Advs

Followers

July 27, 2013

Tidak ku sangka 19



MEMANG itu pun yang hendak dikatakan oleh Anis. Mana boleh kahwin awal tahun depan. Kandungan Asma sudah mencapai usia sembilan bulan. Pasti akan menunggu masa untuk bersalin pula. Takkan hendak diadakan majlis pada masa itu seperti yang telah dirancangkan.
“Kita tangguh, boleh…” Anis mengetap bibir. Sebenarnya, dia terasa sangat berat hati untuk menangguhkan apa yang telah dirancang. Bimbang, tak jadi terus.
“Kalau tangguh, nak buat bila?” soal Iman Anas.
“Pertengahan tahun, boleh?”
Iman Anas menggeleng. “Tak boleh.”
Mata Anis pula yang membulat. “Kenapa?” Risau mulai memuncak. Jangan Iman Anas hendak berkata batal terus pula. Memang dia akan meraung secara spontan di sini.
“Saya nak ajak Anis pergi Sepilok, awal tahun depan…” tutur Iman Anas. Dan rasanya itulah jawapan untuk soalan yang diajukan. Biarpun Anis nampak terpinga-pinga. Tetapi itu sudah ada dalam rancangan program kaji selidiknya.
“Macam mana saya nak ikut? Kita tak sah lagilah…” protes Anis.
“Kita kahwin bulan depan.”
Anis terlopong. Terkejut dengan ajakan spontan. Terkejut dengan pelawaan yang meniti daripada bibir Iman Anas. Terkejut sakan sampaikan terlupa nak ingat.
“Bulan depan kan puasa… awak jangan nak merepeklah.” Marah Anis. Terasa dimain-mainkan pula.
Tetapi, tidak terasa yang Iman Anas sedang bermain-main dengan ajakan kahwin itu. Wajah lelaki itu tenang dan tegas.
“Minggu depan?”
“Hah???”
Ini baru betul, Anis terkejut besar.

SENYAP sahaja keduanya. Perjalanan yang hanya ditemani alunan radio itu terasa begitu lama. Sesekali, terdengar juga Asma mengeluh.
“Kenapa? Awak tak suka ke nak pergi sana?” soal Qaiser ingin tahu.
Rasanya tidak salah dia hendak mengorek rahsia hati gadis itu. Tadi lagi dia sudah bertindak untuk meminta maaf dengan Asma agar tidak berkecil hati dengan kata-katanya tempoh hari. Sesungguhnya dia malu dengan diri sendiri yang bersikap sinis tanpa prihatin dengan perasaan Asma.
Asma menggeleng. “Bukan tak suka… tapi hati ni, entahlah. Sekali dah buat salah… rasa bersalah buat selamanya. Walaupun emak dengan abah dah maafkan saya dan terima seperti biasa.”
Qaiser menarik senyum.
“Lumrah manusia… bila buat salah, tak mudah untuk hilangkan perasaan tu. Salah ni seolah luka yang hilangnya meninggalkan parut. Bila nampak parut tu, automatik kita akan teringat penyebab luka…” Qaiser berjeda seketika sebelum menyambung. “Yang lebih penting daripada tu, kita akan ingat pengajaran yang kita dapat daripada luka tu…” perlahan Qaiser berkata.
Matanya sudah menjeling sekilas pada Asma. Jelas di matanya, wajah Asma sudah berubah warna. Mungkin malu kerana ada ungkapan daripada bibirnya yang seolah mengingatkan kisah yang tidak ingin dikenang oleh gadis itu.
“Saya tau, saya tak patut dengan mudahnya percayakan lelaki…” balas Asma.
“Salah tu… bukan tak patut percayakan lelaki. Kalau macam tu, sekarang ni dengan saya pun awak tak boleh percaya…” Qaiser cuba bersenda. Tetapi ayat daripada Asma terus mengkakukan bibirnya. Terzip bibir tanpa disuruh.
“Memang tak percaya pun.”
Wajah Asma yang selamba hanya menambahkan kedu di wajah Qaiser. Bibirnya dikemam kuat. Amaran dilagukan dalam otak. Jangan cakap dah!!!
Dan perjalanan yang berbaki diteruskan tanpa sebarang suara. Asma juga selamat dihantar ke Taska Cahaya Gemilang yang terletak di seksyen 20 Shah Alam.
“Jaga diri, Asma…” pesan Qaiser.
Asma senyap sahaja sambil melilaukan pandangan mata ke kawasan perumahan itu. Kelihatan sunyi. Mungkin disebabkan hari cuti, maka semua pun memilih untuk berehat di dalam rumah.
“Apa-apa hal, jangan lupa telefon rumah. Kalau ada masalah, cakap terus dengan mereka. Kalau rasa berat sangat, cerita dengan saya pun tak apa…” Qaiser terus menambah kata nasihatnya walaupun tidak mendapat sebarang respon daripada Asma.
“Qaiser… jangan risaulah! Dia bukan sorang dekat sini. Aku ada lagi dua orang pekerja. Semuanya okey… Asma akan okey dekat sini. Kau boleh tak percayakan aku?”
Seorang gadis tinggi lampai yang berbaju blaus dan berskirt labuh muncul dengan senyuman lebarnya. Tangannya sudah dicekak ke pinggang sambil membiarkan mata terpaku di wajah Qaiser.
Trust me, will you?” pinta gadis itu.
“Sekalipun tak percayakan aku dan tak sanggup nak pilih aku jadi teman hidup. Percayalah aku sebagai majikan yang berdedikasi.” Tambah Hanina dengan senyuman memerli.
“Nina…”
Hanina tidak mempedulikan panggilan Qaiser yang meleret panjang itu. Dia tahu, lelaki itu hanya akan marah bila dia terus-menerus mengungkit fakta tidak dipandang oleh Qaiser selepas segala percubaan menarik perhatian yang dijalankan olehnya.
“Hai Asma, saya Hanina. Just call me, Nina.” Hanina menghulurkan tangan pada Asma. Jemari mereka bertaut seketika.
Hanina kembali memandang Qaiser. Bibirnya sekali lagi mengoyak senyuman lebar. “Baik ya kau, jaga kebajikan rumahtangga orang… tapi diri sendiri belum berumahtangga lagi.” Sindir gadis itu. Terasa bahagia bila dapat melakukannya kepada Qaiser. Biar lelaki itu tahu, sampai bila pun Hanina tetap akan sakit hati!
She’s like my sister… tolong tengokkan dia ya, Nina… I am putting my trust on you.” Redup mata Qaiser mengerling sekilas pada Hanina. Bibir itu cuba berbicara dengan telus biarpun Hanina lebih suka menyindirnya.
Senyuman ikhlas dari bibir Hanina memberikan kelegaan buat Qaiser. Dia tahu, macam mana sekalipun, dia pasti boleh percayakan Hanina.

GAGANG telefon itu sudah berpindah kepada Puan Amina pula. Wanita itu mendengus manja sebelum memulakan bicara. Entah apa sahaja yang dibualkan oleh Anis lama sangat dengan Asma. Sekarang baru peluangnya pula.
Sebaik sahaja mendengar suara anaknya itu, terasa hendak luruh jantung. Seminggu berlalu, baru kini dapat mendengar suara itu.
“Mak, jangan risau tau… Asma seronok sangat dekat sini. Ada banyak budak. Ada adik-adik yang baik. Ada bos yang baik. Semua jaga Asma elok mak… kerja Asma pun tak berat sangat. Setakat masak untuk 25 orang makan…” Celoteh Asma kedengaran.
Puan Amina tersenyum memandang Anis. “Eloklah kalau Asma suka duduk sana… tapi kalau ada masalah, jangan tak cakap dengan mak pulak. Jaga diri dan kesihatan Asma tu… baby pun jangan lupa, makan yang berzat. Kalau tak cukup duit, cakap dengan mak… nanti mak pesan dengan abah suruh masukkan duit.” Nasihatnya tanpa henti. Dua, tiga kali diulang pesanan itu.
Sehingga ketawa Asma menampar cuping telinga. “Mak… jangan risaulah. Asma kerja dekat sini. Gaji pun okey. Setakat nak belanja untuk makan, tak ada masalah.”
“Iyalah…” Puan Amina akur juga.
“Mak…” perlahan suara Asma seakan hendak berbisik. “Pesan dengan Kak Anis, tak payahlah risaukan Asma… kalau Abang Iman nak bernikah dengan dia awal, nikah ajelah. Asma tak kisah kalau tak ada dekat sana… betul ni mak, Asma tak kisah. Dia asyik fikir perasaan Asma kalau tak dapat datang majlis dia.”
Asma meluahkan rasa hatinya. Terasa jika dia menjadi penghalang untuk tautan hubungan halal itu, dia hanya bersikap mementingkan diri sendiri.
“Takkan Asma tak nak ada dekat sini?” Puan Amina juga seakan tidak bersetuju. “Ini majlis pertama dekat rumah kita, mestilah Anis nak semua orang ada…”
“Mak… kalau dia nak tangguhkan jugak, Asma lagi sedih.”
“Mana boleh macam tu… mak rasa…”
“Tak apalah kalau semua tak nak faham permintaan Asma.”
Talian terus dimatikan. Puan Amina pula yang serba salah. Anis dengan kedegilannya. Asma pula dengan kepalanya. Tapi Puan Amina faham perasaan Anis dan Asma. Cuma kalau hendak dipenuhi kedua permintaan itu serentak, pastinya mustahil.
“Dia cakap apa mak?” soal Anis ceria. Walaupun dia juga sempat berbual dengan Asma sebelum itu.
“Dia nak Anis nikah awal macam yang Iman minta…” tutur Puan Amina sambil meletakkan gagang telefon kembali ke tempatnya.
Riak wajah Anis berubah. “Mak tahu kan, apa keputusan Anis…” Anis jelas tidak berpuas hati. Pendiriannya tetap sama. Lagipun Iman Anas tidak pula memaksa. Dan Iman Anas faham kenapa dia hendak menangguhkan majlis mereka. Iman Anas faham dan tidak kisah.
“Anas pun tak kisah mak…” sambung Anis lagi.
“Betul ke dia tak kisah?”
Dan Anis terkedu. Err… Iman Anas betul tidak kisah kan? Hatinya kini mula meragui.
“Kalau Anis tanya mak… daripada apa yang mak nampak…” Puan Amina berjeda.
Anis sudah kecut perut memikirkan apa yang dinampak oleh emaknya.
“Iman memang faham… tapi, cuba bayangkan, dia yang sebelum ni kata Puan Rohani susah nak setuju bab kahwin, tiba-tiba dia sendiri nak ajak Anis percepatkan tarikh nikah… tapi Anis pula tak nak. Anis rasa apa?”
Puan Amina berlalu meninggalkan Anis dengan ayat tanya itu. Anis jelas terpinga-pinga. Terasa hendak mengetuk kepalanya. Terasa dia yang bersikap pentingkan diri sendiri. Iman Anas sudah menunjukkan usaha yang baik. Anis pula yang bersikap tidak serius dengan menidakkan usaha baik itu.
Telefon bimbit yang tersadai di atas sofa dicapai segera. Nombor Iman Anas didail. Apabila talian bersambung, tanpa salam Anis sudah mengajukan soalan. Kalut sungguh!
“Kenapa awak nak kahwin awal?”
“Err… Assalamualaikum.”
“Waalaikumsalam… cepat jawab,” kalut sahaja Anis menyuruh.
“Disebabkan Anis pun tak nak kahwin awal, jadi saya tak perlu jawab kot.”
Anis mengetap bibir. Sebelum ini, nada Iman Anas seolah tidak kisah. Tapi bila didengar sekarang, sepertinya… Anis harus mengkaji semula.
“Anis…” Suara Iman Anas masih di situ. Dan Anis menunggu butir kata seterusnya. Tetapi seminit yang berlalu, sepi sahaja yang menerpa telinga. Anis sudah terfikir untuk mematikan talian. Namun, telinga diketuk kembali dengan suara Iman Anas.
“Kalau dah sampai seru… awal ke, lambat ke… bernikahlah kita. Tapi kalau dah tersurat bukan Anis untuk Iman Anas, cepat atau lambat perancangan kita, tak menjadi juga.”
Tersentak Anis. Seakan direntap tangkal jantung.
“Kenapa cakap pasal tak jadi pulak?” Anis sudah menggelabah. Dari duduk, berdiri jadinya. Disebabkan panik, spontan sahaja bibirnya berkata. “Okey… okey… kita kahwin, awal! Macam yang Anas nak… saya tak kisah langsung.” Ucapnya kalut. Wajah sudah hampir pucat. Bibir diketap berkali-kali. Gemuruhnya jiwa, usah ditanya.
Namun, langsung tidak disangka.
Iman Anas ketawa bersungguh-sungguh.
Sekali lagi… Anis hanya mampu melopongkan mulut. Ciskek punya Iman Anas! Bahagia sungguh dia dapat kenakan aku.

“BETUL ke apa yang mak dengar?” soal Puan Amina sebaik menghidangkan air kopi di atas meja. Wajah Anis dipandang bagai hendak ditembus ke dalam otak. Dia sendiri tidak dapat meramal apa yang ada dalam fikiran anaknya itu.
Anis mengjungkit kening bertanya.
“Anis dah setuju nak nikah lepas raya?” soal Puan Amina lagi.
Laju sahaja soalan itu bersambut dengan suara Adila dan Bahar.
“Akak… apa ni? Masa tu dah la sibuk exam…” Keduanya merungut serentak. Membebal seketika dengan keputusan yang tidak disangka itu. Hari itu dengarnya Anis beria hendak menangguhkan majlis sehingga pertengahan tahun depan. Sekarang, tup… tup… lepas raya. Bermakna hanya ada sebulan lebih sahaja!
Anis terus memandang wajah Puan Amina, terasa tawar pula hati dengan keputusan yang diberi. Adik-adiknya tidak selesa dengan tarikh yang dipilih. Bukan itu yang Anis mahu.
Puan Amina menggelengkan kepala. Susah kalau hendak diadakan majlis dan harus disemak jadual semua manusia yang berada dalam rumah. Jadual mereka itu lebih penting daripada jadual pengantin itu sendiri.
“Biarlah… nak buat majlis nikah aje pun. Bukan kenduri meriah pun… Adila dengan Bahar takkan nak tunggu sehari sebelum exam baru nak pulun belajar? Awal-awal bersiap sedialah.” Puan Amina melahirkan pendapatnya.
Bahar mencebik manja. Dia tahu sangat tentang tahap konsentrasi otaknya kalau ada majlis di rumah. Tambah pula ini majlis perkahwinan kakak sulungnya.
Adila mengangguk lemah. Walaupun kerjanya hanya ulangkaji tidak kira siang atau malam. Tetapi disebabkan peperiksaan percubaan yang akan berlangsung pada ketika itu, jantungnya sedikit gemuruh.
Dan mengadakan majlis dalam tempoh itu bukanlah suatu cadangan yang bernas. Tetapi… memandangkan yang akan bernikah dengan Anis adalah Iman Anas, maka, Adila redha sajalah.
“Puan Rohani pun dah telefon mak tadi pagi… hujung minggu ni mereka datanglah nak bincang apa yang patut. Sebelum puasa kenalah selesaikan apa yang boleh. Tak adalah kelam kabut sangat… abah pun dah cakap okey.” Maklum Puan Amina.
“Anis ikut aje mak…” Anis sudah bangkit dari duduknya. Beg tangan di atas dicapai. Setelah bersalaman dengan Puan Amina, dia  hendak berlalu.
“Anis…”
“Ya mak…” Anis berpaling semula.
“Muka tu janganlah monyok sangat macam kena paksa kahwin. Jangan risau, semua orang akan gembira masa majlis Anis.” Puan Amina tersenyum manis. Dan ia berbalas dengan senyuman hambar daripada anaknya itu.
Anis terus melangkah. Langsung tidak mahu difikirkan majlis nikahnya yang tidak akan diceriakan dengan wajah adik-adik kesayangannya. Sorang tak nak hadir langsung. Lagi dua orang sibuk dengan peperiksaan pula.
“Tengok… kan Kak Anis dah sedih.” Tegur Puan Amina pada Bahar dan Adila. “Dah la Asma tak nak datang, kamu berdua pulak sibuk exam. Macam tak ada siapa aje sudi nak datang… kesian dia.”
Adila mengerling pada Bahar, rasa bersalah mudah sahaja menyelinap dalam jiwanya. Tetapi si Bahar, selamba sahaja menyuap nasi lemak, sepertinya tiada apa berlaku di situ. Padahal Anis berlalu tanpa meminum seteguk air pun.

PINTU bilik masih berkunci. Lantas Kamilia mengeluarkan kunci dari tas tanganya. Anis pasti belum tiba. Tombol pintu dipulas dan pintu dibuka seluasnya. Hampir terjerit Kamilia apabila Anis juga bersedia membuka pintu daripada dalam.
Melihat raut wajah Anis pada pagi ini, Kamilia menjadi pelik.
“Kau tersilap pilih ikon untuk apply pada muka ke? Monyok masam ni dah kenapa?” soal Kamilia. Serentak itu dia menutup pintu bilik mereka rapat.
Menanti bibir Anis bercerita. Kamilia mula mengemaskan sedikit bahagian sisi mejanya yang diletakkan beberapa fail dan tugasan pelajarnya. Diambil dan diletakkan dengan teliti pada rak di sisi meja. Sambil telingan menangkap bunyi bicara daripada Anis.
“Hah… bagus sangatlah, kahwin! Habis yang muka macam tempe ni kenapa? Kau ni, cuba jangan runsingkan kepala aku pagi-pagi ni. Hal Asma pun dah selesai. Dia pun happy. Kau tu, tak reti-reti nak bahagiakan hati sendiri?” soal Kamilia serius.
Bukan sempat Anis menjawab, Kamilia menyampuk kembali. “Kalau pasal adik-adik kau, tak payah risaulah. Aku boleh ambil alih tiga tempat kosong tu. Jadi pengapit. Jadi adik. Jadi tukang makan. Semua, pakej lengkap… kau takkan dapat daripada kawan lain, melainkan kawan sebaik aku!” Kamilia mengenyitkan matanya nakal.
“Kau ni, main-main!” Anis mencebik. Tiada semangat.
“Entah-entah, adik-adik kau sengaja nak prank  kakak dia orang ni… bukan boleh percaya. Adik kau, macam kau jugaklah…” sekali lagi Kamilia mengusik.
Anis terus memegang kepala. Prank apanya? Kepalanya yang sudah rasa macam nak crank!

_______________
eh, nak abis dah ke? ;)
sorry ya, lambat sangat upload ni. 

11 comments:

  1. Thanks umi...hari2 dok jengah blog ni..

    ReplyDelete
  2. Bagusnya ada kwn mcm kamilia tu. kehkehkeh comel je bila Anis gelabah takot tak jdi kawen ngan Anasnya. Yay mike kawen :))))

    ReplyDelete
  3. tau pn nk gelabah anis ni bila iman kata gtu ye..hailah, cepat lah langsung mjls diorg ni

    ReplyDelete
  4. hehehe... tahu takut Anis bila Iman Anas jawab macm tu... kira ok lah Iman Anis nak cepatkan perkahwinan jadi masalah Anis akan dapat Iman Anas kongsi bersama ... Iman Anas sebenarnya risau tengok Anis .... bsettt...

    ReplyDelete
  5. bile nak sambung cite ni...

    ReplyDelete
  6. yeay... jd gak anis ngn iman anas kawen awal...

    ReplyDelete
  7. Mna Anas ngan Anis ni? Dah 5 hari mengilang... Dah pi nikah kat Siam ke? Alahai tak merasa nasik minyak la kitaorg huhu

    ReplyDelete
  8. ari2 bukak blog ni..bila nk sambung ye che writer??

    ReplyDelete
  9. wat hepen umi? buat bskut ke?

    ReplyDelete
  10. Misi kk numpang share ya..!! jika ada yang berminat bisa langsung ke website kami
    INFO AGEN JUDI ONLINE 988BET
    AGEN JUDI ONLINE
    AGEN JUDI
    AGEN BOLA
    PROMO BONUS 988BET
    PREDIKSI BOLA

    ReplyDelete