Skip to main content

Tidak ku sangka 6



“IMAN… dah makan belum?” soal Puan Rohani apabila kelibat Iman Anas masuk ke dalam rumah. Melihat pakaian yang berbalut di tubuh anak lelakinya ini, Puan Rohani tahu, Iman Anas pasti kepenatan. Selalunya jika berganti pakaian, maknanya Iman Anas sempat berehat. Tetapi tidak pula buat hari ini.
“Dah makan mak… dengan Fairuz tadi.” Usai berkata, Iman Anas sudah berura-ura untuk memanjat tangga. Badannya letih. Dia perlu berehat segera.
“Iman… esok cuti ke?” soal Puan Rohani.
Langkah Iman Anas terhenti. “Tak cuti mak. Lagipun kena tengok Lego. Dia sakit-sakit tadi. Iman kena cek spesimen luka dekat kaki dia. Macam kena jangkitan kuman. Nak kena singgah makmal lagi tengok laporan.”
Puan Rohani merenung tidak lepas. Wajah Iman Anas kelihatan begitu sedih menceritakan perihal ‘Lego’ yang tidak dapat dikenalpasti apa spesies haiwannya. Apa jantinanya. Kalau Iman Anas bercerita, mana pernah menyebut itu semua. Main disebut-sebut nama sahaja, macam seorang sahabat.
“Naiklah… pergi tidur.” Lantas Puan Rohani menutur kata. Biarpun mindanya ada perkara lain yang hendak dibincangkan dengan Iman Anas pada ketika ini. Tetapi dia tahu, kalau begini moodnya, pasti akan ada puting beliung yang akan menyerang rumah mereka.
Sebaik sahaja Iman Anas naik, Qaiser pula turun. Punggungnya dilabuhkan di sisi Puan Rohani. Manja sahaja kepalanya dilentok pada bahu emaknya.
Puan Rohani tersenyum. Qaiser lebih manja jika dibandingkan dengan Iman Anas. Dan jauh di sudut hati, dia merindukan Iman Anas yang boleh diajak berbual seperti dahulu. Sibuk sangat anak sulungnya itu dengan minat terhadap hidupan liar di zoo.
“Apa cerita zoo yang menarik malam ni?” usik Qaiser sambil menekan alat kawalan jauh mencari siaran yang sesuai.
“Lego sakit.” Jawab Puan Rohani pendek.
 Tinggi sungguh kasih Iman Anas kepada haiwan yang dijaga di zoo itu. Sanggup berpenat tanpa menghiraukan badan sendiri. Kadang keluar dari rumah awal pagi. Kadang ada hari yang tidak akan pulang ke rumah pun.
“Lego pulak? Hari tu yang dia sampai menangis gila, cakap Kapcai kena kencing manis, dah okey ke, dah mati mak?” Qaiser giat pula menyoal. Namun menyoal dengan usikan. Jelingan Puan Rohani hanya membantu melahirkan senyuman.
“Qaiser… cuba jangan perkecilkan kasih sayang Iman? Sekurang-kurangnya dia buat tu dengan penuh kasih sayang. Biarpun mak risau, dia sayangkan haiwan lebih daripada dia tunjukkan sayang dekat manusia.” Puan Rohani mengeluh.
“Itulah mak… masa dia nak belajar jadi doktor veterinar, mak izinkan… redha. Sekarang tengok, dia dah minat sangat dengan makwe-makwe dekat zoo tu, sampai sanggup sambung belajar nak dating siang malam mengkaji awek kat sana…” usik Qaiser. Wajah Puan Rohani yang sudah tertunduk itu dipandang lama. Dia tahu emaknya sedih.
“Iman selalu nak jadi macam arwah abah…” Dan setitis air mata mulai mengalir sebagai pembukaan bicara. Puan Rohani mulai tenggelam dalam emosi. Kerana itu juga dia benarkan sahaja Iman Anas mengambil pengajian yang diminati. Itu juga adalah kerjaya arwah abah yang Iman Anas kagumi.
“Mak… Qaiser tak bermaksud nak buat mak sedih.” Qaiser memaut bahu Puan Rohani erat. “Qaiser tahu, Iman memang selalu jadikan arwah abah sebagai idola…” sambungnya.
“Tapi mak risau, kalau Iman pun terus terleka macam arwah abah… sampai tak sedar…” bicara Puan Rohani tersekat. Tidak sanggup dia meneruskan kata. Tidak hendak dibayangkan lagi apa yang pernah terjadi. Dalam masa yang sama, hendak menghalang minat Iman Anas, dia tidak sampai hati.
Bukankah Islam itu sendiri menitikberatkan hubungan antara manusia dan alam. Haiwan itu juga ciptaan Allah yang wajar menerima kasih sayang daripada mereka yang sudi memberi. Iman Anas antaranya.
“Mak… Qaiser tahu Iman tu pelik. Tapi mak jangan risau… mak kena yakin dengan dia. Kita sama-sama kena doakan… yang penting, dia kena berubah mak. Mak dah carikan Anis yang sangat baik untuk digandingkan dengan Iman. Qaiser nak kakak ipar Qaiser bahagia selayaknya…” tulus ucapan Qaiser. Besar harapannya.
Kelu lidah Puan Rohani. Tiba-tiba menyelinap rasa bersalah. Adakah dia bakal menghancurkan hidup seorang anak gadis dengan mengahwinkan bersama Iman Anas?

LAMA Anis membelek barangan yang diterima sebagai hantaran tempoh hari. Dalam pada rasa aneh, ada juga rasa lucu yang mencuit hati. Tengok sahajalah apa yang tersusun di dalam sebuah kotak ini. Macam sebuah safari.
Kotak pertama ditarik. Ada lebih daripada dua puluh magnet fridge dengan berlainan wajah haiwan yang terhias di atasnya. Bersama dengan itu, ada sekeping nota yang sebelum ini tidak Anis perasan akan kehadirannya.
Lepas kahwin, letak ni dekat fridge rumah kita
Overrr!!! Itu yang terlintas dalam kepala Anis. Pelik sungguh Iman Anas ini. Maknanya segala hantaran yang diberi untuk menghiasi kediaman mereka selepas kahwin nanti.
Dalam pada melepaskan segala rungutan dalam hati, ada juga hantaran yang mendapat tempat di hati Anis. Sebuah patung penyu yang begitu comel sekali. Gebu dan lembut bila didekatkan ke pipi. Ah… comelnya Anas! Itu sahaja yang terbayang di kepala. Namun sekeping nota yang terselit di jasad patung itu, meleraikan segala pujiannya.
Saya dapat ni masa join aktiviti kat rantau panjang. Saya lagi suka penyu real, so, you can keep this as yours.
Anis mendengus geram. Ciskek punya tunang! Tidak patut sungguh bagi cenderamata yang diterima sebagai hantaran untuk pertunangan. Tapi bukankah sudah diberitahu oleh Qaiser, Iman Anas itu memang pelik orang. Anis harus akui perkara itu sebab mana ada orang bagi hantaran macam ini. Siap diberi nota sekali. Dan paling mengharukan, Anis dengar daripada Puan Rohani… Iman Anas yang sediakan hantaran ini.
Sekilas dilihat semua kotak yang sudah dibuka dalam biliknya itu. Sememangnya ia sangat ringkas, hasil tangan daripada seorang lelaki. Iman Anas!
Banyak lagi perkara yang perlu Anis ambil tahu. Terutamanya tentang Iman Anas. Hatinya turut mengakui kata-kata Qaiser, dia harus mengenali lelaki itu. Nak hidup bersama sampai hujung nyawa… mana boleh buat main. Lainlah kalau Anis memang berniat hendak try and error sahaja. Kalau begitu memang kena penampor dengan Puan Aminalah jawabnya!

LALU sahaja kaki di hadapan dapur, harum semerbak wangian nasi lemak menampar deria bau. Anis tersenyum lebar. Berpusing sahaja ke belakang, wajah Bahar dengan reaksi yang sama bertamu di mata. Manakala Asma yang baru keluar dari bilik, kelihatan tergesa-gesa. Alah… Asma, memang tak biasa sarapan pagi pun. Jaga badan katanya.
Sudah berbuih mulut Anis menasihatkan sarapan adalah perkara yang paling penting untuk diet tetapi adiknya itu tidak percaya. Lantaklah! Malas sudah dia hendak berkuliah. Orang cakap tentang kesihatan, dibuat tidak endah.
“Asma… kerja ke hari ni?”  soal Puan Amina. Aneh melihat kekalutan anak keduanya.
Asma mengangguk laju. Tangan emaknya dicapai dan dikucup seperti selalu. Terus dia berlalu pergi tanpa lama menanti.
“Apa bendalah hari minggu pun kerja? Bukan dia kerja normal shift  ke mak?” soal Anis pelik. Tidak pernah dia tahu Asma ada kerja hari Sabtu. Hari ini macam ribut berlalu. Awal pagi pula tu.
“Tak tahulah mak… iyalah agaknya. Hari tu dia cakap dengan mak, nak buat overtime. Nak cari duit lebih. Nak cepat-cepat kahwin jugak.” Puan Amina tersenyum. Asma memang begitu, bila sudah menetapkan suatu matlamat, dia akan berusaha ke arah itu. Walaupun pendapatan Asma lebih kecil daripada Anis, tetapi Asma rajin berusaha dan tak pernah merungut.
“Nak kahwin?” mata Anis membulat. Terus tawanya dilepaskan. “Anis dah kata dekat mak, kahwinkan aje dia dulu.”
“Biarlah dia kerja dulu. Asma tu, macam Anis tak tahu… kalau tak cukup duit untuk semua benda yang dia nak, selagi tu dia takkan berhenti mencari.”
“Sebijik macam abah…” sambut Anis.
“Mana tak tumpahnya kuah kalau ke nasi…” Puan Amina tersenyum. Wajah Anis yang ceria dipandang seketika. Seronok dia melihatnya. Akhirnya, Anis bakal berkahwin juga. Dan cukup fakta itu yang mampu menoktahkan segala umpat keji manusia yang tidak berakal di luar sana.
“Cakap pasal kahwin, Mak cik Rohani ada telefon mak… nak cakap tentang majlis nikah.”
Anis yang tersenyum lebar tadi, terus terasa bius di wajah. Rasa macam baru semalam tunang, hari ini terus kena bercerita soal nikah ke? Walaupun, pada hakikatnya sudah seminggu berlalu dengan kisah tunang itu.
“Anis rasa macam mana?” soal Puan Amina. Ingin mendengar pendapat Anis. Majlis itu majlis anaknya, apa pun pendapat gadis itu harus diutamakan.
“Anas cakap apa mak?” Anis ingin tahu. Apa pula pendapat lelaki itu. Sudahlah hanya sekali mereka bertemu. Bercakap pun tidak.
“Iman tak kisah. Bila pun dia boleh. Dia suruh Mak cik Rohani uruskan.”
Anis diam seketika. Iman Anas tidak kisah. Hurm… dia paling tidak suka mendengarkan ayat tidak kisah kerana tidak kisah membawa maksud, tidak mahu ambil peduli dan segala yang sewaktu dengannya.
“Kita buat lepas Adila habis SPM ya mak? Awal tahun ke? Anis ada masa nak sediakan apa-apa yang patut.” Cadang Anis.
Dan ia diterima baik oleh Puan Amina.
“Tapi mak tanya jugaklah pendapat abah sekali.” Saran Anis. Tidak mahu mengabaikan pendapat abahnya. Walaupun abah selalu sibuk bekerja siang dan malam, tetapi abah sentiasa memberikan pendapat dan saranan terbaik untuk kehidupan mereka sekeluarga.
“Mak dah tanya abah… abah suruh tanya Anis dan ikut aje apa yang Anis nak. Inikan majlis Anis. Kalau Anis nak awal tahun depan, mak cakap begitulah dekat Mak cik Rohani.” Puan Amina tersenyum. Tangan wanita itu mulai mencapai senduk nasi dan dimasukkan nasi ke dalam pinggan.
Anis pun menolong sama menuangkan air ke dalam cawan. Selalu pun memang begini. Siapa sahaja yang ada di rumah, mereka duduk bersama pada waktu makan. Tidak cukup korum, tak bermakna tak boleh duduk bersama. Waktu makan adalah salah satu masa yang mengeratkan hubungan keluarga. Sememangnya itu adalah salah satu nasihat Encik Bohari yang dipegang kuat oleh mereka.
Selesai menghidangkan air, Anis duduk bertentang dengan Puan Amina. Bahar dan Adila sudah ada sama. Mereka memulakan sahaja sesi menjamu selera selepas mengaminkan doa yang dibaca oleh Bahar.
Sambil menyuapkan nasi lemak yang tentunya sedap itu, kepala Anis sudah mula memikirkan seseorang itu. Iman Anas. Entah bagaimana orangnya. Entah…
Mata yang dihala ke depan, berlaga dengan mata Puan Amina. Pandangan yang secara tiba-tiba itu, membuatkan bibirnya bersuara.
“Kalau Anis nak cakap dengan Anas boleh ke mak?” soal Anis spontan. Tidak sampai sesaat, bibir diketap laju. Permintaan itu macam sangat tak tahu malu! Dan senyuman balas penuh makna daripada Puan Amina membuatkan wajah Anis kaku. Arghhh…

Comments

  1. Hehe..lawak citer ni..misteri pun ada pasal anas tu..I likeee tq umi

    ReplyDelete
  2. sayang betol Iman kat haiwan2 kat zoo tu... macam mane la ble dorg kawen nanti eh... xsabar nk tnggu dorg kwen...

    ReplyDelete
  3. Rasanya Anis pun boleh terima Anas walupun Anas bagi hantaran yg pelik untuk mengambarkan tentang diri Anas yg suka dgn haiwan.... Anas mahu Anis faham tentang tu...
    Betul tu Anis kena jumpa Anas untuk selesaikan masalah perkahwinan bukan serah bulat-bulat pada kelurga sahaja.... bestttttt

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Cerpen: Lain di Mulut, Lain di Hati

JAMBANGAN bunga ros yang berada di atas mejanya itu dicapai. Tanpa melihat nama pengirim pun dia sudah boleh meneka, siapa pengirimnya. Terus dengusan tidak senang dilepaskan. Tanpa menunggu sesaat, jambangan bunga itu sudah terhumban ke dalam tong sampah di sudut bilik.             Huh! Apa dia fikir aku ni perempuan, nak cair kalau disogokkan dengan bunga. Kalau aku cakap benci, memang akan benci selamanya! rungutnya.             Serentak itu, pintu biliknya diketuk. Terjengul wajah Selina, setiausahanya.             “Encik Irfan, Puan Eryna nak jumpa.”             Sekali lagi dia melepaskan dengusan kasar. Tidak cukup dengan bunga yang merimaskan, sekarang, tuan punya badan pula muncul di depan mata. Ah, benci!             “Suruh dia balik! Saya tak nak jumpa dia.” Kuat dan lantang sekali suara Irfan sehingga begitu jelas buat pendengaran Eryna yang sedang duduk menunggu di luar bilik. Eryna tersentak. Riak wajahnya terus beruba

Cerpen: Hati ini [End]

BUNYI suara yang bertingkah dari ruang tamu mengkakukan langkah Ana di anak tangga terakhir. Dia yang turun ke bawah dengan niat untuk membasahkan tekak terkaku seketika. Tidak mahu menonjolkan diri di hadapan tetamu mama dan papa, tanpa berfikir panjang dia sudah memalingkan badan hendak bergerak ke atas semula. Namun sekali lagi, dirinya terus kaku di situ. Suara yang melaungkan namanya membuatkan badannya menjadi gementar secara tiba-tiba.             “Ana…” namanya dipanggil sekali lagi. Dia kenal suara itu. Terlalu kenal. Tetapi dia tidak mahu memalingkan wajahnya. Atas sebab apa, dia tidak pasti. Ikutkan sahaja kata hati.             Sentuhan di bahu membuatkan Ana tersentak. Pantas dia berpaling dengan wajah yang sudah berubah riak. Dia tidak suka dengan sentuhan itu. Sentuhan yang tidak menghormati dirinya sebagai seorang wanita muslim. Seketika mata mereka bertemu. Ana terkedu. Seakan tersedar dari mimpi… senyuman yang menghiasi

Cerpen: Dia yang aku cinta

Berdebar-debar rasanya saat menanti di ruang legar ini. Menanti kehadiran insan yang disayangi. Menanti saat yang ditunggu-tunggu selama ini. Disunting menjadi suri dalam hidup lelaki yang dicintai. Ah! Indah sungguh rasa…             “Tahulah nak tunggu insan tercinta. Kut iya pun… tak perlulah tayang riak wajah teruja, yang terlebih perisa pulak!” teguran berunsur perlian itu hanya membuatkan dia menjeling manja.             “Biarlah!” balasnya dengan menyampah.             Tiada siapa pun tahu apa yang dirasainya selama dua tahun ini. Hidup berjauhan dengan insan yang memenuhi ruang hatinya. Sungguh menyeksakan jiwa dan raga sahaja!             “Akak…” panggilan itu membuatkan dia melepaskan dengusan manja.             “Apa?!” soalnya geram. Geram saat khayalan indahnya dicantas dengan kejam. Sedangkan, hanya itu yang mampu dilakukan di saat ini.             “Tu…” mulut si adik sudah memuncung ke satu sudut.             Matanya turut berlari mencari. Seketika dia