Skip to main content

Ini Kisah Jelita & Perkasa [7]



BAB 7

PINTU bilik ditutup rapat. Puan Hayati sudah mengambil tempat di atas katil bercadar kuning cair itu. Kandungan yang sudah makin membesar itu diusap perlahan. Selesai segala kerja di dapur, dia terus mencapai naskah Quran yang terletak di ruang tamu. Bacaan rutin diteruskan dan tidak lupa untuk mengamalkan surah Maryam dan Yusuf yang dijadikan amalan bagi ibu mengandung.
Proses mendidik anak itu bukanlah bermula saat si kecil itu dilahirkan ke dunia. Namun, segalanya bermula dari dalam rahim seorang ibu lagi. Maka, wajarlah sebagai harapan mendapatkan anak yang soleh dan solehah, sebagai ibu yang membawa kandungan itu harus juga menjaga segala amalan harian serta sunat yang disyariatkan oleh Allah dalam kehidupan. Sesungguhnya, begitu besar ganjaran yang diberikan Allah kepada ibu yang mengandungkan anak selama sembilan bulan dalam kandungan. Sehingga Allah menjanjikan pahala syahid kepada ibu yang meninggal dunia ketika melahirkan anak. Subhanallah! Dia yang berkuasa ke atas segala sesuatu di atas muka bumi ini.           
Mengenangkan itu, badan yang ada kala terasa lemah membawa kandungan menjadi ringan bebannya. Apa yang lebih utama dalam hidup ini melainkan mencari keredhaan Allah. Redha Allah adalah dengan mengangkat syariat menjadi tunggak dalam kehidupan. Itu yang dikatakan Islam is the way of life!
“Fikir apa tu, jauh sangat termenung?” Encik Johan sudah pun berbaring mengiring di sisi Puan Hayati. Tangan lelaki itu juga sudah mengusap perut isterinya sambil dibacakan surah-surah pendek untuk pendengaran anak dalam kandungan itu.
“Jelita…” pendek sebutan Puan Hayati.
Encik Johan tidak membalas. Diteruskan sahaja bacaannya sehingga selesai. Kemudian dia kembali memandang wajah isterinya.
“Abang janganlah keras sangat dengan dia. Takkan abang tak percaya dengan Jelita?”
“Tak habis lagi ke isu tadi?”
Puan Hayati menggeleng. “Ini bukan pasal isu abang. Ini pasal kepercayaan. Takkanlah Jelita nak langgar nasihat abang. Abang tanya macam tu dekat dia tadi, abang nampak tak, kecil hati dia.” Perlahan sahaja suara Puan Hayati. Bukan dia hendak menyalahkan suaminya, cuma perasaan Jelita Suria harus juga dijaga.
“Abang percayakan dia…”
“Habis, kenapa abang tanya?”
“Kalau abang tak tanya, abang tak boleh nak bagi warning macam tadi. Jelita mungkin boleh jaga pergaulan dengan Mirza. Tapi Mirza… abang tengok gaya dia hari tu, kalau boleh nak bawa anak kita ikut sekali aja.” Encik Johan sudah menggelengkan kepala. Anak muda kini, advance sungguh dalam semua perkara.
Puan Hayati tersenyum. Dia pun setuju sebenarnya dengan ayat suaminya itu. Mirza Haidar kelihatan agak tidak sabar. Tetapi jangka masa lima tahun di luar negara, boleh terjamin ke kesetiaan Mirza Haidar untuk menanti Jelita Suria yang kini baru berusia 13 tahun?
“Kalau Mirza tu dah habis belajar… abang bagi tak, kalau dia minta Jelita?” sengaja diajukan soalan itu. Puan Hayati ingin sekali mendengar jawapan itu. Entah kenapa, dalam hati seorang ibu merasakan… anak gadisnya juga pasti ingin tahu.
“Jodoh tu bukan dekat tangan kita… semua dah ditentukan Allah. Kalau jodoh Mirza dengan Jelita, abang takkan halang. Tapi… kena dengan caralah. Abang memang takkan izinkan Jelita tu bercinta! Yati pun tahu kan?”
Puan Hayati tersenyum kecil sebelum mengangguk. Dia tahu itu prinsip suaminya. Prinsip yang sama pernah dipegang oleh arwah ayahnya. Kini ia dipraktikkan pada Jelita Suria pula. Tetapi, tiada salah jika dilihat dari sudut Islam. Kalau ikut undang-undang, usia 18 tahun sudah memberikan lesen kepada remaja untuk mengambil keputusan sendiri. Namun, ikut hukum agama… anak perempuan di bawah tanggungjawab ibu bapanya selagi dia masih belum menjadi isteri orang! Maka, wajarlah Encik Johan menjaga Jelita Suria dengan peraturannya yang seiring dengan tuntutan agama.

MEMO yang berwarna hijau itu ditolak semula ke sisi Marlisa. Dia tidak mahu menempah masalah. Sejak sebulan lalu ditegur oleh abahnya, Jelita Suria sudah tekad agar tidak berperangai pelik-pelik, lebih tepat tidak mahu melenyapkan kepercayaan yang telah diberikan kepadanya. Disebabkan itu juga, dia terpaksa berkata tidak kepada Marlisa walaupun ada satu rontaan di sudut hati yang meminta dia mengambil sahaja memo itu.
            Ah, godaan! Jelita Suria… usah mudah tertewas. Bisiknya terus seraya mula beristighfar. Mungkin dengan cara itu, hatinya akan cuba untuk berkelakuan waras. Melawan nafsu yang cuba menguasai akal.
            “Kenapa?”
            “Tak nak ambil.” Itu sahaja jawapan Jelita Suria.
            Marlisa mendengus kecil. “Kenapa?”
            “Abah marah nanti.”
            “Sebab?” Marlisa tidak mengerti. Mirza Haidar beria-ria menyampaikan pesan padanya agar diberikan memo yang terisi dengan ID Yahoo Messenger! dan Skype lelaki itu kepada Jelita Suria. Tetapi masalah pula apabila ia ditolak oleh gadis di sisinya ini.
            “Abah aku tak sukalah… dia tak nak aku berbual dengan Abang Mirza.”
            “Kenapa???” terkejut Marlisa sehingga tertinggi intonasinya. Di kerusi kayu yang tersusun berderet di koridor sekolah, terasa macam tempat duduk ini menjadi tumpuan mata yang lain pula. “Kenapa Jelita?” soalnya dengan nada yang merendah.
            “Tak bagus untuk kesihatan batin.”
            “Batin? Hang ni cakap pasal apa?” Marlisa sudah mula menggaru kepala yang berbalut tudung putih bersalut nila itu. Terasa berbelit pula otaknya cuba mencerna apa yang hendak disampaikan oleh si Jelita Suria ini.
            “Pasal hubungan lelaki dan perempuan,” terang Jelita Suria. Segala butir yang dikatakan oleh orang tuanya meresap ke dalam jiwa. “Zahirnya mungkin tak ada apa-apa kesan. Tapi secara batin, sedikit sebanyak ia mungkin akan melalaikan.”
            “Tak fahamlah! Cakap tu guna ayat yang mudah, bagi aku faham. Apa salahnya? Chatting pun tak boleh ke? Bukan keluar berdua-duaan. Kalau iya pun Abang Mirza nak ajak hang keluar, aku kan ada. Aku boleh teman.” Marlisa sudah menepuk dadanya dengan semangat. Kalau itu yang dirisaukan oleh Encik Johan, dia boleh beri jaminan. Jelita Suria akan dijaga sebaik mungkin daripada ‘sentuhan’ nakal Mirza Haidar.
            Chatting pun tak boleh. Abah cakap… kalau keluar, memanglah berdosa. Itu dosa yang boleh nampak dengan jelas dan nyata. Tapi, yang bab chatting ni pulak… dosa yang orang tak nampak, tapi Allah tahu semuanya. Ar-raqib… yang mengawasi segala perbuatan kita, yang tahu apa dalam hati kita… kalau chatting tu tiba-tiba menimbulkan kerinduan dalam hati aku pada Abang Mirza, berdosa…” Jelita Suria mengalunkan barisan ayat yang dituturkan oleh Encik Johan. Abahnya itu seakan dapat meneka apa yang berlegar dalam pemikiran Mirza Haidar. Harus dipuji kecekapan abah dalam hal itu.
            “Sebagai seorang anak… kita wajib mematuhi ibu bapa kita. Kan redha Allah terletak pada redha ibu bapa… lagipun, abah kata…” Jelita Suria tersenyum meleret. Yang ini pun dia tidak menyangka, abah mengalunkan bingkisan kata yang menguntumkan bunga-bunga kelegaan dalam jiwanya.
            “Abah hang kata apa? Duk buat suspen pulak!” Marlisa sudah tidak sabar. Dengan senyuman lebar di wajah Jelita Suria, otak dia sudah tidak boleh berfikir dah.
            “Kalau jodoh… tak ke mana.” Jelita Suria tersenyum dengan lebarnya. Namun, apabila terasa satu ketukan lembut di dahinya, senyuman itu mati dengan sendiri.
            “Gatal!!! Hang dengan Abang Mirza, sama aja.” Perli Marlisa dengan wajah yang kononnya ngeri. Tidak sangka, Jelita Suria yang pemalu ini boleh tersengih lebar memikirkan perihal jodoh dengan Abang Mirza. But wait! Adakah itu bermaksud…
            “Oh… suka Abang Mirza ya?” nakal Marlisa mengenyitkan mata.
            Jelita Suria pula membulatkan biji mata. “Aku baru 13 tahun la! Tak sesuai langsung nak cakap pasal benda ni.”
            “Eleh, hang tak payahlah nak berdolak-dalih dengan aku! Kalau ada jodoh, agak-agak dalam 10 tahun lagi, hang dah jadi kakak ipar aku agaknya.”
            Jelita Suria sudah melopong. Amboi, panjang pula angan-angan Marlisa. Dia pun tidak terfikir sampai ke situ. Ah, tidak perlu difikirkan pun kerana kehidupan ini adalah aturan terbaik daripada Allah. Dia Maha Mengetahui bila harus terjadinya suatu perkara. Tanggungjawab manusia sebagai hamba, laksanakan kebaikan dan cegah kemungkaran. Fahami tujuan hidup yang lebih utama, iaitu beribadah kepada Allah.
            So, tak nak la benda ni?” Sekali lagi Marlisa melayangkan memo abangnya di depan mata Jelita Suria.
            Dengan yakinnya Jelita Suria menggelengkan kepala. “Tak perlu… cakap dengan Abang Mirza, apa yang abah aku cakap tu. Dan harap dia tak salah faham dengan cara abah aku. Abah cakap tanggungjawab dia untuk pastikan aku tak tenggelam dengan dunia yang sekarang mewah dengan dosa, kalau aku pun ikut tenggelam sama… abah pun akan ada saham dekat akhirat nanti. Kenapa abah pulak yang kena tanggung dosa atas kesilapan aku kan?”
            Dan soalan daripada Jelita Suria mencelikkan mata Marlisa. Spontan dalam kepalanya teringatkan papanya. Bukan semudah bangun pagi, gosok gigi! Tanggungjawab yang terletak di bahu ibu bapa adalah jaminan untuk syurga atau neraka pada hari pembalasan kelak. Sangat berat!

GEMBIRA hati itu rasa tidak mampu diungkap. Hanya rasa syukur dipanjatkan tanpa henti dalam hati. Apa pun nikmat yang kita peroleh dalam hidup ini datang daripada Dia. Sedang dia asyik menikmati berita gembira, sudah ada satu wajah monyok seakan minta penampar tersiar di depan mata. Perkasa Armana menghela nafas panjang. Sarip Dol ini memang hanya akan sedar kalau dihadiahkan penumbuk padu olehnya. Kawannya ini memang tidak akan insaf walaupun sudah diberi kuliah percuma berkali-kali!
            “Jelita Suria hang buat apa pulak kali ni?” Tanpa sebarang kiasan, Perkasa Armana menyoal. Dia tahu sangat, wajah Sarip Dol hanya akan mempamerkan riak ini jika perkara itu bersangkut-paut dengan si Jelita Suria itu.
Fikirkan gadis itu, kadang-kadang dia pun boleh terkena ‘gangguan’ perasaan juga. Tapi, ditepis laju gaya Lee Chong Wei melibas bulu tangkis! Hebat tak? Kalau tak nak hanyut dalam dunia cinta, kena ada taktik terbaik. Kena fokus dengan perkara yang lebih utama. Bukankah pilihan akan lebih luas terbentang di depan mata jika sudah melangkah keluar daripada alam sekolah? Si Sarip Dol ini langsung tak nak faham dengan hujahnya!
“Aku terpaksa bersetuju dengan hang… walaupun aku tak setuju sebenarnya!” Sarip Dol meluahkan dengan lemah.
Perkasa Armana memandang sahabatnya itu dengan riak kosong. Malas sudah dia hendak percaya dengan persetujuan Sarip Dol dalam hal ini. Pasti janji tidak ditepati! Sebab beberapa minggu sudah pun, diberikan janji yang serupa. Alih-alih, masih tampil dengan muka gaya beruk tak dapat kelapa.
“Dia dah ada jodoh yang keluarga pilihkan…” Tutur Sarip Dol lambat-lambat. Rasanya itulah kesimpulan yang dapat dibuat daripada perbualan antara dua gadis yang dia terdengar itu.
Membuntang mata Perkasa Armana. Jodoh pilihan keluarga? Wait! “Dia tu bukan baru 13 tahun ke?” soalnya terkejut. Jodoh pilihan keluarga pun satu status yang mengejutkan, apatah lagi seawal usia di zaman persekolahan ditetapkan jodoh. Sadis dan tragis! Kalau dialah di tempat Jelita Suria, pasti akan dibangkang habis-habisan.
“Budak zaman sekarang, cepat matang. Yang penting, hot stuff macam Jelita tu, memang wajib dirembat dengan segera. Tengok sekarang, aku jugak yang gigit jari.” Kecewa Sarip Dol memandang jari sendiri. Hendak gigit pun tak lalu sebenarnya.
Perkasa Armana melepaskan ketawa kuat. Macam budak-budak! “Eh, tolonglah. Aku tak boleh terima langsung konsep rembat segera yang hang duk apply ni. Bagi aku, masa belajar… belajar sungguh-sungguh! Nanti dah masuk alam kerja, dah ada duit, dah stabil… barulah fikir pasal perempuan dan boleh juga dipertimbangkan kalau nak cari calon. Tapi, wajib cari sendiri… tak main okey, arrange macam Cik Jelita hang!” ujarnya yakin.
“Dah… aku tak mau tengok muka tempe basi hang ni! Cheer up! Dah habis belajar nanti, beribu Jelita yang hang boleh jumpa dekat luar tu. Ini apa… budak 13 tahun aja pun.” Perkasa Armana sudah menepuk-nepuk belakang Sarip Dol. Akhirnya, sebuah senyuman terukir juga di wajah itu.
Beriringan mereka berdua melangkah menuju ke kelas. Sampai sahaja di depan kelas, sebuah senyuman sudah sedia berkuntum buat Perkasa Armana. Laju juga lelaki itu mententeramkan jiwanya. Kenapalah ada sahaja senyuman yang mampu menguji ketahanan hatinya?
“Arman… sibuk ke?” Zalfa menyoal dengan suara lembutnya.
Sarip Dol di sebelah Perkasa Armana sudah berbisik perlahan, “Ini masuk kategori mana pulak?” perlinya sebelum meninggalkan Perkasa Armana bersama Zalfa di depan pintu kelas mereka.
Dari tempat duduknya, Sarip Dol dapat melihat. Sekali lagi wajah Perkasa Armana berubah rona. Benarkah Perkasa Armana kebal perasaan seperti yang dibebelkan lelaki itu? Dia tidak tahu. Yang dia tahu, hatinya tidak sekebal itu. Buktinya, mudah sungguh dia tersuka dengan adik seniornya yang bernama Jelita Suria itu. Tapi, bukan salah dia… hatinya yang degil tidak mahu mendengar kata.
Tidak mahu terus melayan angan-angan bodohnya, mindanya cuba untuk menyahkan wajah Jelita Suria. Untuk itu, dia mencapai nota yang disediakan pada kertas A4 berlipat dua dalam fail di atas meja. Saat itu, baru dia terpandang set soalan yang berada atas meja. Keputusan percubaan Biologi!!! Terasa gemuruh darah melihat angka yang tercatat di depan kertas itu.
“Alhamdulillah…” ucapnya terus.
Perkasa Armana yang sudah kembali mengambil tempat duduk menepuk bahunya mesra. “Aku tau, hang ni genius! Kalau hang boleh fokus lebih pada study daripada Cik Jelita tu, mesti lagi gempak result. Walaupun aku rasa, result hang yang ni pun dah cukup gempak.” Puji Perkasa Armana ikhlas.
Sarip Dol nampak sahaja macam jenis yang kurang fokus, tapi jangan disangka otak itu kosong. Geliga yang boleh dibuat cincin permata. Kalau tak, tak bolehlah pak cik ini merembat kedudukan antara pelajar top ten tingkatan lima!
“Mungkin hang pun kena kurangkan fokus pada Cik Zalfa jugak.” Usik Sarip Dol sengaja hendak menduga.
“Aku tak ada apa-apa okey dengan Zalfa!”
“Dan aku belum buta untuk tak nampak muka hang yang sentiasa bertukar warna bila bercakap dengan dia!” selamba Sarip Dol mengenakan Perkasa Armana.

Comments

  1. Cis, berani Perkasa Armana mengata Jelita akak tuh!
    Mcm la ko kebal sgt lah Perkasa Armana, Zalfa ckp lembut2 sket, senyum2 sket, trus melting..apa kes?!
    Akak berdoa moga anak2 pompuan akan mcm Jelita, solehah betul, amin..

    ReplyDelete
  2. Heh, zalfa ni nyibuk je! Gi main jauh-jauh la.. sibuk menempel kat perkasa..

    ReplyDelete
  3. pandainye perkasa ni nasihatkan sarip dol... dia pon same je bila terserempak dgn zalfa... tp dalam diam dia suka kat jelita jugak en... mungkin dia belum sedar je coz asyik nmpk zalfa kt dpn mata...

    suka ayat jelita yg ni 'Tak bagus untuk kesihatan batin'
    hahaha...

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Cerpen: Lain di Mulut, Lain di Hati

JAMBANGAN bunga ros yang berada di atas mejanya itu dicapai. Tanpa melihat nama pengirim pun dia sudah boleh meneka, siapa pengirimnya. Terus dengusan tidak senang dilepaskan. Tanpa menunggu sesaat, jambangan bunga itu sudah terhumban ke dalam tong sampah di sudut bilik.             Huh! Apa dia fikir aku ni perempuan, nak cair kalau disogokkan dengan bunga. Kalau aku cakap benci, memang akan benci selamanya! rungutnya.             Serentak itu, pintu biliknya diketuk. Terjengul wajah Selina, setiausahanya.             “Encik Irfan, Puan Eryna nak jumpa.”             Sekali lagi dia melepaskan dengusan kasar. Tidak cukup dengan bunga yang merimaskan, sekarang, tuan punya badan pula muncul di depan mata. Ah, benci!             “Suruh dia balik! Saya tak nak jumpa dia.” Kuat dan lantang sekali suara Irfan sehingga begitu jelas buat pendengaran Eryna yang sedang duduk menunggu di luar bilik. Eryna tersentak. Riak wajahnya terus beruba

Cerpen: Hati ini [End]

BUNYI suara yang bertingkah dari ruang tamu mengkakukan langkah Ana di anak tangga terakhir. Dia yang turun ke bawah dengan niat untuk membasahkan tekak terkaku seketika. Tidak mahu menonjolkan diri di hadapan tetamu mama dan papa, tanpa berfikir panjang dia sudah memalingkan badan hendak bergerak ke atas semula. Namun sekali lagi, dirinya terus kaku di situ. Suara yang melaungkan namanya membuatkan badannya menjadi gementar secara tiba-tiba.             “Ana…” namanya dipanggil sekali lagi. Dia kenal suara itu. Terlalu kenal. Tetapi dia tidak mahu memalingkan wajahnya. Atas sebab apa, dia tidak pasti. Ikutkan sahaja kata hati.             Sentuhan di bahu membuatkan Ana tersentak. Pantas dia berpaling dengan wajah yang sudah berubah riak. Dia tidak suka dengan sentuhan itu. Sentuhan yang tidak menghormati dirinya sebagai seorang wanita muslim. Seketika mata mereka bertemu. Ana terkedu. Seakan tersedar dari mimpi… senyuman yang menghiasi

Cerpen: Dia yang aku cinta

Berdebar-debar rasanya saat menanti di ruang legar ini. Menanti kehadiran insan yang disayangi. Menanti saat yang ditunggu-tunggu selama ini. Disunting menjadi suri dalam hidup lelaki yang dicintai. Ah! Indah sungguh rasa…             “Tahulah nak tunggu insan tercinta. Kut iya pun… tak perlulah tayang riak wajah teruja, yang terlebih perisa pulak!” teguran berunsur perlian itu hanya membuatkan dia menjeling manja.             “Biarlah!” balasnya dengan menyampah.             Tiada siapa pun tahu apa yang dirasainya selama dua tahun ini. Hidup berjauhan dengan insan yang memenuhi ruang hatinya. Sungguh menyeksakan jiwa dan raga sahaja!             “Akak…” panggilan itu membuatkan dia melepaskan dengusan manja.             “Apa?!” soalnya geram. Geram saat khayalan indahnya dicantas dengan kejam. Sedangkan, hanya itu yang mampu dilakukan di saat ini.             “Tu…” mulut si adik sudah memuncung ke satu sudut.             Matanya turut berlari mencari. Seketika dia