“CAKAP
okey tak dekat mak?” soal Kamilia dengan lagak guru besarnya. Matanya terjegil
dan keningnya terangkat. Konon, Ziana Zainlah!
Anis malas hendak memberi respon.
Pinggan yang berisi nasi goreng dikuis-kuis sahaja. Tak sedap langsung! Tak
kena dengan selera. Itu yang dirunsingkan juga. Bagaimana kalau dia tidak
berkenan dengan Iman Anas? Walaupun emak cakap manis dan sopan. Walaupun hatinya
juga hampir terpaut disebabkan nama Anas. Tetapi kini bimbang mulai menyerang.
Bimbang dia hanya menambahkan luka di hati Puan Amina.
“Anis…” tekan Kamilia geram.
“Aku cakap okey.”
Terus Kamilia tersenyum lebar.
“Macam itulah anak mak. Solehah dan
dengar cakap. Menempah tiket untuk masuk ke syurga.” Sambung Kamilia dengan
ulasan yang Anis tidak pinta.
“Tapi dengan syarat…”
Terus mati semula senyuman Kamilia.
“Syarat apa pulak dah? Kau ni Anis, tak boleh ke jadi manusia normal sekejap?
Berkenalan pasti akan berkenan… percaya cakap aku!” ujarnya dengan penuh
semangat.
“Dan itulah syarat aku, aku harus
berkenan. Dan kalau tak berkenan maka jawapannya tidaklah!” Tanpa riak sahaja
Anis menuturkan kata. Tetapi, hanya dia sahaja mengetahui getar sebenar. Dia
sangat gementar untuk mengatakan tidak pada emak.
Kamilia pula mengeluh panjang.
“Payah betullah. Aku suruh ambil
Qaiser yang kacak tu pun kau tak nak… yang mak cari pun kau tak nak… Anas yang
kau tak pernah bercakap sepatah haram tulah dikenang sampai sekarang!” marah
Kamilia. Pelik dengan sikap Anis. Wajahnya sahaja kelihatan penuh ayu dan
sopan. Tapi kalau diselongkar hendak ceroboh ke dalam hati, pasti kaku dan
beku.
“Kalau aku memang dijodohkan untuk
bersama Anas?”
“Dan aku cukup pantang dengar soalan
yang berkalau ni. Dah tentu-tentu kau takkan jumpa Anas. Dan kalau aku boleh
tanya satu soalan paling mudah, apa nama penuh Anas? Boleh kau jawab?” soal
Kamilia menyindir. Dan dia mula tersenyum sinis bila Anis kelihatan terkaku.
“Tengok, nama penuh pun tak tahu…
suka apanya? Sudahlah tu… Anas tu permainan perasaan… kau bukan mudah remaja
macam zaman kau minat Anas tau. Sekarang ni kau dah nak berusia 28 tahun…”
bicara Kamilia dengan semangat.
“Baru 27 tahun… jangan nak memandai
menambah satu angka di belakang.” Marah Anis. Muncung mulutnya. Memikirkan akan
hakikat tentang dirinya yang tidak tahu apa-apa tentang Anas, dia kecewa.
Sememangnya dia hanya meminati Anas dalam diam. Diintai dari jauh. Nama Anas
pun diketahui secara kebetulan. Itu pun ada satu hari yang dia memberanikan
diri untuk lalu di sebelah Anas.
“Masalahnya, tinggal lagi beberapa
bulan aje untuk tahun depan. Kau nak biarkan Mak cik Amina terus kecewa tengok
anak dia menambah usia aje, tapi tak ada usaha untuk menambah ahli keluarga?”
Menyebut nama Puan Amina, hati Anis
diserbu rasa sebu. Dia tahu, nama itu sangat terkesan di hati. Emaknya tidak
bersalah untuk merasakan kesedihan yang berpunca daripada dirinya.
“Sebut pasal tambah ahli keluarga,
dah muncul dah…” sebut Kamilia perlahan dengan senyuman mengusik.
Anis pula berubah menjadi cacing
kepanasan. Qaiser yang dahulunya hanya ditegur sekadar, ‘hai’ dan ‘bye’, kini semakin menyesakkan diri.
Walaupun Qaiser itu baik, tetapi Anis tetap tidak jumpa manis dan sopan dalam
diri Qaiser… seperti Anas.
Masih Anas dan Anis ingin sangat
menampar dirinya dengan kuat! Biar sedar daripada mimpi yang tidak akan menjadi
hakikat.
BADANNYA
direbahkan pada sofa bersarung hijau lumut itu. Ruang tamu yang cantik berhias
menyenangkan pandangan mata. Biarpun sebentar tadi telinganya sempat menangkap
bunyi ‘singa’ mengaum bak sebulan tidak mendapat hidangannya. Siapa lagi kalau
bukan si abang yang sentiasa jiwa kacau itu!
Wajah Puan Rohani yang datang dengan
segelas air, dihadiahkan senyuman manis. Qaiser sangat suka bila dilayan
sebegini. Rutin emaknya ini sememangnya terasa penuh kasih yang disimbah pada
diri.
“Kenapa yang singa mengaum macam
tercabut ekor mak?” soal Qaiser selamba. Air kosong itu dihirup sedikit bagi
melegakan tekak. Cuaca panas dan berjerebu ini sememangnya hanya menambahkan
rasa gatal di tekak.
Sebuah tamparan halus dan ketawa
menjadi irama pembuka cerita. Puan Rohani menggelengkan kepala. Qaiser
sememangnya nakal dan selamba. Tidak seperti anak sulungnya yang selalu sahaja
ada anginnya.
“Mak cakap pasal kahwin, itu yang
macam bom meletup.”
“Mak suruh dia… cuba cakap dengan
Qaiser, esok jugak boleh!” Qaiser mengenyitkan matanya sebelah. Nakal. Untuk
itu, dia menerima habuan juga. Dan dia tahu, Puan Rohani pasti marah. Pantang
katanya, ada anak yang hendak melangkah bendul.
“Jangan nak degil ya Qaiser, biar
abang tu dulu. Mak dah risau sangat ni… nanti abang tak kahwin jugak bila
Qaiser dah isteri, macam mana?” soal Puan Rohani, risau.
“Macam mana apa mak? Biarlah dia jumpa
dengan bidadari dekat syurga. Dah tak ada jodoh dekat dunia, tak boleh paksa.”
Selamba lagi Qaiser berkata. Tidak terlepas juga, kali ini dia menerima habuan
setimpalnya.
“Tak sayang mulut betul. Mak ada pun
dua orang anak aje. Kalau boleh, nak tengok abang tu kahwin cepat. Perangai
makin hari, makin semacam… risau mak.”
“Kalau kahwin, boleh berubah ke
mak?” soal Qaiser. Kali ini dengan nada seriusnya. Dan dia tidak main-main
kerana yang dibincangkan ini adalah kehidupan abangnya. Dan yang akan dikahwinkan
bersama seorang gadis yang belum pasti dapat mengawal diri abangnya. Siapa tak
kenal, si abang yang suka mengaum macam singa. Memang sangat padan dengan
kerjayanya. Zoologi yang suka sangat bertenggek depan kandang singa. Mungkin
Puan Rohani pun terlalu bimbang jika anaknya itu mempunyai minat terhadap
spesies binatang tersebut.
“Mak dah ada calon untuk abang…”
ujar Puan Rohani ceria. Dia tidak peduli jika dirinya dimarah, yang penting dia
harus berbuat sesuatu untuk kebahagiaan anak-anak.
“Dan Qaiser rasa, mak tak payahlah
nak kenalkan dengan singa tu. Baik mak pergi zoo dan carikan seekor singa
betina, mungkin lebih padan agaknya!” Selamba lagi bicara Qaiser. Dan serentak
itu juga cubitan padu Puan Rohani hinggap di pipi anaknya.
BERSIMPUH
Adila dan Bahar, tekun menyiapkan tugasan ditemani Anis menjadi guru percuma.
Asma seperti biasa, waktu ini adalah waktu untuk memberikan tenaga kepada
kecantikan katanya. Itulah satu-satunya adik Anis yang mampu melaram berjam-jam
di hadapan cermin. Kadang Anis yang melihat rasa hendak termuntah. Tidak muak
ke merenung diri sendiri sampai sejam, dua… tapi, itulah Asma. Makhluk paling pelik
dan ganjil dalam rumah.
Ah, Anis… mengata dulang, paku
serpih, mengata adik sendiri, engkau juga yang lebih.
“Akak… mak kata Abang Iman dan
keluarga datang hujung minggu ni.” Maklum Bahar dengan nada nakal. Bahar
melepaskan ketawa apabila Anis mula menghadiahkan jelingan tajam.
“Nak belajar ke apa ni? Akak caj,
sejam sepuluh ringgit baru tau!” ugut Anis.
“Nanti Bahar suruh abah bayar…”
Serentak itu tangan Anis mencecah ke
telinga Bahar. Dipulas manja. Galak sungguh adiknya yang ini.
Adila di sebelah Bahar ikut
tersengih juga. Kalau tidak mengusik Anis, itu bukan Bahar namanya. Adiknya
yang hanya muda setahun daripadanya itu, sangat cilik kalau hendak mengusik
Anis dengan bait kata.
“Ni kenapa pulak? Anis…”
Tegur Puan Amina yang datang dengan
dulang berisi minuman. Terkejut melihat tangan Anis yang giat memulas telinga
Bahar. Tetapi anak lelakinya itu hanya tersengih riang.
“Anak mak ni, suka sangat cakap
macam mak cik!” Anis menjuihkan bibir, geram. Tidak puas lagi hatinya biarpun
dapat memulas telinga Bahar.
“Bahar… masa belajar kena belajar.
Jangan banyak main.” Tegur Puan Amina, seperti biasa. Gelas yang berisi jus kordial
laici itu dihulurkan pada anak-anaknya. Sepinggan wedges yang disediakan sendiri diletakkan bersama. Sememangnya
salah satu sikap Puan Amina, sentiasa memanjakan perut anak-anaknya tidak kira
masa. Maklumlah, anak-anak sedang membesar. Dan selagi punya kudrat, dia ingin
sentiasa memberikan apa jua dengan penuh kasih buat mereka.
“Mak ni, macam tahu aje… perut Bahar
dah menjerit tak tahan kena dera dengan singa garang!” Bahar terus merentap wedges dan dimasukkan ke dalam mulut.
Anis mengetap bibir. Singa digelar
dirinya? “Tu, makan baca bismillah tak?” disindir Bahar. Serentak itu batuk
kecil ditangkap pendengarannya. Puas dia tersenyum.
“Anis…” Puan Amina menggelengkan
kepala. Anaknya ini, mengalahkan Bahar pula. “Malu dengan Bahar… dia kecik
lagi. Anis tu kakak… esok-esok dah layak jadi mak orang dah.” Tegur Puan Amina.
“Dengar tu kak… layak jadi mak orang
lepas nikah dengan Abang Iman!” tegas Bahar. Seronok jadinya bila Puan Amina
menyokong.
“Bahar tu pun tak payah sibuk sangat
nak usik Kak Anis… awak tu belajar!” Puan Amina menegur Bahar pula. Teguran
yang diberi biar sama rata. Semua anak pun harus menerima kasih sayang yang
serupa. Tiada lebih dan kurang.
Anis pula menelan air liur. Terasa
kesat pula. Hendak diajukan soalan pada Puan Amina. Lidahnya begitu
teragak-agak untuk menutur kata.
“Bila
keluarga…” tersekat suara Anis yang ingin bertanya itu. Pandangannya bertemu
dengan Puan Amina. Emaknya tersenyum.
“Ahad ni. Anis tak kisah kan?”
Sekali lagi mata Puan Amina cuba
membaca isi hati Anis. Senyuman di bibir Anis tidak menggambarkan apa yang
berada di hati. Puan Amina dapat melihat itu dengan jelas sekali. Tetapi pandai
sungguh Anis berlagak seolah selesa dengan keadaan ini.
“Mak… Anis cuba untuk mak. Maafkan
Anis kalau Anis selalu susahkan mak…” Spontan bibir Anis terluah kata. Renungan
Puan Amina yang lembut itu seolah membunuh hatinya. Tidak sanggup dia hendak
mengungkap yang tidak jujur hanya untuk menyenangkan hati emaknya di masa ini.
“Tak apa, mak faham. Perasaan ni
bukan boleh dipaksa. Anis tak berkenan, mak tak paksa… cuma, mak mungkin tak
boleh berhenti cari calon selagi anak mak tak bertemu jodoh selayaknya.”
“Kalau tak jumpa jugak, kahwinkan si
Asma dululah… sakit mata Anis tengok dia duk melaram depan cermin macam
pengantin baru tiap-tiap hari.” Tutur Anis dengan tawa. Sengaja hendak mengubah
moodnya. Cadangan itu disambut baik oleh Bahar.
“Yang tu, Bahar pun setuju mak…”
sahut Bahar sambil elok ber-give me five
dengan Anis. Sekejap sahaja sudah elok mood mereka. Bergelak ketawa seperti
biasa.
Dan
serentak, telinga Anis dan Bahar menjadi tempat persinggahan jari Puan Amina.
Adila terus menekup mulut menahan tawa. Mujur dia lebih memilih untuk
menyiapkan kerja sekolahnya daripada mencelah bicara dengan Bahar dan Anis.
Kalau tidak, pasti dia pun akan menerima habuan._________________________________
Dan ya, ini mini novel :) layannnnn
selesaikan kisah depa ni sebelum ramadhan.
iman anas tu abangnya si qaiser tu lah ye? kesian plak kat qaiser....
ReplyDeleteBest.....
ReplyDeleteHope cepat2 sambung.... #^_^
Don't tell me yg Iman Anas tu Abang Qaiser?!
ReplyDeleteKalau la betul, terkesian kt Qaiser. Tp kalau Anas yg anis suka adalah sama dgn Iman Anas ni kan, apa yg manis dan sopan nye bila org gelarkan dia singa
Anas tu mesti abang Qaiser... sesuai lah tu Anas singa jantan dan Anis singa betina.... hahaha
ReplyDeletetentu Qaiser patah hati bila abang dia yang tercalon untuk Anis... tentu Anis pun serba salahkan ... peninggg..... bestttt....
mcm Anas tu abg qaiser je...
ReplyDelete