GAGANG
telefon yang dihulurkan oleh Puan Amina disambut dengan tangan yang terketar.
Entah lawak apa yang hendak dipersembahkan oleh Puan Amina. Selamba sahaja
meminta dirinya untuk beramah mesra dengan bakal mak mentua. Oh, nak disebut
pun masih terasa janggalnya.
Telefon yang sudah melekap di
telinga dipegang seerat mungkin. Bimbang pula kalau terlolos daripada pegangan.
Memalukan.
“Apa khabar Anis?”
“Sihat… mak cik?” Anis cuba
berbasa-basi. Hendak bina chemistry
bukan satu kerja mudah. Tetapi, kalau bukan mudah… bagaimana dengan mudahnya
dia berkata ya untuk Iman Anas?
“Alhamdulillah… sihat jugak. Mak cik
lagi ya? Bukan dah boleh panggil mak?”
Untuk usikan itu, wajah Anis terasa
berbahang seketika. Mak? Tunggu nikahlah!
“Sebenarnya, mak ada nak sampaikan
hajat orang tu… bakal tunang Anis.”
Bicara itu hanya menyesakkan nafas
Anis. Hajat apa pula makhluk bernama Iman Anas itu?
“Katanya, nak serba sederhana
semuanya. Jadi untuk tunang, dia pun takkan datanglah. Mak pun tak nak memaksa…
Anis tak kisah kan?” Anis terkesan nada serba salah di hujung bicara emak Iman Anas.
Lantas dia tersenyum. Suaranya
diceriakan. “Tak apalah makkk cik…” Anis mengetap bibir laju. Mujur dapat
ditelan perkataan ‘cik’ di hujung ayat itu. “Anis tak kisah pun. Lagipun tunang
ni, bak kata mak Anis, eloklah bersederhana. Anis pun suka macam tu…” tutur
Anis. Kononnya tidak kisah.
Tetapi
dalam kepala sudah bertubi-tubi dengan soal jawab bersama minda. Seingatnya,
Kamilia juga melangsungkan pertunangan yang cukup ringkas. Tetapi, bakal
suaminya ada sekali. Ini fesyen daripada mana Iman Anas hendak aplikasi? Pelik
juga manusia yang terkenan di hati Anis ini. Namun hendak menarik semula
kata-kata yang telah diucap, mungkin sudah terlewat.
Maka
pasrah sahajalah Anis!
“Lagi
satu… Iman nak tahu, Anis setuju sebab Anis suka, atau sebab mak dan abah?”
Dan
itu, soalan menjerut minda. Segera Anis berdehem membetulkan suara. Mana ada
sesiapa yang paksa. Memang dia terpikat dengan senyuman Iman Anas. Dan hanya
sebab itu? Anis menjadi terkejut sendiri. Betapa kuatnya faktor pengaruh nama
Anas dan senyuman yang berjaya membuatkan hatinya terpikat.
“Anis
yang setuju. Tak ada siapa paksa, mak.”
“Alhamdulillah…
kalau macam tu, mak harap… kurang dan lebih anak mak ni, Anis terima dengan
ikhlas ya. Mak syukur sangat, Iman bersetuju nak kahwin… kalau tak sebelum ni
asyik menolak aje.”
Anis
tersengih sendiri. Patutlah Puan Amina cakap, padan Iman Anas dan Anis.
Perangai mereka serupa! Dua kali lima kalau bab hendak menolak pinangan.
“Insya-Allah, hujung bulan jadilah
majlis ya.”
Anis mengangguk sahaja biarpun emak Iman
Anas tidak mungkin dapat melihat anggukannya.
SEBULAN
itu bagaikan sehari. Berlalu dengan begitu pantas sekali. Anis sudah bersimpuh
di atas permaidani yang dihampar eksklusif buat dirinya. Kamilia turut hadir
untuk menyibukkan diri. Memberi komen tentang itu dan ini.
“So,
tak dapatlah aku tengok Iman Anas yang berjaya mengoyahkan hati kau tu?” Keluh
Kamilia. Beria-ria dia datang, alih-alih Anis cakap…
“Bukan datang pun Anas…” Anis juga
seakan kecewa. Kalau hendak dikira dengan jari, sekali sahaja mereka bersua
muka.
“Tak apalah… mungkin dia istimewa.
Bila dah jadi suami, hari-hari jumpa.” Kamilia menuturkan dengan penuh nakal.
Senyuman yang menghiasi bibirnya menerima balasan daripada Anis dalam bentuk
jeliran lidah.
Tetamu yang dijemput hanya beberapa
orang sahaja. Daripada keluarga emak dan abah. Sekadar wakil sebagai makluman
kepada majlis tunang yang berlangsung. Anis pun sekadar mengenakan sepasang
baju kurung kain satin yang baru dijahit oleh Asma. Hampir mengamuk Asma bila
Puan Amina menyuruh Anis memakai baju itu. Tetapi amukan yang bertahan tidak
sampai beberapa saat, Asma sudah mengeluarkan baju yang lebih cantik untuk
disarungkan ke tubuh gadis itu.
Adila muncul dengan senyuman lebar.
Lantas bersimpuh di sisi Anis. Bibirnya didekatkan pada wajah Anis.
“Dah sampai. Jangan terkejut tau…”
bisiknya.
Mata Anis terbuka luas. Adila ini,
ada sahaja ayat yang boleh menyeramkan Anis. Jangan terkejut kenapa? Yang
datang hari ini, bukankah manusia? Atau dia sebenarnya telah dijanji untuk
berikat tunang dengan makhluk berlainan alam? Haish…
“Kenapa?” Kamilia di sebelah ikut
berbisik juga.
“Entah Adila ni, cakap jangan
terkejut. Jangan terkejut kenapa?” ucap Anis dengan gugup. Tiba-tiba sahaja
darah gemuruh mulai menyerang.
Dahi Kamilia turut berkerut. Lantas
dia bangkit dan menuju ke pintu. Dari situ dapat dilihat, sepuluh orang
daripada pihak lelaki sudah masuk ke perkarangan rumah emak dan abah Anis. Lama
meneliti, akhirnya… Kamilia terlopong sendiri. Mulutnya ditekup pantas. Laju
juga dia berpaling pada Anis. Mungkin Anis tidak tahu? Mungkin…
TANGAN
Anis naik ke dahi. Kemudian ke pipi pula. Berulang kembali ke dahi. Rasa macam
nak berpusing kepala. Pertama, hampir menitis air mata melihat barangan yang
diterima sebagai hantaran. Sungguhlah kreatif Iman Anas! Sumpahnya dalam hati.
Keduanya, agak tergamam dirinya
apabila melihat jasad seorang insan di hadapannya ini. Mujur tidak mengalir air
mata sahaja. Kadang-kadang Anis juga mempunyai potensi untuk memegang watak
melodrama utama.
“Sudahlah kau kecewakan dia… lebih
buruk, kau nak jadi ipar dia!” Kamilia memberikan ayat motivasi yang sangat
diperlukan Anis. Untuk itu Anis hanya mampu menghadiahkan jelingan tajam.
“You
are my future sister-in-law. Amazing…” Qaiser tergamam. Mana tidaknya,
hadirnya bersama Puan Rohani untuk majlis pertunangan ajaib yang dipersetujui
oleh abangnya. Tidak pula tersangka, Iman Anas akan dijodohkan dengan Anis
pilihan hatinya. Dia sudah tidak kecewa kerana dia tahu Anis tidak menyukainya.
Tetapi yang membimbangkan Qaiser, bagaimana Anis akan bertahan dengan Iman Anas
yang perangainya serupa singa?
“Saya tak tahu…” jujur Anis
menjawab.
Qaiser ketawa. “Saya pun tak tahu
masalahnya… mak pun ada sebut entah tak nama awak dekat saya. Iman tu jangan
nak sebut, cakap pun tidak!”
Melihat Qaiser ketawa seperti biasa,
Anis terasa lega. Mungkin dia yang teremosi sedikit. Lagipun, Qaiser kan matang
orangnya. Mana mungkin dia bakal kecewa.
“Tapi, saya minta maaflah bagi pihak
Iman… dia bagi hantaran serupa macam nak bagi hantaran dekat makwe zoo dia.”
Sindir Qaiser selamba. Dia pun terkejut melihat hantaran yang dibawa oleh pihak
lelaki tadi. Tapi apa yang hendak dikata, pertunangan Iman Anas… si zoologi
yang paling pelik! Hantaran tunang pun macam zoo juga!
“Makwe zoo dia?” Anis terkejut.
Kamilia juga ikut pelik.
“Iman kan zoologis. Suka sangat duk
beramah mesra dengan singa betina dekat tempat kerja dia. Tu yang mak saya
risau sangat, sampai cari calon secepat mungkin. Takut dia ada tarikan dengan
haiwan pulak…” selamba juga Qaiser bercerita.
Dan perbualan antara Anis dan Qaiser
berlangsung dalam suasana yang begitu harmoni. Nampak sangat begitu diredhai
hubungan ipar-duai ini. Anis tersenyum mendengar Qaiser bercerita mengenai Iman
Anas semasa zaman muda remaja. Dan bagaimana seterusnya terjebak dengan
pengajian sehingga menjadi zoologi.
“Anis… saya nak tanya sesuatu.”
“Tak perlu minta izin, tanya aje…
dan mungkin kena mula panggil Kak Anis kot.” Menyibuk sahaja Kamilia menyampuk
dari sisi. Jelingan Anis sekadar dibalas dengan sengihan panjang.
Qaiser tersenyum nipis. Tidak ada
masalah untuk meletakkan pangkat kakak di depan nama. “Kak Anis dah kenal Iman?
Memang setuju dengan seikhlasnya?” soal Qaiser perlahan. Sungguh dia bimbang.
Haraplah Iman Anas tidak akan menjadi singa dengan Anis kelak.
Anis memandang Kamilia. Pertanyaan
itu benar-benar kedengaran pelik dan jika dianalisa dengan lebih teliti, sangat
menggerunkan jiwa. Iman Anas itu ada masalah jiwa ke? Atau dia ada sejarah
menjadi pesakit mental? Atau pernah masuk penjara? Atau apa???
Anis menggeleng sebagai menjawab
pertanyaan Qaiser. Serentak itu keluhan Qaiser kedengaran.
“Saya tahu, Iman tu pelik sikit.
Mesti dia takkan mahu untuk telefon, mesej… nak jumpa, lagi jauhlah. Tapi
apapun, saya nak sangat… Kak Anis kenal betul-betul dengan Iman sebelum
berkahwin. Saya bukan cakap macam ni sebab cemburu Kak Anis tunang dengan abang
saya. Saya cakap atas dasar prihatin sebagai bakal adik ipar… harap Kak Anis
dapat usahakan sesuatu. Apa-apa pun, saya ada untuk membantu.”
Anis tergamam di situ.
Persoalan yang menyesakkan benaknya,
apa yang tidak kena dengan Iman Anas? Melihat pada hantaran di atas dulang pun
dia seakan dapat merasa, ada yang pelik! Tetapi… yang pelik itu juga dia
berkenan. Berkenan pada senyuman yang dilihat tidak sampai lima saat? Oh Anis…
kau memang sangat cerdik bab hendak memilih calon suami idaman.
Assalamualaikum kak Umi. lama tak lepak rumah kak umi ni. hihi. best sangat cerita ni. buat kita nak tahu apa jadi seterusnya. thanks kak umi. :)
ReplyDeleteApe la hantaran yg Iman bagi tu... curious da ni coz qaiser ckp hantarant u pelik... naseb baek qaiser ok n boley terima anis jd bakal kakak ipar...
ReplyDeleteBest....nak lg :)
ReplyDeleteCuba utk membayangkan dan meneka apakah hantaran Iman kepada Anis, tp buntu. Kalau dh suka, terima seadanya lah. Nnt nk hidup sama2 kan.
ReplyDeleteBest....
ReplyDeleteAnis dan Anas kan sama-sama pelik... tu yang ada jodoh..... hehehe
ReplyDeleteAdik ipar buat akak ipar takut ja....
membayangkan hantaran pun boleh buat Anis jatuh hati .... parah ni... hahaha
Rupa manalah hntrn yg iman bg kt anis ye..serous nk tau.blh byg comel..hehe..kesian qaiser..xpa nnti ada ug trbaik
ReplyDeleteHehe..mcm lawa plus sedih je citer ni..tapi bestttt
ReplyDelete