk membasahkan tekak terkaku seketika. Tidak mahu menonjolkan diri di hadapan tetamu mama dan papa, tanpa berfikir panjang dia sudah memalingkan badan hendak bergerak ke atas semula. Namun sekali lagi, dirinya terus kaku di situ. Suara yang melaungkan namanya membuatkan badannya menjadi gementar secara tiba-tiba.             “Ana…” namanya dipanggil sekali lagi. Dia kenal suara itu. Terlalu kenal. Tetapi dia tidak mahu memalingkan wajahnya. Atas sebab apa, dia tidak pasti. Ikutkan sahaja kata hati.             Sentuhan di bahu membuatkan Ana tersentak. Pantas dia berpaling dengan wajah yang sudah berubah riak. Dia tidak suka dengan sentuhan itu. Sentuhan yang tidak menghormati dirinya sebagai seorang wanita muslim. Seketika mata mereka bertemu. Ana terkedu. Seakan tersedar dari mimpi… senyuman yang menghiasi

Cerpen: Dia yang aku cinta

Berdebar-debar rasanya saat menanti di ruang legar ini. Menanti kehadiran insan yang disayangi. Menanti saat yang ditunggu-tunggu selama ini. Disunting menjadi suri dalam hidup lelaki yang dicintai. Ah! Indah sungguh rasa…             “Tahulah nak tunggu insan tercinta. Kut iya pun… tak perlulah tayang riak wajah teruja, yang terlebih perisa pulak!” teguran berunsur perlian itu hanya membuatkan dia menjeling manja.             “Biarlah!” balasnya dengan menyampah.             Tiada siapa pun tahu apa yang dirasainya selama dua tahun ini. Hidup berjauhan dengan insan yang memenuhi ruang hatinya. Sungguh menyeksakan jiwa dan raga sahaja!             “Akak…” panggilan itu membuatkan dia melepaskan dengusan manja.             “Apa?!” soalnya geram. Geram saat khayalan indahnya dicantas dengan kejam. Sedangkan, hanya itu yang mampu dilakukan di saat ini.             “Tu…” mulut si adik sudah memuncung ke satu sudut.             Matanya turut berlari mencari. Seketika dia