BAB 14
BUAT
sekian kalinya Perkasa Armana mengerling jam di tangannya. Sudah hampir sejam
dia mendarat tetapi tiada juga petanda akan kemunculan kelibat Puan Zaidah dan
Putra Azad yang dikatakan sedang dalam perjalanan untuk mengambilnya. Kalau emak
tidak mahu ambil pun tiada masalah sebenarnya. Tetapi Puan Zaidah beria benar. Lantas,
haruslah dia menunggu walaupun dirinya sudah penat berada di Lapangan Terbang
Bayan Lepas itu.
Bagasi
berwarna hitam miliknya ditariknya. Tempat duduk yang tersusun sepanjang
kawasan menunggu itu dituju. Punggungnya dilabuhkan di situ. Sementara menanti
emak, tangannya sudah mula menyelak majalah fotografi yang dicapainya ketika di
KLIA tadi. Bosan sangat. Sekadar untuk menghilangkan rasa bosan dengan menatap
pemandangan indah yang terakam dengan lensa kamera DSLR itu.
Seakan
tidak sampai beberapa detik dia menghayati panorama indah di helaian muka
majalah itu. Terasa ada sesuatu yang jatuh mengenai kakinya. Alih sahaja
pandang, elok terpamer wajah seorang budak lelaki dengan sengihan lebar. Pasti
berlari dengan laju sangat sehingga tidak sempat untuk membrek kakinya. Perkasa
Armana tersenyum juga sambil menghulurkan tangannya. Membantu budak itu untuk
berdiri dengan sempurna.
“Thank you abang.”
“Your welcome. Jangan lari laju-laju…
jatuh lagi nanti.” Sempat lagi Perkasa Armana menitipkan pesanan pendek itu.
“Bukan
saya yang nak lari… tu, ada yang mengejar.”
Belum
sempat Perkasa Armana bertanya siapa, budak itu sudah berlari dahulu. Pandangan
Perkasa Armana spontan berpaling ke arah kirinya. Terlayar di ruang mata seraut
wajah yang langsung tidak dijangka akan muncul di sini. Pada detik ini. Dan
entah kenapa, degupan jantung menjadi lebih laju daripada biasa. Berdebar-debar!
Dah kenapa pula yang hang berdebar bagai, Perkasa Armana? Marahnya dalam hati.
Namun
hati itu seakan tidak mengerti dengan arahan tuannya. Ia terus berdegup laju
bersama panahan mata yang mengikuti langkah insan itu. Insan yang langsung
tidak menyedari kewujudannya di sini.
“Dia…”
bibirnya menyebut perlahan. “Jelita.”
Sebaris
nama yang terus melayangkan ingatan Perkasa Armana kepada Mirza Haidar. Betapa
keruhnya wajah itu apabila dimaklumkan mengenai pinangan yang tidak diterima
buat masa ini. Biarpun bibir Mirza Haidar cuba juga tersenyum di hadapannya,
namun Perkasa Armana tidaklah buta. Dia nampak sahaja segala perlakuan Mirza
Haidar yang kurang bermaya selama beberapa minggu itu. Kesudahannya, dia juga
yang bertindak sebagai cikgu motivasi. Memberi ingatan dan memahatkan dengan
kukuh agar Mirza Haidar tidak tersasar daripada landasan.
“Apa
susah… nanti dah habis housemanship, masuklah
meminang semula. Takkan abah dia nak tolak lagi… dah kerja kot masa tu.” Dan
adakah itu dapat dikira sebagai suatu peringatan terbaik daripada Perkasa
Armana? Entahlah… hanya itu yang dapat difikirkan apabila setiap hari dia
menghadap wajah tempe basi Mirza Haidar. Daripada kacak jadi terus meloyakan
tekak.
Dan
kini, hati Perkasa Armana menjadi gundah semula. Mistik benar keadaan hatinya
bila berdepan dengan gadis itu. Gadis yang tidak dikenali apa-apa pun melainkan
hanya sebaris nama yang indah itu.
Tidak
mahu terlalu mengenangkan rasa hati yang mulai melalaikan diri, Perkasa Armana
kembali duduk dan menghadap majalah tadi. Sesi bersantai yang tergendala itu, cuba
disambung kembali. Namun, mungkin rezeki tidak menyebelahinya.
“Abang…”
Teguran
itu memaksa Perkasa Armana mengangkat wajah. Sekali lagi, wajah si kecil yang
lengkap berpakaian jersi Malaysia itu menyapa mata. Senyuman kecil dihadiahkan
sambil tangan spontan menaik pada bahu budak itu.
“Sorry.”
Bertaut
kening Perkasa Armana. Mengapa perlu minta maaf? “Untuk apa?”
“Saya
langgar abang tadi… tapi tak cakap sorry.”
Polos bibir itu menjawab.
“Kenapa
baru sekarang nak cakap sorry?” soal
Perkasa Armana serius. Sengaja hendak mengusik. Wajah comel di hadapannya ini
membuatkan dia seronok sendiri. Jarang sekali dia hendak melayan kerenah budak
kecil. Apatah lagi, budak kecil yang terakhir dilayannya dengan penuh kesabaran
adalah si buntal, Putra Azad.
“Kakak
saya tu marah… bising dia nanti kalau saya tak cakap sorry kat abang. Dia siap ugut cakap tak nak naik kapal terbang…
tak bolehlah macam tu! Saya suka dia tak ada kat rumah… baru tak ada orang nak
marah-marah.”
“Kakak?”
“Kakak
saya… tu, baju ungu.” Tangan kecil itu mula menuding jari ke arah sekumpulan
kecil insan yang sedang diiringi oleh “lagu” perpisahan. Terkesan di mata
Perkasa Armana, Jelita Suria yang menitiskan air mata. Hendak ke mana sahaja
insan itu sehingga perlu menitiskan air mata?
“Dia
nak pergi mana?” soalnya laju. Tidak sabar dan terlalu ingin tahu.
“Abah
nak hantar dia pergi Mesir… nakal sangat Jelita tu!” penuh semangat Ahmad
Naufal melagukan ayatnya. “Saya pergi dulu ya, abang.”
Ahmad Naufal tidak
menunggu lama untuk beredar. Laju langkahnya mendekati Jelita Suria yang
lengkap berjubah ungu. Kakaknya itu sudah mendepakan tangan bersedia
menyambutnya dalam pelukan. Dan benarkah Ahmad Naufal tidak akan merindui
Jelita Suria?
“Jangan
nakal-nakal… jangan buli mak minta tu, minta ni… kalau mak complain dengan Jelita, siaplah Naufal!” Jelita Suria menarik kuat
hidung adiknya. Sehingga menyeringai Ahmad Naufal.
“Cepat-cepatlah
pi! Baru tak dak orang kacau aku…” balas Ahmad Naufal selamba.
Tanpa
mempedulikan rungutan itu, Jelita Suria mengucup pipi Ahmad Naufal. “Jaga mak
dengan abah… nanti kalau Jelita tak balik, baru Naufal nanti rindu.”
“Apa
pulak cakap pasal tak balik ni, Jelita?” celah Puan Hayati tidak senang. Sudah
seminggu Jelita Suria asyik mengulang bait kata yang sama. Andai dirinya tidak
pulang.
“Mak
dengan abah yang nak hantar Jelita pi sana kan… biarlah Jelita duduk situ
terus.” Masih merajuk Jelita Suria dengan keputusan itu. Masih tidak berkurang
rasa sedih yang menghuni atas tindakan abah seolah tidak percayakan dirinya
ini. Kecil sungguh hatinya apabila kesetiaan yang diberikan selama ini masih
diragui oleh Encik Johan.
“Jelita…
jangan nak pertikaikan keputusan abah.” Dan suara tegas itu mematikan bicara
Jelita Suria. Terus sahaja gadis itu menurunkan Ahmad Naufal daripada
pelukannya. Dia hendak segera berangkat dari sini. Kalau itu yang dimahukan
oleh emak dan abahnya, dia boleh buat! Bentak hatinya keras. Entah berapa lama
masa yang akan diambil untuk mengubat hati yang sedih itu, hanya Allah sahaja
yang tahu.
Sedihnya
hati itu dengan keputusan abah yang tidak berubah, tidakkah abahnya mengerti?
“Jelita
pergi dulu… Assalamualaikum.” Tidak mahu menoleh lagi, kakinya terus masuk ke
bahagian berlepas. Pintanya juga agar tiada yang menemani biarpun ini kali
pertama dia akan berangkat jauh daripada negeri Pulau Mutiara ini. Jauh dari
Malaysia.
DIPERHATIKAN sahaja dari jauh. Perkasa
Armana hanya mampu merenung dengan perasaan ingin tahu. Namun tiada apa pun
yang dapat menjawab persoalannya di situ. Perginya langkah Jelita Suria dengan
pandangannya penuh duka. Dilepaskan pergi oleh kedua ibu bapa yang juga jelas
tidak ingin melepaskan anak mereka. Tetapi kenapa?
“Perkasa…”
Tercantas pemikiran Perkasa Armana yang mengelamun memikirkan Jelita Suria
apabila namanya dialun oleh seseorang yang begitu dikasihinya. Puan Zaidah
sudah menguntum senyuman. Laju juga Perkasa Armana mendapatkan emaknya ke dalam
pelukan.
“Awat
nampak sedih sangat? Tak suka ke dapat balik Penang?” soal Puan Zaidah sebaik
sahaja melepaskan pelukan.
“Mana
ada mak… siapa yang tak happy kalau
dapat balik Penang. Jumpa mak… jumpa abah… jumpa buntal!” Laju sahaja Perkasa
Armana berubah ke mood mengusik. Wajah Putra Azad di belakang Puan Zaidah
dicari. Seperti biasa, keruh sungguh wajah itu bila digelar buntal oleh Perkasa
Armana.
“Hei…
aku gurau ajalah. Awat yang muka chot (masam)
sangat. Happy la… SPM dah habis.
Bolehlah nak bersuka ria sekejap…” ujar Perkasa Armana masih hendak mengusik.
Namun sepasang mata Putra Azad itu tidak pada dirinya. Tidak juga pada Puan
Zaidah. Lalu pada siapa sahaja mata itu tertunak?
Spontan
sahaja mata Perkasa Armana mengikut sorotan mata adiknya. Dan sepasang mata
dengan renungan yang maha tajam menyapa wajah. Tidak mampu Perkasa Armana
mencerna apakah maksud melalui renungan penuh rasa marah itu? Takkan Putra Azad
berbuat yang bukan-bukan sampai menimbulkan kemarahan pak cik yang tidak dia
tahu bernama apa itu?
“Nak
ke mana Azad?” Saat berselisih bahu, Putra Azad menerima soalan. Tidak tertelan
liurnya dan tidak punya sekelumit keberanian pun untuk bertentang mata dengan
abah Jelita Suria. Sesaat berlalu baru Putra Azad terfikirkan sesuatu.
“Pak
cik dah hantar Jelita?” soalnya kalut. Langsung tidak mempedulikan renungan
pelik emak dan abangnya. Anggukkan Encik Johan hanya menambahkan rasa dukacita.
Bertambah kecewa dengan diri sendiri. Mana mungkin tidak dia kecewa, kata-kata
Marlisa masih jelas bergema di telinga ketika mereka terserempak di Queensbay
Mall.
“Abah
Jelita nak hantar di ke Mesir. Mungkin dia duduk sana terus. Kalau balik pun,
aku tak tahu bila… abah dia marah sangat, ingatkan Jelita bercinta
senyap-senyap kat belakang dia. Sedangkan tak…” Sayu bicara Marlisa pada ketika
itu. Mana mungkin Putra Azad lupa. Dan dia menjadi insan tidak berguna
menghadirkan luka pada hati Jelita Suria. Bodohnya dia! Patutnya dia faham
apabila Jelita Suria berkali-kali bersikap tidak mempedulikan dirinya. Sekarang
baru terasa menyesal. Menyesal sangat!
“Jelita
baru aja masuk… InsyaAllah, mungkin lama kot kat sana. Azad jangan fikirkan pasal
Jelita, dia ada perjalanan hidup yang mungkin tak sama macam Azad. Apa yang pak
cik nak minta dengan Azad, jaga amanah yang kamu dah bagi pada pak cik.
Bolehkan?” Suara Encik Johan berubah nada. Lembut lagak seorang bapa yang
prihatin. Dan sesungguhnya dirinya terlalu prihatin dengan keadaan anak-anak
muda pada masa kini.
Sekali
lagi, Putra Azad menelan air liur. Menyesal juga kerana cepat sangat
menghulurkan janji. Tetapi janji untuk kebaikan Jelita Suria, tidak baikkah
dia?
“Baik
pak cik… saya pegang dengan janji saya.” Seiring dengan itu bahu Putra Azad
ditepuk mesra.
Pandangan
Encik Johan beralih pada jejaka di sebelah Putra Azad. Tanpa ditanya, bicara
sudah dihulur.
“Perkasa
Armana, abang Azad…” Perkasa Armana tersenyum nipis.
Puan
Zaidah dan Puan Hayati ikut bersalam biarpun tidak pernah bersua. Berkenalan
sesama saudara seagama, itu adalah sebaiknya.
“Anak
saya yang sulung, belajaq dekat Ireland. Ni balik cuti… itu pun lepas pesan
berkali-kali suruh balik, kalau tak… payah (susah)!” Mesra Puan Zaidah berbual.
“Azad
ni sama sekolah dengan anak abang ke?” soal Puan Zaidah ingin tahu.
“Sama
tuisyen…” ringkas jawapan Encik Johan. Tidak mahu terus mengambil masa orang
lain. Lantas diminta diri.
Ketika bersalam, sekali
lagi Perkasa Armana menghulur senyuman dan sempat juga si kecil yang
mengenalkan diri sebagai Naufal ber- give
me five dengannya.
“Abang Perkasa, free boleh call rumah.” Nakal sahaja Ahmad Naufal dengan bicaranya. Laju juga
dia menerima cubitan di pipi oleh Puan Hayati. Hasilnya, merah menyala. Sempat
juga telinga Perkasa Armana menangkap bicara Ahmad Naufal yang berbisik dengan
emaknya. “Peliknya nama abang tu mak. Awat Perkasa? Macam teater klasik aja.”
Untuk itu Perkasa Armana hanya tertawa. Tidak
sedar dengan wajah Putra Azad yang makin keruh merenung jauh ke atas siling
yang tidak dapat ditembusi pandangan.
SUAPAN Perkasa Armana penuh bersemangat.
Begitu berselera. Kalau begini, tidak cukup sebulan rasanya. Lebih daripada itu
pun dia sanggup tinggal di rumah. Cukup asal dapat merasa air tangan emak yang
sememangnya tidak dapat ditandingi keenakannya.
“Apa
menu untuk esok mak?”
“Hari
ni punya lauk pun tak habis lagi… dah cakap pasal esok. Tengok yang sorang tu,
masa makan pun gaya putus cinta… awat ni Azad? Tak lapar ke?” Hairan Puan
Zaidah menyoal. Matanya memerhatikan gerak laku Putra Azad yang longlai
semacam.
Putra
Azad segera menggelengkan kepala. “Tak apalah mak. Biasalah… Azad kan sekarang
jaga makan.” Tertawa kecil Putra Azad dengan ayatnya sendiri. Ketawa yang cuba
dialunkan untuk memujuk hati sendiri. Tidak tahu di mana bertapak hati pada
ketika ini. Pada Jelita Suria yang mungkin sudah terbang ke mana. Pada janji
yang telah diberikan kepada Encik Johan. Pada segala permasalahan yang tercipta
daripada dirinya, akhirnya menyusahkan hidup seorang Jelita Suria. Bersalahnya
dia sebagai seorang sahabat.
Perkasa
Armana pula memicingkan mata. Tidak tahu apa yang cuba disembunyikan oleh Putra
Azad daripada mata mereka. Sejak dari dia masuk ke dalam rumah, wajah itu muram
sahaja. Langsung tiada serinya. Meskipun Perkasa Armana cuba untuk bergurau
namun balasan daripada Putra Azad hanyalah senyuman tawar tanpa rasa. Kenapa
begitu?
Sesi
jamu selera hanya kekal sepi selepas itu. Mata seorang abang itu terus
mengekori langkah Putra Azad yang bangkit dari meja makan dengan sisa makanan
yang tidak habis dimakan. Dengan itu sahaja, Perkasa Armana sudah bertemu
dengan satu spekulasi. Dan jika andaiannya mengena, ini semua pasti ada kena
mengena dengan perbualan yang berlaku antara Putra Azad dan Encik Johan di
lapangan terbang siang tadi.
“Cerita
dengan aku…” serbu Perkasa Armana sebaik sahaja selesai makan dan mengemaskan
meja makan.
Putra Azad yang terbaring
atas katil di dalam bilik terpanggil untuk melihat wajah Perkasa Armana di
sisi. Penuh dengan tanda tanya wajah itu. Tahulah dia, setiap pertanyaan itu
harus dijawab.
“Awat yang moody sangat? Mak pun cakap hang nampak
lain… sekarang cerita, ada masalah apa sampai tak boleh nak share dengan orang lain ke?” serius
suara Perkasa Armana.
“Kalau aku cerita…
mesti hang marah aku.”
“Belum cerita, mana aku
nak tau… apa masalahnya?” sekali lagi, Perkasa Armana mendesak.
Putra Azad mengeluh. “Aku
dah buat something yang bodoh! Sangat
bodoh!” ucapnya dengan rasa benci. Benci dengan diri sendiri. Kalau masa itu
mampu diputar balik? Ah, berangan sahajalah. Lidah manusia sememangnya begitu
berbisa. Kalau tidak, masakan Jelita Suria dihantar sejauh itu hanya kerana
kata-katanya.
“Apa yang hang buat?”
“Aku dah lukakan hati
Jelita Suria. Bodohkan aku? Aku beria cakap dengan hang, aku sayangkan dia.
Tapi aku dah sakitkan hati dia. Aku dah buat dia pi jauh daripada sini… dia
marah sangat dengan aku.”
Sekali nama Jelita Suria
menjentik gegendang telinga Perkasa Armana. Namun daripada lidah yang berbeza.
Jantung yang berdetak dengan normal seakan berubah rentaknya. Wajah yang mulai
hendak berubah riak, cuba dibiasakan. Rasa tidak selesa yang mula menghuni cuba
dibuang jauh. Dia tidak boleh untuk berasa begini! Marah Perkasa Armana dalam
hati.
“Dan aku dah janji
dengan abah Jelita….” Sayu suara Putra Azad.
“Janji apa?” laju juga
Perkasa Armana menyahut. Janji apa? Lebih daripada kesedihan di wajah Putra
Azad, dia terlalu ingin tahu janji apa yang telah diberikan. Dan apa
perkaitannya dengan Jelita Suria? Dan apa pula perkaitannnya dengan hang,
Perkasa?
Sekali lagi, Perkasa
Armana mulai mengutuk dirinya sendiri. Stop
being busybody with that lady! She is
none of your business! Marahnya bersungguh.
comel la nama perkasa armana.. unik. :) apepun teruskan menulis.. saya menanti hasil di penghujungnya
ReplyDeleteazad jji apa dgn abah jelita?
ReplyDeleteApa jnji abah jelita ye dgn azad?..jd x sbr plk..makin menarik.good luck
ReplyDeletex sabarnye nak tau apa si azad dah buat & dah janji...
ReplyDeleteBEST.
ReplyDeleteUiksss... ape yg azad da jnji kt abah jelita ni??? xsabar nk tau...
ReplyDeletesaspen... saspen...
superb umi! x sabar nak baca next entries.. :D
ReplyDeletemakin menarik ummi...
ReplyDeleteAzad sempat buat aku janji dengan abah Jelita.... masak nak tunaikan ni bila tengok gaya Azad....
ReplyDeleteapela si azad janji kt abh jlita kn???haih..cite ni mkn complicated la..
ReplyDeletesape yg dpt jelita eh??mirza,azad or perkasa???tp klu nk jelita ngan perkasa blh x??hehe..
Syahira_Ira