Skip to main content

Tidak ku sangka 3



“CAKAP okey tak dekat mak?” soal Kamilia dengan lagak guru besarnya. Matanya terjegil dan keningnya terangkat. Konon, Ziana Zainlah!
            Anis malas hendak memberi respon. Pinggan yang berisi nasi goreng dikuis-kuis sahaja. Tak sedap langsung! Tak kena dengan selera. Itu yang dirunsingkan juga. Bagaimana kalau dia tidak berkenan dengan Iman Anas? Walaupun emak cakap manis dan sopan. Walaupun hatinya juga hampir terpaut disebabkan nama Anas. Tetapi kini bimbang mulai menyerang. Bimbang dia hanya menambahkan luka di hati Puan Amina.
            “Anis…” tekan Kamilia geram.
            “Aku cakap okey.”
            Terus Kamilia tersenyum lebar.
            “Macam itulah anak mak. Solehah dan dengar cakap. Menempah tiket untuk masuk ke syurga.” Sambung Kamilia dengan ulasan yang Anis tidak pinta.
            “Tapi dengan syarat…”
            Terus mati semula senyuman Kamilia. “Syarat apa pulak dah? Kau ni Anis, tak boleh ke jadi manusia normal sekejap? Berkenalan pasti akan berkenan… percaya cakap aku!” ujarnya dengan penuh semangat.
            “Dan itulah syarat aku, aku harus berkenan. Dan kalau tak berkenan maka jawapannya tidaklah!” Tanpa riak sahaja Anis menuturkan kata. Tetapi, hanya dia sahaja mengetahui getar sebenar. Dia sangat gementar untuk mengatakan tidak pada emak.
            Kamilia pula mengeluh panjang.
            “Payah betullah. Aku suruh ambil Qaiser yang kacak tu pun kau tak nak… yang mak cari pun kau tak nak… Anas yang kau tak pernah bercakap sepatah haram tulah dikenang sampai sekarang!” marah Kamilia. Pelik dengan sikap Anis. Wajahnya sahaja kelihatan penuh ayu dan sopan. Tapi kalau diselongkar hendak ceroboh ke dalam hati, pasti kaku dan beku.
            “Kalau aku memang dijodohkan untuk bersama Anas?”
            “Dan aku cukup pantang dengar soalan yang berkalau ni. Dah tentu-tentu kau takkan jumpa Anas. Dan kalau aku boleh tanya satu soalan paling mudah, apa nama penuh Anas? Boleh kau jawab?” soal Kamilia menyindir. Dan dia mula tersenyum sinis bila Anis kelihatan terkaku.
            “Tengok, nama penuh pun tak tahu… suka apanya? Sudahlah tu… Anas tu permainan perasaan… kau bukan mudah remaja macam zaman kau minat Anas tau. Sekarang ni kau dah nak berusia 28 tahun…” bicara Kamilia dengan semangat.
            “Baru 27 tahun… jangan nak memandai menambah satu angka di belakang.” Marah Anis. Muncung mulutnya. Memikirkan akan hakikat tentang dirinya yang tidak tahu apa-apa tentang Anas, dia kecewa. Sememangnya dia hanya meminati Anas dalam diam. Diintai dari jauh. Nama Anas pun diketahui secara kebetulan. Itu pun ada satu hari yang dia memberanikan diri untuk lalu di sebelah Anas.
            “Masalahnya, tinggal lagi beberapa bulan aje untuk tahun depan. Kau nak biarkan Mak cik Amina terus kecewa tengok anak dia menambah usia aje, tapi tak ada usaha untuk menambah ahli keluarga?”
            Menyebut nama Puan Amina, hati Anis diserbu rasa sebu. Dia tahu, nama itu sangat terkesan di hati. Emaknya tidak bersalah untuk merasakan kesedihan yang berpunca daripada dirinya.
            “Sebut pasal tambah ahli keluarga, dah muncul dah…” sebut Kamilia perlahan dengan senyuman mengusik.
            Anis pula berubah menjadi cacing kepanasan. Qaiser yang dahulunya hanya ditegur sekadar, ‘hai’ dan ‘bye’, kini semakin menyesakkan diri. Walaupun Qaiser itu baik, tetapi Anis tetap tidak jumpa manis dan sopan dalam diri Qaiser… seperti Anas.
            Masih Anas dan Anis ingin sangat menampar dirinya dengan kuat! Biar sedar daripada mimpi yang tidak akan menjadi hakikat.

BADANNYA direbahkan pada sofa bersarung hijau lumut itu. Ruang tamu yang cantik berhias menyenangkan pandangan mata. Biarpun sebentar tadi telinganya sempat menangkap bunyi ‘singa’ mengaum bak sebulan tidak mendapat hidangannya. Siapa lagi kalau bukan si abang yang sentiasa jiwa kacau itu!
            Wajah Puan Rohani yang datang dengan segelas air, dihadiahkan senyuman manis. Qaiser sangat suka bila dilayan sebegini. Rutin emaknya ini sememangnya terasa penuh kasih yang disimbah pada diri.
            “Kenapa yang singa mengaum macam tercabut ekor mak?” soal Qaiser selamba. Air kosong itu dihirup sedikit bagi melegakan tekak. Cuaca panas dan berjerebu ini sememangnya hanya menambahkan rasa gatal di tekak.
            Sebuah tamparan halus dan ketawa menjadi irama pembuka cerita. Puan Rohani menggelengkan kepala. Qaiser sememangnya nakal dan selamba. Tidak seperti anak sulungnya yang selalu sahaja ada anginnya.
            “Mak cakap pasal kahwin, itu yang macam bom meletup.”
            “Mak suruh dia… cuba cakap dengan Qaiser, esok jugak boleh!” Qaiser mengenyitkan matanya sebelah. Nakal. Untuk itu, dia menerima habuan juga. Dan dia tahu, Puan Rohani pasti marah. Pantang katanya, ada anak yang hendak melangkah bendul.
            “Jangan nak degil ya Qaiser, biar abang tu dulu. Mak dah risau sangat ni… nanti abang tak kahwin jugak bila Qaiser dah isteri, macam mana?” soal Puan Rohani, risau.
            “Macam mana apa mak? Biarlah dia jumpa dengan bidadari dekat syurga. Dah tak ada jodoh dekat dunia, tak boleh paksa.” Selamba lagi Qaiser berkata. Tidak terlepas juga, kali ini dia menerima habuan setimpalnya.
            “Tak sayang mulut betul. Mak ada pun dua orang anak aje. Kalau boleh, nak tengok abang tu kahwin cepat. Perangai makin hari, makin semacam… risau mak.”
            “Kalau kahwin, boleh berubah ke mak?” soal Qaiser. Kali ini dengan nada seriusnya. Dan dia tidak main-main kerana yang dibincangkan ini adalah kehidupan abangnya. Dan yang akan dikahwinkan bersama seorang gadis yang belum pasti dapat mengawal diri abangnya. Siapa tak kenal, si abang yang suka mengaum macam singa. Memang sangat padan dengan kerjayanya. Zoologi yang suka sangat bertenggek depan kandang singa. Mungkin Puan Rohani pun terlalu bimbang jika anaknya itu mempunyai minat terhadap spesies binatang tersebut.
            “Mak dah ada calon untuk abang…” ujar Puan Rohani ceria. Dia tidak peduli jika dirinya dimarah, yang penting dia harus berbuat sesuatu untuk kebahagiaan anak-anak.
            “Dan Qaiser rasa, mak tak payahlah nak kenalkan dengan singa tu. Baik mak pergi zoo dan carikan seekor singa betina, mungkin lebih padan agaknya!” Selamba lagi bicara Qaiser. Dan serentak itu juga cubitan padu Puan Rohani hinggap di pipi anaknya.

BERSIMPUH Adila dan Bahar, tekun menyiapkan tugasan ditemani Anis menjadi guru percuma. Asma seperti biasa, waktu ini adalah waktu untuk memberikan tenaga kepada kecantikan katanya. Itulah satu-satunya adik Anis yang mampu melaram berjam-jam di hadapan cermin. Kadang Anis yang melihat rasa hendak termuntah. Tidak muak ke merenung diri sendiri sampai sejam, dua… tapi, itulah Asma. Makhluk paling pelik dan ganjil dalam rumah.
            Ah, Anis… mengata dulang, paku serpih, mengata adik sendiri, engkau juga yang lebih.
            “Akak… mak kata Abang Iman dan keluarga datang hujung minggu ni.” Maklum Bahar dengan nada nakal. Bahar melepaskan ketawa apabila Anis mula menghadiahkan jelingan tajam.
            “Nak belajar ke apa ni? Akak caj, sejam sepuluh ringgit baru tau!” ugut Anis.
            “Nanti Bahar suruh abah bayar…”
            Serentak itu tangan Anis mencecah ke telinga Bahar. Dipulas manja. Galak sungguh adiknya yang ini.
            Adila di sebelah Bahar ikut tersengih juga. Kalau tidak mengusik Anis, itu bukan Bahar namanya. Adiknya yang hanya muda setahun daripadanya itu, sangat cilik kalau hendak mengusik Anis dengan bait kata.
            “Ni kenapa pulak? Anis…”
            Tegur Puan Amina yang datang dengan dulang berisi minuman. Terkejut melihat tangan Anis yang giat memulas telinga Bahar. Tetapi anak lelakinya itu hanya tersengih riang.
            “Anak mak ni, suka sangat cakap macam mak cik!” Anis menjuihkan bibir, geram. Tidak puas lagi hatinya biarpun dapat memulas telinga Bahar.
            “Bahar… masa belajar kena belajar. Jangan banyak main.” Tegur Puan Amina, seperti biasa. Gelas yang berisi jus kordial laici itu dihulurkan pada anak-anaknya. Sepinggan wedges yang disediakan sendiri diletakkan bersama. Sememangnya salah satu sikap Puan Amina, sentiasa memanjakan perut anak-anaknya tidak kira masa. Maklumlah, anak-anak sedang membesar. Dan selagi punya kudrat, dia ingin sentiasa memberikan apa jua dengan penuh kasih buat mereka.
            “Mak ni, macam tahu aje… perut Bahar dah menjerit tak tahan kena dera dengan singa garang!” Bahar terus merentap wedges dan dimasukkan ke dalam mulut.
            Anis mengetap bibir. Singa digelar dirinya? “Tu, makan baca bismillah tak?” disindir Bahar. Serentak itu batuk kecil ditangkap pendengarannya. Puas dia tersenyum.
            “Anis…” Puan Amina menggelengkan kepala. Anaknya ini, mengalahkan Bahar pula. “Malu dengan Bahar… dia kecik lagi. Anis tu kakak… esok-esok dah layak jadi mak orang dah.” Tegur Puan Amina.
            “Dengar tu kak… layak jadi mak orang lepas nikah dengan Abang Iman!” tegas Bahar. Seronok jadinya bila Puan Amina menyokong.
            “Bahar tu pun tak payah sibuk sangat nak usik Kak Anis… awak tu belajar!” Puan Amina menegur Bahar pula. Teguran yang diberi biar sama rata. Semua anak pun harus menerima kasih sayang yang serupa. Tiada lebih dan kurang.
            Anis pula menelan air liur. Terasa kesat pula. Hendak diajukan soalan pada Puan Amina. Lidahnya begitu teragak-agak untuk menutur kata.     
“Bila keluarga…” tersekat suara Anis yang ingin bertanya itu. Pandangannya bertemu dengan Puan Amina. Emaknya tersenyum.
            “Ahad ni. Anis tak kisah kan?”
            Sekali lagi mata Puan Amina cuba membaca isi hati Anis. Senyuman di bibir Anis tidak menggambarkan apa yang berada di hati. Puan Amina dapat melihat itu dengan jelas sekali. Tetapi pandai sungguh Anis berlagak seolah selesa dengan keadaan ini.
            “Mak… Anis cuba untuk mak. Maafkan Anis kalau Anis selalu susahkan mak…” Spontan bibir Anis terluah kata. Renungan Puan Amina yang lembut itu seolah membunuh hatinya. Tidak sanggup dia hendak mengungkap yang tidak jujur hanya untuk menyenangkan hati emaknya di masa ini.
            “Tak apa, mak faham. Perasaan ni bukan boleh dipaksa. Anis tak berkenan, mak tak paksa… cuma, mak mungkin tak boleh berhenti cari calon selagi anak mak tak bertemu jodoh selayaknya.”
            “Kalau tak jumpa jugak, kahwinkan si Asma dululah… sakit mata Anis tengok dia duk melaram depan cermin macam pengantin baru tiap-tiap hari.” Tutur Anis dengan tawa. Sengaja hendak mengubah moodnya. Cadangan itu disambut baik oleh Bahar.
            “Yang tu, Bahar pun setuju mak…” sahut Bahar sambil elok ber-give me five dengan Anis. Sekejap sahaja sudah elok mood mereka. Bergelak ketawa seperti biasa.
            Dan serentak, telinga Anis dan Bahar menjadi tempat persinggahan jari Puan Amina. Adila terus menekup mulut menahan tawa. Mujur dia lebih memilih untuk menyiapkan kerja sekolahnya daripada mencelah bicara dengan Bahar dan Anis. Kalau tidak, pasti dia pun akan menerima habuan.

_________________________________
Dan ya, ini mini novel :) layannnnn
selesaikan kisah depa ni sebelum ramadhan.

Comments

  1. iman anas tu abangnya si qaiser tu lah ye? kesian plak kat qaiser....

    ReplyDelete
  2. Best.....
    Hope cepat2 sambung.... #^_^

    ReplyDelete
  3. Don't tell me yg Iman Anas tu Abang Qaiser?!
    Kalau la betul, terkesian kt Qaiser. Tp kalau Anas yg anis suka adalah sama dgn Iman Anas ni kan, apa yg manis dan sopan nye bila org gelarkan dia singa

    ReplyDelete
  4. Anas tu mesti abang Qaiser... sesuai lah tu Anas singa jantan dan Anis singa betina.... hahaha
    tentu Qaiser patah hati bila abang dia yang tercalon untuk Anis... tentu Anis pun serba salahkan ... peninggg..... bestttt....

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Cerpen: Lain di Mulut, Lain di Hati

JAMBANGAN bunga ros yang berada di atas mejanya itu dicapai. Tanpa melihat nama pengirim pun dia sudah boleh meneka, siapa pengirimnya. Terus dengusan tidak senang dilepaskan. Tanpa menunggu sesaat, jambangan bunga itu sudah terhumban ke dalam tong sampah di sudut bilik.             Huh! Apa dia fikir aku ni perempuan, nak cair kalau disogokkan dengan bunga. Kalau aku cakap benci, memang akan benci selamanya! rungutnya.             Serentak itu, pintu biliknya diketuk. Terjengul wajah Selina, setiausahanya.             “Encik Irfan, Puan Eryna nak jumpa.”             Sekali lagi dia melepaskan dengusan kasar. Tidak cukup dengan bunga yang merimaskan, sekarang, tuan punya badan pula muncul di depan mata. Ah, benci!             “Suruh dia balik! Saya tak nak jumpa dia.” Kuat dan lantang sekali suara Irfan sehingga begitu jelas buat pendengaran Eryna yang sedang duduk menunggu di luar bilik. Eryna tersentak. Riak wajahnya terus beruba

Cerpen: Hati ini [End]

BUNYI suara yang bertingkah dari ruang tamu mengkakukan langkah Ana di anak tangga terakhir. Dia yang turun ke bawah dengan niat untuk membasahkan tekak terkaku seketika. Tidak mahu menonjolkan diri di hadapan tetamu mama dan papa, tanpa berfikir panjang dia sudah memalingkan badan hendak bergerak ke atas semula. Namun sekali lagi, dirinya terus kaku di situ. Suara yang melaungkan namanya membuatkan badannya menjadi gementar secara tiba-tiba.             “Ana…” namanya dipanggil sekali lagi. Dia kenal suara itu. Terlalu kenal. Tetapi dia tidak mahu memalingkan wajahnya. Atas sebab apa, dia tidak pasti. Ikutkan sahaja kata hati.             Sentuhan di bahu membuatkan Ana tersentak. Pantas dia berpaling dengan wajah yang sudah berubah riak. Dia tidak suka dengan sentuhan itu. Sentuhan yang tidak menghormati dirinya sebagai seorang wanita muslim. Seketika mata mereka bertemu. Ana terkedu. Seakan tersedar dari mimpi… senyuman yang menghiasi

Cerpen: Dia yang aku cinta

Berdebar-debar rasanya saat menanti di ruang legar ini. Menanti kehadiran insan yang disayangi. Menanti saat yang ditunggu-tunggu selama ini. Disunting menjadi suri dalam hidup lelaki yang dicintai. Ah! Indah sungguh rasa…             “Tahulah nak tunggu insan tercinta. Kut iya pun… tak perlulah tayang riak wajah teruja, yang terlebih perisa pulak!” teguran berunsur perlian itu hanya membuatkan dia menjeling manja.             “Biarlah!” balasnya dengan menyampah.             Tiada siapa pun tahu apa yang dirasainya selama dua tahun ini. Hidup berjauhan dengan insan yang memenuhi ruang hatinya. Sungguh menyeksakan jiwa dan raga sahaja!             “Akak…” panggilan itu membuatkan dia melepaskan dengusan manja.             “Apa?!” soalnya geram. Geram saat khayalan indahnya dicantas dengan kejam. Sedangkan, hanya itu yang mampu dilakukan di saat ini.             “Tu…” mulut si adik sudah memuncung ke satu sudut.             Matanya turut berlari mencari. Seketika dia