BAB 4
PULANG
sahaja
dari sekolah petang itu, Jelita Suria terkejut melihat emaknya terbaring lesu
di sofa. Neneknya, Puan Kamariah juga ada. Di sebelah nenek, Mak Ngah dengan
Akma sepupunya yang juga dengan baju sekolah masih belum berganti. Pasti dia
juga baru tamat waktu persekolahan. Namun yang menghairankan Jelita Suria,
kenapa mereka semua sedang duduk di sisi emaknya? Macam ada yang tidak kena?
“Kenapa
dengan mak? Sakit ke?” soal Jelita Suria risau. Pandangan ditebarkan ke
sekeliling, mencari kelibat Encik Johan.
“Kenapa
dengan mak, nenek… Mak Ngah?” soalnya lagi. Pandangan manusia di situ hanya
pada Puan Hayati dan bukan padanya. Tetapi kenapa? Emak sakit ke? Hati Jelita
Suria dibanjiri resah. Emak sakit apa? Baru tadi pagi emak bergelak ketawa
dengan jenakanya. Baru semalam emak cakap yang emak suka tengok Jelita Suria
gembira berkawan baik dengan budak sekolah. Langsung tiada lagi omelan
berkenaan perlian nama dan sebagainya. Dan hari ini, emak sakit… Jelita Suria
merasakan lumpuh terus jiwanya melihat wajah emak yang lesu tidak bermaya.
“Nenek
nak tunggu abah Jelita balik! Sampai hati dia tak boleh balik jenguk mak hang,
saat-saat genting macam ni!” marah Puan Kamariah. Wajah menantunya dielus
perlahan.
Dahi
Jelita Suria berkerut. Matanya berisyarat dengan Akma, sepupu sebaya dengannya.
Namun Akma mengjungkit bahu. Dirinya juga tidak mengerti mengapa dia ke sini
selepas habis sesi sekolah tadi. Bila dipandang wajah nenek dan emaknya, mereka
berdua asyik berdrama dengan riak tidak puas hati sahaja. Dari tadi juga
neneknya tidak berhenti-henti dengan ‘sumpahan’ hendak memarahi Pak Long!
Wajah
Jelita Suria sudah dirundung pilu. Biarpun tidak dapat membaca plot ‘drama’
yang dimainkan oleh nenek dan Mak Ngah, dia turut mengambil tempat di sisi
emaknya. Menghulurkan simpati yang tidak dikenal pasti sebab.
“Yati!!!”
suara Encik Johan yang cemas membuatkan nenek dan Mak Ngah terus tegak di situ.
Jelita Suria dan Akma sudah merapat sesama sendiri. Masing-masing kabur tentang
situasi sebenar.
Sebentar
kemudian, Encik Johan sudah dipeluk erat oleh Puan Kamariah.
“Congratulations my son…” ucap Puan
Kamariah gembira.
Membuntang
biji mata Jelita Suria. Emaknya sakit dan nenek mengucapkan tahniah? Sudah
mereng agaknya Puan Kamariah ini? Bibirnya diketap geram. Wajahnya emaknya
direnung dengan penuh simpati. Mata emak terkatup rapat dan kelihatan sangat
lena di mata Jelita Suria. Apalah nasib emaknya ini, sudahlah sakit… emak
mentua pula bersorak riang.
“Betul
ke mak?” Kuat suara abah menerpa telinga Jelita Suria yang mulai larut dengan
rasa sedihnya. Dan abahnya menyambung lagi, “Alhamdulillah…” Saat itu Jelita
Suria rasa hendak marah. Bagaimana abah pun boleh berjangkit penyakit pelik
nenek? Tidak nampakkah mata dua orang itu bahawa emaknya sakit?
“Abah,
nenek…” jerit Jelita Suria geram. “Mak sakitkan? Kenapa abah cakap
Alhamdulillah? Abah dah tak sayang mak? Abah suka kalau mak tak ada? Jelita tak
sangka… abah sanggup tengok mak macam ni…” beremosi luahan Jelita Suria. Tanpa
sedar, air mata sudah menitis di pipi.
Akma
pula sudah mula menarik Jelita Suria rapat dengannya. Sedih pula dia melihat
tangisan itu.
“Sayang
abah… Jelita Suria.” Encik Johan mendekati Jelita Suria yang sudah memulakan
drama air mata di tengah ruang tamu ini. Bibirnya tersenyum kecil. Dadanya yang
tadi hendak rasa meletup, terasa berkurang. Ketenangan mula memenuhi jiwa.
Betapa luasnya rezeki yang dikurniakan Allah dalam hidup mereka. Dulu seorang,
kini…
“Mak…
mengandung. Jelita akan jadi kakak.” Tutur Encik Johan dengan rasa bahagia.
Tidak sama sekali dia menyangka, akan diberikan peluang untuk mengecap rasa
indah itu sekali lagi. Alhamdulillah. Bibirnya terus tersenyum, bahagia. Namun,
termati senyuman itu apabila riak di wajah Jelita Suria tidak seperti yang
dijangka. Kenapa?
“Jelita
tak suka?”
Jelita
Suria hanya mendiamkan diri. Tidak suka? Tidak tahu apa reaksi yang harus
diberikan kepada abah yang menanti jawapannya. Dia sudah terbiasa dengan
menjadi satu-satu permata dalam keluarga kecil mereka. Dan kini, akan muncul
seorang lagi insan… adik? Janggal. Jelita Suria terasa janggal biarpun dia
sukakan kehadiran seorang lagi insan yang akan menemani emak dan abah.
“Jelita
kena jaga mak elok-elok. Mak tu masa mengandung Jelita pun, selalu tak sihat.
Lemah sangat badan dia… Jelitalah kena bertanggungjawab, tolong abah… jaga
kesihatan mak. Boleh kan?” soal Puan Kamariah pula.
Namun
Jelita Suria masih kaku tanpa suara. Adik? Wajah Akma di sisi dipandang kosong.
Apa rasanya ada adik sendiri? Akma pasti tahu kerana sepupunya itu ada tiga
orang hero di bawahnya.
ADIK
adalah satu spesies di muka bumi yang deskripsi tugasannya menyusahkan seorang
abang! Dan itulah rasa Perkasa Armana kepada istilah adik yang wujud dalam
dunianya. Tidak tahu di mana Puan Zaidah dan Encik Muaz mengutip makhluk itu!
Melihat Putra Azad yang terkial-kial menyarung sneakers di kaki membuatkan Perkasa Armana menghela nafas tidak
henti.
Putra
Azad! Ulangnya dalam hati. Putralah sangat. Menyampah. Kan lebih sedap kalau
namanya juga diberikan, Putra Armana. Lebih mengasyikkan telinga bunyinya.
Tidaklah gundah hatinya memikirkan mengapa Perkasa. Perkasa Armana!
“Azad…
cepatlah! Hang ni tolong jangan nak bagi aku marah boleh tak?” Soalan hendak
marah pun sudah ada bunyi marahnya. Perkasa Armana mendengus kasar. Diberikan
tanggungjawab untuk menghantar si gemuk ini ke Pusat Tuisyen Iqra Ilmu di
Sungai Nibong bukanlah satu masalah baginya. Perkara itu hanya akan menjadi
masalah apabila masa lapang sejam lalu disia-siakan begitu sahaja dan masuk
lima belas minit hendak pukul empat, baru Putra Azad kalut bersiap. Siapa yang
takkan marah? Sudahlah dia pun harus ke tuisyen juga.
“Abang
ni, kecohlah. Ada lagi lima minit ni. Sir Taqi tak marahlah.” Pandai sahaja
Putra Azad mengalunkan ayat pemujukan yang tidak begitu berkesan untuk
bertindak balas pada abangnya itu. “Azad dah siaplah. Boleh gerak…” malas
sahaja Putra Azad mengatur langkah dan mencapai helmet di motor Yamaha Lagenda
berwarna hitam itu.
Perkasa
Armana yang sejak tadi sudah panas, tidak mahu bercakap banyak. Enjin motor
dihidupkan dan terus dipecut ke destinasi. Sebaik sahaja memarkirkan motor,
matanya menghantar langkah Putra Azad ke pusat tuisyen yang terletak di atas
kedai kek itu. Dan dia pula terus menghala ke arah Ayamas. Hendak membeli air
sejuk sebelum naik ke kelas yang pasti sudah bermula sepuluh minit lalu. Argh,
Putra Azad punya pasal… dia pun ikut lambat!
Putra
Azad yang sudah melangkah masuk ke dalam kelas terus sahaja menuju ke tempat
duduk kegemarannya. Namun hairan sudah menerpa. Satu wajah yang sentiasa awal
di situ, tiada! Wajah teman baik peneman gadis itu dipandang aneh. Matanya
diisyaratkan pada tempat duduk kosong di sebelah.
“Dia
tak sihat. Sebab tu tak datang…” malas sahaja jawapan itu dialunkan.
Berkerut
dahi Putra Azad. “Aku nampak minggu lepas dia okey aja.”
Dan
balasan ayat yang membuatkan Marlisa menjulingkan biji matanya ke atas. Apa
bendalah Putra Azad ini merepek? Kalau Jelita Suria sihat minggu lepas, takkan
tak ada kemungkinan untuk sakit minggu ini? Ikutkan hati, hendak diluku sahaja
kepala si gemuk yang suka sangat mengusik Jelita Suria. Pasti Jelita Suria
berasa sangat aman di rumah. Syukur Alhamdulillah. Marlisa pula yang menghela
nafas lega bagi pihak Jelita Suria.
Kemunculan
Sir Taqi ke dalam bilik yang memuatkan hampir 30 pelajar itu membantutkan suara
Putra Azad untuk terus bertanya. Sudahlah dalam seminggu hanya dua kali dia
berkesempatan untuk menatap wajah Jelita Suria. Dan minggu ini, tidak
berpeluang pula. Kacau!
Disebabkan
frust tidak dapat bersua dengan
Jelita Suria, Putra Azad terus mengeluarkan coklat Cloud 9 yang sentiasa penuh
dalam begnya itu. Dibuka bungkusan warna coklat itu dan kunyahan dimulakan
dengan rasa sebal. Suara Sir Taqi pun sudah timbul tenggelam tidak kedengaran
dek kerana gangguan konsentrasi pada minda.
“Azad…
makan tu perlahan sikit. Hang duk kacau orang lain nak belajaq la Azad…”
selamba Sir Taqi menegur. Seisi kelas sudah ketawa. Namun Putra Azad seperti
biasa, dengan wajah tidak berperasaan dia terus mengunyah.
Marlisa
di belakang sudah mencebik. Patutlah badan Putra Azad sedemikian rupa. Lihatlah
mulut itu, tidak berhenti beroperasi sejak masuk ke dalam kelas tadi. Tetapi
hairan juga, kalau Jelita Suria ada di depan mata… mulut Putra Azad akan kurang
kerja kunyahannya. Ia lebih gemar untuk tersenyum sahaja. Malu mungkin!
Marlisa tersenyum sendiri. Besar
sungguh penangan Jelita Suria kepada Putra Azad yang ‘comel’ ini. Silap-silap…
kurang daripada beberapa bulan lagi, Putra Azad takkan montel macam ini lagi.
Membayangkan keadaan itu, terpecah tawa Marlisa. Kelas yang sepi secara
tiba-tiba mengebaskan pipinya. Terasa bagai dibius. Semua mata tertumpu pada
Marlisa. Dan Marlisa, sudah disimbah rona merah di wajah. Malunya!!!
PUAN
Hayati muntah tidak berhenti. Makan dan muntah. Hanya itu sahaja rutinnya yang
terkini. Tidak sama sekali dia menyangka, alahan untuk adik Jelita Suria ini
akan lebih teruk daripada kakaknya. Dengan langkah yang lemah, Puan Hayati
melangkah ke ruang makan. Pinggan dan lauk yang berbaki di atas meja tadi sudah
siap berkemas. Siapa lagi, kalau bukan Jelita Suria yang menyumbang khidmat.
Kasihan
Jelita Suria… sudahlah sejak semalam anak itu demam. Belum baik demam dan kini
harus menjaganya pula. “Jelita…” diseru perlahan nama itu.
Jelita
Suria tersenyum kecil membalas panggilan emaknya.
“Dah
la… Jelita pergi rehat. Dah makan ubat?”
Jelita
Suria mengangguk. Dia sudah selesaikan segala urusan perutnya termasuklah
menelan beberapa biji ubat yang diberikan oleh doktor di Poliklinik Perdana
semalam.
“Mak
nak apa-apa? Air panas ke? Jelita boleh ambil.”
“Tak
payahlah… Jelita pergi rehat.” Puan Hayati baru hendak melangkah ke depan,
tiba-tiba teringatkan sesuatu. Nama Jelita Suria dilaung lagi.
“Lisa
telefon tadi… mak lupa nak cakap. Dia nak datang petang ni.” Ucapnya sekadar
untuk mengingatkan Jelita Suria. Mungkin ada tugasan atau ulangkaji yang hendak
dilakukan bersama anak gadis itu. Melihat keakraban Jelita Suria dengan
sahabatnya, hati ini menjadi senang sekali. Jelita Suria kadangkala menjadi
terlalu pesimis untuk menerima kawan baru dan sikap itu adakalanya hanya
menghadirkan ketidaksenangan dalam hati. Anaknya itu bukan sombong tetapi
terlalu berhati-hati. Dan mujurlah kini Jelita Suria sudah mula menyedari dan
melakukan perubahan sedikit demi sedikit.
Jelita
Suria yang sudah berada di depan pintu biliknya menjenguk kepala pada kelibat
Puan Hayati yang kini sedang menonton TV pula. Pintu bilik dibiarkan terbuka.
Jelita Suria membaringkan badan di atas katil. Kipas yang mula berpusing dengan
kelajuan sederhana itu menyejukkan wajah. Tidak sedar, entah bila matanya
terkatup dan dia terlena. Mata itu hanya terbuka semula apabila dikejutkan
suara bak guruh milik Marlisa.
Jelita
Suria tidak tahu pula, Marlisa ada bakat dalam seni suara. Dan apabila
dikhabarkan tentang itu, Marlisa ketawa dengan galak.
“Banyaklah
hang ni Jelita… seni suara pulak. Aku duk panggil dengan penuh kelembutan, hang
tak sedar. Mak hang cakap, jerit aja. Aku pun… apa lagi.” Laju bibir Marlisa
berbicara.
“Banyak
ke kerja?” Lemah Jelita Suria menyoal.
“Tak
banyak pun. Kalau larat, aku bolehlah tunjuk sekarang… Sir Taqi ajar formula
baru. Takut nanti hang buat sendiri, keliru pulak.”
“Hang
tunggu sat. Aku pi tandas dulu.” Badan Jelita Suria begitu tidak selesa.
Mungkin selepas menyegarkan wajah, dia boleh fokus semula.
Marlisa
mengangguk dan mula melangkah ke ruang tamu. Senyuman lebar dihulurkan pada
emak Jelita Suria.
“Jelita
cakap dia nak jadi kakak, betul ke mak cik?” Sibuk pula Marlisa petang ini
hendak menanyakan perihal itu. Bukan apa, dia cuma ingin tahu. Saat dikhabarkan
perkara itu oleh Jelita Suria, wajah sahabatnya itu kelihatan begitu gundah.
Takkan takut dapat adik?
“Insya-Allah,
Lisa… ni baru dua bulan. Jelita cakap dengan kamu? Dia nampak seronok tak?”
sengaja Puan Hayati bertanya.
“Macam
takut aja. Dia tak suka ke mak cik?”
“Tak
nampak macam tak suka… tapi mungkin sebab dia dah sorang, 13 tahun pulak.
Mungkin risaukan tu kot.”
Marlisa
mengangguk. Mungkin juga. Tapi dia rasa, kalau ada adik pun apa salahnya. Pasti
seronok. Macam dia dan Abang Mirza. Jelita Suria pasti akan lebih gembira
dengan kehadiran seorang lagi peneman dalam keluarga mereka ini.
Dan
jeritan Jelita Suria yang tiba-tiba bergema mengejutkan kedua insan di ruang
tamu ini.
“Jelita
kan yang jerit?” soal Puan Hayati cemas.
Marlisa
lebih laju berlari ke arah tandas yang dimasuki Jelita Suria. Pintu yang
terkuak tanpa ketukan itu memboleh dia melihat keadaan Jelita Suria. Wajah itu
dibasahi peluh seperti terkejut akan sesuatu.
“Apa
benda ni Lisa? Aku sakit teruk ke sampai ada benda pelik macam ni?” soal Jelita
Suria mengejutkan Marlisa yang tergamam melihatnya.
Marlisa
pula terasa panas wajahnya. Sebuah senyuman dihadiahkan buat Jelita Suria
sebelum dia berpaling mencari pandangan Puan Hayati. “Anak mak cik… buat saya
pulak rasa malu.” Komennya sebelum melangkah ke depan.
Dia rasa, Jelita Suria lebih
memerlukan Puan Hayati di saat ini. Sama juga sepertinya di ‘waktu’ itu. Tapi,
keadaannya tidaklah senaif Jelita Suria yang nampak sangat macam tak tahu
apa-apa. Takkan tak tahu? Itu tandanya Jelita Suria dah jadi anak dara! Hisy!
tergelak2 WC bce part yg jelita marah ayah n nenek dia yg mcm suka mak dia sakit... adess lawak je jelita ni...
ReplyDeleteBest.... #^_^
ReplyDeletecomellll...hahahahaha
ReplyDeletenama semuanya klasik2. :)
ReplyDeletejelita ni naif bebenor...
ReplyDelete