Skip to main content

Ini Kisah Jelita & Perkasa [14]



BAB 14
BUAT sekian kalinya Perkasa Armana mengerling jam di tangannya. Sudah hampir sejam dia mendarat tetapi tiada juga petanda akan kemunculan kelibat Puan Zaidah dan Putra Azad yang dikatakan sedang dalam perjalanan untuk mengambilnya. Kalau emak tidak mahu ambil pun tiada masalah sebenarnya. Tetapi Puan Zaidah beria benar. Lantas, haruslah dia menunggu walaupun dirinya sudah penat berada di Lapangan Terbang Bayan Lepas itu.
            Bagasi berwarna hitam miliknya ditariknya. Tempat duduk yang tersusun sepanjang kawasan menunggu itu dituju. Punggungnya dilabuhkan di situ. Sementara menanti emak, tangannya sudah mula menyelak majalah fotografi yang dicapainya ketika di KLIA tadi. Bosan sangat. Sekadar untuk menghilangkan rasa bosan dengan menatap pemandangan indah yang terakam dengan lensa kamera DSLR itu.
            Seakan tidak sampai beberapa detik dia menghayati panorama indah di helaian muka majalah itu. Terasa ada sesuatu yang jatuh mengenai kakinya. Alih sahaja pandang, elok terpamer wajah seorang budak lelaki dengan sengihan lebar. Pasti berlari dengan laju sangat sehingga tidak sempat untuk membrek kakinya. Perkasa Armana tersenyum juga sambil menghulurkan tangannya. Membantu budak itu untuk berdiri dengan sempurna.
            Thank you abang.”
            Your welcome. Jangan lari laju-laju… jatuh lagi nanti.” Sempat lagi Perkasa Armana menitipkan pesanan pendek itu.
            “Bukan saya yang nak lari… tu, ada yang mengejar.”
            Belum sempat Perkasa Armana bertanya siapa, budak itu sudah berlari dahulu. Pandangan Perkasa Armana spontan berpaling ke arah kirinya. Terlayar di ruang mata seraut wajah yang langsung tidak dijangka akan muncul di sini. Pada detik ini. Dan entah kenapa, degupan jantung menjadi lebih laju daripada biasa. Berdebar-debar! Dah kenapa pula yang hang berdebar bagai, Perkasa Armana? Marahnya dalam hati.
            Namun hati itu seakan tidak mengerti dengan arahan tuannya. Ia terus berdegup laju bersama panahan mata yang mengikuti langkah insan itu. Insan yang langsung tidak menyedari kewujudannya di sini.
            “Dia…” bibirnya menyebut perlahan. “Jelita.”
            Sebaris nama yang terus melayangkan ingatan Perkasa Armana kepada Mirza Haidar. Betapa keruhnya wajah itu apabila dimaklumkan mengenai pinangan yang tidak diterima buat masa ini. Biarpun bibir Mirza Haidar cuba juga tersenyum di hadapannya, namun Perkasa Armana tidaklah buta. Dia nampak sahaja segala perlakuan Mirza Haidar yang kurang bermaya selama beberapa minggu itu. Kesudahannya, dia juga yang bertindak sebagai cikgu motivasi. Memberi ingatan dan memahatkan dengan kukuh agar Mirza Haidar tidak tersasar daripada landasan.
            “Apa susah… nanti dah habis housemanship, masuklah meminang semula. Takkan abah dia nak tolak lagi… dah kerja kot masa tu.” Dan adakah itu dapat dikira sebagai suatu peringatan terbaik daripada Perkasa Armana? Entahlah… hanya itu yang dapat difikirkan apabila setiap hari dia menghadap wajah tempe basi Mirza Haidar. Daripada kacak jadi terus meloyakan tekak.
            Dan kini, hati Perkasa Armana menjadi gundah semula. Mistik benar keadaan hatinya bila berdepan dengan gadis itu. Gadis yang tidak dikenali apa-apa pun melainkan hanya sebaris nama yang indah itu.
            Tidak mahu terlalu mengenangkan rasa hati yang mulai melalaikan diri, Perkasa Armana kembali duduk dan menghadap majalah tadi. Sesi bersantai yang tergendala itu, cuba disambung kembali. Namun, mungkin rezeki tidak menyebelahinya.
            “Abang…”
            Teguran itu memaksa Perkasa Armana mengangkat wajah. Sekali lagi, wajah si kecil yang lengkap berpakaian jersi Malaysia itu menyapa mata. Senyuman kecil dihadiahkan sambil tangan spontan menaik pada bahu budak itu.
            Sorry.”
            Bertaut kening Perkasa Armana. Mengapa perlu minta maaf? “Untuk apa?”
            “Saya langgar abang tadi… tapi tak cakap sorry.” Polos bibir itu menjawab.
            “Kenapa baru sekarang nak cakap sorry?” soal Perkasa Armana serius. Sengaja hendak mengusik. Wajah comel di hadapannya ini membuatkan dia seronok sendiri. Jarang sekali dia hendak melayan kerenah budak kecil. Apatah lagi, budak kecil yang terakhir dilayannya dengan penuh kesabaran adalah si buntal, Putra Azad.
            “Kakak saya tu marah… bising dia nanti kalau saya tak cakap sorry kat abang. Dia siap ugut cakap tak nak naik kapal terbang… tak bolehlah macam tu! Saya suka dia tak ada kat rumah… baru tak ada orang nak marah-marah.”
            “Kakak?”
            “Kakak saya… tu, baju ungu.” Tangan kecil itu mula menuding jari ke arah sekumpulan kecil insan yang sedang diiringi oleh “lagu” perpisahan. Terkesan di mata Perkasa Armana, Jelita Suria yang menitiskan air mata. Hendak ke mana sahaja insan itu sehingga perlu menitiskan air mata?
            “Dia nak pergi mana?” soalnya laju. Tidak sabar dan terlalu ingin tahu.
            “Abah nak hantar dia pergi Mesir… nakal sangat Jelita tu!” penuh semangat Ahmad Naufal melagukan ayatnya. “Saya pergi dulu ya, abang.”
Ahmad Naufal tidak menunggu lama untuk beredar. Laju langkahnya mendekati Jelita Suria yang lengkap berjubah ungu. Kakaknya itu sudah mendepakan tangan bersedia menyambutnya dalam pelukan. Dan benarkah Ahmad Naufal tidak akan merindui Jelita Suria?
            “Jangan nakal-nakal… jangan buli mak minta tu, minta ni… kalau mak complain dengan Jelita, siaplah Naufal!” Jelita Suria menarik kuat hidung adiknya. Sehingga menyeringai Ahmad Naufal.
            “Cepat-cepatlah pi! Baru tak dak orang kacau aku…” balas Ahmad Naufal selamba.
            Tanpa mempedulikan rungutan itu, Jelita Suria mengucup pipi Ahmad Naufal. “Jaga mak dengan abah… nanti kalau Jelita tak balik, baru Naufal nanti rindu.”
            “Apa pulak cakap pasal tak balik ni, Jelita?” celah Puan Hayati tidak senang. Sudah seminggu Jelita Suria asyik mengulang bait kata yang sama. Andai dirinya tidak pulang.
            “Mak dengan abah yang nak hantar Jelita pi sana kan… biarlah Jelita duduk situ terus.” Masih merajuk Jelita Suria dengan keputusan itu. Masih tidak berkurang rasa sedih yang menghuni atas tindakan abah seolah tidak percayakan dirinya ini. Kecil sungguh hatinya apabila kesetiaan yang diberikan selama ini masih diragui oleh Encik Johan.
            “Jelita… jangan nak pertikaikan keputusan abah.” Dan suara tegas itu mematikan bicara Jelita Suria. Terus sahaja gadis itu menurunkan Ahmad Naufal daripada pelukannya. Dia hendak segera berangkat dari sini. Kalau itu yang dimahukan oleh emak dan abahnya, dia boleh buat! Bentak hatinya keras. Entah berapa lama masa yang akan diambil untuk mengubat hati yang sedih itu, hanya Allah sahaja yang tahu.
            Sedihnya hati itu dengan keputusan abah yang tidak berubah, tidakkah abahnya mengerti?
            “Jelita pergi dulu… Assalamualaikum.” Tidak mahu menoleh lagi, kakinya terus masuk ke bahagian berlepas. Pintanya juga agar tiada yang menemani biarpun ini kali pertama dia akan berangkat jauh daripada negeri Pulau Mutiara ini. Jauh dari Malaysia.

DIPERHATIKAN sahaja dari jauh. Perkasa Armana hanya mampu merenung dengan perasaan ingin tahu. Namun tiada apa pun yang dapat menjawab persoalannya di situ. Perginya langkah Jelita Suria dengan pandangannya penuh duka. Dilepaskan pergi oleh kedua ibu bapa yang juga jelas tidak ingin melepaskan anak mereka. Tetapi kenapa?
            “Perkasa…” Tercantas pemikiran Perkasa Armana yang mengelamun memikirkan Jelita Suria apabila namanya dialun oleh seseorang yang begitu dikasihinya. Puan Zaidah sudah menguntum senyuman. Laju juga Perkasa Armana mendapatkan emaknya ke dalam pelukan.
            “Awat nampak sedih sangat? Tak suka ke dapat balik Penang?” soal Puan Zaidah sebaik sahaja melepaskan pelukan.
          “Mana ada mak… siapa yang tak happy kalau dapat balik Penang. Jumpa mak… jumpa abah… jumpa buntal!” Laju sahaja Perkasa Armana berubah ke mood mengusik. Wajah Putra Azad di belakang Puan Zaidah dicari. Seperti biasa, keruh sungguh wajah itu bila digelar buntal oleh Perkasa Armana.
            “Hei… aku gurau ajalah. Awat yang muka chot (masam) sangat. Happy la… SPM dah habis. Bolehlah nak bersuka ria sekejap…” ujar Perkasa Armana masih hendak mengusik. Namun sepasang mata Putra Azad itu tidak pada dirinya. Tidak juga pada Puan Zaidah. Lalu pada siapa sahaja mata itu tertunak?
            Spontan sahaja mata Perkasa Armana mengikut sorotan mata adiknya. Dan sepasang mata dengan renungan yang maha tajam menyapa wajah. Tidak mampu Perkasa Armana mencerna apakah maksud melalui renungan penuh rasa marah itu? Takkan Putra Azad berbuat yang bukan-bukan sampai menimbulkan kemarahan pak cik yang tidak dia tahu bernama apa itu?
            “Nak ke mana Azad?” Saat berselisih bahu, Putra Azad menerima soalan. Tidak tertelan liurnya dan tidak punya sekelumit keberanian pun untuk bertentang mata dengan abah Jelita Suria. Sesaat berlalu baru Putra Azad terfikirkan sesuatu.
           “Pak cik dah hantar Jelita?” soalnya kalut. Langsung tidak mempedulikan renungan pelik emak dan abangnya. Anggukkan Encik Johan hanya menambahkan rasa dukacita. Bertambah kecewa dengan diri sendiri. Mana mungkin tidak dia kecewa, kata-kata Marlisa masih jelas bergema di telinga ketika mereka terserempak di Queensbay Mall.
            “Abah Jelita nak hantar di ke Mesir. Mungkin dia duduk sana terus. Kalau balik pun, aku tak tahu bila… abah dia marah sangat, ingatkan Jelita bercinta senyap-senyap kat belakang dia. Sedangkan tak…” Sayu bicara Marlisa pada ketika itu. Mana mungkin Putra Azad lupa. Dan dia menjadi insan tidak berguna menghadirkan luka pada hati Jelita Suria. Bodohnya dia! Patutnya dia faham apabila Jelita Suria berkali-kali bersikap tidak mempedulikan dirinya. Sekarang baru terasa menyesal. Menyesal sangat!
            “Jelita baru aja masuk… InsyaAllah, mungkin lama kot kat sana. Azad jangan fikirkan pasal Jelita, dia ada perjalanan hidup yang mungkin tak sama macam Azad. Apa yang pak cik nak minta dengan Azad, jaga amanah yang kamu dah bagi pada pak cik. Bolehkan?” Suara Encik Johan berubah nada. Lembut lagak seorang bapa yang prihatin. Dan sesungguhnya dirinya terlalu prihatin dengan keadaan anak-anak muda pada masa kini.
            Sekali lagi, Putra Azad menelan air liur. Menyesal juga kerana cepat sangat menghulurkan janji. Tetapi janji untuk kebaikan Jelita Suria, tidak baikkah dia?
            “Baik pak cik… saya pegang dengan janji saya.” Seiring dengan itu bahu Putra Azad ditepuk mesra.
            Pandangan Encik Johan beralih pada jejaka di sebelah Putra Azad. Tanpa ditanya, bicara sudah dihulur.
            “Perkasa Armana, abang Azad…” Perkasa Armana tersenyum nipis.
            Puan Zaidah dan Puan Hayati ikut bersalam biarpun tidak pernah bersua. Berkenalan sesama saudara seagama, itu adalah sebaiknya.
            “Anak saya yang sulung, belajaq dekat Ireland. Ni balik cuti… itu pun lepas pesan berkali-kali suruh balik, kalau tak… payah (susah)!” Mesra Puan Zaidah berbual.
            “Azad ni sama sekolah dengan anak abang ke?” soal Puan Zaidah ingin tahu.
            “Sama tuisyen…” ringkas jawapan Encik Johan. Tidak mahu terus mengambil masa orang lain. Lantas diminta diri.
Ketika bersalam, sekali lagi Perkasa Armana menghulur senyuman dan sempat juga si kecil yang mengenalkan diri sebagai Naufal ber- give me five dengannya.
“Abang Perkasa, free boleh call rumah.” Nakal sahaja Ahmad Naufal dengan bicaranya. Laju juga dia menerima cubitan di pipi oleh Puan Hayati. Hasilnya, merah menyala. Sempat juga telinga Perkasa Armana menangkap bicara Ahmad Naufal yang berbisik dengan emaknya. “Peliknya nama abang tu mak. Awat Perkasa? Macam teater klasik aja.”
 Untuk itu Perkasa Armana hanya tertawa. Tidak sedar dengan wajah Putra Azad yang makin keruh merenung jauh ke atas siling yang tidak dapat ditembusi pandangan.

SUAPAN Perkasa Armana penuh bersemangat. Begitu berselera. Kalau begini, tidak cukup sebulan rasanya. Lebih daripada itu pun dia sanggup tinggal di rumah. Cukup asal dapat merasa air tangan emak yang sememangnya tidak dapat ditandingi keenakannya.
            “Apa menu untuk esok mak?”
            “Hari ni punya lauk pun tak habis lagi… dah cakap pasal esok. Tengok yang sorang tu, masa makan pun gaya putus cinta… awat ni Azad? Tak lapar ke?” Hairan Puan Zaidah menyoal. Matanya memerhatikan gerak laku Putra Azad yang longlai semacam.
            Putra Azad segera menggelengkan kepala. “Tak apalah mak. Biasalah… Azad kan sekarang jaga makan.” Tertawa kecil Putra Azad dengan ayatnya sendiri. Ketawa yang cuba dialunkan untuk memujuk hati sendiri. Tidak tahu di mana bertapak hati pada ketika ini. Pada Jelita Suria yang mungkin sudah terbang ke mana. Pada janji yang telah diberikan kepada Encik Johan. Pada segala permasalahan yang tercipta daripada dirinya, akhirnya menyusahkan hidup seorang Jelita Suria. Bersalahnya dia sebagai seorang sahabat.
            Perkasa Armana pula memicingkan mata. Tidak tahu apa yang cuba disembunyikan oleh Putra Azad daripada mata mereka. Sejak dari dia masuk ke dalam rumah, wajah itu muram sahaja. Langsung tiada serinya. Meskipun Perkasa Armana cuba untuk bergurau namun balasan daripada Putra Azad hanyalah senyuman tawar tanpa rasa. Kenapa begitu?
            Sesi jamu selera hanya kekal sepi selepas itu. Mata seorang abang itu terus mengekori langkah Putra Azad yang bangkit dari meja makan dengan sisa makanan yang tidak habis dimakan. Dengan itu sahaja, Perkasa Armana sudah bertemu dengan satu spekulasi. Dan jika andaiannya mengena, ini semua pasti ada kena mengena dengan perbualan yang berlaku antara Putra Azad dan Encik Johan di lapangan terbang siang tadi.
            “Cerita dengan aku…” serbu Perkasa Armana sebaik sahaja selesai makan dan mengemaskan meja makan.
Putra Azad yang terbaring atas katil di dalam bilik terpanggil untuk melihat wajah Perkasa Armana di sisi. Penuh dengan tanda tanya wajah itu. Tahulah dia, setiap pertanyaan itu harus dijawab.
“Awat yang moody sangat? Mak pun cakap hang nampak lain… sekarang cerita, ada masalah apa sampai tak boleh nak share dengan orang lain ke?” serius suara Perkasa Armana.
“Kalau aku cerita… mesti hang marah aku.”
“Belum cerita, mana aku nak tau… apa masalahnya?” sekali lagi, Perkasa Armana mendesak.
Putra Azad mengeluh. “Aku dah buat something yang bodoh! Sangat bodoh!” ucapnya dengan rasa benci. Benci dengan diri sendiri. Kalau masa itu mampu diputar balik? Ah, berangan sahajalah. Lidah manusia sememangnya begitu berbisa. Kalau tidak, masakan Jelita Suria dihantar sejauh itu hanya kerana kata-katanya.
“Apa yang hang buat?”
“Aku dah lukakan hati Jelita Suria. Bodohkan aku? Aku beria cakap dengan hang, aku sayangkan dia. Tapi aku dah sakitkan hati dia. Aku dah buat dia pi jauh daripada sini… dia marah sangat dengan aku.”
Sekali nama Jelita Suria menjentik gegendang telinga Perkasa Armana. Namun daripada lidah yang berbeza. Jantung yang berdetak dengan normal seakan berubah rentaknya. Wajah yang mulai hendak berubah riak, cuba dibiasakan. Rasa tidak selesa yang mula menghuni cuba dibuang jauh. Dia tidak boleh untuk berasa begini! Marah Perkasa Armana dalam hati.
“Dan aku dah janji dengan abah Jelita….” Sayu suara Putra Azad.
“Janji apa?” laju juga Perkasa Armana menyahut. Janji apa? Lebih daripada kesedihan di wajah Putra Azad, dia terlalu ingin tahu janji apa yang telah diberikan. Dan apa perkaitannya dengan Jelita Suria? Dan apa pula perkaitannnya dengan hang, Perkasa?
Sekali lagi, Perkasa Armana mulai mengutuk dirinya sendiri. Stop being busybody with that lady! She is none of your business! Marahnya bersungguh.   

Comments

  1. comel la nama perkasa armana.. unik. :) apepun teruskan menulis.. saya menanti hasil di penghujungnya

    ReplyDelete
  2. Apa jnji abah jelita ye dgn azad?..jd x sbr plk..makin menarik.good luck

    ReplyDelete
  3. x sabarnye nak tau apa si azad dah buat & dah janji...

    ReplyDelete
  4. Uiksss... ape yg azad da jnji kt abah jelita ni??? xsabar nk tau...
    saspen... saspen...

    ReplyDelete
  5. superb umi! x sabar nak baca next entries.. :D

    ReplyDelete
  6. Azad sempat buat aku janji dengan abah Jelita.... masak nak tunaikan ni bila tengok gaya Azad....

    ReplyDelete
  7. apela si azad janji kt abh jlita kn???haih..cite ni mkn complicated la..
    sape yg dpt jelita eh??mirza,azad or perkasa???tp klu nk jelita ngan perkasa blh x??hehe..

    Syahira_Ira

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Cerpen: Lain di Mulut, Lain di Hati

JAMBANGAN bunga ros yang berada di atas mejanya itu dicapai. Tanpa melihat nama pengirim pun dia sudah boleh meneka, siapa pengirimnya. Terus dengusan tidak senang dilepaskan. Tanpa menunggu sesaat, jambangan bunga itu sudah terhumban ke dalam tong sampah di sudut bilik.             Huh! Apa dia fikir aku ni perempuan, nak cair kalau disogokkan dengan bunga. Kalau aku cakap benci, memang akan benci selamanya! rungutnya.             Serentak itu, pintu biliknya diketuk. Terjengul wajah Selina, setiausahanya.             “Encik Irfan, Puan Eryna nak jumpa.”             Sekali lagi dia melepaskan dengusan kasar. Tidak cukup dengan bunga yang merimaskan, sekarang, tuan punya badan pula muncul di depan mata. Ah, benci!             “Suruh dia balik! Saya tak nak jumpa dia.” Kuat dan lantang sekali suara Irfan sehingga begitu jelas buat pendengaran Eryna yang sedang duduk menunggu di luar bilik. Eryna tersentak. Riak wajahnya terus beruba

Cerpen: Hati ini [End]

BUNYI suara yang bertingkah dari ruang tamu mengkakukan langkah Ana di anak tangga terakhir. Dia yang turun ke bawah dengan niat untuk membasahkan tekak terkaku seketika. Tidak mahu menonjolkan diri di hadapan tetamu mama dan papa, tanpa berfikir panjang dia sudah memalingkan badan hendak bergerak ke atas semula. Namun sekali lagi, dirinya terus kaku di situ. Suara yang melaungkan namanya membuatkan badannya menjadi gementar secara tiba-tiba.             “Ana…” namanya dipanggil sekali lagi. Dia kenal suara itu. Terlalu kenal. Tetapi dia tidak mahu memalingkan wajahnya. Atas sebab apa, dia tidak pasti. Ikutkan sahaja kata hati.             Sentuhan di bahu membuatkan Ana tersentak. Pantas dia berpaling dengan wajah yang sudah berubah riak. Dia tidak suka dengan sentuhan itu. Sentuhan yang tidak menghormati dirinya sebagai seorang wanita muslim. Seketika mata mereka bertemu. Ana terkedu. Seakan tersedar dari mimpi… senyuman yang menghiasi

Cerpen: Dia yang aku cinta

Berdebar-debar rasanya saat menanti di ruang legar ini. Menanti kehadiran insan yang disayangi. Menanti saat yang ditunggu-tunggu selama ini. Disunting menjadi suri dalam hidup lelaki yang dicintai. Ah! Indah sungguh rasa…             “Tahulah nak tunggu insan tercinta. Kut iya pun… tak perlulah tayang riak wajah teruja, yang terlebih perisa pulak!” teguran berunsur perlian itu hanya membuatkan dia menjeling manja.             “Biarlah!” balasnya dengan menyampah.             Tiada siapa pun tahu apa yang dirasainya selama dua tahun ini. Hidup berjauhan dengan insan yang memenuhi ruang hatinya. Sungguh menyeksakan jiwa dan raga sahaja!             “Akak…” panggilan itu membuatkan dia melepaskan dengusan manja.             “Apa?!” soalnya geram. Geram saat khayalan indahnya dicantas dengan kejam. Sedangkan, hanya itu yang mampu dilakukan di saat ini.             “Tu…” mulut si adik sudah memuncung ke satu sudut.             Matanya turut berlari mencari. Seketika dia