Skip to main content

Ini Kisah Jelita & Perkasa [13]



BAB 13

BAGAIKAN pesalah, dirinya terpaksa tertunduk menekur lantai rumah. Dalam kiraan kurang daripada beberapa minggu menduduki peperiksaan yang dikatakan paling penting dalam hidup seorang pelajar sekolah, dia tidak sangka akan menerima satu kejutan yang luar biasa. Agak luar biasa, sebab dalam sejarah keluarga mereka, belum ada yang pernah berkahwin sebaik sahaja tamat tingkatan lima. Dan kalau itu yang terjadi buat dirinya, memang akan memecahkan tradisilah!
            “Apa penjelasan yang abah boleh dapat untuk benda ni?” Serius nada Encik Johan. Nada yang membuatkan Jelita Suria rela untuk tidak mengangkat muka daripada ditoreh tanpa bilah dengan pandangan tajam abahnya.
            “Sampai nak kahwin… tak menyempat nak habis belajar?” soal Encik Johan, masih dengan nada tingginya. Di saat ini, ingin benar dia mengetahui apa yang tersirat di balik hati anak gadisnya ini? Sudah galak benar hendak berkahwin ke?
            “Bukan Jelita abah… Abang Mirza yang cakap macam tu dengan mama dan papa dia.” Takut-takut jawapan diberi. Jelita Suria yang mendengar cerita itu daripada bibir Marlisa pagi tadi menjadi kecut sendiri. Spontan juga mindanya terjawab dengan persoalan kenapa abah tidak bertegur sapa dengannya pada pagi ini.
            “Atas sebab apa dia cakap macam tu? Takkan Jelita tak tau?”
            Jelita Suria menggeleng kepalanya laju. Dia tidak ingin menipu dan benar, dia tidak tahu. Dan dia bukanlah anak gadis yang dengan mudahnya hendak bertindak atau berperangai yang bukan-bukan. Abah dan emaknya sudah memberikan didikan yang sehabis baik untuk dirinya dan Ahmad Naufal.
            “Abang… tak payahlah nak marah Jelita. Bukan dia yang minta. Kita pun tahu kan…” celah Puan Hayati yang sudah mengambil tempat di sisi Encik Johan. “Lagipun, Mirza tu… bukan sekali dia minta. Sebelum ni pun, dia ada cakap kan… abang jangan ingat Yati lupa, apa jawapan yang abang bagi.” Sambungnya bicara Puan Hayati melahirkan rasa ingin tahu pada Jelita Suria.
            “Abah cakap apa mak?” tanpa sedar, soalan itu bertamu di bibir. Dan dengan renungan tajam Encik Johan, Jelita Suria mulai terasa menyesal.
            “Abang…” tegur Puan Hayati tidak senang. Suaminya ini, semalam seakan sudah berjanji untuk berlembut dengan Jelita Suria. Tetapi hari ini, lain pula kisahnya. Dimarah pula anak mereka atas usul dan lontaran idea yang langsung tidak berpunca daripada Jelita Suria.
            “Abah cakap… tengok pada cara dia minta. Kalau okey, abah bagi aja.” Yakin sahaja Puan Hayati memberi jawapan.
            “Tapi abang tak sangka pulak dia akan minta seawal ni. Kalau Jelita dah umur 20-an, abang bolehlah nak pertimbangkan… ni anak kita, baru nak habis sekolah.” Encik Johan nyata tidak bersetuju dengan permintaan Encik Helmi.
            “Budak-budak zaman sekarang ni, suka sangat minta yang pelik-pelik…” sambung Encik Johan lagi dengan keluhan berat. Wajah Jelita Suria yang masih berdiri di hadapannya dengan lagak pesalah dipandang terus. Haruskah dia bergembira atau risau dengan perkara seperti ini? Seawal usia 13 tahun lagi, Jelita Suria sudah mula mendapat janji untuk dikahwini seorang lelaki. Tidak mustahil apabila usia anaknya menginjak lebih dewasa, pasti akan muncul lelaki yang lain pula. Bukan hendak mengangkat dengan melebihkan anak sendiri, namun bagi mata Encik Johan… anaknya ini mempunyai raut wajah yang mampu mempesona setiap mata. Dan adakah sebab itu sahaja Jelita Suria menjadi igauan jejaka di luar sana? Sedihnya jika begitu.
            Sebagai seorang abah, Encik Johan tidak mahu hanya kerana wajah itu, timbul keinginan untuk berkahwin dalam hati seorang lelaki seperti Mirza Haidar. Bukan kerana wajah Jelita Suria menjadi dambaan. Apa yang lebih dia mahukan, setiap yang datang kepada Jelita Suria hanya kerana akhlaknya. Peribadi yang lebih mempesona. Kerana kecantikan itu bakal sirna saat usia mula memamah jasad. Apa yang akan kekal dan setia bersama adalah akhlak dan peribadi manusia. Hanya itu.
            “Jelita…” Encik Johan menggamit pandangan Jelita Suria. “Susah untuk abah cakap benda ni. Abah bukan tak setuju, tapi bukan sekarang…” ucap Encik Johan dengan berat. Dia tidak mahu terlalu mengonkong. Dalam masa yang sama, dia tidak mahu melepaskan anaknya begitu sahaja.
            “Jelita dengar cakap abah.” Balas Jelita Suria. Senyuman yang menghiasi bibirnya jelas menunjukkan riak tenangnya. Dia memang tidak kisah. Lagipun tidak muncul pula di benaknya untuk menamatkan zaman bujang seawal ini. Mirza Haidar itu bermimpi apa sahaja sehingga sanggup mengutarakan permintaan ini.
            “Lepas habis periksa nanti…” Encik Johan berjeda. Wajah Puan Hayati dikerling sekilas. Isterinya mengangguk untuk dia meneruskan bicara. Namun ini terlalu berat untuk Encik Johan. Melepaskan puterinya untuk jauh daripada mereka, ini bukan satu keputusan yang mudah. “Abah dengan mak nak hantar Jelita tinggal dengan Pak Teh.”
            Hanya dengan ayat itu, terbuntang biji mata Jelita Suria. Pak Teh???
            “Kenapa abah?”
            “Jelita tinggal sana ya? Semua untuk kebaikan Jelita jugak.”
            “Kebaikan apa? Kenapa abah dengan mak nak buat Jelita macam ni?” tanpa sedar, Jelita Suria mula hendak melawan bicara. Kecewa pula hatinya dengan keputusan yang dituturkan oleh abah. Kenapa abah seolah tidak mempercayai dirinya? Kenapa sehingga perlu dihantar kepada Pak Teh? Jika jarak itu hanya beza bagaikan Pulau Pinang dan Seberang Perai, pastinya Jelita Suria tidak kisah. Tetapi ini bercerita tentang Pak Teh dan keluarga yang berada di… nun di tanah Arab.
            “Jelita, pergi sana ya. Tolong Pak Teh dengan Mak Teh.” Suara pujukan Puan Hayati pula kedengaran.
            Jelita Suria terasa lemah seluruh tubuhnya. Perlukah hanya kerana satu pinangan, dirinya diterbangkan sejauh itu daripada keluarga? Dia tidak pernah sekali pun berpisah dengan abah dan mak. Bagaimana mungkin dia hendak menerima usul ini?

“AKU pun tak tahu, apa yang dia fikir masa minta mama dengan papa suruh meminang hang. Aku minta maaflah bagi pihak abang aku. Tak sangka pulak abah hang nanti mengamuk sampai macam ni.” Marlisa menuturkan kata sambil mengeratkan pegangan pada lengan Jelita Suria. Dia sekali ikut rasa bersalah hanya kerana permintaan Mirza Haidar itu.
            “Jelita, ada orang meminang awak?”
            Tersentak Marlisa dan Jelita Suria serentak. Wajah Jelita Suria segera menjadi pucat. Suara itu, dia sangat kenal. Dan kenapa harus ada mahkluk itu terpilih untuk mendengar kisah ini? Sudahlah hari ini, hari terakhir mereka akan bertemu. Hari terakhir di Pusat Tuisyen ini.
            “Jelita, cakap dengan saya… siapa?” Putra Azad sudah mengambil tempat berhadapan dengan Jelita Suria. Hampir terhenti degupan jantungnya apabila telinganya dengan tidak sengaja mendengar bicara Marlisa dan idaman hatinya itu.
            Jelita Suria hanya bertindak menyepi. Malas dia hendak sesakkan kepala dengan soalan yang kurang penting seperti ini. Soalan yang bakal mencorakkan jalan hidupnya jauh daripada apa yang direncanakan sebelum ini. Menjadi impiannya untuk menghabiskan masa cuti SPM nanti bersama emak dan abah. Hendak pergi bercuti ke sana, sini. Namun segalanya seakan punah dengan arahan abah! Sedih benar Jelita Suria mengenangkan hal itu.
            “Jelita, pandang saya. Cakap dengan saya. Jangan buat saya macam tak wujud depan awak. Saya sayangkan awak. Awak tahu kan?” Ucap Putra Azad dengan menahan rasa geram. Sikap Jelita Suria yang sentiasa tidak acuh melayan dirinya hanya menimbulkan rasa sakit hati sejak kebelakangan ini. Apa masalahnya jika mereka berkawan? Putra Azad  tidak dapat melihat sebarang masalah daripada perkara itu yang akan menimpa diri mereka.
            “Azad, boleh tak jangan nak senang-senang cakap yang hang sayangkan seseorang? Sekalipun hang sayangkan aku, simpan aja benda tu untuk diri hang. Tak perlu nak bagi tau sebab aku tak nak tau!” Dingin balasan Jelita Suria. Sedingin hatinya di kala ini.
            Tersentak Putra Azad. Marlisa di sisi Jelita Suria dipandang sekilas. Gadis itu sekadar menjungkit kening. Putra Azad segera mengetap bibir. Geram dan malu! Sampai hati Jelita Suria menidakkan rasa sayang yang bertamu di hatinya. Apa yang berada di fikiran Jelita Suria sehingga menolak perasaan kasihnya itu?
            Give me a reason!” Keras nada Putra Azad.
            Jelita Suria yang biasanya bertenang melepaskan dengusan kasar. “I don’t have to. Why do I?” sinisnya. Geram hatinya dengan sikap Putra Azad yang juga termasuk dalam kategori makhluk tidak memahami bahasa mudahnya. Susah sangat hendak memahami hasrat hatinya yang menjaga amanat sebagai seorang anak? Susah sangat ke untuk faham bahawa dia tidak mungkin akan menjerumuskan diri dengan pergaulan bebas yang menjadi larangan mutlak bagi abahnya? Susah sangat ke???
            You have to Jelita!” tekan Putra Azad. Wajahnya yang cerah menjadi merah gara-gara menahan amarah. Seayu manapun wajah Jelita Suria di kala ini, nyata ia tidak mampu menjadi mangkin untuk mengurangkan rasa marahnya.
            “Kalau hang berani sangat… pergilah cakap dengan abah aku. Pak cik, saya sayangkan Jelita. Saya nak kahwin dengan dia bila dah sampai masa. Pergilah cakap macam tu!” dengan wajah yang berang, Jelita Suria menuturkan kata. Sungguh ini bukan dirinya. Dan atas dasar apa mulutnya dengan celupar mencabar Putra Azad? Jelita Suria makin tidak mengerti. Emosi yang kacau ini hanya mendorong bibirnya mengucapkan perkara yang tidak dipinta.
            Di saat senyuman Putra Azad menyapa mata, Jelita Suria tahu. Itu adalah petanda bahawa dia akan diterbangkan ke Mesir sebaik sahaja tamat SPM. Dia sangat pasti akan keadaan itu kerana dengan pengakuan jujur yang bakal dibuat oleh Putra Azad pada abah, pastinya abah akan sangat marah.

MARAH. Itu yang dirasakan. Bagaimana mungkin dia tidak marah apabila tindakan yang diambilnya memberi kesan kepada orang lain pula. Sudah lebih sebulan kisah itu berlaku, namun dia masih tidak dapat melupuskan perkara itu daripada mindanya. Makin dikenang, makin hilang arah jadinya.
            “Apa yang aku dah buat?” soalnya sendiri.
            Tidak dapat hendak dilupakan, seraut wajah Jelita Suria yang berubah sayu. Aduh, dia yang terlalu terburu-buru. Tidak dijangka langsung yang dia bakal berdepan dengan seorang abah yang begitu garang lagaknya.
            “Azad…” panggilan yang penuh kelembutan itu mematikan tingkah dan pemikiran Putra Azad yang tidak berhenti mengenangkan Jelita Suria. “Nak ambil abang ni di airport. Jom…” ujar Puan Zaidah sambil menapak ke dalam bilik anak bongsunya. Wajah anaknya yang terlukis riak keruh itu menimbulkan tanda tanya.
            “Kenapa? Azad ada masalah ke? Cuba cerita dengan mak… mak perasan, Azad sejak habis exam asyik termenung aja. Masalah berat sangat ke?” Rambut Putra Azad yang tersisir rapi itu diusap lembut. Anak manjanya yang seorang ini, entah apa saja masalahnya.
            “Abang balik ke mak? Hari tu beria cakap nak pi bercuti…” sengaja Putra Azad mengalihkan bicaranya. Dan nyata dia berjaya apabila emaknya tersenyum memikirkan Perkasa Armana.
           “Mak pujuk dia suruh baliklah. Nak bercuti tak sudah… tak tahu yang mak dengan abah dan rindu dekat sini. Jomlah, tadi janji nak teman mak… abah kerja ni.” Tangan Puan Zaidah menarik lengan Putra Azad untuk bangun bersamanya.
            Fikir kerana emak, Putra Azad bangkit juga. Biarlah pemikiran tentang Jelita Suria terkubur begitu sahaja. Lagipun, entah ada atau tidak pertemuan antara mereka. Lagi bagus tidak! Buat apa dia hendak bertemu dengan Jelita Suria jika pertemuan itu bakal menghadiahkan kesakitan buat gadis kesayangannya. Tidak mungkin dia lupa sehingga saat ini, pandangan Jelita Suria yang menghantar mesej, “Puas hati hang Azad!”
            “Azad… berangan apa lagi? Jom… abang duk tunggu dah.”
            Dengan senyuman kelat, Putra Azad mengekor sahaja langkah emaknya. Sedaya upaya cuba dibuang raut wajah terakhir Jelita Suria yang setia menemani kotak mindanya. Andai waktu itu boleh diputar, pasti dia tidak bersuara dengan lantang. Pasti dia akan lebih berhemah. Pasti! Tetapi… terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata… Jelita Suria yang menerima padah.
            Sekali lagi dia hanya mampu mengeluh memikirkan dirinya yang bersikap pentingkan hati dan perasaan sendiri.

Comments

  1. Oh suke2...hantar Jelita jauh2...bagi orang lain tertonggeng..the plot thickens..good job

    ReplyDelete
  2. :) seksa semua orang dulu. baru bahagia menjengah :)

    dan kepada yang bertanya, sama tak cerita ni dengan cerpen? and the answer will be no. the whole things, adalah benda lain. insyaAllah.

    ReplyDelete
  3. azad ckp apa eh dgn abah jelita ?

    ReplyDelete
  4. semakin best citer ni..olahan yg bagus cik ummi..caiyoookkk...

    ReplyDelete
  5. Napalh azad tu xfhm2...cita yg semakin mnarik..oh jelita perkasa..hehe

    ReplyDelete
  6. jelita edisi terhad largh...sbb tu bnyak sgt yg minat..<3

    ReplyDelete
  7. kesiannye jelita... sebab azad n mirza xpasal2 dia tercampak jauh ke mesir... lps ni mst dia da besar en...

    ReplyDelete
  8. agak2 jelita bertembung x ngan perkasa kat airport? kesian jelita bila terlalu ramai yg suka. -pn mal-

    ReplyDelete
  9. som....sambung la cerita ni terbengkalai lama ja tengok....xdak idea boleh dapatkan consultation anis-ct zurina

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Cerpen: Lain di Mulut, Lain di Hati

JAMBANGAN bunga ros yang berada di atas mejanya itu dicapai. Tanpa melihat nama pengirim pun dia sudah boleh meneka, siapa pengirimnya. Terus dengusan tidak senang dilepaskan. Tanpa menunggu sesaat, jambangan bunga itu sudah terhumban ke dalam tong sampah di sudut bilik.             Huh! Apa dia fikir aku ni perempuan, nak cair kalau disogokkan dengan bunga. Kalau aku cakap benci, memang akan benci selamanya! rungutnya.             Serentak itu, pintu biliknya diketuk. Terjengul wajah Selina, setiausahanya.             “Encik Irfan, Puan Eryna nak jumpa.”             Sekali lagi dia melepaskan dengusan kasar. Tidak cukup dengan bunga yang merimaskan, sekarang, tuan punya badan pula muncul di depan mata. Ah, benci!             “Suruh dia balik! Saya tak nak jumpa dia.” Kuat dan lantang sekali suara Irfan sehingga begitu jelas buat pendengaran Eryna yang sedang duduk menunggu di luar bilik. Eryna tersentak. Riak wajahnya terus beruba

Cerpen: Dia yang aku cinta

Berdebar-debar rasanya saat menanti di ruang legar ini. Menanti kehadiran insan yang disayangi. Menanti saat yang ditunggu-tunggu selama ini. Disunting menjadi suri dalam hidup lelaki yang dicintai. Ah! Indah sungguh rasa…             “Tahulah nak tunggu insan tercinta. Kut iya pun… tak perlulah tayang riak wajah teruja, yang terlebih perisa pulak!” teguran berunsur perlian itu hanya membuatkan dia menjeling manja.             “Biarlah!” balasnya dengan menyampah.             Tiada siapa pun tahu apa yang dirasainya selama dua tahun ini. Hidup berjauhan dengan insan yang memenuhi ruang hatinya. Sungguh menyeksakan jiwa dan raga sahaja!             “Akak…” panggilan itu membuatkan dia melepaskan dengusan manja.             “Apa?!” soalnya geram. Geram saat khayalan indahnya dicantas dengan kejam. Sedangkan, hanya itu yang mampu dilakukan di saat ini.             “Tu…” mulut si adik sudah memuncung ke satu sudut.             Matanya turut berlari mencari. Seketika dia

Cerpen: Hati ini [End]

BUNYI suara yang bertingkah dari ruang tamu mengkakukan langkah Ana di anak tangga terakhir. Dia yang turun ke bawah dengan niat untuk membasahkan tekak terkaku seketika. Tidak mahu menonjolkan diri di hadapan tetamu mama dan papa, tanpa berfikir panjang dia sudah memalingkan badan hendak bergerak ke atas semula. Namun sekali lagi, dirinya terus kaku di situ. Suara yang melaungkan namanya membuatkan badannya menjadi gementar secara tiba-tiba.             “Ana…” namanya dipanggil sekali lagi. Dia kenal suara itu. Terlalu kenal. Tetapi dia tidak mahu memalingkan wajahnya. Atas sebab apa, dia tidak pasti. Ikutkan sahaja kata hati.             Sentuhan di bahu membuatkan Ana tersentak. Pantas dia berpaling dengan wajah yang sudah berubah riak. Dia tidak suka dengan sentuhan itu. Sentuhan yang tidak menghormati dirinya sebagai seorang wanita muslim. Seketika mata mereka bertemu. Ana terkedu. Seakan tersedar dari mimpi… senyuman yang menghiasi