Advs

Followers

July 10, 2013

Tidak ku sangka 12



“ARWAH abah pun kerja macam Iman jugak.” Bicara Qaiser sebagai mukadimah bagi menjawab pertanyaan Anis. Baru kini gadis itu hendak bertanya setelah tunggang terbalik jadinya apabila Iman Anas sudah seminggu membawa rajuk.
Abangnya itu juga seakan sudah lupa jalan hendak pulang ke rumah. Daripada Fairuz yang mereka mendapat makluman, Iman Anas menyewa bersama teman mereka.
“Jadi?”
“Jadi, mak risau… kalau Iman akan terlalu obses dengan kerja dan jadi macam arwah abah. Abah meninggal lepas masuk sendiri dalam kandang singa yang baru dibawa masuk untuk pemeriksaan. Sebab abah tak sedar, ubat pelali yang diberi dah hilang kesannya. Abah saya kena baham sampai koma! Seminggu dalam ICU… lepas tu abah disahkan meninggal.”
Tersentak Anis mendengar kenyataan itu.
“Mak hanya risaukan tentang diri Iman, tentang keselamatan Iman…disebabkan perkara yang pernah terjadi dekat arwah abah tu. Tapi awak? Saya sedih bila Kak Anis sanggup syak Iman dengan benda yang tak masuk akal. Fikir yang Iman mungkin ada perasaan yang songsang dengan haiwan yang dijaga. Dan Kak Anis ceritakan pulak pada emak. Apa Kak Anis fikir Iman tak ada didikan agama untuk lampiaskan nafsu dengan cara tu?” Sindiran Qaiser. Hangat hatinya.
Kerisauan Puan Rohani sangat berasas. Tetapi Anis? Sungguh tidak kena pada tempat. Qaiser menarik nafas perlahan untuk meredakan perasaannya. Wajah Anis yang serba salah terhidang di depan mata.
“Saya tak sengaja…” Itu sahaja alasan terbaik yang difikirkan oleh Anis. Sungguh, harus diakui buruk prasangka yang ditaruhkan. Tetapi, itu hanya gangguan minda daripada sikap dan perlakuan Iman Anas.
“Tak sengaja tu bukan satu jawapan… sekarang ni, usahalah untuk pujuk Iman sendiri. Mak dengan saya dah sehabis daya, tapi Iman merajuk sungguh sebab dah bertahun dia dalam bidang tu, tapi mak masih tak percaya dengan dia. Iman tu, walaupun terlalu kagum dengan abah, tapi ada satu sifat abah yang langsung tak boleh diterima oleh Iman…” Qaiser memandang wajah Anis lebih lama.
“Iman tak pernah pentingkan diri sendiri. Dia selalu fikirkan tentang mak yang risaukan dia di rumah.”
“Jadi, sayalah yang pentingkan diri?” Anis bersuara dengan rasa marah. Tutur kata Qaiser menyindir dan menyentap hatinya. Dia tak pernah pentingkan diri!
“Kenapa nak terasa kalau Kak Anis bukan begitu orangnya?” Sindiran lagi yang dituju.
“Okey… saya minta maaf.” Anis mengalah. “Saya akan cuba pujuk Iman.” Tuturnya dengan tidak yakin. Dalam kepala sudah timbul bermacam persoalan. Bagaimana hendak memujuk Iman Anas? Senangkah? Nampak macam susah sahaja? Mungkin Anis kena berkawan dengan Anita, baru Iman Anas akan memaafkan dirinya.
All the best!” Qaiser sudah bangun hendak bergerak. Namun teringatkan sesuatu, dia kembali berpaling menghadap Anis. Bibirnya tersenyum tawar.
“Tak semua benda yang kita rasa dalam hati, kena disuarakan pada orang lain. Kadang-kadang masalah tu tak datang dekat kita, tapi kita yang cari akibat kecuaian daripada diri sendiri. Mungkin Kak Anis kena belajar berfikir sebelum bertanya… dan pastikan apa yang ditanya tu ada rasionalnya. Jangan praktikkan macam ni dengan student pulak.” Secebis nasihat yang sinis nadanya.
Anis menelan liur yang terasa kesat. Ya… ya! Bentak hatinya kuat. Dia yang salah! Dia tahu! Dia sedar! Tak perlulah semua orang pun bernada sinis sentiasa untuk menyedarkan dirinya yang terlebih sedar ini!
Perginya langkah Qaiser dari situ, membuahkan keluhan pendek di bibir Anis. Kepala yang sudah agak sewel sejak kebelakang ini, diketuk kuat. Biar sakit asalkan kepala itu tidak lagi mengeluarkan andaian yang menyakitkan hati orang lain.

SEKALI lagi, dia berada di situ. Orang kata, hendak seribu daya kalau nak berusaha. Jadi, Anis menolak seribu dalih yang asyik hendak mengherotkan laluannya. Matanya meliar ke sekeliling kawasan yang menghijau itu. Sejuk dan damai.
Tetapi rasa itu tidak mampu berkekalan dalam hatinya. Rasa bersalah kepada Iman Anas melebihi segala rasa lain yang hendak bertapak.
Deheman kecil memanggil Anis untuk berkalih ke sisi. Seraut wajah yang tidak dikenali menyapa ruang mata. Pandangan Anis kosong. Tiada rasa untuk bertanya atau apa sahaja. Lantas dia memilih untuk buat tak tahu.
“Cari Iman?” Suara itu bertanya.
Anis berkalih sekali lagi dengan pantas.
“Mana Anas?” soal Anis dengan nama itu. Kerutan dahi insan yang tidak dikenali nama itu tidak dipedulikan. Iman Anas tetap Anas baginya!
Biarpun tuan punya diri pun tidak suka dengan panggilan itu. Anis tidak peduli. Ah… sememangnya Anis memang sangat pentingkan diri. Terasa terpukul sendiri dengan sikap yang baru disedari ini.
“Iman cuti hari ni…”
Jawapan itu mengecewakan Anis. Pandangan terus ditala ke hadapan dengan wajah yang sudah beriak muram. Dia juga sudah mengambil cuti semata-mata untuk datang ke sini. Nampaknya, ia sia-sia. Usahanya tidak akan berhasil.
“Awak boleh ikut saya…”
Pelawaan itu kedengaran pelik pada pendengaran Anis.
“Ikutlah… saya boleh bercerita tentang diri Iman yang mungkin awak susah nak faham dengan sendiri.”
Anis tergelak kecil. “Kalau saya tetap tak boleh nak kenal dengan Anas walaupun selepas dengan cerita daripada awak?” Tawa Anis terus menjadi hambar.
“Saya bukan pendiam macam Iman. Saya pandai bergaul dengan manusia. Yang pasti, sangat kena dengan cara… jangan risau, Iman tu untuk awak, Anis…”
Mata Anis terbuka luas.
“Saya Fairuz…” Fairuz tersenyum melihat wajah Anis yang terlukis raut bingung dan bimbang dalam masa yang sama. Terus dirinya terkenangnya Iman Anas yang juga berada pada kondisi yang serupa itu di rumah. Dalam hati, dia sudah hendak tergelak. Apalah nasib pasangan tunang ini?
“Anis...” ucap Anis pendek walaupun orang itu kelihatan mengenali dirinya.                 
Fairuz tergelak kecil. “Saya tahu… jom!” Gamitnya. “Saya ada banyak benda nak dicerita… jadi perbualan setempat mungkin hanya akan membosankan kita berdua. Mungkin boleh mula dengan sarapan kegemaran Iman…” usik Fairuz. Sempat dia mengerling melihat jam di pergelangan tangan.
“Saya tak lapar.” Balas Anis lemah.
Dan Fairuz ketawa lagi. “Saya tak ajak awak makan… saya ajak awak untuk berkenalan dengan Iman. This is going to be an interesting day. I promise you… Anis takkan pulang dengan tangan kosong.” Tuturnya yakin.
Melihatkan kemesraan yang dipamerkan oleh Fairuz di awal pagi ini, Anis tersenyum nipis. Sekurang-kurangnya ada juga yang sudi memberikan semangat buatnya.
Tidak mahu Fairuz menanti lebih lama, Anis sudah bangun dari duduknya. Perjalanan masih jauh. Yang pastinya, dia tidak boleh pulang dengan tangan kosong.

KOPI dan roti bakar disapu dengan kaya serta marjerin dipesan oleh Fairuz. Dan menu itu bukan untuk dirinya. Itu adalah menu wajib Iman Anas kalau berkesempatan sarapan dengannya. Itu juga menu yang pernah menjadi kegemaran arwah abah Iman Anas.
“Makan tau…” pelawa Fairuz apabila melihat Anis sudah mengerutkan dahi. “Kopinya pahit sikit… tapi, ini yang Iman suka. So, you should try…” sambung Fairuz lagi.
Kali ini dia sendiri sudah menjamah sarapan yang dipesannya. Tidak mahu melihat reaksi wajah Anis apabila menelan kopi itu nanti. Dia menahan senyum dalam hati. Iman Anas, aku minta maaf dunia dan akhirat.
Anis mengunyah sedikit roti bakar. Sedap dan manis. Hampir separuh roti sudah selamat masuk ke dalam perutnya. Beralih pula pada kopi yang begitu kuat memikat deria baunya dengan aroma yang menyelerakan. Dihirup sedikit. Dan…
Erk! Hampir tersembur keluar semula. Kopi… ini yang dikatakan pahit sedikit. Matanya terus mencari Fairuz. Khusyuknya lelaki itu menikmati sarapan. Atau sengaja tidak mahu melihat reaksinya?
“Apa macam kopi tu?” soal Fairuz tanpa mengangkat muka. Dia memang tak mahu melihat wajah Anis yang sudah bertukar kelat itu. Sememangnya kegemaran Iman Anas itu, sangat pahit. Dan sangat sukar untuk ditelan.
Soalan Fairuz itu hanya dibiarkan sepi. Fairuz menjadi hairan. Matanya dihala ke hadapannya. Seakan hendak terkeluar biji mata melihat Anis menghabiskan kopi pahit itu dalam sekelip mata.
“Awak tak perlu begitu rakus sekali!” komen Fairuz seakan trauma melihat babak itu.
“Kalau tak rakus, takkan habis!” balas Anis dengan jujurnya.
“Tapi… saya rasa, saya dapat sesuatu daripada ni.” Sambung Anis yang sudah tersenyum kecil. Mujur kopi yang pahit itu tidak mematikan senyuman untuk berkuntum di wajah.
“Apa?”
“Pahit dan manis, disekalikan dalam satu hidangan. Sebab Anas tahu, hidup ni harus seimbang. Kalau manis sentiasa, kita akan selesa. Adanya pahit, buat kita berjaga-jaga dan tak terlalu leka… this is life.”
Fairuz tersenyum. “Awak memang dah dididik oleh Iman agaknya…” komen pendek diberikan. Mungkin Anis cuma harus didedahkan dengan segala perkara tentang diri Iman Anas. Mungkin dengan itu, Anis akan lebih memahami apa yang Iman Anas cuba sampaikan melalui setiap perkara. Itu saja… tak susah.
“Lepas ni kita pergi mana?” soal Anis dengan teruja. Sarapan ringkas yang dipesan oleh Fairuz itu seakan membangkitkan semangatnya. Dia sudah tidak sabar untuk belajar tentang Iman Anas. Semuanya tentang Iman Anas.
“Mungkin kita kena masuk kandang Anita.”
Mendengarkan nama itu, mati senyuman Anis. “Dia pun termasuk dalam aktiviti hari ni ke?” soal Anis ragu.
Fairuz tergelak. Pucat sungguh wajah Anis dikala ini. “Itu paling wajib. Kekasih Iman kot… awak kena tackle dia, baru boleh dapat Iman.”
Anis terus menayangkan wajah kurang yakinnya. Tidak pula dia menyangka, untuk dapatkan Iman Anas… dia harus tackle Anita. Ini parah!

SEDANG dia bersantai sambil membelek majalah Wildlife, telefon bimbit di atas meja kopi berkelip-kelip. Ini mesti mesej daripada Fairuz. Makhluk yang seorang itu memang tidak akan senang bekerja kalau dia bercuti kerja.
Dan Iman Anas hanya tersenyum bangga apabila tekaannya mengena. Tetapi tidak begitu lama, senyuman itu mati dan berganti dengan kerutan di dahi pula. MMS yang diterima hanya membuatkan jantung berdetak dengan lajunya. Permainan apa pula Fairuz ini cuba lakukan?
Melihat Anis yang ketakutan meletakkan tangan pada badan Anita. Darah Iman Anas seakan mendidih. Tangannya sudah laju mendail nombor Fairuz.
“Apa yang kau tengah buat?” marah Iman Anas.
“Tengah ajar Anis berkenalan dengan kaulah!”
“Tapi dengan Anita… kenapa?” marahnya lagi.
Tawa Fairuz hanya membakar hati. “Biarlah… Anita tu bestfriend kau. Anis patut tahu tu. Lagipun, kau nak risau apa. Aku ada. Bukan tak ada supervision.
“Anis tu takut dengan Anita… kalau Anita baham dia macam mana?” disuarakan kerisauan itu laju. Fairuz ini suka sangat buat main dengan perkara sebegitu. Bukan Iman Anas tidak ingat, bagaimana gemuruhnya Anis ketika pertama kali dikenalkan dengan Anita. Singa betina itu pula, banyak juga songehnya. Harus ambil masa yang lama untuk bermesra.
“Eh, hari tu, kau jugak yang cakap… nak bagi dia kena baham dengan Anita.” Perli Fairuz. Dan lelaki itu ketawa menyindir. Iman Anas menahan rasa hati yang semakin panas.
“Bengong… takkan aku betul-betul nak bagi Anita baham dia.” Tekan Iman Anas dengan rasa geram. Dahinya sudah berpeluh-peluh. “Anis mana?” soalnya.
“Ada lagi, tengah main-main dengan Anita… eh, tangan dia macam berdarah…” suara Fairuz yang cemas menampar cuping telinga Iman Anas.
“Iman, aku letak dulu…” Talian dimatikan.
Iman Anas terkaku seketika sebelum laju mencapai kunci di atas meja. Fairuz ini memang sengaja hendak menerima penampar sulungnya!

“COMELNYA dia…” puji Anis. Seekor anak monyet yang bergayut di bahu Fairuz menarik perhatiannya. “Nama apa pulak ni? Queen Elizabeth?” Dan Anis ketawa dengan soalannya.
“Pandai awak…” Fairuz pun ikut sekali.
“Yang ni tak glamour sampai ke tahap tu. Iman aje boleh fikirkan nama sempoi macam tu. Si kecik, biasa aje. Panggil Jambu…”
“Jambu?”
“Dia suka makan jambu, walaupun saya rasa pisang lebih sesuai untuk identiti seekor monyet.” Fairuz memberi jawapan dengan riak selamba. Namun jawapan yang diberi sudah membuatkan Anis ketawa.
Merah sudah wajah Anis kerana terlalu banyak ketawa. Fairuz ternyata begitu lucu orangnya. Dan sesi mengenali Iman Anas, langsung tidak membosankan. Lagipun, Iman Anas bukanlah subjek sejarah… kan.
“Apa kaitan Jambu dengan Anas?” soal Anis tidak sabar.
Fairuz menggeleng dengan senyuman. “Tak ada.”
“Kenapa?”
“Jambu ni, kesayangan saya… lagipun, takkan Iman aje sepanjang hari. Kita kena ada selingan dengan subjek yang kurang bosannya. Macam saya…” balas Fairuz selamba.
Anis tersenyum dengan gelengan. Fairuz ini ada sahaja yang mencuit hatinya. Melihat lelaki itu seakan leka melayan Jambu, Anis merenung dalam diam. Fairuz, seorang lelaki yang sangat peramah, tidak lokek dengan lawak selambanya dan paling penting, sangat berbudi bahasa.
“Awak dah kahwin?” soal Anis spontan. Soalan yang terlintas di fikiran.
Fairuz kelihatan tergamam dengan soalan itu. Wajah Anis yang begitu teruja menanti jawapan dipandang sebelum pandangan itu jatuh pada Iman Anas yang sudah berpeluk tubuh sambil bersandar di tiang. Merenung ke arah dirinya dan Anis dengan pandangan yang tajam sekali.
Bro, aku tak mengurat tunang kau. Bisiknya melalui pandangan. Harap Iman Anas fahamlah telepati yang cuba disampaikan.
Dan Anis yang masih belum menyedari kehadiran Iman Anas terus mengulang soal itu kepada Fairuz. “Jawablah… dah kahwin ke?” soalnya tidak sabar. “Kalau dah kahwin melepaslah saya…” sambungnya dengan riak kecewa.
Fairuz benar-benar tergamam sehingga tidak mampu untuk bersuara. Tidak disangka, soalan itu akan diterima jawapan yang sedemikian rupa. Dan rupa Iman Anas pula… aduh, tak perlu dicerita. Lebih menggerunkan daripada Anita ketika mengaum kelaparan.

13 comments:

  1. best2.....semakin menarik....xsabar nk th kisah seterusnya.....adakah Iman jeles tgk Anis ngan Fairuz?

    ReplyDelete
  2. hoyeah..esok nak entri lagi ye AH, plsss
    cerita yg makin menarik dan tertarik

    -chah husain-

    ReplyDelete
  3. eh maaf umi, silap channel pulak saya ni

    ReplyDelete
  4. Iman tahu pulak marah bila Fairuz bagi Anis kenal dgn Anita... tu lah kata nak bagi Anita baham Anis kan... pandai Fairuz buat lawak dgn Anas ... bagi Anas x tentu arah bila cakap tangan Anis berdarah.... Sayang betul Anas kt Anis ya...
    Anas x kan nak cemburu dgn gurauan Anis tentang Fairuz pulak... lepas ni Anas kena kenali diri Anis pulak macaman kk...
    bab kali ni memang besttt sebab Anas ada sifat ambil berat dan cemburu....

    ReplyDelete
  5. tidak ku sangka bhw diriku akan terjatuh suka dgn enovel "tidak ku sangka"....

    Best..... I like....

    ReplyDelete
  6. Ada org bkl kena baham ngn anita rsnya.... Kelakar tul fairuz ni, dlm pd nk kenakan org dia yg tkelu hihi. Btw, best citer ni, sila la sbg cpt2 ye cik penulis. X sbr mnanti....

    ReplyDelete
  7. Anas jeles dgn fairuz?rasa mcm anis makin kena giatkan usaha memujuk anas yg jeles dgn soklan kt fairuz tu

    ReplyDelete
  8. Teruja for the next n3 hehe

    ReplyDelete
  9. memang terbaek la fairuz... gara2 fairuz bawak anis kat situ n gara2 mulut anis yg tanya soaln mcm 2 kt fairuz, da terserlah riak risau n jeles anas...

    ReplyDelete
  10. Mmg tak pndi jaga mulut btul si Anis, pki ckp je apa yg dlm kepala tuh. Erm, Iman Anas jeles la tuh. Sayang jgak kt Anis kan, smpi trus dtg ke Zoo. Haish, lps ni apa plak si Anis ni nk kena bahan kan

    ReplyDelete
  11. Haha..sya nk smbg ayat anis
    Melepas saya nk jadikan awak adik ipar..@
    Melepas sya nk kenaln awk dgn bestie sya..

    Dgr dlu anas..jgn main lari je..x sangka yg anas memg risaukan anis...
    Fighting anis..skali da suka selamanya syg kan..

    ReplyDelete
  12. Anis....anis....-ctzurina

    ReplyDelete