Advs

Followers

July 22, 2013

Tidak ku sangka 18



TERMENUNG.
Itu yang dilakukan oleh Asma sejak Zahran datang melemparkan kata-kata nista pada dirinya. Tidak cukup dimalukan dirinya, diheret sekali emak ke dalam cacian itu. Asma tahu, salahnya. Semakin banyak kesedihan yang sedang dihadiahkan buat mereka yang mempercayai dirinya. Abah, emak, Kak Anis dan adik-adiknya. Biarpun mereka melayannya dengan baik, tetapi hatinya menjadi sakit. Dia telah mempalitkan najis pada maruah keluarga.
Lebih malu lagi jadinya apabila bakal mentua Anis juga sudah tahu akan hal itu. Bertambah malu apabila adik Iman Anas, Qaiser mencadangkan sesuatu. Mungkin cadangan itu ikhlas, tapi Asma takkan melupakan pandangan sinis yang dihadiahkan buat dirinya. Terasa diri ini jijik. Dah memang salah kau, Asma…
Mungkin ada benarnya daripada cadangan Qaiser. Dia patut jauh daripada keluarganya. Dia patut bersendiri dan biarkan mereka mengecap bahagia. Kehadirannya dengan anak luar nikah hanya mampu diibaratkan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.
Sofa di sisinya terhenyak. Tubuh Anis sudah mengambil tempat di situ. Asma sudah berkira-kira hendak bangun dan masuk ke bilik. Tetapi Anis memaku langkahnya.
“Nak ke mana pulak? Aku bawa kuih lopeh untuk kau ni…”
Kuih lopeh? Asma menelan liur.
“Dah tak teringin ke? Penat aku belajar buat dengan mak Kamilia… rasalah.” Pujuk Anis sambil menarik lengan Asma untuk kembali duduk. Konon hendak suruh rasa air tangannya. Padahal, dia beli saja pun.
“Kak Anis… kau buat untuk aku ke?” soal Asma. Matanya sudah terbuka luas melihat kuih lopeh yang sudah dibanjiri gula merah.
“Rasalah… sedap ni!” Anis sengaja mengelak menjawab soalan. Tetapi rasa kuih itu, memang sedap sangat. Pasti Asma suka. Sudah dua, tiga hari bibir itu asyik menyebut nama juadah itu.
Keinginan deria rasa yang membuak-buak membuatkan Asma mencapai sudu di atas piring itu. Dicubit sedikit bahagian tepi kuih lopeh itu dan dimasukkan ke dalam mulut. Manisnya terasa sebaik sahaja ia meresap mengenai tunas rasa. Wajah Anis tersenyum ceria memandangnya.
“Sedap…”
“Kan aku dah cakap!” sahut Anis laju.
“Tapi rasa kedai…” ucap Asma kemudian.
Anis tersengih. “Bau kedai kuat sangat ke? Tapi tak kisahlah… sedap, kan? Makanlah lagi… aku beli untuk kau pun. Habiskan ni.” Anis menyuakan piring itu untuk dipegang oleh Asma. Tetapi ia dibiarkan sepi tidak bersambut. Apabila Anis melihat ke wajah Asma, air mata adiknya sudah mengalir membasahi pipi.
“Kau janganlah layan aku macam ni. Aku dah banyak salah, Anis.” Ucap Asma sambil menahan esakan. “Aku rasa tak layak bila semua orang layan aku dengan baik.”
Kebaikan yang dihulurkan kepadanya sangat tidak setimpal dengan apa yang telah dia berikan kepada mereka sekeluarga sebagai hadiah. Terasa diri makin tidak layak untuk terus berada dalam rumah ini.
“Janganlah macam ni… aku tahu kau buat salah dan kau pun dah sedar. Takkan sebab satu kesalahan tu, kau nak emak dan abah campak kau keluar daripada rumah? Itulah bezanya sayang mak dan abah kepada anak-anak berbanding sayang anak kepada mereka.”
Anis meletakkan piring di meja kopi. Bahu Asma yang terhenjut itu, diusap lembut.
“Aku tak boleh duduk sini dah, Kak Anis… lagi lama aku dekat sini, lagi malu mak dengan abah.”
“Asma… dah jangan nak fikir macam-macam, mak dan abah langsung tak kisah! Memang orang akan mengata macam-macam…tapi yang penting bagi mak dan abah, kau ada depan mata mereka. Sama juga untuk aku dan adik-adik.”
Anis terus menarik Asma ke dalam pelukan. Tangisan itu tidak mampu diredakan. Dan apabila Asma berkeras dengan keputusan, Anis hanya mampu tergamam. Tidak mampu dipujuk dan tidak mampu diubah.
“Betul kata Qaiser, Kak Anis… aku kena pergi jauh, baru aku dapat berikan bahagia untuk keluarga.”
Anis mengetap bibir laju. Qaiser ini pun… kenapa harus diberi cadangan itu kepada adiknya? Padahal Asma bukan menganggu dia. Atau Qaiser malu? Adik kepada bakal kakak ipar mengandungkan anak luar nikah? Jika benar begitu, Anis tidak mampu hendak berbuat apa. Tetapi untuk membiarkan Asma mengambil cadangan Qaiser sebagai sesuatu yang serius, Anis tidak betah.

TIDAK tahu hendak diceritakan kepada siapa. Hendak menyusahkan telinga Iman Anas, dia terasa serba salah. Malu pun ada. Asyik-asyik kalau Anis telefon Iman Anas pun, bercerita tentang masalah Asma. Iman Anas pun tidak banyak rungutnya. Mendengar sahaja tanpa mencelah. Berkata bila perlu dan pastinya tiada bicara yang tidak-tidak.
Wajah Kamilia yang baru sahaja tiba di Pizza Hut seperti yang dijanjikan dipandang dengan rasa sedih. Mungkin pada Kamilia mampu diceritakan segala yang terbuku di hati. Dan sama sepertinya, Kamilia juga tidak bersetuju untuk membiarkan Asma pergi sendiri.
“Tapi kan Anis… kalau itu yang Asma mahu buat sementara waktu, biarkanlah… mungkin kalau dia terus tinggal di rumah, dia akan stress. Bayi dalam kandungan pun akan terima kesan sama. Kalau itu yang boleh menenangkan hati dia, aku rasa cadangan Qaiser boleh dipertimbangkan juga.”
“Tapi mak dengan abah…” Anis mula merisaukan tentang perkara lain pula. Tadinya tentang Asma. Sekarang emak dan abah. Esok-esok, dirinya pula.
“Kaulah kena pujuk… fahamkan mereka. Kesian juga dengan Asma… mungkin dia tak sangka, kerana satu langkah yang salah… dah macam ni nasib dia. Tapi betul ke lelaki tu langsung tak nak bertolak ansur?” soal Kamilia apabila teringatkan kisah Zahran yang dikhabarkan oleh Anis.
Anis menggeleng. Memang lelaki itu keras kepala. Lelaki yang buat perempuan macam sampah. Bila dipakai, dibuang begitu sahaja. Tapi hendak marah sungguh-sungguh kepada Zahran, tidak boleh juga. Asma pun menyerah dengan mudah. Mana perginya rasa malu dan iman di dada. Senang-senang tersungkur bila nafsu membuak!
“Tak try minta tolong Anas?”
Anis menggeleng juga. “Aku malu dah… yang sekali tu pun, sebab dah buntu sangat. Mujur dia baik dan mahu tolong. Tapi memang Anas dah warn aku tentang sikap abang dia. Katanya parent dia pun akan buat macam tu jugak… sekarang ni, macam mana? Aku tahu mak dengan abah tak kisah pun kalau Asma ada dekat rumah… kata orang, biar ada di depan mata… bila jauh, lagi risau fikir tak tahu apa jadi…” Anis mengeluh kecil.
Penyelesaian ada, cuma bila hendak bersetuju rasa kurang senang. Bimbang pula.
“Kalau tanya aku… mungkin boleh pertimbangkan apa yang Qaiser cakap. Dan kau janganlah nak marahkan dia pula fikir yang bukan-bukan. Sekurang-kurangnya dia nak tolong.”
Kamilia menggenggam tangan Anis erat.
“Boleh ke Kamilia?” Anis masih ragu.
“Fikir yang baik-baik… insyaAllah. Suasana yang baru boleh juga menceriakan Asma. Tidak pun, hantar ajelah mak dengan abah untuk teman Asma.” Cadang Kamilia.
Dan Anis tahu, cadangan itu pun wajar ditolak. Mahu mengaruk Bahar kalau mak dengan abah tinggal dia di rumah. Anak manja itu bukan boleh diduga. Walaupun dalam hal Asma ini pun, Bahar kelihatan matang dan banyak menyokong kakaknya itu.
“Saya minta maaf kalau cadangan saya buat Kak Anis pening kepala…” Dan suara itu mencelah.
Anis terkejut sampai memegang dada. Overreaction!
Kamilia pula tersenyum nipis sambil mempelawa Qaiser untuk duduk bersama mereka.
Qaiser menggeleng. Dia dan temannya sudah mahu beredar. Tetapi rasa tidak sedap hatinya apabila terdengar keluhan Anis pada Kamilia.
“Apa pun, saya cuma nak Kak Anis percaya… ini untuk kebaikan semua. Dan Asma juga akan bahagia, percayalah…” tutur Qaiser dengan yakin. Niatnya baik. Dia bukan hendak menganiaya anak orang. Apatah lagi orang itu sudah sedia dianiaya. Dia hanya ingin memudahkan keadaan buat semua orang.
“Tapi okey ke tempat tu? Asma boleh ke duduk situ sorang-sorang?” soal Anis risau.
Qaiser tersenyum.
“Asma tak seorang Kak Anis… ada lagi dua orang pekerja tetap dekat situ. Lagipun, saya rasa sesuailah suasana tu untuk ceriakan hati bakal ibu macam Asma… Apa yang penting, Asma kena pandai masaklah.”
“Masak?” Anis keliru. Ke mana hendak dihantar Asma ini sebenarnya? Jadi tukang masak?
“Masak untuk budak-budak dekat taska… dan saya pun dah jelaskan dekat kawan saya, ada seorang ibu mengandung ni perlukan kerja sebab husband dia dah tinggalkan secara tiba-tiba. Kawan saya tu okey, dia nak tolong… Asma boleh tinggal dekat situ. Ada bilik kosong untuk pekerja dan tak perlu bayar.” Qaiser tersenyum kerana semua hal itu sudah dipastikan beres. Tinggal untuk hantar Asma sahaja.
“Taska?” Anis menyoal lagi. Lambat pula otaknya hendak mencerna.
“Asma tahu tak yang dia akan dihantar ke taska?” Anis menyoal Qaiser kerana menurut andaiannya, Asma tidak tahu tentang itu.
“Sebenarnya, hari tu saya cadangkan tempat lain…” Suara Qaiser merendah. Sebenarnya dia mencadangkan untuk Asma ke rumah pusat pemulihan akhlak. Dan atas cadangan itu, dia nampak wajah gadis itu terluka. Tapi dia kejam juga, baru sekali jumpa… sinis sahaja berbicara dengan orang yang sudah sedia ada masalah.
“Tapi yang ini dah confirm sebab kawan saya kebetulan telefon bagitahu dia perlukan pekerja. Jadi, saya cadangkan Asma… dia kata okey. Dan boleh mula bekerja bila-bila masa pun…” sambung Qaiser dengan gembira.
Terasa kurang sikit rasa bersalahnya pada Asma. Puas juga dia menadah telinga mendengar bebelan Puan Rohani kerana berbicara ikut sesedap mulutnya sahaja.
“Dekat mana tu Qaiser?”
“Shah Alam…”
Anis terus memandang Kamilia. Hendak berkata tidak, tersekat di kerongkong. Jauhnya!!! Mahukah emak dan abah melepaskan Asma seorang diri ke situ?

“MACAM tak happy aje?”
Soalan itu dibiarkan sepi. Memang dia tak rasa gembira. Sedikit pun tidak. Macam mana hendak gembira, kalau yang menghantar pemergian Asma tadi hanya wajah sedih Puan Amina dan Encik Bohari.
“Jangan risau… Qaiser akan hantar Asma selamat ke destinasi.”
Iman Anas berpeluk tubuh di sisi Anis. Melihat kereta Qaiser yang sudah hilang dari pandangan mata.
“Rajin pula dia nak menghantar, sampai saya nak ikut pun dia tak bagi…” Anis seolah berkecil hati. “Entah-entah dia nak pergi hantar Asma dekat tempat lain!” Anis menjadi ragu.
“Anis…” tegur Iman Anas tidak senang. “Qaiser tu adik saya. Bakal ipar awak… takkan dia nak buat macam-macam dekat Asma pula. Jangan terlalu berprasangka, tak elok!”
Anis menjeling. Terasa disindir. Memang dulu pun dia berprasangka dengan Iman Anas. Tapi nasib keadaan itu sudah dibetulkan. Terasa masalah datang bermusim. Hilang satu, diganti satu. Dan lagi satu masalah sudah sedia menunggu. Hendak dicakap kepada Iman Anas, terasa berat bibir untuk menyebut.
“Cakaplah…”
Anis terpinga bila Iman Anas menyuruh dirinya berbicara.
“Saya tahu awak ada benda nak cakap… sebab nampak gelisah aje dari tadi.”
Anis menelan liur lagi.
Macam mana hendak dicakap? Hendak dimulakan daripada mana?
“Kalau saya cakap, awak jangan kecik hati pula…”
“Hati saya pun bukan besar mana untuk mengecut secara tiba-tiba.” Bicara Iman Anas dengan nada yang selamba. “Cakaplah… saya sedia nak dengar. Kalau awak nak cakap, kita tak jadi kahwin awal tahun depan pun… saya sedia nak dengar.”
Anis tersentak. Matanya terus berkaca. Iman Anas… dia benar-benar tidak menyangka!

9 comments:

  1. Memang Asma buat silap tapi sekurang-kurangnya kelurga Anis dan Iman x singkirikan dia itu dah terlebih baikkk... saling membantu...
    Asma perlukan ruang untuk dia berfikir... betul juga cadangan Qaiser tu..
    Iman Anas memahami Anis sebab tu Iman tahu Anis hendak tangguhkan perkahwinan atas sebab Asma kan...
    sweettttt betul Iman ni kan Anis....

    ReplyDelete
  2. memang seronok rasanya bila ada org yg dpt memahami diri kita (sambil mata terkebil2 gaya cute tak hengat)

    -chah husain-

    ReplyDelete
  3. Eh eh Anas pencinta haiwan ni mmg understanding ke nak spend more time ngan cinta mati cik Anita dia tu kehkehkeh

    ReplyDelete
  4. Baik sangat Iman Anas ni....ni yg wt xtahan ni

    ReplyDelete
  5. owh tu rupenye cadangan qaiser... ingtkan apa la... tapi ok jugak cadangan dia hantar asma keje kat taska... sekurang-kurangnya asma tak akan kena caci sebab orang kat sana tak tau yang dia mengandung anak luar nikah...

    ReplyDelete
  6. alahai..anis nie comel sgt lah...iman anas confirm boleh lupakan anita hehehe

    ReplyDelete
  7. Ingatkan qaiser cdg nk kawin dgn asma..hehe..tp syukur family iman fhm mslh family anis

    ReplyDelete
  8. Misi kk numpang share ya..!! jika ada yang berminat bisa langsung ke website kami
    INFO AGEN JUDI ONLINE 988BET
    AGEN JUDI ONLINE
    AGEN JUDI
    AGEN BOLA
    PROMO BONUS 988BET
    PREDIKSI BOLA

    ReplyDelete