Advs

Followers

July 15, 2013

Tidak ku sangka 15



SENYAP sahaja suasana dalam kereta. Anis memandu tanpa banyak tanya. Dipandu sahaja mengikut arah yang diisyaratkan oleh Asma. Hatinya terasa tawar. Pada mulanya terasa hendak marah lelaki yang menjadikan Asma begini. Tetapi bila difikir semula, bukankah Asma juga bersalah? Kenapa tidak dipertahankan maruah itu?
Perempuan tak boleh lemah dan bersikap menyerah! Dan menyerah dalam situasi Asma ini sangat tidak kena pada tempatnya. Apa yang haram itu, ada sebabnya. Allah tidak menetapkan sesuatu melainkan untuk kebaikan hamba-Nya. Sebab itu dikatakan janganlah sesekali kita mendekati zina. Dan akibatnya, seperti inilah.
Anis mengerling ke arah Asma yang sedang mempamerkan aksi cacing kepanasan. Telefon bimbit itu berkali-kali ditekan dan dilekapkan ke telinga. Dan seketika kemudian, adiknya itu mengeluh pula. Tidak perlu Asma bercerita, Anis sudah dapat mengagak apa sebabnya. Pastinya lelaki kesayangan Asma itu tidak mahu menjawab panggilan.
Anis tersenyum kelat. Pedih dan sakit. Buta lagikah mata Asma sehingga tidak mampu menilai ketulusan hati lelaki itu? Dia tak sayangkan kau, Asma. Hati Anis berbisik kuat. Geram juga bila melihat adiknya yang seakan buta hati. Sudah hilang maruah, masih hendak tersua-sua lagi. Biarpun ungkapan itu kedengaran kejam, tapi itu yang Anis rasakan di saat ini.
“Dia tak nak jawablah tu. Tak payahlah nak telefon lagi!” ujar Anis yang sudah rimas.
Tetapi Asma, masih hendak mempertahankan. “Dia sibuk rasanya. Dia tak pernah tak jawab call Asma,” balas Asma yakin.
Anis tersenyum sinis. Dia dah mengandungkan anak dara orang! Masih punya keberanian untuk menjawab ke? Dan Asma pula, yakin sangat! Anis menjadi panas. Hendak disindir, hakikatnya itu adik. Hendak menangis, tidak berguna juga kalau manusia itu yang cari penyakit sendiri.
“Akak, ambil lorong kiri… simpang depan ni.”
Arahan daripada Asma itu menyedarkan Anis. Mereka sudah berada di sebuah kawasan perumahan. Pada pandangan Anis dalam masa yang singkat ini, ia kelihatan seperti perumahan mewah. Sebuah rumah pun besarnya gabungan beberapa buah rumah mereka.
“Rumah nombor 21.”
Anis mengangguk sahaja. Dan keretanya mula berhenti perlahan di situ. Diteliti dari luar rumah yang dihiasi pagar mewah, coklat dan bersalut warna emas di hujungnya. Rumah dua tingkat tetapi keluasan kawasan itu tidak dapat diramal oleh kepala Anis.
Asma sudah keluar dari kereta tanpa isyarat. Anis menanti sahaja. Dipandang wajah adiknya yang beria menekan loceng. Asma… hatinya berbisik pedih. Kenapa kau jadi macam ni?
Pandangan sayu Anis melekap pada tubuh yang berbaju kurung biru, kain cotton. Setia menanti di pintu pagar yang langsung tiada tanda akan dibuka itu. Asma berpaling dengan wajah hampa. Dan jujur, Anis kecewa. Kecewa kerana dia harus melihat riak itu di wajah adiknya. Apa yang mampu dilakukan saat ini?

TIDAK mampu hendak berfikir sendiri. Semalam selepas pulang ke rumah, Anis terpaksa melihat lagi wajah kecewa abah pula di rumah. Sedihnya hati ini. Sakitnya terasa mencucuk seluruh jasad ini. Tapi, dia tidak mampu untuk hilangkan sakit itu. Dia tidak mampu untuk melakukan apa-apa. Fikirannya buntu.
Asma pula langsung tidak memberi peluang untuk mereka mengkritik lelaki itu. Dia asyik mempertahankan fakta, lelaki itu akan berkahwin dengannya. Entah ya atau tidak, Anis terasa musykil sahaja.
Tetapi, ada sesuatu yang lebih merobek perasaan Anis. Tentang fakta siapa lelaki itu. Gambar yang dihulurkan Asma malam kelmarin, berlayar di ruang mata. Tidak tahu kenapa, hati Anis mengalami satu kejutan yang langsung tidak mampu diterima.
Sakit. Benci. Sedih.
Terasa sangat kosong perasaan ini. Tidak tahu kenapa mindanya mengarah untuk tiba ke sini. Walaupun, setibanya dia ke sini, jujur dia tidak mengharapkan apa pun akan berlaku. Dia tidak mahu bertemu dengan sesiapa pun di saat ini.
Mata mulai terasa panas. Sebelum air matanya menitis tanpa mempedulikan orang sekeliling, baik Anis angkat kaki. Baru sahaja dia berpaling, namanya sudah diseru. Terus dada terasa sebu.
“Anis… buat apa dekat sini?”
Soalan itu tidak dijawab. Anis sudah berpaling menghadap wajah itu. Pandangannya sayu. Hendak diluahkan semuanya, tetapi lidah terasa kelu.
“Anis…” Suara itu menyeru lagi. Nada itu berubah rendah. Risau mungkin.
“Anas… temankan saya.”
Kening Iman Anas terangkat. Wajah Anis yang kelam itu melahirkan tanda tanya. Hendak berkata ya, dia masih ada kerja yang berbaki. Hendak ditolak, tidak sampai hati.
“Kenapa ni?”
Sekali lagi soalan Iman Anas tidak mendapat jawapan secara lisan.
Anis tidak mampu menahan perasaan. Air matanya menitis di situ. Tanpa mempedulikan orang lain, dia sudah tertunduk dan mengalirkan sahaja air mata itu tanpa dikesat.
“Anis…” Perasaan Iman Anas menjadi haru-biru. Kenapa pula dengan tunangnya ini?!
“Temankan saya…” pinta Anis sekali lagi. Matanya sudah mulai merah. Air mata yang sudah dikesat kasar, mengalir lagi.
Iman Anas tidak berkata apa-apa. Telefon bimbitnya dikeluarkan dan ditaip pada skrin itu. Dikirimkan pesanan ringkas pada Fairuz. Memaklumkan bahawa dia hendak pulang dulu. Walaupun tidak patut begitu, tetapi melihat Anis yang sedang berada dalam kondisi emosi yang tidak stabil ini… hatinya terasa sayu sekali.
“Kereta mana?” soal Iman Anas.
Anis menggeleng.
“Datang naik teksi…” jawabnya perlahan.
Iman Anas segera menyeluk saku. Kunci keretanya dihulurkan pada Anis.
“Kereta saya parking dengan hujung sekali, awak pergi duduk dulu… sekejap lagi saya datang.” Iman Anas sempat menudingkan jari telunjuk, mengisyaratkan ke arah keretanya.
Anis berpaling dan mula melangkah dengan rasa longlai. Dan langkah itu mati lagi apabila Iman Anas menyeru namanya kembali.
“Jangan risau, saya ada dengan awak.”
Cukup rasanya sebaris ayat itu yang terungkap di bibir Iman Anas. Sangkanya Anis akan lebih bertenang. Tetapi sebaliknya, semakin rancak tangisan gadis itu. Aduh! Silap dialog pula…

SEBOTOL air mineral dan tisu dihulurkan kepada Anis. Masih tiada siapa yang bersuara walaupun Iman Anas sudah menghentikan keretanya di depan sebuah taman permainan. Langit mulai gelap. Hari pun sudah hendak menginjak ke waktu malam. Rasanya tak elok mereka berlama begini.
“Anis… kenapa ni? Awak ada masalah ke?” soal Iman Anas. Melihat Anis yang masih membisu, dia kehilangan kata. Macamlah dia pandai sangat hendak memujuk orang lain. Kalau hendak marah, pandailah sikit rasanya.
“Anis…” Iman Anas menutur dengan sabar. Perempuan kalau beremosi, kena dilayan dengan penuh kesabaran. Baru kena pada cara. Itu kata emak. Mujur dia sempat mencatatkan ayat itu dan dipahat kukuh ke dalam minda.
“Anas…” sebut Anis perlahan.
“Anas…” Anis mengulang sebut lagi.
“Anis benci Anas!”
Dan Iman Anas tersentak. Kenapa dibenci dirinya pula? Apa salah dia? Bukankah mereka berdua sudah berbaik semula? Ini bala apa lagi yang menanti dirinya? Iman Anas pula yang pening mengandaikan bermacam-macam perkara.
“Anas dah buat adik saya mengandung. Saya benci Anas!!!” Ucap Anis kuat. Air matanya mengalir laju lagi.
Membuntang mata Iman Anas. Ayat yang diungkap oleh Anis begitu jelas terngiang di telinga. Dia tidak silap dengar kan? Bila pula dia mengandungkan anak dara orang? Anis yang depan mata ini pun tidak tersentuh, apatah lagi hendak menyentuh orang lain. Kalau diikutkan kata nafsu, dah lama dia boleh melakukan itu. Tapi difikirkan tentang hukum halal dan haram, pahala dan dosa… setiap perkara ada panduannya. Hidup di dunia ini bukan ikut suka hati kita sahaja!
“Awak cakap apa ni?” Iman Anas menyoal kuat. Mungkin Anis tidak sedar dengan apa yang dikatakan. Maka dia harus menguatkan volume suaranya. Biar bangkit gadis itu daripada lena pendek mungkin.
“Anas…” Anis menangis lagi. “Dia buat adik saya macam tu. Saya tak sangka langsung… Anas macam tu. Anas yang saya pernah kenal bukan macam tu orangnya… saya sedih. Saya sedih sangat… rasa sakit bila fikir dia sanggup buat macam tu.” Anis terus melayan tangisnya.
Iman Anas mula memandang pelik. Anas? Yang pastinya, Anas itu bukan dirinya. Anis tidak mengatakan awak tetapi ia disebut sebagai dia. Makna, memang bukan dirinya. Dan lagi satu, dia bukan manusia yang tegar hendak mengusik anak dara orang! Berdua dengan Anis begini pun terasa gerun.
Dan siapa pula malaun yang begitu berani melakukan demikian kepada adik Anis? Apabila ditanya lagi, Anis hanya terus menangis dan menggelengkan kepala. Iman Anas tahu, perkara ini tidak akan selesai dengan mudah. Dan duduknya mereka berdua dikala hari yang sudah semakin gelap pun, tidak akan mengubah apa-apa. Silap haribulan, mahu dicekup pula.
“Kita balik ya…” ucap Iman Anas apabila tangisan Anis mulai reda.
“Tak nak.”
“Kenapa pulak?”
“Saya benci!”
“Benci apa pulak?”
“Anas!”
Liur Iman Anas terasa kesat. Entah siapa pula Anas yang asyik disebut oleh Anis ini. Walaupun makhluk itu mungkin seseorang yang tidak dikenali tetapi terasa seakan dirinya pula yang dikeji. Sudahlah Anis itu memanggil dirinya sebagai Anas. Dan memang kalau diikutkan Iman Anas, dia tidak suka orang lain memanggilnya Anas.
“Anas…”
Hendak sahaja Iman Anas menjerit, jangan dipanggil dirinya Anas lagi! Tetapi cepat sahaja dikawal emosi. Wajah Anis yang sedia keruh itu, usah ditambah cuka lagi.
“Anas… awak sayangkan saya tak?” soal Anis sayu.
“Kenapa tanya macam tu?” soal Iman Anas kembali. Jujur, dia segan untuk menuturkan jawapan berkaitan soal hati. Dan dia belum bersedia untuk mengungkapkan apa-apa kepada Anis selagi mereka belum sah bergelar suami dan isteri.
“Awak boleh tolong saya?” suara Anis makin ditelan sendu.
“Tolong apa tu Anis, kalau mampu… saya buat. Kalau tak mampu, saya cuba minta tolong orang lain.”
“Tolong…” Anis menelan liurnya. Entah betul atau tidak ayat yang hendak diungkapkan ini. Melihat wajah Iman Anas yang sedang menanti, dia terasa bersalah. Dah kenapa dia kena melibatkan Iman Anas dalam masalah ini pula? Sedangkan ini semua kerana Anas!
Ya, Anas…
Anis, I am waiting…” Iman Anas menyapa apabila Anis dilihatnya seakan berkhayal pula.
“Anas... I should’t ask this but can you do it for me?” soal Anis mengharap.
“Buat apa?”                          
Terketar-ketar sahaja Anis mengungkapkan hasrat hatinya. Dan riak wajah Iman Anas, tenang menerima. Mungkin lelaki itu tidak kisah. Dan Anis benar-benar berharap Iman Anas tidak kisah.

SAMPAI sahaja di rumah, Iman Anas terus mendapatkan sebiji panadol dan ditelan. Sakit pula kepalanya. Pandangan Puan Rohani yang melangkah masuk ke dalam dapur, jatuh pada wajahnya.
“Tak sihat ke Iman?” soal Puan Rohani risau.
Iman Anas menggeleng. “Ada mak Anis telefon?” soalnya ingin tahu.
Kini giliran Puan Rohani pula menggeleng. “Kenapa Iman? Ada masalah ke? Iman dengan Anis gaduh ke?” Bertalu-talu soalan Puan Rohani. Bimbang masalah yang sudah selesai berulang kembali. Lagipun, Iman Anas sudah berjanji tidak akan meninggalkan rumah lagi. Dia tidak mahu anaknya ini jauh daripadanya.
“Tak adalah mak… Iman jumpa Anis tadi, tu yang tanya…” Iman Anas tersenyum nipis. Menyembunyikan perkara yang mula meresahkan jiwanya. Permintaan Anis itu hendak ditunaikan dengan cara apa?
Memikirkan Anis, Iman Anas tersenyum kecil. Anis… Anis… apakah perasaan yang wujud dalam hati ini buat gadis itu? Sayang? Cinta?
“Jangan sayangkan orang lain tau! Tak boleh…” Itu pesan Anis sebaik sahaja dia menghantar gadis itu ke rumah tadi.
Terusik juga jiwa Iman Anas dengan ungkapan itu. Tidak tahu kenapa pesanan itu yang dititipkan. Hendak ketawa, Iman Anas tidak mampu kerana Anis kembali menitiskan air mata sedihnya.

_________________
Apa yang Anis minta tolong ya? Nantikan entry seterusnya pada hari Jumaat. InsyaAllah. Kita berehat sekejap tiga hari, jana idea dan minda :)
Ruang yang ada, kita gunakan sebaiknya... imarahkan bulan yang mulia ini. :)

7 comments:

  1. Harapnya bkn anis nk iman kawin dgn asma...or dia nk cptkan tarikh kawin..apa2 pn tggu hari jumaat lah ni ye umi kan...suka baca karya umi ni

    ReplyDelete
  2. Lambtnya jumaat, sentap jap bila anis sebut nm anas td hihi. Harap2 dia x suruh anas kawen ngn asma.

    ReplyDelete
  3. alahai.. anis jgn mntk bukan2 dah le...

    ReplyDelete
  4. Memang xsangka Anas yg Anis pnh minat tu yg rosakkn asma... takkn anis nk tunang dia jd pak sanggup kot... tp gaya anas macam laen je yg anis mintak...

    ReplyDelete
  5. mcm nk minta cptkan nikah diorg je

    ReplyDelete
  6. X sangka Anas yg Anis suka dulu yg buat x baik pada Asma... mungkin Anis minta Iman Anas teman Anis berjumpa dgn Anas ... Jangan minta kahwin dgn Asma sudah... hanya Anis saja yg faham perangai Iman Anas.. semoga Iman Anas dapat memberi kekuatan pada Anis dan bakal kelurga mertua....

    ReplyDelete
  7. aduh..3ari trse spt 3purnama..alamakkkk xsabor nyer mnanti.hope anis xminta iman anas kawen ngan adik dia..klu tak suh anita kunyap2 c anis nie..hehehe..



    -pipvz devil-

    ReplyDelete