HARI
ini hari terakhir peperiksaannya sebagai siswi di universiti. Perasaannya
gementar bercampur gembira. Gementar bimbangkan entah bagaimana prestasi
pencapaiannya nanti. Gembira memikirkan yang dia sudah boleh pulang ke rumah
dan bermanja dengan mak dan abahnya.
Langkah kaki yang laju menuju ke
dewan peperiksaan E41 itu serta-merta menjadi perlahan. Jantung yang tadinya
berdebar mengenangkan kertas peperiksaan yang bakal diduduki, kini berubah arah
angin.
Anas!
Hatinya berbisik gemuruh.
Anas!
Serunya lagi tatkala mata mereka
bersatu tanpa sebarang rencana. Dan mata Anas kembali berlabuh di wajah teman
yang berkaca mata di hadapan. Hendak tersenyum, dia tidak betah. Sekadar
layanan perasaan semata-mata. Kuat hatinya mengukuhkan keyakinan, dia sekadar meminati
Anas atas dasar tarikan biologi. Anas lelaki dan dia perempuan. Bukan sebab
lain. Bukan!
Fokus mindanya. Sebaik sahaja
melangkah ke dalam peperiksaan, dia sudah bertekad untuk melupakan segalanya.
Itu juga yang difikir sebaik sahaja selesai menjawab soalan yang berjumlah 120
itu.
Kesejukan dewan semakin mendesak
diri untuk beredar awal dari dewan. Namun desakan hati ingin menatap juga wajah
Anas buat terakhir kali. Mungkin tidak akan ada lagi peluang ini. Lantas
disetiakan hati untuk menunggu jejaka itu keluar terlebih dahulu. Mujur juga
dia mendapat kerusi paling hadapan, lebih mudah untuk diperhatikan pelajar yang
meninggalkan dewan.
Dan sekali lagi, hatinya bagai
dipalu. Anas yang manis, berbaju serba hitam itu melangkah ke meja dan
menyerahkan borang jawapan OMR. Peluang itu tidak dilepaskan. Matanya gigih
mengekor langkah Anas hingga keluar dari dewan. Sebaik sahaja pintu itu
tertutup, Anis tahu… dia harus menoktahkan semua itu.
TERKOCOH-kocoh
Anis menyarungkan tudung segera apabila emaknya, Puan Amina memaklumkan hendak
keluar ke majlis tahlil Mak cik Jamilah di lorong sebelah. Penat dari tadi dia
bertanya agenda harian emaknya untuk hari ini, dengan yakin sahaja Puan Amina
menjawab, “Lepak kat rumah sudah…”
Akhirnya, Anis juga yang kelam kabut.
“Mak, Anis dah siap.” Terus Anis
menutup pintu biliknya. Dan pandangan Puan Amina berlabuh pada jasadnya. Dari
atas sampai ke bawah direnung.
“Macam ni aje? Pakailah baju lain…
elok sikit.” Tegur Puan Amina. Kakinya sendiri sudah diheret masuk ke dalam
bilik anak sulungnya itu. Anis suka sangat buat perangai macam, ‘orang tak ada
baju!’
“Elok macam mana lagi mak? Nak pergi
kenduri tahlil aje pun… takkan nak pakai baju blink blink pulak. Sakan sangat…” usiknya.
Namun Puan Amina buat tidak endah. Tangannya
laju menyelongkar almari empat pintu di bilik Anis. Baju seakan hendak
tersembul keluar daripada almari. Dan yang anaknya pilih untuk dipakai pada
petang ini, baju itu! Matanya mencerun.
“Pakai baju ni… tukar sekarang. Mak
tunggu! Asma pun tak habis bertenggek dari depan cermin tu. Anis cuba siap elok
sikit. Nanti apa orang cakap… anak mak kerja tinggi, nak melawa tak reti.”
Bebel Puan Amina sambil melangkah keluar dari bilik Anis.
Serentak itu Anis mengeluh. Bukan
kerana disuruh menukar baju. Tetapi kerana intipati dan nada emaknya itu. Anis
tahu sangat, ini bukan sekadar hendak ke majlis tahlil agaknya.
Dan benarlah seperti telahan Anis,
memang penuh agenda pun rancangan ‘tahlil’ Puan Amina! Aduh… kepala yang tidak
mempunyai masalah kelemumur pun boleh jadi gatal kalau begini.
MEJA
makan sudah berhidang dengan sarapan. Masakan Puan Amina yang sememangnya
sentiasa sedap. Kalau orang tanya kenapa masakah emak selalu sedap, rahsianya…
tentulah sebab kasih sayang yang disalurkan dalam setiap masakan. Sebab itu
kalau emak goreng telur sekali pun pasti sedap tidak terkira. Anis tersenyum
mengenangkan apa yang berlegar di mindanya. Sememangnya Puan Amina sangat rajin
memasak untuk anak-anak.
“Anis, awal nak pergi kerja?” soal
Encik Bohari, abah Anis yang sudah bersiap dengan pakaian seragam sekuriti di
sebuah bank.
“Ada kerja sikit abah. Abah shift pagi pulak? Semalam bukan dah
kerja sampai malam?” soal Anis dengan nada bimbang. Tidak mahu abahnya itu
penat. Encik Bohari bukannya masih muda macam dulu. Usianya sudah melangkau 50
tahun.
“Tolong ganti Uncle William. Dia ada
kecemasan.” Tersenyum sahaja Encik Bohari memberi jawapan.
“Abah ni, dah la kerja tu… Anis dah
minta abah berhenti dan duduk rumah kan, Anis boleh sara…” Anis cuba untuk
memujuk. Mungkin di pagi hari ini mood abahnya lebih baik untuk dibawa
berunding. Tetapi, mood Encik Bohari sentiasa baik. Cuma kalau masuk hal kerja
ini dia susah hendak beralah sikit.
“Mana boleh macam tu Anis… memang
Anis dah kerja. Gaji pun besar. Tapi abah masih ada kudrat, Adila dengan Bahar
masih belajar. Abah kenalah siapkan keperluan mereka… kalau Anis bantu
sikit-sikit tu tak apalah, yang penting untuk diri Anis. Esok-esok Anis dah
berkeluarga, mana boleh fikir sangat pasal abah…” nasihat Encik Bohari seperti
selalu.
“Abah ni degillah!” ujar Anis
bernada manja. Mulutnya sudah muncung sedepa.
“Anak abah ni pun apa kurangnya…
kenapa Anis tak mau ikut cadangan mak? Elok kan budak yang ditengok kat rumah Mak
cik Jamilah hari tu.”
“Tak berkenan.” Sepatah sahaja
jawapan Anis. Mudah dan ringkas. Dia memang tak berkenan dengan lelaki yang
diperkenalkan sebagai anak saudara Mak cik Jamilah. Langsung tiada ciri-ciri
Anas, yang selalu manis dan sopan. Ah, Anis… berhentilah berangan. Anas itu
bukankah permainan perasaan sahaja. Sudah lebih tiga tahun dia meninggalkan
zaman universiti tetapi tidak Anas dari mindanya ini.
TEMPAT
letak kereta yang masih kosong memudahkan Anis untuk memilih. Lantas kereta
Proton Saga SE itu dibelok ke kotak parkir berdekatan dengan blok Fakulti
Bahasa. Sudah masuk dua tahun, Anis menjadi pensyarah tetap di sini. Malah
sekarang dia sedang dalam proses untuk melanjutkan pengajian di peringkat doktor
falsafah atas keperluan kerjayanya ini.
Ketika melangkah keluar dari kereta,
Anis disapa satu suara. Suara yang selalu sangat menganggu keamanan hidupnya.
“Kalau hari aku tak dimulakan dengan
suara kau, tak sah agaknya.” Anis mengusik.
Terus wajah Kamilia menjadi
cemberut. Anis terus ketawa.
“Awal jugak? Ada kelas ke? Sejak
bila kau suka ambil kelas pagi?” soal Anis pada Kamilia yang juga teman duduk
sebilik di pejabat fakulti ini. Disebabkan proses ubah suai yang sedang rancak
berlangsung di bangunan mereka, makanya bilik pun berkongsilah. Semuanya untuk
menyediakan kemudahan bilik pensyarah yang lebih selesa.
“Berdosa ke kalau aku pun nak jadi
rajin macam kau?” Geram sahaja Kamilia menyoal sambil menyandang beg komputer
riba ke bahu. Berat! Hampir melurut di bahu tetapi ditarik semula laju.
Anis tersenyum. “Aku pesan dah kan,
beli beg galas belakang. Kau tu kecik sangat, mana sesuai galas beg tepi.” Usik
Anis. Tangannya sudah menekan alarm
kereta. Sambil menanti langkah Kamilia, bibirnya tersenyum.
Kamilia menjadi pelik. Anis kalau
senyum lebar begitu, pasti ada makna. Apa maknanya? Tidak perlu dia bertanya,
dia sudah tahu. Wajahnya diserbu darah.
“Bukan sebab tu okey… aku datang
sebab ada kerja!” tegas Kamilia.
Anis masih tersenyum. “Aku tak kata
apa…” balasnya dengan nakal dan terus melangkah.
KELAS
hari ini habis awal. Anis sudah kepenatan kerana jadualnya hari ini padat.
Tambahan pula dia terlibat dengan program pelajar tahun akhir Fakulti Bahasa
yang bakal berlangsung lagi sebulan. Makin bertambah tuntutan kerja untuk
memantau mereka.
“Kamilia…”
“Yes…”
“Tak ada benda untuk dikunyah?” soal
Anis. Matanya dipejam seketika. Malas pula hendak bergerak ke kafe. Tetapi
perut sudah lapar.
“Kenapa? Lapar dah? Tadi aku ajak
makan, kau tak nak…” rungut Kamilia tanpa memberi jawapan pada soalan Anis.
“Lapar…” sungut Anis pula. Serentak
itu kedengaran pintu bilik mereka diketuk. Dan wajah seseorang yang tidak
diduga muncul di depan mata. Mata Anis terbuka luas. Manakala Kamilia sudah tunduk
pura-pura menghadap failnya.
“Anis…”
“Cari saya ke?” soal Anis dengan
rasa pelik. Wajah Kamilia di hadapan dikerling seketika. Dan matanya kembali
berlabuh pada wajah si kacak yang sedang tersenyum di muka pintu.
“Boleh ke sini sekejap, ada benda nak
bagi.”
Tidak mahu membiarkan orang itu
menanti terlalu lama, Anis terus sahaja bangun ke pintu. Dan spontan juga dia
terus membawa diri keluar, juga atas permintaan orang itu.
“Tak nampak Anis dekat kafe pun
tadi? Selalu dengan Kamilia…”
Mendengarkan ujaran ayat daripada
bibir Qaiser, Anis sekadar tersenyum nipis. Tidak pernah sekali dia menyangka,
si jejaka ini akan mencari jika tidak kelihatan kelibatnya.
“Ada kerja, nak selesaikan tu dulu…
sebab tu tak dengan Kamilia tadi.” Bagaikan terpaksa pula, jawapan itu
dilagukan juga.
“I
did buy something for you…” Dan bungkusan di tangan Qaiser dihulurkan pada
Anis. Nyata wajah itu berubah riak. Bibirnya mulai mengorak senyuman. Sudah
dijangkakan perubahan itu. Dan dia tetap suka walaupun sejuta kali ia berubah
dengan riak tidak suka.
“Terima kasih… tapi…”
Belum sempat Anis menyudahkan kata.
Qaiser sudah memotong bicara.
“Tak ada tapinya… ambil ni, pergi
makan. Lain kali ada kerja banyak mana pun jangan tak makan.” Nasihat Qaiser.
Anis tersenyum nipis. “Baiknya awak,
ambil berat tentang kebajikan perut rakan sekerja…” perlinya.
Qaiser terus tertawa. “Bila lagi
saya nak nampak muka awak, kalau bukan masa tu. Awak kan sangat pandai mengelak
bertembung satu jalan dengan saya…” perli Qaiser semula. Biar Anis terasa.
Bukan dia tidak tahu, dirinya selalu diusik dengan teman Anis, Kamilia. Tetapi
hatinya hanya menyeru nama wanita ini. Anis…
“Saya mengelak?” Anis tergelak
kecil. “Kenapa saya nak kena mengelak? Awak bukan harimau…” balasnya masih
dengan nada memerli. Entah bagaimana Qaiser boleh memikirkan konklusi itu.
Qaiser
tersenyum. Bungkusan yang dihulurkan pada Anis bertukar tangan. Langkahnyasedikit mendekat. Seraya dia mula berbisik, “Kalau bukan harimau… lepas ni beranilah lalu sebelah.”
___________________________________________________________
# ehem.... layan cerita ni dulu ya. Sementara saya nak tambah, baca info utk cerita Jelita & Perkasa. Lama tak menulis, nak kena asah semula kepala yang dah karat ni. :)
best2......nk lg sambungan cite ni...adakah anis akan berjumpa dgn anas?
ReplyDeletebest... ni novel ke mini novel umi?
ReplyDeleteanas atau qaiser...wat masa ni qaiser nampak okay..heheh sambung yer citer nie best lar..
ReplyDeletehero n heroin nama ckit lg nk same
ReplyDeletekita buat ni jadi mini novel ja ye.. saya pun tak gaduh nak fikir cerita pjg2.. pembaca pun xpayah tunggu lama. hurm.. anas or qaiser or .... hehe. tunggu ya.
ReplyDeleteNi mini novel ke cerpen bersmbung?
ReplyDeletemacam dah jatuh hati ja kat Anis... hehehe
ReplyDeleteanis..anas.. sweet kut !
ReplyDelete