Skip to main content

Ini Kisah Jelita & Perkasa [2]



BAB 2

TERESAK-esak Jelita Suria melepaskan tangisannya. Sejak daripada tadi tangisan itu tidak berhenti. Hati ini sememangnya terasa benar kesedihan itu. Sampaikan bila Puan Hayati dan Encik Johan pujuk pun, dia tidak ambil endah. Diteruskan lagi tangisan itu sehingga bengkak matanya.
            “Tak sudah lagi ke Jelita Suria?”
            Jelita Suria menelan liurnya kesat. Suara Encik Johan kedengaran begitu tegas. Dia tahu, bila itu nadanya, maka dia harus menamatkan segala ‘drama’ ini dengan segera. Kalau tidak, bakal bernanahlah telinga ini harus menahan kemarahan abah. Encik Johan sememangnya tidak suka melihat air matanya jatuh begini.
            “Jelita nak menangis untuk hari ini aja. Tak boleh ke abah?”
            Encik Johan duduk bersila di sisi Jelita Suria yang duduknya berpeluk lutut. Muka anak gadisnya bersandar pada lutut sendiri. Bahu itu terhenjut sedikit. Masih menangis nampaknya. Perlahan Encik Johan menarik nafas dan dihela panjang. Dia tahu, Jelita Suria hanya akan begini bila hati gadis itu dilanda kesedihan. Dan kesedihan kali ini pasti akan berpanjangan untuk tempoh seminggu akan datang. Sifat anaknya ini begitu mudah dibaca.
            “Yati…” dilaung nama isterinya. “Dah tunjuk dekat dia?” soal Encik Johan.
            Puan Hayati menggeleng. “Tak mau tengok. Tapi tak mau berhenti menangis jugak.”
            Lantas Encik Johan mengusap lembut kepala Jelita Suria. Dagu anaknya ditarik perlahan supaya mendongak kepala. Mata yang merah itu mengusik hati seorang bapa ini. Tidak sangka begini sekali kesedihan Jelita Suria.
            “Kenapa Chiko tinggalkan Jelita, abah?” akhirnya Jelita Suria bertanya juga. Air mata yang masih jatuh ke pipi dikesat dengan rasa sedih yang masih menebal. Alangkah terkejutnya dia tadi, apabila pulang sahaja dari sekolah dan Chiko si kucing kelabu itu sudah tiada. Tidak cukup dengan kesedihan yang dialami di sekolah, balik ke rumah, dia sudah kehilangan sahabat baiknya. Chiko… sampai hati tinggalkan akak!
            “Abah tak tau nak cakap macam mana… tapi yang tulah Mak cik Jahara bagi tau dekat mak, Chiko dah lari dengan Bruce Lee rumah sebelah. Dia siap ambil gambar tunjuk bukti dekat mak. Mak pun dah tengok.”
            “Kenapa dengan Bruce abah?” soal Jelita Suria terus dengan tangisannya. “Bruce Lee tu dah la hodoh, tak padan dengan Chiko!” sambungnya lagi.
            Encik Johan dan Puan Hayati berpandangan sesama sendiri. Nyata, senyuman sumbing terbias di wajah mereka. Kalau hendak lepaskan tawa, rasa tidak kena dengan keadaan kerana anak gadis mereka ini masih melayan kesedihan disebabkan tragedi hari ini.
            “Jelita Suria…”
            Jelita Suria terus memotong bicara abahnya, “Tak pernah Jelita bayangkan, Chiko bersanding dengan Bruce Lee. Nak bayangkan pun tak lalu!” Bicara Jelita Suria masih bernada serius walaupun intipati kata sudah membuahkan tawa di bibir Puan Hayati.
            “Macam-macam anak abang ni!” Puan Hayati sudah berlalu ke tandas. Tinggallah Encik Johan yang masih mampu melayan kerenah sedih anak daranya ini.
            “Jelita… ada apa dengan rupa paras. Allah tak letakkan itu sebagai syarat untuk seorang manusia melepasi titi sirat menuju ke syurga.”
            Spontan, Jelita Suria menghentikan tangisannya. Bicara yang pada mulanya berkisar tentang kucing kesayangannya, kini membuka ruang kepada abah untuk mengalunkan kuliah. Jelita Suria mengetap bibir. Tahulah, silapnya dalam berbicara. Tetapi tidak mengapa, ada abah dan emak untuk memperbetulkannya. Bukankah sudah menjadi amanah kepada mereka untuk mendidik anak-anak dengan pengetahuan yang sebaiknya.
            “Ingat tak kisah Bilal bin Rabah?” soal Encik Johan pada anak gadisnya yang kini sudah meletakkan dagu di hujung lututnya. Manja sekali aksi Jelita Suria. Aksi yang sama sentiasa dipamerkan ketika dia sebagai seorang bapa menjalankan sesi tarbiah dan mendidik anaknya itu. Dan aksi itu juga buat dia mengerti, Jelita Suria sentiasa menanti butir bicara berbau keagamaan seperti ini. Hati dan fitrah manusia yang berjanji akan taat setia kepada Allah sememangnya tidak dapat dipisahkan sama sekali kerana hati itu sentiasa menanti kehadiran secebis kata-kata yang akan menyuluh ke jalan hidayah.
            “Abah… Jelita dengar. Ceritalah…” pintaan dengan suara lunak itu makin menaikkan semangat Encik Johan. Terus bibirnya basah dengan bicara. Kisah seorang sahabat nabi yang begitu teguh imannya walau diuji dengan kekejaman. Namun atas keyakinan pada kalimah ‘Ahad’ iaitu Allah yang satu, maka tiada suatu perkara pun di muka bumi ini mampu mengalihkan pendirian lelaki berkulit hitam itu.

“ARGH!!! I’m melting!” kuat ucapan itu menerpa. Hampir sahaja Jelita Suria tersedak dek kerana rasa terkejut yang menyinggah. Cepat sahaja kepala berpaling ke sisi melihat reaksi teman seusianya di kantin sekolah bercat kuning cair ini.
            “Gila handsome!” Sekali lagi bibir itu berkata. Berkerut dahi Jelita Suria. Dalam mindanya sudah tertanya-tanya, ‘Gila pun boleh handsome ke?’ Malas hendak melayan kelakuan manusia yang kelihatan pelik bagi pandangan matanya, Jelita Suria meneruskan suapan nasi lemak yang masih berbaki dalam pinggan.
            “Abang senior kita. Dia ketua untuk biro disiplin. Semua panggil Abang Arman…” Dan sekali lagi informasi yang tidak diingini menyinggah ke cuping telinga Jelita Suria. Tidak tahu kenapa, bukan sahaja minda malah tekaknya turut berasa loya dengan intonasi yang digunakan oleh si dia tidak diketahui nama ini dalam menjelaskan perihal ‘watak’ jejaka yang tidak diketahui rupa itu.
            Sudah hampir empat minggu sesi persekolahan berlangsung dan dia masih menyepi sendiri setiap kali masuk waktu rehat. Tetapi, bersyukur kepada Dia! Jelita Suria sangat tidak kisah untuk makan seorang diri daripada menghabiskan waktu rehatnya dengan bergosip sambil mencuci mata seperti insan-insan di sebelahnya ini. Kata abah, pandangan pertama boleh dimaafkan. Pandangan kedua dan seterusnya… terimalah dosanya. Pandangan yang memerlukan urusan, tidak mengapa. Pandangan yang sengaja diadakan? Oh, jawab sendirilah.
            Botol air yang berisi air kosong, dibuka dan diteguk sopan. Sudah menjadi kebiasaan Jelita Suria meminum air kosong yang dibawa daripada rumah. Emak juga berpesan supaya kurangkan minum air manis. Peringatan  yang sama malah lebih keras buat air berkarbonat yang hanya menjanjikan keburukan untuk kesihatan tubuh badan. Mungkin kerana dirinya satu-satunya permata buat emak dan abah, terasa ditatang bagai minyak yang penuh. Segala suatu perkara tentang dirinya dititikberat dengan teliti. Kasih emak dan abah, mana hendak dicari!
            Jam di pergelangan tangan dikerling sekilas. Waktu rehat masih berbaki lima minit lagi. Jelita Suria segera bangun sambil membawa pinggan kotor untuk dimasukkan ke dalam besen di hujung kantin. Kemudian dia ke singki pula, sekadar berkumur untuk memasihkan kebersihan mulut agar tiada sisa makanan berbaki. Dan terus dia melangkah menghala ke tangga.
            “Tunggu!” Baru setapak kaki Jelita Suria mengenai tangga, sudah ada suara yang mematikan langkahnya. Tanpa mengangkat kepala, dipalingkan sedikit wajahnya ke arah punca suara itu. Tag yang berjahit kemas di kiri baju menyapa mata.
            “Perkasa…” bibirnya menyebut perlahan. Sangat perlahan sehingga orang di hadapannya menundukkan kepala secara spontan ke arah wajahnya. Terkejut dengan reaksi itu, Jelita Suria memalingkan wajah.
            “Mana tag nama?” tegur suara itu. Mungkin kerana itu dirinya ditahan, fikir Jelita Suria. Matanya sudah tertunduk menyapa tudung yang kosong.
            “Belum dapat.”
            “Kenapa belum dapat? Kalau tingkatan satu, minggu kedua lagi semua dah dapat!” Tegas lagi suara Perkasa Armana menegur si gadis di depan mata. Sudahlah dari tadi asyik tertunduk sahaja. Macamlah dia hendak mengurat pula. Ingat Perkasa Armana tak ada kerja lain ke?
            “Nama tersilap cetak.” Balas Jelita Suria yang masih tertunduk menghadap lantai tangga.
            “Bagi nama. Kalau minggu depan masih macam ni, saya kenakan denda.”
            Untuk amaran itu, Jelita Suria sudah menghela nafas dengan rasa menyampah. Skema! Tak ada tag nama pun nak denda ke? Macamlah kalau tak ada tag nama, boleh bawa kepada kemusnahan sekolah.
            “Nama?” Gesa Perkasa Armana. Berat sungguh bibir gadis yang hanya berketinggian separas lengannya itu untuk bersuara. Kemetot! Sempat lagi dia bergelak ketawa dalam hati dengan menghayati ketinggian yang terbantut di depan mata ini.
            Jelita Suria mengetap bibir. Harap kali ini dia dapat berlalu dengan aman tanpa sebarang perlian susulan. Perlahan, namanya diucap. “Jelita Suria Binti Johan. 1 Klasik Nasional.”
Selesai memberi nama, Jelita Suria terus menaiki tangga. Tidak menanti walau sesaat pun untuk mendengar butir bicara seterusnya daripada bibir ‘Abang Perkasa’. Uh, nama dia pun pelik juga. ‘Perkasa?’ Jelita Suria mengulang sebut dalam hati. Tersangatlah pelik.

SARIP Dol tanpa amaran merampas buku catatan yang berada di tangan Perkasa Armana. Wajah temannya itu direnung sekilas sebelum mula membaca nama yang tersenarai kemas dalam buku ‘denda’ itu. Alahai, Perkasa Armana! Memang sangat sesuai dengan jawatan sebagai Ketua Biro Disiplin pengawas sekolah. Kerjanya, asyik mendenda orang sahaja.
            Mata yang pada mulanya tenang melewati nama yang biasa wujud dalam buku Perkasa Armana, tiba-tiba menjadi buntang.
            Wooo, bro! Hang kenapa denda Cik Jelita Suria aku yang cantik tu?” soal Sarip Dol tanpa menahan nafas. Takkan Jelita Suria pun boleh ada kaliber untuk tersenarai dalam buku denda Perkasa Armana? Mindanya sudah ligat berfikir.
            “Sejak bila jadi Cik Jelita Suria hang?” soal Perkasa Armana tanpa menjawab soalan temannya. Tangannya juga menarik semula buku catatan di tangan Sarip Dol Ishak itu.
            “Tu bukan persoalan aku. Yang aku nak tahu, apa salah dia?” Sarip Dol tidak puas hati.
            “Tak pakai tag nama.” Mendatar sahaja nada Perkasa Armana. Sesungguhnya dia tidak begitu berniat untuk mengulas apa-apa tindakan yang telah diambil olehnya selaku pengawas sekolah ini. Dia diberikan amanah untuk dijalankan secara telus. Tidak mahu amanah itu disalah guna kerana kelak dia juga harus menjawab segalanya.
            “Kecik punya salah, sampai nak kena ambil nama ke?” Sarip Dol masih dengan nada tidak puas hatinya. Begitu bersungguh hendak mempertahankan Jelita Suria yang diintai sepanjang minggu orientasi empat minggu sudah. Comel! Dalam hati Sarip Dol sudah mula berbunga-bunga.
            “Dengan budak form one pun nak feeling ke?” soalan Perkasa Armana merencatkan lamunan Sarip Dol. Wajah Perkasa Armana jelas menunjukkan lelaki itu tidak boleh terima dengan khayalan yang diimpikan sebentar tadi.
            “Budak kemetot pulak tu!” sambung Perkasa Armana lagi sambil membayangkan figura yang singgah di depan matanya tadi. Spontan tawanya terburai. Dia tidak dapat membayangkan si kemetot itu di samping Sarip Dol yang tinggi lampai ini. Haruslah kelihatan begitu cacat sekali.
            Dan Sarip Dol terus menjeling tidak puas hati. Namun hatinya mulai ragu. Terlalu kemetot ke Jelita Suria itu? Atau Perkasa Armana yang bersikap keterlaluan mendeskripsi gadis itu?

Comments

  1. Laaa jelita sedih sebab kucing dia lari rupenya...

    ReplyDelete
  2. Kelakar la jelita ni. Kucing pun jd hal. Tau plak dia hodoh ngn hensem. Lps ni harus bperang ngn perkasa lak hihi

    ReplyDelete
  3. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete
  4. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete
  5. biasalah... budak tak cukup umur lg memang kemetot. muehehe...

    ReplyDelete
  6. Luculah Jelita nangis sebab kucing. :)

    ReplyDelete
  7. suke2..:))

    ~uly ct~

    ReplyDelete
  8. nama kucing sy pun chiko gak tp wrna hitam..
    chiko sy tu pun lari ngan kucing jantan rmh sblh...

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Cerpen: Lain di Mulut, Lain di Hati

JAMBANGAN bunga ros yang berada di atas mejanya itu dicapai. Tanpa melihat nama pengirim pun dia sudah boleh meneka, siapa pengirimnya. Terus dengusan tidak senang dilepaskan. Tanpa menunggu sesaat, jambangan bunga itu sudah terhumban ke dalam tong sampah di sudut bilik.             Huh! Apa dia fikir aku ni perempuan, nak cair kalau disogokkan dengan bunga. Kalau aku cakap benci, memang akan benci selamanya! rungutnya.             Serentak itu, pintu biliknya diketuk. Terjengul wajah Selina, setiausahanya.             “Encik Irfan, Puan Eryna nak jumpa.”             Sekali lagi dia melepaskan dengusan kasar. Tidak cukup dengan bunga yang merimaskan, sekarang, tuan punya badan pula muncul di depan mata. Ah, benci!             “Suruh dia balik! Saya tak nak jumpa dia.” Kuat dan lantang sekali suara Irfan sehingga begitu jelas buat pendengaran Eryna yang sedang duduk menunggu di luar bilik. Eryna tersentak. Riak wajahnya terus beruba

Cerpen: Hati ini [End]

BUNYI suara yang bertingkah dari ruang tamu mengkakukan langkah Ana di anak tangga terakhir. Dia yang turun ke bawah dengan niat untuk membasahkan tekak terkaku seketika. Tidak mahu menonjolkan diri di hadapan tetamu mama dan papa, tanpa berfikir panjang dia sudah memalingkan badan hendak bergerak ke atas semula. Namun sekali lagi, dirinya terus kaku di situ. Suara yang melaungkan namanya membuatkan badannya menjadi gementar secara tiba-tiba.             “Ana…” namanya dipanggil sekali lagi. Dia kenal suara itu. Terlalu kenal. Tetapi dia tidak mahu memalingkan wajahnya. Atas sebab apa, dia tidak pasti. Ikutkan sahaja kata hati.             Sentuhan di bahu membuatkan Ana tersentak. Pantas dia berpaling dengan wajah yang sudah berubah riak. Dia tidak suka dengan sentuhan itu. Sentuhan yang tidak menghormati dirinya sebagai seorang wanita muslim. Seketika mata mereka bertemu. Ana terkedu. Seakan tersedar dari mimpi… senyuman yang menghiasi

Cerpen: Dia yang aku cinta

Berdebar-debar rasanya saat menanti di ruang legar ini. Menanti kehadiran insan yang disayangi. Menanti saat yang ditunggu-tunggu selama ini. Disunting menjadi suri dalam hidup lelaki yang dicintai. Ah! Indah sungguh rasa…             “Tahulah nak tunggu insan tercinta. Kut iya pun… tak perlulah tayang riak wajah teruja, yang terlebih perisa pulak!” teguran berunsur perlian itu hanya membuatkan dia menjeling manja.             “Biarlah!” balasnya dengan menyampah.             Tiada siapa pun tahu apa yang dirasainya selama dua tahun ini. Hidup berjauhan dengan insan yang memenuhi ruang hatinya. Sungguh menyeksakan jiwa dan raga sahaja!             “Akak…” panggilan itu membuatkan dia melepaskan dengusan manja.             “Apa?!” soalnya geram. Geram saat khayalan indahnya dicantas dengan kejam. Sedangkan, hanya itu yang mampu dilakukan di saat ini.             “Tu…” mulut si adik sudah memuncung ke satu sudut.             Matanya turut berlari mencari. Seketika dia