BAB 11
DUDUK
sahaja di meja, wajah cemberut Puan
Hayati menyapa mata. Spontan Jelita Suria menjeling ke arah Ahmad Naufal. Pasti
adiknya yang membuat onar sehingga menyebabkan emaknya berubah wajah. Tetapi
aksi Ahmad Naufal itu seolah tiada apa yang berlaku. Buktinya, enak sekali
mulut kecil itu menelan potongan epal merah berbentuk dadu dalam pinggan. Senakal-nakal
Ahmad Naufal, kalau emak marah dia tidak akan menyentuh makanan walaupun dia
kelaparan tahap kebuluran.
Dan
hanya ada sebaris nama lagi yang mampu membuatkan emaknya bermasam muka pada
ketika ini. Abah! Mengenangkan itu, Jelita Suria tersenyum nipis. Hal emak dan
abah, dia tidak akan mencelah. Pastinya abah bersuara di atas sebab yang
munasabah dan emak pula akan merajuk disebabkan berkecil hati dengan perkara
yang remeh sahaja, sebenarnya.
“Makan
mak…” sengaja Jelita Suria mempelawa untuk mencetuskan mood bersembang dengan
Puan Hayati. Tetapi respon yang diterima hanya gelengan semata-mata, tanpa
perkataan tidak. Parah! Emak kalau tidak mahu bercakap dengan Jelita Suria,
besar masalahnya.
Jelita
Suria mengeluh. Letih badan pulang dari kelas tambahan belum hilang. Letih
fikiran mengenangkan Marlisa pun belum pudar. Dan kini hendak atau tidak, dia
harus juga mencelah untuk mewujudkan bicara dari bibir ratu hatinya.
“Awat
mak? Abah cakap apa sampai mak merajuk macam ni?” soal Jelita Suria tanpa berkias.
Buat apa hendak dikias lagi, matlamat hanya mendapatkan intipati kisah. Kalau
berkias sahaja, sampai ke baris berapa pun tidak akan sudah.
“Abah
tak bagi mak ikut pergi masjid.”
Jelita
Suria hendak pamerkan riak tenang namun wajah emaknya tidak mengizinkan untuk
diri berbuat begitu. Terpaksalah pura-pura terkejut. Hakikatnya, dia sudah tahu
apa hujah Encik Johan untuk perkara itu.
“Semalam
pun mak dah pergi… Malam kelmarin pun sama. Hari-hari pergi masjid nak buat apa
mak?”
“Mengimarahkan
masjidlah!” balas Puan Hayati geram. Anaknya ini sahaja dengan suaminya. Asyik
fikir hendak menghalang niat murninya untuk berjemaah di masjid. Bukankah
disarankan dalam Islam supaya solat berjemaah. Pahala pun berlipat kali ganda.
Dia pun mempunyai hasrat untuk menambah neraca timbangan amalannya di akhirat
kelak. Tetapi, ia asyik disalah tafsir sahaja.
“Kan
abah dah cakap… perempuan tak wajib pun pergi masjid. Lebih afdal dari rumah,
mak.” Jelita Suria cuba berbicara dengan lembut yang mungkin. Biar sejuk hati
Puan Hayati mendengar nada suaranya. Biar turun kadar kemarahan yang sedang
menguasai emaknya di saat ini. Kemarahan yang tidak berasas sama sekali. Dalam
hal ini, Jelita Suria memang yakin sangat untuk mengibarkan bendera abah.
“Kalau
mak nak dengar-dengar ceramah?”
“Televisyen
ada aja mak. TV Alhijrah, Astro Oasis, Forum Perdana, Al-Kulliyah, Tanyalah
Ustaz, Halaqah, Usrah… semua tu rancangan dakwah. Mak nak cari apa lagi dekat
masjid tu? Mak pergi ke masjid ni, boleh menimbulkan kekacauan…” Terhenti ayat
Jelita Suria apabila biji mata Puan Hayati sudah terbuntang di situ. Hampir
sahaja dia ketawa, namun ditahankan sahaja. Pasti emak tidak mampu menerima
hakikat akan kebenaran kata-katanya itu.
“Maksud
Jelita, kekacauan sebab mak ajak Naufal. Naufal ni bising yang amat… sejuta
kali mak pesan dengan dia jangan bising, se-bilion
kali dia akan buat bising. Mak tak ingat masa puasa tahun lepas, macam mana mak
cik ahli surau tegar tu complain
pasal Naufal? Kita tak perlu ke masjid atau surau kalau kehadiran kita hanya
menambahkan kekusutan. Orang tak boleh khusyuk bersolat. Silap-silap, kita kena
tanggung dosa mengganggu orang lain beribadah. Mak nak ke macam tu?”
Terdiam
Puan Hayati dengan kata-kata daripada bibir anak sulungnya itu. Seketika dia
menjadi kagum pula. Jelita Suria sudah menginjak dewasa sehingga mampu
menasihatinya. Tetapi hatinya tetap tidak berdukacita sebab kena marah dengan
Encik Johan di kala dia sudah bersiap-siap dengan telekung untuk melangkah ke
surau di kawasan perumahan itu. Kecik hati!
“Itu
mak faham… tapi abah tu…” Masih ada lagi tapi daripada bibir Puan Hayati. Dan
itu hanya membuatkan Jelita Suria mengeluh sendiri. Tidak tahu apa lagi hujah
yang harus diberi.
“Dah
faham pun ada tapi lagi… maknanya, ada yang tak fahamlah tu.”
Sejurus
mendengar bait kata itu, Puan Hayati menarik wajah berpaling ke arah Ahmad
Naufal. Tidak mahu menatap wajah suami yang telah mengguris hatinya sebentar
tadi walaupun secara terang dan bersuluh salah itu berada di pundaknya.
Kata-kata Jelita Suria sememangnya bagaikan bait yang dirakam sama seperti apa
diperkatakan oleh Encik Johan sebelum ini. Cuma dia yang berdegil. Cemburu
apabila melihat teman lain bersenang-lenang ke masjid. Dan dia pula tidak mampu
berbuat begitu.
“Tahu
tak… tak ada pun fatwa ataupun hukum yang diturunkan Allah mewajibkan kaum-kaum
ibu untuk turun sama beribadah di masjid. Kenapa macam tu? Sebab peranan
seorang ibu tu sebagai ketua rumah bila ayahnya keluar bekerja, beribadah,
berdakwah… dan kalau pun ada wanita yang hendak beribadah di masjid, tengok
pada keadaan juga. Mungkin disebabkan kawasan rumah terlalu tidak selesa untuk
menjalankan ibadah, maka bolehlah ke masjid jika begitu,” terang Encik Johan
sambil matanya tetap pada wajah Puan Hayati, kekasih hati yang semakin banyak kerenah
kini. Namun atas rasa kasih, wajar untuk dinasihati dengan penuh hikmah.
“Tapi
abang tak payah nak larang lepas Yati dah siap-siap nak pergi masjid. Bagi la last chance.” Puan Hayati nyata tidak
berpuas hati. Wajahnya sudah mulai mendongak sedikit. Jelingan lembut
dilepaskan. Dalam pada bibir ghairah memberontak, hatinya mengakui juga salah.
Encik
Johan mengeluh. Ahmad Naufal dan Jelita Suria masing-masing mengunci mulut.
Perlahan-lahan tangan Jelita Suria menarik pergelangan tangan Ahmad untuk beredar
dari situ. Sejak dari dulu lagi, tidak pernah abah dan emak meninggikan bicara
di hadapan anak-anak. Sebagai anak, harus juga ada kesedaran dalam diri untuk
memberi ruang agar ibu bapa dapat berbincang masalah mereka dengan sebaiknya.
Walaupun sekecil-kecil masalah, privasi itu sangat penting.
Sambil
memerhatikan langkah Jelita Suria dan Ahmad Naufal, Encik Johan kembali
menyambung bicara. “Last chance tu
abang dah dengar sebulan lepas. Kalau sampai sekarang masih tak nak dengar
cakap abang… tu bukan last chance, tu
ambil kesempatan! Ingat abang tak tahu Yati ni sengaja nak bersaing dengan
kawan-kawan lain, tengok siapa yang paling banyak pergi dengar kuliah maghrib…
itu bukan keinginan dengan ikhlas, itu dah niatnya untuk bersaing. Kalau Yati
pergi pun tak dapat apa… rugi aja.”
“Abang
mana tahu, niat Yati macam tu…” masih tidak mahu mengalah. Namun wajah Puan
Hayati sudah serba-salah.
“Kalau
niat betul kerana Allah, lepas balik dari kuliah… kongsikan dengan anak-anak
dekat rumah. Bukannya telefon Kak Milah la… Kak Asma la… Kak Anim la…
melaporkan pergerakan Puan Hayati yang pergi surau tiap-tiap hari tu. Itu dah
terpesong niatnya untuk beriak. Riak tu datangnya dari syaitan yang mewujudkan
rasa bangga dalam hati manusia walaupun kebajikan yang dikerjakan tu tak
seberapa.” Sindir Encik Johan dengan terang.
Wajah
Puan Hayati terus berubah riak. Terasa malu memuncak. Encik Johan begitu arif
menghidu aktiviti gosipnya. Dan nyata, ia hanya memesongkan niat asalnya
beribadah.
“Abang
lagi suka Yati luangkan masa dekat rumah, didik anak-anak… bertadarus secara
berjemaah, buat perkongsian sikit dengan Jelita dan Naufal. Itulah peranan
seorang ibu selayaknya. Dan itulah tugas yang lebih utama dan besar pahala
daripada Allah. Niatkan hati mendidik anak-anak untuk dapatkan redha Allah…
sebab hidup kita ni pun sememangnya hanya untuk beribadah kepada-Nya.”
Puan
Hayati berdiam diri. Sudah tiada rasa untuk bersuara. Sehinggalah tangannya
terasa dipaut erat. Dia mengenali kehangatan sentuhan itu sudah bertahun lamanya.
Dan sebuah senyuman manis menghiasi bibir suaminya.
“Menegur
hanya kerana rasa sayang yang Allah bagi dalam hati kita… kalau tak sayang,
abang biarkan aja isteri abang buat bukan-bukan. Biar dapat dosa. Tapi itu
bukan cara Islam. Itu bukan cara nabi kita… yang salah harus ditegur.” Ucap
Encik Johan lantas mengeratkan pegangannya. Spontan juga, Puan Hayati tunduk
mengucup tangan Encik Johan dan bibirnya juga ringan menutur maaf.
Di
sebalik dinding yang memisahkan ruang makan dan ruang tamu, ada bibir yang
sudah terkuntum senyum manis di situ. Jauh di sudut hati seorang remaja yang
meningkat usia, terbit satu keinginan di luar pemikiran biasa. Dia ingin
mendapat pasangan hidup seperti yang dimiliki oleh emaknya. Yang akan menegur
di kala diri ini melakukan kesilapan. Menegur di kala diri ini tidak begitu
sempurna. Menegur kerana sayang bak kata abah. Ah, jika disoal pada gadis mana
pun, pasti jawapannya adalah sama.. . abah adalah idola terbaik!
BERASAP sahaja telinga Perkasa Armana
melihat hidangan lazat di hadapan mata. Patutnya dia menelan setiap hidangan
yang sememangnya menjadi kegemarannya. Tetapi kali ini, ditahankan rasa itu
kerana marah lebih menguasai hati. Masuk hari ini sudah lebih enam kali rumah
bujang ini menerima kiriman makanan daripada makhluk cantik bernama Zalfa.
“Armana…
mai la makan sekali. Sedap ni…” Mirza Haidar sudah mula menyenduk nasi untuk
kali kedua.
Dan
untuk pelawaan itu, terasa makin menggelegak darah Perkasa Armana. “Makan la
dengan yang lain! Aku boleh buat makanan sendiri.”
Terhenti
suapan Mirza Haidar. Ayam masak kicap yang tadinya rasa superb gila terus terasa kelat. Wajah Perkasa Armana yang jelas
marah makin mengurangkan rasa sedap makanan di depan mata. Marah sungguh
nampaknya!
“Kenapa?
Makanlah sikit… banyak ni dia masak.”
“Bukan
aku yang suruh!” suara Perkasa Armana meninggi.
“Memanglah
bukan hang yang suruh… tapi dia yang degil nak bagi. Aku faham tu… tak payahlah
nak jerkah aku macam aku yang suruh dia masak untuk hang…” Mirza Haidar pula
cuba mengawal intonasi suaranya. Marah itu mempunyai kuasa manusia lupa
segalanya kerana datangnya marah daripada syaitan yang hanya ingin bisikkan
kejahatan kepada manusia.
Bersama
keluhan kasar, kerusi meja makan ditarik kuat. Perkasa Armana melabuhkan
punggung di situ. Wajah Mirza Haidar ditatap lama. Matanya cuba menzahirkan
segala rasa tidak suka buat tatapan Mirza Haidar. Tetapi apa gunanya? Jika
Mirza Haidar faham perasaannya, ia tidak dapat menghalang perbuatan Zalfa yang
kini begitu gigih menghantar bermacam-macam makanan ke rumah sewa mereka.
Sehinggakan dia menjadi gerun pula. Terfikirkan cakap-cakap bahawa melalui
makanan pun mampu disihir orang lain. Hisy! Sampai ke situ fikirnya.
“Aku
tak sukalah dia buat macam ni!” luah Perkasa Armana. “Apa dia ingat, bila dia
masak… aku akan balas dengan apa yang dia nak!” nadanya menjadi marah pula.
Sememangnya Perkasa Armana sangat marah di saat ini.
“Hang
ni… kut iya pun, kawal sikit penggunaan ayat double meaning macam tu. Apa yang dia nak? Tersilap tafsir boleh
bawa padah. Dia bukan nak benda yang luar biasa pun, dia nak hang aja… apa yang
susah sangat, terimalah. Dah lawa, pandai masak, bakal arkitek… apa lagi yang
hang nak, Armana?” Sedikit mengusik, Mirza Haidar cuba bergurau untuk
menceriakan suasana.
“Ingat
senang-senang nak dapat aku…”
“Kenapa?
Susah sangat ke nak dapat hang?” soal Mirza Haidar kembali. Keningnya
terangkat. Tangannya pula mulai menyambung suapan. Sedap juga hasil tangan
gadis yang bernama Zalfa itu. Baru beberapa hari lepas mereka bersua muka
ketika gadis itu dengan beraninya mengetuk pintu rumah bujang mereka. Tidak
mungkin Mirza Haidar lupa betapa bengisnya wajah Perkasa Armana menyambut
kehadiran si gadis berdarah kacuk itu.
Dibiarkan
sahaja Zalfa terkapa-kapa di depan muka pintu. Akhirnya dia juga terpaksa
menghulurkan bicara mesra. Menyambut huluran mangkuk tingkat yang sarat dengan
isi lazat yang amat. Perkasa Armana sememangnya sengaja menolak tuah. Kalau
ditanya dirinya, Mirza Haidar tidak melihat sebarang cacat cela di sisi Zalfa.
Takkan sebab hantar makanan hari-hari hendak ditolak keinginan hati?
“Susah
sangat ke nak dapat hang, Perkasa Armana?” Mirza Haidar kembali menyoal.
Perkasa
Armana tersentak. Mindanya sekejap tadi seolah berlayar jauh dari situ. Tidak
tahu kenapa, dengan adanya Zalfa di sini, mindanya kerap memikirkan orang lain.
Ah, itu salah! Dia tidak mahu memikirkan orang itu melainkan dia hanya mahu
menjadi seperti orang itu. Seseorang yang menjaga segala perkara miliknya
istimewa buat insan yang berhak. Perkasa Armana juga mahu begitu. Dia mahu
menjadi yang expensive and very exclusive
seperti dituturkan oleh Mirza Haidar.
“Aku
pun mahal macam Jelita Suria.” Spontan ayat itu meniti minda. Namun, mungkin
tidak hanya di minda. Ia tertutur buat pendengaran Mirza Haidar. Jelas wajah
lelaki itu berubah riak. Perkasa Armana tersalah cakapkah?
Best... #^_^
ReplyDeleteloved it! Like juta-juta lemon. hehee...
ReplyDelete"Aku pun mahal macam Jelita Suria." Serius! Best sangat. <3 <3 <3
ps : lama tak jengah blog kak umi. :)
ayyo....perkasa hang ada slh ckp kah?? hihi
ReplyDeletewah..wah..abg perkasa limited edition..<3
ReplyDelete~uly ct~
sweetnye mak ngn ayah jelita suria... saling menegur bila salah sorang yg salah...
ReplyDelete