Skip to main content

Ini Kisah Jelita & Perkasa [3]



BAB 3

SEKALI lagi, segala ‘sampah’ yang hinggap di bawah mejanya dikumpul. Tanpa sebarang perasaan kasihan yang menjentik ke hati, Perkasa Armana mengatur langkah kakinya ke tong sampah besar kebetulan terletak dekat luar kelas. Tong sampah dibuka dan segalanya surat cinta, janji serapah itu dimasukkan ke dalamnya. Kadang-kadang dia menjadi hairan, budak sekolah… datang ke sekolah untuk apa sebenarnya? Belajar ke bercinta?
            “Depa ni mai sekolah untuk menyelam sambil minum air.” Jawapan daripada Sarip Dol, si penyibuk tidak kira masa berjaya merungkai persoalan di minda. Terima kasih banyak wahai sahabat. Perkasa Armana menjawab dengan senyuman sumbing di bibir.
            “Kesian… orang buat cantik-cantik, hang masukkan dalam tong sampah.” Komen sahabatnya lagi.
            “Bukan aku minta. Jadi, tak perlulah meraung bagai nak gila kalau ternampak aksi tadi tu.” Balas Perkasa Armana tanpa perasaan juga.
            “Hang ni, sekarang ni zaman moden la. Semua boleh buat two in one, three in one. Barulah masuk dengan konsep, tak buang masa.” Hebat pula Sarip Dol berfalsafah tentang cinta zaman sekolah. Perkasa Armana mencebik. Mana tidaknya, si Sarip ini pun sedang angau dengan budak hingusan di kelas 1 Klasik Nasional yang disenaraikan sebagai mangsa dendanya dua minggu sudah.
            “Buang masa atau tak, yang aku tau… aku mai sekolah, nak belajaq. Bukan nak buang masa duk layan perempuan gedik entah apa-apa, tulis-tulis kad, bagi hadiah…  ugh! Aku muda lagilah… bagilah peluang untuk diri sendiri memilih yang terbaik hanya bila dah sampai masa yang tepat.” Bebel Perkasa Armana sambil mencapai helaian kertas A4 di dalam failnya. Tanpa menghiraukan Sarip Dol yang ternganga di sebelah, dia terus membuka buku latihan Matematik Tambahan yang menjadi penemannya untuk minggu ini. Soalan terakhir yang dijawab semalam terus dipangkah dan diteruskan dengan soalan berikutnya.
            Sarip Dol masih tidak berganjak memerhatikan dirinya. Dan Perkasa Armana sudah melepaskan keluhan panjang.
            “Belum tentu hang dapat A1 untuk Add Math kalau hang duk melangut tengok aku buat soalan. Pi lah ambil buku, buat latihan!” Serentak tangan Perkasa Armana menolak bahu Sarip Dol yang kebetulan hanya berjiran meja sebelah dengannya.
            “Arman…”
            Sarip Dol yang baru hendak buat rajin dengan mengeluarkan buku di bawah meja terus tersedak. Melihat wajah Perkasa Armana berubah rona dengan panggilan lembut itu membuatkan hatinya mengkekek ketawa. Berfalsampah tentang cinta di zaman belajar, ke mana hilangnya hujah Perkasa Armana apabila wajah itu sudah berubah sedemikian rupa.
            Mata Sarip Dol terus jatuh pada wajah Perkasa Armana yang sudah terketar-ketar bersuara sambil menyelesaikan soalan Fizik di buku Zalfa, gadis berdarah campur India dan Arab itu. Hai… Perkasa Armana yang tidak berminat cinta zaman belajar pun boleh tergugat juga! Sarip Dol menyimpan tawanya yang begitu terdesak hendak meletup di saat ini. Bimbang pula andai dirinya dilesing oleh Perkasa Armana kerana terganggu konsentrasi untuk ‘bercinta’ dengan Zalfa.
            Thanks Arman. You solve this problem easily which I’ve been doing for two days. Pecah kepala duk fikir tak dapat jawapan. I owe you, one.” Dengan senyuman manis, Zalfa terus ke depan mengambil tempat duduknya. Apabila berpaling ke belakang, Perkasa Armana masih melayarkan mata di wajahnya. Bibir itu tersenyum manis dan kembali menghadap barisan soalan yang tercetak di buku latihan Sasbadi depan mata.
            “Ehem!!!” Deheman yang kuat serta disengajakan itu membuatkan Perkasa Armana terpinga-pinga. Terkebil-kebil seketika dia apabila Sarip Dol sudah tersenyum meleret dengan wajah yang begitu gatal sekali.
            “Arman…” Sarip Dol meleretkan suara yang sengaja dilembutkan itu. Melihat wajah Perkasa Armana yang sekali lagi berubah rona di depan matanya, lantas dihamburkan tawa. Hanya lepukan kuat daripada Perkasa Armana yang singgah di belakang bahu mematikan bibirnya daripada menggila.
Serentak itu, Cikgu Jamilah, guru subjek Biologi mereka sudah melangkah masuk ke dalam kelas. Hilang semua keriuhan dalam kelas apabila semua pelajar sudah kembali fokus untuk belajar melainkan seorang insan di sebelahnya. Mata Sarip Dol terus mengikuti di mana jatuhnya pandangan Perkasa Armana. Zalfa! Parah…

MENGUAP! Lagi dan lagi, Jelita Suria terus menguap lagi. Matanya yang sudah mulai pedih seakan tidak mampu dikawal. Sudah berkali-kali juga dia meneguk air masak agar menyegarkan mindanya yang mulai diserang sindrom mengantuk kelas Sejarah. Pandangan dihala ke hadapan kelas, Cikgu Sakini sedang menatap buku teks di tangan dan meneruskan pembacaan tanpa menghiraukan persekitaran.
            Jelita Suria mula memusingkan kepalanya 180 darjah mengelilingi kelas yang sunyi itu. Hampir terbuntang biji mata apabila dia menangkap beberapa makhluk yang selamba sahaja memulakan kilang air liur basi mereka. Keluhan meniti bibirnya. Tidak sedarkah Cikgu Sakini bahawa separuh daripada kelas sudah layu dengan suara merdu cikgu itu?
            Tidak mahu terus melayan rasa kantuk yang menyerang, Jelita Suria terus mengangkat tangannya tinggi. Namun, mana Cikgu Sakini hendak perasan kalau mata itu tepat pada buku dan bukannya murid di hadapan.
            “Cikgu…” Jelita Suria baru hendak bersuara tetapi laju lagi Azlan, ketua tingkatan menarik perhatian Cikgu Sakini. “Mengantuklah cikgu… apa pun tak masuk kepala. Budak-budak dekat belakang pun dah sibuk buat taik mata!” Suara Azlan kedengaran geram dengan mereka yang selamba tidur semasa cikgu mengajar.
            Spontan Jelita Suria tersenyum dengan ayat itu. Bagus! Harap ada yang sudi mengetuk kepala insan yang mulai berlayar di alam mimpi itu.
            Cikgu Sakini sudah tersenyum nipis. Memori ketika di alam sekolahnya mula menerpa. Cuma mereka di zaman itu tidak berani untuk tidur secara terang lagi bersuluh seperti anak muridnya kini. Sebuah tepukan kuat di meja menyentakkan seisi kelas. Terjaga semua manusia yang bergelap dengan sejarah alunan Cikgu Sakini.
            “Kita buat pop kuiz. Siapa dapat jawab, selamat. Siapa yang tak jawab… akan terpilih untuk pembentangan kelas akan datang. Setuju?”
            Boleh pula kuat suara Cikgu Sakini melaung. Desis Jelita Suria dalam hati. Bibirnya turut membalas kata setuju. Setakat menjawab pop kuiz, tiada masalah! Yang masalah, kepada mereka-mereka yang membutalah masa cikgu mengajar.
            Tetapi tidak Jelita Suria menyangka, pop kuiz pada hari ini akan dapat dijawab dengan baik oleh seisi kelas mereka. Tidak sangka, yang tidur sebelum ini hanya tidur-tidur ayam sahaja. Dan disebabkan itu Cikgu Sakini telah memutuskan sesuatu yang menjadi masalah besar buat Jelita Suria. Mengapa tidak wujud makhluk yang memiliki nama lebih awal daripadanya? Dan disebabkan itu, dia menjadi antara yang pertama untuk memulakan pembentangan subjek Sejarah pada kelas seterusnya.
            Jelita Suria dengan pembentangan adalah sesuatu yang menyesakkan nafas! Minta nyawa!!!
            “Hei, relaks la… pembentangan depan kawan kelas aja pun. Janganlah nak gelabah.” Tegur Marlisa yang duduk di tepi Jelita Suria. Kegugupan dan kegabraan begitu jelas terpancar di wajah Jelita Suria.
            “Hang macam tak tahu… macam mana dengan sindrom darah gemuruh aku.” Jelita Suria menyapu wajahnya kalut. Marlisa pasti tahu akan situasi itu kerana Marlisa sama sekolah rendah dengannya. Sama juga kelas dengannya. Dan yang paling penting, Marlisa pasti tahu yang Jelita Suria hanya akan memalukan diri sendiri jika berada di hadapan ‘khalayak’ kelas ini.
            Marlisa menepuk bahu Jelita Suria, mesra. “Jangan risaulah… Allah ada untuk bagi kekuatan. Hang prepare apa yang patut.”
Marlisa menguntumkan senyuman agar menyalurkan semangat buat Jelita Suria. Dia tahu, Jelita Suria seorang gadis yang pendiam. Sukar untuk mendekati sahabatnya yang seorang ini. Jika di dalam kelas pun, Jelita Suria hanya akan menghadkan berbicara perkara yang perlu sahaja. Itu pun hanya berkaitan dengan pelajaran. Lebih daripada itu, noktah. Tidak pernah sekalipun dia berbual mesra dengan Jelita Suria. Bukan kerana Jelita Suria itu sombong, tetapi sudah menjadi kebiasaan gadis itu untuk begitu.
Thanks…” Jelita Suria menzahirkan ucapan itu dengan senyuman nipis di bibir.
“Aku kan kawan hang. Apa-apa pun, hang boleh cakap aja dengan aku. Jangan segan…” ucap Marlisa mesra. Harapannya agar Jelita Suria tidak akan ragu untuk menerima diri sebagai sahabat baik dalam hidupnya.
Jelita Suria diam sahaja. Pandangannya kembali ke kotak pensel yang terbuka di atas meja. Salahkah dia bersikap terlalu berhati-hati dalam memilih kawan? Kenapa sukar sangat dia hendak beramah mesra dengan teman seusianya? Bukan dia tidak kenal Marlisa. Sudah lebih lima tahun mereka bersua mata. Dan dia tahu, Marlisa sentiasa sudi menolongnya.
“Marlisa…” Jelita Suria memanggil perlahan. Melihat senyuman Marlisa yang sentiasa berkuntum bagai mawar yang kembang di pagi hari, hati Jelita Suria menjadi tenang. Senyuman itu menenangkan pandangannya.
Teringatkan kata-kata abah, “Allah lebih tahu siapa yang patut hadir dalam hidup kita. Bila dia akan hadir dalam hidup kita. Yang penting kita kena yakin, Allah penentu segala sesuatu!”
Jelita Suria tersenyum nipis. Allah hadirkan Marlisa dalam hidupnya. Kerana dalam dunia ini tiada satu manusia pun dapat hidup tanpa teman. Dan disebabkan hakikat itu juga, Allah telah menjadikan manusia berpasang-pasanganan. Caturan Allah begitu indah, andai sahaja kita mampu menghayatinya!

DAN benarlah telahan Jelita Suria, Marlisa dihadirkan oleh Allah dalam hidupnya dengan memberikan 1001 keindahan. Mereka sudah mampu meluangkan masa dengan melakukan aktiviti berfaedah. Mengulangkaji bersama. Sungguh Jelita Suria menyenangi perkara itu. Kerana seorang sahabat yang baik pasti akan sentiasa mengingatkan temannya agar tidak lalai dengan kehidupan yang melekakan.
            Mereka belajar sama-sama. Solat sama-sama. Kadangkala, ada masa terluang mengaji pun bersama. Dan kini, Jelita Suria berada di rumah Marlisa untuk sama-sama menyiapkan latih tubi Matematik sebanyak seratus soalan itu. Ada kaliber untuk menjadi pelajar tokoh tak? Jelita Suria tersenyum dalam hati.
            “Amboi, rajin sangat eh dua orang anak dara ni!”
            Marlisa sudah mengherotkan mulut. Seperti dia tidak tahu suara siapakah itu. Jelita Suria yang melihat reaksi Marlisa melepaskan ketawa riang.
            “Abang Mirza sihat?” soal Jelita Suria dengan ramah. Sejak berkawan baik dengan Marlisa, makin ramah-tamah pula jadinya. Dan melihat senyuman lebar di bibir lelaki yang bernama Mirza Haidar itu, tahulah Jelita Suria bahawa lelaki itu sihat benar.
            “Tak payah duk layan Abang Mirza ni Jelita. Dia ni tahu nak menggatal aja kalau hang ada dekat sini!” Marlisa mencebik melihat abangnya yang berumur 19 tahun itu tertawa senang dengan bebelannya. Gatal! Sempat lagi ungkapan itu bergema di hati.
            “Eh, kalau gatal dah lama abang suruh hang garu!” balas Mirza Haidar geram. Dan matanya kembali menghala ke wajah insan yang sudah tertunduk menghadap kertas A4 lengkap dengan soalan Matematik itu. Comel sangat! Wajah yang masih penuh dengan aura budak-budak namun begitu menarik pandangan mata. Dia suka!
            “Takkanlah Abang Mirza nak menggatal dengan Jelita. Jelita ni dah macam adik Abang Mirza aja kan?”
            Soalan Jelita Suria hanya mematikan senyuman di bibir Mirza Haidar. Apa pula kenyataan yang diberikan oleh Jelita Suria ini? Takkanlah dia hendak menganggap Jelita Suria seperti adik sendiri sedangkan sudah sah-sah hatinya terpaut dengan gadis kecil molek itu? Disebabkan Jelita Suria juga dia sudah mula mengurangkan aktiviti luar rumah sementara menunggu keputusan kemasukan ke universiti. Melihat keakraban Jelita Suria dengan Marlisa membuatkan hatinya berasa senang. Eloklah praktis awal, mudah untuk masa depan!
            “Abang tak payahlah nak buat baik duduk rumah. Pergilah lepak dengan kawan tu. Lisa dengan Jelita nak siapkan kerja, banyak ni!” bebel Marlisa tidak senang apabila abangnya sudah mengambil tempat di meja ini dan mata pula tidak lepas memandang Jelita Suria. Tidak pasti jika Jelita Suria perasan atau tidak, tetapi Marlisa sangat perasan akan kelakuan aneh abangnya yang begitu memualkan tekak. Rasa macam dilatari lagu Hindustan pula! Nak termuntah.

Comments

  1. Cehhh perkasa ni td ckp dia dtg skolah bkn utk bcinta... tp bile zalfa sebut name dia dengan lmbut, bukan maen merah lagi muka... lps tu blh pulak time cikgu masuk dia pandang lagi si zalfa... nmpk sangat dia suka kat zalfa...

    ReplyDelete
  2. Skema betul si Perkasa ni. Hihii :)

    ReplyDelete
  3. Teringat memori sekolah dulu bila subjek srjarah suma lentok kepala..surat cinta siap ada bedak lagi

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Cerpen: Lain di Mulut, Lain di Hati

JAMBANGAN bunga ros yang berada di atas mejanya itu dicapai. Tanpa melihat nama pengirim pun dia sudah boleh meneka, siapa pengirimnya. Terus dengusan tidak senang dilepaskan. Tanpa menunggu sesaat, jambangan bunga itu sudah terhumban ke dalam tong sampah di sudut bilik.             Huh! Apa dia fikir aku ni perempuan, nak cair kalau disogokkan dengan bunga. Kalau aku cakap benci, memang akan benci selamanya! rungutnya.             Serentak itu, pintu biliknya diketuk. Terjengul wajah Selina, setiausahanya.             “Encik Irfan, Puan Eryna nak jumpa.”             Sekali lagi dia melepaskan dengusan kasar. Tidak cukup dengan bunga yang merimaskan, sekarang, tuan punya badan pula muncul di depan mata. Ah, benci!             “Suruh dia balik! Saya tak nak jumpa dia.” Kuat dan lantang sekali suara Irfan sehingga begitu jelas buat pendengaran Eryna yang sedang duduk menunggu di luar bilik. Eryna tersentak. Riak wajahnya terus beruba

Cerpen: Hati ini [End]

BUNYI suara yang bertingkah dari ruang tamu mengkakukan langkah Ana di anak tangga terakhir. Dia yang turun ke bawah dengan niat untuk membasahkan tekak terkaku seketika. Tidak mahu menonjolkan diri di hadapan tetamu mama dan papa, tanpa berfikir panjang dia sudah memalingkan badan hendak bergerak ke atas semula. Namun sekali lagi, dirinya terus kaku di situ. Suara yang melaungkan namanya membuatkan badannya menjadi gementar secara tiba-tiba.             “Ana…” namanya dipanggil sekali lagi. Dia kenal suara itu. Terlalu kenal. Tetapi dia tidak mahu memalingkan wajahnya. Atas sebab apa, dia tidak pasti. Ikutkan sahaja kata hati.             Sentuhan di bahu membuatkan Ana tersentak. Pantas dia berpaling dengan wajah yang sudah berubah riak. Dia tidak suka dengan sentuhan itu. Sentuhan yang tidak menghormati dirinya sebagai seorang wanita muslim. Seketika mata mereka bertemu. Ana terkedu. Seakan tersedar dari mimpi… senyuman yang menghiasi

Cerpen: Dia yang aku cinta

Berdebar-debar rasanya saat menanti di ruang legar ini. Menanti kehadiran insan yang disayangi. Menanti saat yang ditunggu-tunggu selama ini. Disunting menjadi suri dalam hidup lelaki yang dicintai. Ah! Indah sungguh rasa…             “Tahulah nak tunggu insan tercinta. Kut iya pun… tak perlulah tayang riak wajah teruja, yang terlebih perisa pulak!” teguran berunsur perlian itu hanya membuatkan dia menjeling manja.             “Biarlah!” balasnya dengan menyampah.             Tiada siapa pun tahu apa yang dirasainya selama dua tahun ini. Hidup berjauhan dengan insan yang memenuhi ruang hatinya. Sungguh menyeksakan jiwa dan raga sahaja!             “Akak…” panggilan itu membuatkan dia melepaskan dengusan manja.             “Apa?!” soalnya geram. Geram saat khayalan indahnya dicantas dengan kejam. Sedangkan, hanya itu yang mampu dilakukan di saat ini.             “Tu…” mulut si adik sudah memuncung ke satu sudut.             Matanya turut berlari mencari. Seketika dia