Skip to main content

Ini Kisah Jelita & Perkasa [12]



BAB 12

CEBISAN kertas berwarna merah jambu itu ditarik dan dimasukkan ke dalam kotak penselnya. Hendak mengakui, malu menguasai. Dia terasa bersalah. Sememangnya sejak detik itu lagi dia terasa bersalah, tetapi untuk mengalah terasa amat berat baginya. Namun, makin hari dibawa masa… terasa jauh insan itu dari sisinya.
            Menegur hanya kerana rasa kasih yang diberikan oleh Allah dalam diri ini…
            Bait ayat yang terlakar indah itu makin menyentakkan hati. Aduh! Sungguh dia yang bersalah. Mana mungkin Jelita Suria berdiam diri seandainya dirinya tersasar jauh daripada visi dan misi sebenar hidup ini? Terasa bersalah pula dengan ayat over yang dituturkan kepada Jelita Suria saat gadis itu bertindak menegurnya. Ah, Marlisa… hang memang melampau! Kutuknya dalam hati.
            Sejak dari hari itu, Jelita Suria sudah tidak makan bersamanya. Mungkin itulah ruang yang dia peroleh untuk berfikir dengan waras. Dan sungguh tidak waraslah dia jika terus menolak sahabat sebaik itu hanya kerana memilih apa yang dibisikkan oleh nafsu. Teringat akan kata-kata Ustaz Basir, guru Pendidikan Islam mereka, bahawa nafsu itu harus dikawal kerana jika tidak dikawal ia yang akan mengawal mengikut keinginan hati dan bukan suruhan yang telah ditetapkan Allah. Saat itu menunjukkan betapa lemahnya iman dalam diri.
            Sememangnya sifat manusia itu mudah lupa dan alpa kerana itu mereka harus sentiasa diingatkan. Ingatkan diri agar berfikir sebaiknya dengan setiap langkah yang diatur. Adakah ia sesuatu yang mendekatkan hati kepada Allah atau sebaliknya. Sama juga dengan sahabat yang dipilih menjadi pendamping dirinya. Adakah orang itu membantu meningkatkan rasa taqwa kepada Allah atau sebaliknya?
            Sayu mata Marlisa jatuh ke wajah Jelita Suria yang melangkah masuk ke dalam kelas di saat itu. Tertunduk sahaja gadis itu tidak bersatu pandangan dengannya. Terasa begitu bersalah. Marlisa mengetap bibirnya kuat. Sememangnya dia tidak teragak-agak untuk meminta maaf tetapi… maaf itu seakan tidak cukup. Namun, andai tidak ditutur… tidak akan ke mana juga.
            “Jelita…” perlahan sahaja ucap Marlisa. Respon daripada lebih pantas daripada yang disangka. Dan terlebih dahulu gadis itu yang meminta maaf daripadanya. Makin terasa malu menyelaputi diri.
            “Apa pulak hang minta maaf ni… aku yang salah!” ulang Marlisa apabila Jelita Suria mulai mengulang kata maaf berkali-kali pula.
            No… bukan hang aja yang salah. Aku pun… mungkin cara aku tegur tu tak berhikmah. Tak kena gaya, tak menjadi jugak…” ucap Jelita Suria.
            “Dah… tak payah nak jaga hati aku sangat. Aku yang salah… buta hati sat. Jangan serik nak tegur aku lagi okey, walaupun hampir tiga minggu aku macam nak gila tak bercakap dengan hang.” Marlisa sudah menjulingkan biji matanya. Tidak dapat hendak menerima hakikat bahawa sudah hampir tiga minggu dia berpuasa suara dengan Jelita Suria.
            Jelita Suria ketawa kecil. Jauh di sudut hati, dia sangat bersyukur. Walaupun kadar masa yang agak lama diambil oleh Marlisa untuk sedar akan perkara salah itu, namun kesedaran itu adalah lebih berharga. Andai sahaja mereka terus membisu dan tidak bertegur sapa, pasti sadis kisahnya. Tidak tega Jelita Suria memikirkan persahabatan yang terbina akan terputus begitu sahaja.
            “Hang pun Jelita… awat yang biar aja aku tak bercakap dengan hang? Tak rindu aku ke? Dah la pergi makan sorang-sorang… pergi perpustakaan sorang-sorang. Sengaja kan?” Marlisa sudah mulai dengan bebelan ala kebayan di saat itu. Bebelan yang terus berkumandang. Bebelan yang kekal menguntumkan senyuman indah di wajah Jelita Suria.
            “Aku sayang hang, Marlisa.” Ucap Jelita Suria spontan.
            Of course la hang kena sayang aku… aku kan bakal ipaq hang!” sahut Marlisa teruja.
            “Ipaq???” Kening Jelita Suria bertaut. Saat itu Marlisa mengetap bibir semula.  Baru hendak minta maaf, mulut ini sudah hendak buat hal pula. Lebih baik dia diam sahaja rasanya.

SEPI. Itulah  yang dirasakan oleh Perkasa Armana. Semenjak bibirnya tercetus dengan sebaris nama penuh kuasa bombastik sehingga menyebabkan Mirza Haidar sepi tanpa bicara dengannya. Jelita Suria! Power sungguh sampai membuatkan Mirza Haidar termerajuk berminggu-minggu.
Perkasa Armana mencebik dengan rasa menyampah. Jelita Suria itu bukannya isteri Mirza Haidar, kenapa harus ada cemburu di hati itu sehingga ke tahap ini? Dan bukannya Perkasa Armana mengeluarkan statement untuk berkahwin dengan Jelita Suria sampai perlu Mirza Haidar mengunci mulut sehingga ke hari ini.
Tidak mahu terus memikirkan tentang perkara itu, panjang sahaja lengannya mencapai buku Physiology yang tersusun bersama deretan buku perubatan lain. Helaian terus dibuka pada muka surat bertanda sejak pembacaan terakhir dilakukan. Hanya beberapa minit dia mampu bertahan, buku itu ditutup semula.
“Susah macam ni…” ucapnya sendiri.
“Macam mana nak fokus…” tuturnya lagi.
“Kalau asyik terfikir…” sebaris nama terus menyapa minda.
Terus Perkasa Armana menelan liurnya. Kepalanya digeleng laju. Bukan itu yang dia mahu. Dan dia tidak mahu! Dia sangat yakin akan perkara itu. Namun mengapa sejak kebelakangan ini dia asyik terganggu? Bukan tidak dicuba menepis gangguan itu, tetapi ia asyik berulang-ulang berlaku. Terus menyapa dan bertenggek di minda terunanya.
Imej seorang gadis berusia 13 tahun itu masih segar terukir di minda. Hairan pula jadinya. Perkasa Armana tidak yakin yang dia mampu mengingati wajah itu dengan jelas sehingga ke tahap ini. Tapi, apa perlunya dia memikirkan tentang Jelita Suria itu? Masalah sungguh bila otak asyik menerawang tanpa arah tuju. Syaitan memang sentiasa menunggu timing terbaik untuk memesongkan hati sucinya ini dan untuk itu, Perkasa Armana tidak harus tertewas.
“Aku boleh!!!” ucapnya kuat. Bibirnya tersenyum puas.
“Boleh apa?”
“Lupakan Jelita!” Jawabnya segera. Namun seketika sahaja liurnya terasa menjadi kering. Sesak menyerbu dada. Apakah itu petanda? Matanya segera beralih ke sisi. Wajah tergamam Mirza Haidar sekali lagi menghenyakkan perasaannya. Aduh, dia tidak sengaja. Sungguh demi Allah, kalau dia tahu soalan itu daripada Mirza Haidar pasti akan ditapis jawapan sehabis baik. Walaupun, hakikatnya… dia dan Jelita Suria tidak ada perkaitan apa-apa.
Ekor mata Perkasa Armana memerhatikan sahaja langkah Mirza Haidar yang jelas keletihan ke arah katil bujangnya. Tanpa bicara, Mirza Haidar melabuhkan tubuh di atas katil bercadar warna hijau lumut itu. Perkasa Armana menelan liur berkali-kali memerhatikan lagak penuh layu Mirza Haidar. Dia tidak berminat untuk mencetuskan perang dingin dengan teman serumahnya ini hanya kerana insan bernama Jelita Suria yang dia sendiri tidak begitu kenal bagaimana orangnya.
Tak kenal, tapi asyik teringat-ingat! Memang sengaja menempah nahas. Perkasa Armana ligat mengutuk dirinya sendiri.
“Aku banyak sangat kot duk cerita dengan hang pasal Jelita, sampai ingatan hang pun terganggu dengan dia.” Dengan mata yang terpejam, Mirza Haidar mengeluarkan kata. Letih mindanya dengan tugasan sebagai pelajar tahun akhir perubatan. Letih juga mindanya apabila teringatkan bibir si pemuda kacak yang menyebut nama idaman hatinya. Mengapa? Puas difikirkan mengapa? Usah dikata dengan cemburu yang mulai menyapa. Tetapi untuk dilampiaskan dengan kata-kata, itu tidak rasional namanya. Jelita Suria itu siapa? Bukannya milik mutlak dirinya. Dan perkara itu hanya menimbulkan kegerunan di jiwa. Jelita Suria itu bukan sesiapa buat Mirza Haidar!
“Apa yang aku ucapkan tu, secara spontan. Tak pernah terlintas pun nak sebut nama girl yang hang sayang sangat. Dan apa yang jadi tadi pun…”
“Secara spontan.” Pintas Mirza Haidar dengan ucapan tidak bernada. Makin tidak tertelan liur Perkasa Armana. Terasa bahawa dirinya kini sedang menempah bahana. Bahana yang tidak mendatangkan faedah untuk ijazah perubatan yang perlu diselesaikan dala masa dua tahun pengajian berbaki.
“Apa yang hang cakap hari tu… buat aku sedar…” masih lagi dalam keadaan mata yang terkatup. Mirza Haidar meneruskan bicara, “Layakkah aku dengan dia? Dia macam mana? Aku pulak macam mana? Langsung tak ada hasrat untuk menjaga diri supaya mahal dan berharga…” kesal nada Mirza Haidar. Sedangkan dalam hidup ini, sudah jelas bagi manusia… jodoh itu telah ditetapkan Allah saat roh ditiupkan di kala seorang insan berada dalam rahim ibunya. Dan jika tidak tertulis nama Jelita Suria untuk menjadi pendampingnya? Ah, kesal! Kesal kerana kegagalan dia menjaga hati yang dianugerahkan oleh Allah ini.
Tapi, dia hanya manusia biasa. Yang tidak akan lari daripada melakukan kesilapan. Dan kesilapan ini membuatkan dia sedar, dia harus berubah. Sama seperti apa yang dilakukan ketika tahun ketiga pengajian di bumi asing ini. Apabila ditanyakan oleh Brother Jamal teman seusrahnya, sekecil-kecil perkara yang menjadi asas dalam kehidupan. Niat! Apakah niatnya mengaji dalam bidang perubatan? Menjadi doktor yang sekadar merawat pesakit atau menjadi doktor muslim yang mampu merawat dan berdakwah dalam satu masa? Apakah yang lebih utama?
Tentunya tugas sebagai khalifah Allah. Kerana tidak diciptakan jin dan manusia itu kecuali untuk beribadah kepada Allah. Lantas dibetulkan niatnya. Diluruskan matlamatnya. Moga segala langkah yang diambil untuk mengapai segulung ijazah perubatan itu diiringi dengan berkat dan rahmat daripada-Nya.
Dan itu yang harus dilakukan oleh Mirza Haidar kini. Atas niat apakah dia terlalu menyayangi Jelita Suria? Terus matanya terbuka. Terpanah tepat pada wajah Perkasa Armana yang merenungnya tanpa suara. Dengan penuh perasaan bersalah seolah-olah telah merampas kekasih hatinya. Oh, Perkasa Armana… bukan salah hang! Sahut hati Mirza Haidar. Dia yang bersalah kerana asyik benar menjaja kisah Jelita Suria pada sekelian makhluk yang dikenalinya. Atas dasar apa dia berbuat begitu? Argh… sekali lagi, Mirza Haidar hanya mampu meraup wajah dengan rasa pedih.
“Aku rasa, aku kena betulkan semua ni…” ucap Mirza Haidar.
Perkasa Armana menjadi bingung. Betulkan apa? “Ada apa-apa yang tak kena ke untuk dibetulkan?” lambat-lambat Perkasa Armana menyoal.
“Betulkan hati aku… supaya tak terlalu ghairah mengejar Jelita Suria. Biar aku pun bentuk diri aku supaya jadi mahal dan terpelihara. Siapa pun jodoh aku, aku kena redha. Tapi, pastinya… aku akan berusaha untuk…” Terhenti ayat Mirza Haidar. Untuk? Mindanya sendiri tertanya.
“Untuk?” Perkasa Armana pula jadi tidak sabar. Mendengarkan kata-kata Mirza Haidar, seakan lelaki itu sanggup melepaskan bayangan Jelita Suria begitu sahaja.
Maybe I should marry her, sooner. Hang rasa?” aju Mirza Haidar. Entah macam mana boleh muncul idea untuk berkahwin dengan Jelita Suria di saat ini. Sedangkan baru sekejap tadi bibirnya menuturkan hasrat untuk membetulkan niat di hati. Atau, dia sekadar hendak menduga? Menduga reaksi teruna yang kelihatan terkejut di hadapannya? Ah, sungguh Mirza Haidar tidak memahami kehendaknya sendiri.
“Kalau hang dah bersedia… teruskan.”
Perkasa Armana kembali menatap bukunya dan meneruskan bacaan. Seolah-olah tiada apa yang berlaku. Namun tidak dapat dinafikan, mindanya makin tidak mahu berhenti berfikir. Bagaimana pula nasib Jelita Suria jika berkahwin awal dengan Mirza Haidar? Sudah tiada cita-cita yang hendak dikejar? Belum puas menikmati usia remaja, harus menoktahkan segalanya dengan menjadi isteri pula!
Stop it Perkasa Armana!’ jerit Perkasa Armana dalam hati. Dia benci dengan keadaan ini. Apa perlunya dia memikirkan tentang seseorang yang langsung tiada perkaitan dengan hidupnya? Tiada langsung keperluan itu. Dan keperluannya sekarang adalah… pulang dari Ireland dengan gelaran Doktor di pangkal namanya. Ya itu yang pasti!

GAGANG telefon yang sudah diletakkan sejak beberapa minit yang lalu dipandang sepi. Puan Mariah terasa ada sakit kepala yang menyerangnya tiba-tiba. Sebetulnya, sakit kepala dengan perkara yang diusulkan oleh Mirza Haidar. Aduhai, anak terunanya yang seorang itu… langsung tidak kenal erti sabar agaknya. Wajah Encik Helmi di sisi, dipandang pula. Cuba meraih pendapat agar hal ini dapat diselesaikan bersama.
            “Abang rasa macam mana?” soal Puan Mariah.
            “Seeloknya, kita biarkan aja dulu. Tak usah nak gopoh sangat… yang nak dipinang ni, belum pun habis belajaq!” tanpa terburu-buru, Encik Helmi cuba memberi jawapan yang logik. Mana mungkin hendak diturutkan permintaan anak mereka yang berada beribu batu jauhnya. Minta dipinangkan Jelita Suria dalam masa terdekat, memang tidaklah!
            “Itu kata abang… yang anak abang ni, dah tak menyabaq. Sebenarnya, Mariah tak kisah kalau dia nak kahwin sekarang. Tapi, Jelita tu sebaya Marlisa aja pun… muda lagi. Mariah tak sangka jugak anak abang tu, sungguh-sungguh menunggu bunga yang sorang ni.” Keluh Puan Mariah. Sejujurnya, mereka sekeluarga memang sukakan Jelita Suria. Tetapi untuk menzahirkan dengan perbuatan dalam jangka masa terdekat, mungkin tidak akan berlaku agaknya. Pasti abah dan emak Jelita Suria punya perancangan yang lebih baik untuk anak mereka.
            “Dia bagi tempoh seminggu…” sambung Puan Mariah lagi apabila teringatkan pesanan Mirza Haidar yang mahukan jawapan dalam masa seminggu.
            “Amboi, dia pulak bagi kita masa?” Encik Helmi terkejut. Namun, seketika sahaja dia sudah tertawa. “Bertuah si Jelita tu… muda-muda lagi dah ada yang nak. Tak payah tunggu habis SPM…” sambung Encik Helmi dengan tawa yang masih bersisa. Dan dia kembali berfikir akan permintaan anaknya. Sambil itu, tangannya diseluk masuk ke poket baju Melayu yang tersarung di tubuh ketika ini. Dikeluarkan telefon bimbit berjenama Nokia dari kocek.
            “Abang? Nak telefon sekarang ke?” Puan Mariah terkejut. Dia tidak bersedia lagi.
            “Benda ni, sekarang ke… esok ke… kena tanya jugak. Simpan lama-lama pun, tak mengubah apa-apa.” Tenang sahaja bicara Encik Helmi.
            Namun pemikiran Puan Mariah terus terarah kepada Jelita Suria. “Abang… nanti Jelita kena marah dengan abah dia pulak. Semua sebab anak kita… janganlah! Pandailah kita nasihatkan Mirza tu. Minta dia bersabar…” risau benar Puan Mariah di kala ini. Bukan dia tidak tahu, bagaimana Encik Johan yang tegas dalam hal Jelita Suria. Segalanya pernah dikhabarkan oleh Marlisa.
            “Belum cuba, belum tahu… biar kita cuba dulu. Kalau tak boleh, tak ada masalah. Kalau boleh, lagi senang cerita. Bukannya kita nak bagi kahwin sekarang…” Encik Helmi sudah melekapkan telefon ke cuping telinga. Sambil menantikan talian bersambung, matanya tidak lepas juga memandang isterinya yang tampak begitu risau. Dan kerisauan itu makin berganda tatkala bibirnya menyebut sebaris nama.
            “Johan… aku ni, Helmi. Ada hal sikitlah nak bincang… tentang anak-anak kita.”
            Erat terasa genggaman Puan Mariah pada jemari Encik Helmi. Saat itu terasa bagai menunggu keputusan paling berat dalam hidup. Sedangkan, hendak minta izin untuk kahwinkan anak saja pun. Eh… hendak kahwinkan anak pun antara perkara yang paling berat dalam hidup tau!

Comments

  1. Oh yeahhh Jelita Suria hanya untuk Perkasa Amana...I likeeeee

    ReplyDelete
  2. Mula2 rasa lega bila Mirza ckp dia nk betulkan hati dia.. lps tu terus rasa terkejut bila dia tetap nk kahwen ngn jelita... fuhhhh... rase berdebar2 nk tunggu apa kata ayah jelita...

    ReplyDelete
  3. Kalau ikut cerpen asal yang I read at Penulisan 2U..Jelita later on bertunang dgn Perkasa Armana..hehehe..sure ayah Jelita tak bagi punye...

    ReplyDelete
  4. janganlah marah Mirza... dia pun hero jugak ;)

    ReplyDelete
  5. Umi, terharu dgn kesedaran Mirza n Marlisa! Bila baca tuh, rasa bersyukur sgt2 atas kesedaran diaorg tuh.
    Tp part Perkasa Armana sebut nama Jelita secara spontan, mmg gelak giler lah, hahahaha..berdebar jgak nk tunggu jawapan abah Jelita nih..haih, Umi pls upload new entry cpt sket tau!!

    ReplyDelete
  6. Klu ikut cita asal.perkasa tu doktor ke?ke sya yg slh bca tuk bab ni

    ReplyDelete
  7. Sukaaaaaaaa kat mirza

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Cerpen: Lain di Mulut, Lain di Hati

JAMBANGAN bunga ros yang berada di atas mejanya itu dicapai. Tanpa melihat nama pengirim pun dia sudah boleh meneka, siapa pengirimnya. Terus dengusan tidak senang dilepaskan. Tanpa menunggu sesaat, jambangan bunga itu sudah terhumban ke dalam tong sampah di sudut bilik.             Huh! Apa dia fikir aku ni perempuan, nak cair kalau disogokkan dengan bunga. Kalau aku cakap benci, memang akan benci selamanya! rungutnya.             Serentak itu, pintu biliknya diketuk. Terjengul wajah Selina, setiausahanya.             “Encik Irfan, Puan Eryna nak jumpa.”             Sekali lagi dia melepaskan dengusan kasar. Tidak cukup dengan bunga yang merimaskan, sekarang, tuan punya badan pula muncul di depan mata. Ah, benci!             “Suruh dia balik! Saya tak nak jumpa dia.” Kuat dan lantang sekali suara Irfan sehingga begitu jelas buat pendengaran Eryna yang sedang duduk menunggu di luar bilik. Eryna tersentak. Riak wajahnya terus beruba

Cerpen: Dia yang aku cinta

Berdebar-debar rasanya saat menanti di ruang legar ini. Menanti kehadiran insan yang disayangi. Menanti saat yang ditunggu-tunggu selama ini. Disunting menjadi suri dalam hidup lelaki yang dicintai. Ah! Indah sungguh rasa…             “Tahulah nak tunggu insan tercinta. Kut iya pun… tak perlulah tayang riak wajah teruja, yang terlebih perisa pulak!” teguran berunsur perlian itu hanya membuatkan dia menjeling manja.             “Biarlah!” balasnya dengan menyampah.             Tiada siapa pun tahu apa yang dirasainya selama dua tahun ini. Hidup berjauhan dengan insan yang memenuhi ruang hatinya. Sungguh menyeksakan jiwa dan raga sahaja!             “Akak…” panggilan itu membuatkan dia melepaskan dengusan manja.             “Apa?!” soalnya geram. Geram saat khayalan indahnya dicantas dengan kejam. Sedangkan, hanya itu yang mampu dilakukan di saat ini.             “Tu…” mulut si adik sudah memuncung ke satu sudut.             Matanya turut berlari mencari. Seketika dia

Cerpen: Hati ini [End]

BUNYI suara yang bertingkah dari ruang tamu mengkakukan langkah Ana di anak tangga terakhir. Dia yang turun ke bawah dengan niat untuk membasahkan tekak terkaku seketika. Tidak mahu menonjolkan diri di hadapan tetamu mama dan papa, tanpa berfikir panjang dia sudah memalingkan badan hendak bergerak ke atas semula. Namun sekali lagi, dirinya terus kaku di situ. Suara yang melaungkan namanya membuatkan badannya menjadi gementar secara tiba-tiba.             “Ana…” namanya dipanggil sekali lagi. Dia kenal suara itu. Terlalu kenal. Tetapi dia tidak mahu memalingkan wajahnya. Atas sebab apa, dia tidak pasti. Ikutkan sahaja kata hati.             Sentuhan di bahu membuatkan Ana tersentak. Pantas dia berpaling dengan wajah yang sudah berubah riak. Dia tidak suka dengan sentuhan itu. Sentuhan yang tidak menghormati dirinya sebagai seorang wanita muslim. Seketika mata mereka bertemu. Ana terkedu. Seakan tersedar dari mimpi… senyuman yang menghiasi