Skip to main content

Ini Kisah Jelita & Perkasa [15]



BAB 15

“AWAT buat keputusan langsung tak cakap dengan mak? Jelita tu siapa, bukan cucu mak jugak ke? Perlu sangat nak hantar sampai jauh macam tu!”    marah benar Puan Kamariah dengan anak lelakinya. Namun, anaknya seakan tidak mempedulikan kemarahan yang dilemparkan itu. Selamba sahaja Encik Johan menyelak akhbar Berita Harian tanpa mengerling sedikit pun ke arah Puan Kamariah.
            “Johan!!!” Menaik suara Puan Kamariah. Terasa mendidih darahnya dengan gaya selamba yang dihidangkan di depan mata.
            Tenang sahaja Encik Johan menutup helaian akhbar yang dibaca sejak setengah jam lalu. Seperti biasa, apa yang menghiasi dada akhbar, kalau tidak berkenaan dengan politik selainnya lebih kepada jenayah yang menunjukkan betapa rendahnya moral manusia. Jenayah rogol, buang anak, zina… semua itu seakan sudah menjadi perkara remeh. Walaupun terpampang hampir setiap hari di akhbar tetapi entah berapa sahaja peratus insan yang mendapat kesedaran dan menjadikan ia sebagai iktibar dalam kehidupan.
            Betapa beratnya tanggungjawab seorang penulis dalam menitipkan sebuah cerita realiti agar ia terkesan dalam diri masyarakat. Betapa sukarnya untuk memastikan setiap bait yang ditulis itu adalah perkara yang benar terjadi. Disebabkan itu juga, dalam setiap perkara dalam kehidupan manusia diberikan panduan. Panduan agar setiap apa yang disampaikan tidak akan menganiaya pihak lain. Amanah itu diberi untuk dilaksana sebaik mungkin.
            Atas alasan amanah juga, Encik Johan memilih untuk mengambil keputusan ini. Jelita Suria itu amanah daripada Allah kepada mereka. Dia akan melakukan apa sahaja untuk menjaga amanah itu sebaik mungkin.
            “Saya buat semua ni untuk kebaikan Jelita, mak.” Tenang sahaja jawabnya.
            “Kebaikan apa yang sampai mak tak nampak pun? Hantaq anak jauh berbatu-batu… baik apanya?” Dingin nada Puan Kamariah. Kalau mampu diterkam anaknya ini, sudah lama dibuat. Namun kudrat tubuh tuanya, apalah sangat. Sekadar mulut sahaja yang masih mampu bersuara dengan lantangnya.
            “Sekarang mungkin mak nampak saya macam jahat, biarlah mak… Allah tahu. Dan cukup kalau Allah aja yang tahu. Saya pun bukan suka sangat tengok anak saya pi duduk jauh-jauh… mak ingat saya suka ke?” Nada Encik Johan masih terkawal. Namun kesedihan dapat dikesan.
            Segala tuduhan yang dilemparkan pada dirinya ditelan dalam-dalam. Biarlah, mereka tidak mengerti. Lebih menyedihkan, si permata hati, Jelita Suria sendiri tidak memahami. Perginya dengan luka di hati. Entah bila dia mampu kembalikan keceriaan di wajah itu yang penuh dengan rasa marah buat diri seorang abah ini.
            “Dah tak suka, hantaq jugak. Mak tak fahamlah dengan Johan…” sekali lagi, Puan Kamariah bersuara dengan amarahnya. Mana mungkin berangnya reda dengan begitu mudah. Jelita Suria dihantar jauh tanpa pengetahuannya, langsung! Mujur sahaja dia tergerak hati untuk menelefon ke rumah anaknya ini pagi tadi, dan apa yang keluar daripada mulut Ahmad Naufal hanya mengegarkan jantungnya. Patutlah Jelita Suria asyik mengelak untuk memenuhi ajakannya ke rumah selepas tamat peperiksaan. Manalah dia mampu untuk meneka agenda anaknya yang penuh misteri ini.
            “Jelita tu dah besaq mak… dia boleh faham apa yang saya buat untuk dia. Saya bukan suka-suka nak hantar dia pergi sana… mak ingat saya pernah ke berpisah dengan dia? Pernah ke mak?” Bergetar nada suara Encik Johan. Sebak dadanya. Berbicara mengenai si manis Jelita Suria, seluruh urat badannya seakan menjadi lemah. Tidak tahu bagaimana dia berani mengambil keputusan ini. Namun, keyakinan itu disandarkan kepada Ilahi. Cukuplah sekadar Allah mengetahui segalanya.
            Puan Hayati yang dapat mengesan raut wajah Encik Johan yang sedaya upaya menelan kesedihan, cuba untuk menyejukkan keadaan. Marah Puan Kamariah mungkin tidak akan beransur buat ketika ini. Namun hati dan kesedihan suaminya juga harus dititikberatkan dalam keadaan ini. Tidak cukup dengan mogok suara yang dilancarkan oleh Jelita Suria seminggu sebelum berangkat pergi, kini lelaki itu terpaksa menadah telinga dengan tuduhan daripada emak sendiri.
            “Mak, biarlah… abang tahu apa yang baik untuk Jelita.”
            “Habis, mak tak tahulah!” Masih marah Puan Kamariah. Seakan tidak tersentuh langsung dengan kesedihan anaknya. “Baru orang nak meminang… terus nak hantaq jauh-jauh. Habis, dekat Arab tu… ingat terjaga sangat anak hang pa tu? Kalau kena culik dengan mana-mana pak arab suruh jadi isteri, macam mana pulak?” Jauh sekali pemikiran Puan Kamariah memikirkan keselamatan cucu perempuan sulungnya.
            “Bukan macam tu mak…” mengendur suara Puan Hayati. Bibirnya diketap perlahan. Dia tidak mahu suaminya terus dipersalahkan. Tetapi salahkah keputusan seorang abah itu jika ia diambil demi kebaikan anaknya? Lebih daripada itu, keputusan itu bukanlah kerana tidak percayakan Jelita Suria. Encik Johan sangat percayakan anak daranya itu. Pemergian Jelita Suria ke Mesir langsung tiada kaitannya dengan peminangan yang telah diterima. Tiada juga perkaitan dengan sesiapa. Itu hanya alasan semata-mata. Andai Jelita Suria memahami… keluh Puan Hayati perlahan.
            “Mak tak kira… mak nak Jelita balik sini. Duduk dengan mak…”
            “Mak…” Rendah nada Encik Johan. Seolah sudah kepenatan. Sesungguhnya, jiwanya terasa sangat penat. Dia perlukan masa untuk bersendirian daripada diasak dengan soalan.
            “Radzi yang suruh hantar Jelita…” akhirnya, hanya itu jawapan yang muncul di minda. Dan itu juga kebenarannya.
            Membulat mata Puan Kamariah. “Johan hantaq dia dekat Radzi? Dia tu tinggal mak dekat sini, pi menikah dengan perempuan Arab kat situ! Johan hantaq jugak Jelita dekat situ?”
            Makin meninggi suara Puan Kamariah itu langsung tidak dijangka oleh Encik Johan. Sangkanya nama Radzi akan mampu menyejukkan hati bondanya ini. Tetapi lain pula jadinya.
            “Anak dia yang nak sangat jumpa Jelita….” Sambung Encik Johan lagi. Mencuba lagi untuk memujuk hati emaknya.
            “Hah, eloklah!” sinis Puan Kamariah. “Bagilah Jelita tu kahwin dengan anak dia, lagi senang!” sambungnya dengan rasa marah.
            Mendengarkan kata-kata itu, Encik Johan menjadi kelu sendiri. Jauh sungguh Puan Kamariah membuang bayang Radzi. Daripada kenyataan sebentar tadi pun sudah dapat dilihat di mana kedudukan adiknya itu. Atau lebih tepat, adik angkat yang dibawa masuk ke dalam keluarga mereka lebih 40 tahun lalu.

NAFAS panjang ditarik sebelum dihembus. Ruang yang kosong terasa makin menyesakkan otak. Biarpun seringkali ruang yang kosong itu menjadi idaman semua manusia sesekali, untuk melepaskan diri daripada segala tugasan dan masalah. Dan adakah dirinya kini sedang beradu tenaga menyelesaikan masalah? Tidak juga. Hakikatnya, dia tidak bermasalah. Melainkan dia sendiri yang menjadi punca kepada masalah yang dicari sendiri.
            Tanpa sedar, sudah berkali-kali dia mengeluh. Mengeluh dengan kerakusan diri. Akhirnya yang mengakibatkan rasa malu tidak bertepi. Oh, cakaplah dengan jujur… ada ke manusia yang tidak sedikit pun diselebungi rasa malu apabila pinangan yang dihulur ditolak begitu sahaja. Atas alasan usia dan kesesuaian masa? Kenapa tidak diterima dan ditangguhkan tempoh sahaja?
            Mirza Haidar tidak tahu kenapa, sejak dari itu… hatinya sentiasa gelisah. Sudah cuba untuk diabaikan, namun tidak mampu juga. Makin menjadi-jadi pula. Bukan kerana gelisah tidak dapat persetujuan untuk berkahwin dengan Jelita Suria. Mungkin belum sampai jodoh mereka. Dia redha. Dan mungkin tiada jodoh mereka… errr… dia akan redha juga. Kerana ketentuan itu daripada Dia Yang Esa. Namun, yang lebih mengelisahkan jiwa adalah khabar berita, Jelita Suria sudah tiada di Malaysia.
            Makin menjadi-jadi letupan di dada. Marlisa pula seakan sengaja hendak mendera jiwanya yang sudah sedia sengsara. Tidak mahu memberi waima sekecil klu pun ke mana sudah pergi gadisnya itu. Diiringi dengan kenyataan melampau yang boleh dikira mempertikaikan kejujuran dirinya!
            “Bukan boleh percaya hang ni abang, nanti silap haribulan… hang pi jejak Jelita tu, ajak dia kahwin lari. Hati tengah semarak dengan bunga api cinta, apa aja boleh jadi…” Selepas itu Marlisa terkekek ketawa. Mungkin itu adalah secebis gurauan bagi adiknya. Namun tidak bagi dia.
            Mirza Haidar bukanlah seorang lelaki yang akan bertindak membelakangkan agama. Dia tahu! Lebih daripada itu, dia tidak mungkin akan bertindak dengan keputusan yang menyakitkan jiwa Jelita Suria sebagai seorang anak yang patuh kepada agama dan ibu bapanya. Bodohlah kalau seorang lelaki bertindak begitu hanya kerana didesak nafsu yang hadirnya semata-mata untuk menyesatkan manusia.
            Disebabkan lemahnya jiwa manusia, dan kerana itu juga Allah telah berfirman, “Sekiranya kebenaran itu menuruti hawa nafsu mereka, pasti binasa langit dan bumi ini, dan semua yang ada di dalamnya.” (Surah Al-Mukminun: 70)
            Tentunya, bukan itu yang Mirza Haidar inginkan sebagai permulaan fasa baru dalam hidupnya. Kalah dengan nafsu! Sedangkan nafsu itu mampu dijinakkan oleh manusia. Dengan iman dan taqwa kepada Allah.
            Tapi, tidak mampu ditolak… hatinya terlalu mendesak ingin tahu, di manakah Jelita Suria? Sudah dihantar ke mana sahaja?

SURIA… bi shur’ah, abi yantadzir! (Suria… cepat, abi menunggu!)” Pekikan Maisarah mematikan pergerakan Jelita Suria yang sedang menyarung kasut. Secara spontan dia menghadiahkan jelingan kepada Maisarah yang sudah bercekak pinggang beberapa langkah darinya. Sejak daripada hari dia tiba ke sini, sampailah sekarang, kata-kata itu sering meniti bibir murai Maisarah itu. Sehinggakan dia sering rasa hendak marah.
            Maza taf’alee ya ukhti? Bi shur’ah! (Apa yang sedang awak buat? Cepatlah!)”
            Sekali lagi suara itu menampar gegendang telinga Jelita Suria. Tidak mampu menahan, dia mendengus kasar. Sejak menjejakkan kaki ke sini, dirinya terasa berlainan sahaja. Cepat sangat hendak marah. Lebih-lebih lagi mendengar patah perkataan yang tidak mampu dicerna dengan lancar dalam minda.
            “Suria…” baru sahaja Maisarah membuka mulut.
            Jelita Suria laju lagi menyahut. “Diamlah!” Disebabkan rasa marah yang tidak bertemu noktah, dia melampiaskan sahaja rasa hatinya di situ. Berubah raut wajah Maisarah di hadapannya. Daripada riak itu, dia dapat membaca betapa terkejutnya gadis yang cantik berjubah hitam itu. Mungkin Maisarah tidak faham bicara lisannya, tetapi dia dapat merasakan Maisarah memahami bicara hatinya.
            Tanpa kata, dengan wajah yang keruh… perlahan-lahan langkah Maisarah diatur melintasi Jelita Suria. Kelam sahaja wajah yang mengatur langkah masuk ke dalam rumah. Walaupun baru sebentar tadi Jelita Suria diarahkan bersiap untuk keluar ke mana entah, destinasi yang tidak diketahui nama.
            Melihat kekeruhan di wajah Maisarah, Jelita Suria terasa bersalah. Entah kenapa dia jadi begini? Entah apa yang nak jadi dengan diri ini? Keluh Jelita Suria berterusan dalam hati.
            “Kenapa Jelita Suria? Marahkan siapa sebenarnya?” Mendengarkan suara itu lidah Jelita Suria serta-merta menjadi kelu. Tanpa dipinta terasa berbahang wajahnya. Tidak mahu berpaling ke sisi, dia turut ikut melangkah masuk ke dalam rumah. Rumah yang begitu luas bagi pandangan mata namun terasa begitu sempit di jiwa.
            Sempat lagi Jelita Suria mengerling ke arah pintu bilik Maisarah yang sudah rapat berkunci. Terasa hatinya dipijak-pijak sendiri. Apa salah Maisarah pada hang, Jelita Suria? Tiada! Serentak itu, dia mengeluh lagi. Lemah sungguh jiwa ini untuk berdepan dengan sesuatu yang begitu asing bagi diri.
            Tempat baru. Wajah baru. Bahasa baru biarpun bahasa Arab itu sering ditatap di muka Al-Quran, namun dia tidak pernah mempelajari semua itu. Semuanya baru bagi Jelita Suria yang dahulunya disangka mudah, tetapi kini dia terasa hendak menjerit bagi melampiaskan kesukaran yang dialaminya.
            Sedang Jelita Suria berfikir sendiri, terasa ada tubuh lain yang turut sama duduk di sisi. Aroma wangian yang menusuk ke rongga hidung membuatkan Jelita Suria terus tertunduk ke bawah. Dia tahu siapa itu!
            Limaza, Suria? (Kenapa, Suria)” Lembut sahaja pertanyaan yang menampar cuping telinganya Jelita Suria pada ketika itu. “Tak suka datang sini? Langsung tak nak cuba tinggal di sini?”
            “Kenapa saya kena tinggal dekat sini?” Lantas, pertanyaan itu pula dibalas oleh Jelita Suria. Hati muda yang memberontak tidak mahu menerima hakikat yang kini dia bukan berada di rumah emak dan abah. Tetapi kini dia berada di suatu tempat asing!
            Li anna…
            Berkerut dahi Jelita Suria. Apa maksud perkataan itu? Dan dia tidak melihat ada tanda-tanda manusia di hadapannya ini akan menyambung bicara itu. Nampaknya lebih daripada melayan perasaan marah ini, Jelita Suria harus belajar Bahasa Arab dengan segera. Kalau tidak, susahlah! Orang cakap apa pun dia tak faham. Macam sekarang ini, apa itu li anna… kalau ana tahulah, saya.

p/s: if any mistakes dalam bahasa arab tu, tegur-tegur la ye :) saya ingat yang basic2 ja. tasrif pun ingat sikit-sikit, tapi kalau tersilap tu... maklumlah, manusia... ada ja benda yang terlepas pandang.  
Enjoy ya... dan teruskan berteka-teki. ;)

Comments

  1. tepat sekali... li anna=kerana ;)
    ala... baru nak try biar orang terfikir jap, sbb tu tak bekalkan subtitle utk tu... muehehe ;)

    ReplyDelete
  2. lamanya tinggal bhsa arab.. :( ape pun teruskan sambung sampai ke kalam yg terakhir.. sy tunggu :)

    ReplyDelete
  3. daapat belajar bahasa arab dlm bab ni =)
    lelaki tu mst sepupu jelita en...

    ReplyDelete
  4. bila nak sambung dear... dah rindu jelita & perkasa

    ReplyDelete
  5. follower no 887

    done follow/singgah sini.. jom follow/singgah blog teman.. heee.. http://tengkubutang.blogspot.com/

    klu minat kucen leh follow blog ni jugak.. =)
    http://kucenkucenbelog.blogspot.com/

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Cerpen: Lain di Mulut, Lain di Hati

JAMBANGAN bunga ros yang berada di atas mejanya itu dicapai. Tanpa melihat nama pengirim pun dia sudah boleh meneka, siapa pengirimnya. Terus dengusan tidak senang dilepaskan. Tanpa menunggu sesaat, jambangan bunga itu sudah terhumban ke dalam tong sampah di sudut bilik.             Huh! Apa dia fikir aku ni perempuan, nak cair kalau disogokkan dengan bunga. Kalau aku cakap benci, memang akan benci selamanya! rungutnya.             Serentak itu, pintu biliknya diketuk. Terjengul wajah Selina, setiausahanya.             “Encik Irfan, Puan Eryna nak jumpa.”             Sekali lagi dia melepaskan dengusan kasar. Tidak cukup dengan bunga yang merimaskan, sekarang, tuan punya badan pula muncul di depan mata. Ah, benci!             “Suruh dia balik! Saya tak nak jumpa dia.” Kuat dan lantang sekali suara Irfan sehingga begitu jelas buat pendengaran Eryna yang sedang duduk menunggu di luar bilik. Eryna tersentak. Riak wajahnya terus beruba

Cerpen: Hati ini [End]

BUNYI suara yang bertingkah dari ruang tamu mengkakukan langkah Ana di anak tangga terakhir. Dia yang turun ke bawah dengan niat untuk membasahkan tekak terkaku seketika. Tidak mahu menonjolkan diri di hadapan tetamu mama dan papa, tanpa berfikir panjang dia sudah memalingkan badan hendak bergerak ke atas semula. Namun sekali lagi, dirinya terus kaku di situ. Suara yang melaungkan namanya membuatkan badannya menjadi gementar secara tiba-tiba.             “Ana…” namanya dipanggil sekali lagi. Dia kenal suara itu. Terlalu kenal. Tetapi dia tidak mahu memalingkan wajahnya. Atas sebab apa, dia tidak pasti. Ikutkan sahaja kata hati.             Sentuhan di bahu membuatkan Ana tersentak. Pantas dia berpaling dengan wajah yang sudah berubah riak. Dia tidak suka dengan sentuhan itu. Sentuhan yang tidak menghormati dirinya sebagai seorang wanita muslim. Seketika mata mereka bertemu. Ana terkedu. Seakan tersedar dari mimpi… senyuman yang menghiasi

Cerpen: Dia yang aku cinta

Berdebar-debar rasanya saat menanti di ruang legar ini. Menanti kehadiran insan yang disayangi. Menanti saat yang ditunggu-tunggu selama ini. Disunting menjadi suri dalam hidup lelaki yang dicintai. Ah! Indah sungguh rasa…             “Tahulah nak tunggu insan tercinta. Kut iya pun… tak perlulah tayang riak wajah teruja, yang terlebih perisa pulak!” teguran berunsur perlian itu hanya membuatkan dia menjeling manja.             “Biarlah!” balasnya dengan menyampah.             Tiada siapa pun tahu apa yang dirasainya selama dua tahun ini. Hidup berjauhan dengan insan yang memenuhi ruang hatinya. Sungguh menyeksakan jiwa dan raga sahaja!             “Akak…” panggilan itu membuatkan dia melepaskan dengusan manja.             “Apa?!” soalnya geram. Geram saat khayalan indahnya dicantas dengan kejam. Sedangkan, hanya itu yang mampu dilakukan di saat ini.             “Tu…” mulut si adik sudah memuncung ke satu sudut.             Matanya turut berlari mencari. Seketika dia