Skip to main content

[19]

Tuan 'Singa' Milikku

PANDANGANKU sudah membulat melihat susuk tubuh yang berdiri di hadapanku kini. Pandangan mata itu tajam sekali menikam wajahku. Dengan jelingan yang tajam juga dia melangkah melintasi aku.
            Aku diam sahaja memerhatikan langkahnya yang sudah berhenti di depan bilik Asad. Aduh! Tak sudah-sudah lagi ke?
            Aku pelik betul… bapa dengan anak sama sahaja. Kedua-duanya tahu nak memberi tekanan pada suami aku. Ini yang aku nak marah tidak kira masa. Sekali dengan aku jadi stress dibuatnya.
            Bila nampak wajah Asad yang tenang itu tersembul di balik pintu, aku bertambah risau. Entah apa pula yang akan jadi kali ini. Sudahlah sebelum Datuk Mokhtar masuk ke bilik Asad tadi, dia siap hadiahkan jelingan tajam untukku. Gaya macam aku sudah memporak-perandakan rumahtangga anak tunggalnya. Tapi sebetulnya, itukah yang sedang terjadi di alam realiti ini? Sungguh… aku musykil sendiri.
            Asad… Asad… kalau Sham ada kuasa magis, Sham dah jadikan Asad halimunan daripada manusia yang tidak faham bahasa ibunda ini. Suka sangat mendesak orang lain untuk kepentingan diri mereka. Huh!
            Dengan kasar, laci di bawah kutarik. Laju sahaja aku menarik keluar telefon bimbit yang terletak di dalam sarung berwarna biru itu. Laju sekali jemariku menekan butang scroll down untuk mencari nama seseorang. Aku sudah tidak tahan hidup begini. Agak sukar untukku ‘bernafas’ dalam keadaan begini. Kiri dan kanan, aku terasa desakan. Anak dengan bapa sama-sama sedang berusaha keras untuk mendapatkan Asad yang telah mutlak menjadi milik aku. Asad hanya milik aku!
            “Sham…” suara Adila sudah mencelah. Sedikit sebanyak ia mengganggu konsentrasi aku yang sedang begitu khusyuk mencari nombor seseorang.
            “Apa?” acuh tidak acuh sahaja aku menyoal. Mood aku sudah hilang sebaik sahaja melihat wajah Datuk Mokhtar tadi. Kenapa perlu dia datang? Aku tidak suka.
            “Amboi… sombong!” komen Adila terus. Aku menjeling sekilas. Ah, biarkan Adila. Dia tidak faham apa yang sedang bermain di dalam hatiku pada ketika ini. Dia tidak faham gelora hatiku yang sentiasa berdebar-debar menanti apa yang bakal dilakukan oleh Elisa itu.
            “Sham…” panggil Adila lagi.
            Nampaknya, layanan aku yang acuh tak acuh itu tidak melemahkan semangatnya untuk beredar dari meja kerjaku. Dengan keluhan kasar aku melepaskan pandangan tepat ke wajahnya.
            “Kenapa?” soalku kini dengan nada yang lebih tegas.
            “Eh… kenapa yang garang sangat ni?” soal Adila pelik.
            Aku menjeling lagi. Emosi aku sudah bercelaru. Aku sudah tidak dapat berfikir tentang kewajaran aku mempamerkan emosi swing aku ini dengan Adila. “Ada apa Dila? Sorry la… aku tak ada mood sangat…” akhirnya, hanya ini sahaja jawapan yang paling selamat terlintas dalam mindaku. Harap dia akan terima tanpa lebih banyak sesi soal dan jawab.
            “Tak ada mood… sebab Datuk ke? Aku baru nak tanya… kenapa dia pandang kau semacam?”
            Jangkaan aku sudah meleset sama sekali. Adila pastinya tidak akan melepaskan aku dengan begitu mudah. Wajahnya yang sedang menanti jawapan kupandang lama. Wajah yang berkerut-kerut itu membuatkan mengeluh lagi.
            “Kenapa ni Sham? Cakaplah dengan aku… kau ada masalah ke?” soal Adila penuh prihatin. Nadanya itu membuatkan aku tidak sampai hati hendak menolak. Apatah lagi dia sememangnya begitu baik dan akrab dengan diriku.
            Pandangan Adila masih tertumpu pada wajahku. Aku semakin ditekan perasaan.

“GILA!!!” hampir sahaja suara Adila menggegarkan Restoran Selera Timur ini. Namun mujur, aku sempat menahan. Akhirnya dia sudah mengawal nada suaranya.
            “Kau… dia betul-betul serius nakkan abang Singa?” soalnya lagi.
            Aku mengangguk kecil.
            “Motif?”
            Aku menjeling. “Motif apa pulak… dah dia suka Asad, jadi dia nak kahwin dengan Asad…” jawabku dengan rasa berserabut.
            “Ada jugak ya orang macam Elisa ni…” komen sambil mencapai karipap di dalam piring lantas dikunyahnya dengan dahi yang berkerut-kerut. Gayanya seolah memikirkan masalah yang begitu teruk sekali. Aku yang tengok reaksi itu, terasa teruk sekali.
            Baru sahaja aku hendak mencapai kuih cucur keria yang aku beli, tiba-tiba sahaja suara Adila menyergah. “Semua ni salah kau Sham!”
            Aku tergamam. “Apa salah aku?” soalku pelik. Bertambah-tambah kerutan di dahiku.
            “Kau tulah… dah tahu suami kacak, bukan nak larikan dia jauh-jauh. Duduk lagi dekat sini… sampai orang nak berebut-rebut suami dengan kau. Sanggup jadi isteri nombor dua tu… kau sanggup ke nak bermadu?” soalan Adila hanya menjerut leherku.
            Sanggup ke nak bermadu? Aku soal hatiku.
            “Mana ada perempuan yang sanggup nak kongsi suami dia orang… aku belum sebaik itu. Sekalipun aku nak benarkan suami aku berpoligami…” ayatku terhenti sendiri. Eh, aku cakap apa ini?
            “Err…rrr… aku belum bersedia nak kongsi Asad dengan siapa pun.” Sedikit kalut aku menyambung ayatku. Entah kenapa, aku menjadi gelabah sendiri. Seakan takut kehilangan Asad.
            “Yang kau kalut semacam ni kenapa?” Adila pantas mengenggam jemariku yang sudah menggeletar. Aku takut!
            “Tak… tak tahu Dila…” jawabku sedikit gagap. Serentak itu, jantungku berdegup kencang. Makin kencang sehinggakan aku sudah mula berandaian yang bukan-bukan. Apa? Apa yang sedang meresahkan hatiku? Asad?
            Serta-merta aku menjadi risau tanpa henti. Terasa bodoh pula, aku membiarkan sahaja Asad dengan Datuk Mokhtar berdua di dalam pejabatnya. Aku risau…
            “Dila… Asad…” tanpa kata, pipiku sudah basah.
            “Dila… suami aku…” sambungku lagi dengan rasa kalut.
            Entah apa yang merasuk mindaku, tanpa kata aku sudah bangkit dari kerusi. Tas tangan di sisi aku capai. Langkah ku sudah tidak begitu seimbang kerana kekalutan sudah menguasai diri. Dan di mana silapnya, aku tidak pasti. Kakiku sudah tersadung pada sebiji bata yang kebetulan ada di situ.
            Aku jatuh?!
            Hanya kesakitan yang kurasakan di saat ini. Pandanganku yang berbalam menjadi semakin kabur. Suara Adila makin samar ditelan mindaku yang sudah makin khayal. Aku sudah tidak sedar.

KEPALAKU terasa berat. Seluruh badanku terasa sakit. Sakit sangat. Dengan rasa yang payah, aku gagahkan juga untuk membuka mataku. Suasana bilik yang sunyi sepi ini kembali menghimpit perasaanku. Tirai, katil, tilam dan semua yang lain di dalam bilik ini menyesakkan perasaanku.
            Hospital! Aku benci dengan bau-bauan ini. Aku benci menjadi pesakit di sini.
            Pesakit?
            Aku rasa terhenyak seketika. Akukah pesakit itu? Tanpa dipinta, sesuatu yang sangat aneh menerjah perasaanku. Aku teringatkan sesuatu. Apa yang terjadi tadi sehingga aku terdampar di atas katil ini?
            Jatuh!
            Ya, aku ingat… aku jatuh dan aku pengsan. Jatuh??? Baby…
            “Baby…” suaraku keluar tanpa aturan. Nafasku terasa sesak. Anak aku dan Asad, apakah dia sudah tidak ada?
            “Abang…” seruku kuat. Aku sudah kalut memikirkan andaian yang menghuni mindaku pada kala ini. Dengan kesakitan yang aku rasakan ini sudah mula memberikan gambaran yang buruk dalam mindaku.
            “Abang!!!” kali ini aku sudah menjerit dengan lebih kuat. Di mana Asad? Kenapa dia tidak ada di sisiku? Kenapa aku sendirian di sini? Kenapa?
            “Sham…” suara itu.
            Aku beralih pandang ke sisi dengan pantas. Namun apa yang singgah di depan mata, hanya menghampakan jiwa.
            “Asad… aku nak Asad! Mana dia?” soalku dengan tegang. Air mataku sudah bergenang. Aku terasa ingin menghamburkan semuanya di kala ini.
            “Sham… relaks. Asad ada… sekejap dia datang.” Suara Adila yang lembut itu nyata tidak dapat menenangkan aku. Aku tidak mahu dengar!
            “Aku nak Asad sekarang jugak!” bentakku kasar. Aku sudah mula meracau itu dan ini. Aku sudah mula tidak berfikir dengan rasional. Aku begitu takut pada hakikatnya. Aku begitu takut memikirkan satu andaian itu.
            “Sham… Asad ada. Kau jangan macam ni… doktor suruh kau rehat. Jangan nak stress macam ni… boleh bahayakan baby Sham…” ucap Adila sambil mengusap lenganku dengan lembut.
            Mendengarkan ayat itu, aku terdiam sendiri. “Baby… ada?” soalku takut-takut.
            Adila tersenyum. “Ada sayang… baby kau ada, selamat dalam rahim mama dia… tapi kau jangan stress. Doktor dah suntik antibiotik tadi. Kau kena rehat Sham… jangan nak fikir yang bukan-bukan. Aku hampir kena marah dengan Asad sebab kau jatuh…” Adila mengeluh kecil di hujung ayatnya.
            “Adila… sorry.” Aku rasa bersalah.
            “Janji… jangan nak fikirkan benda yang bukan-bukan lagi. Kau bukan bahayakan diri kau sorang… baby pun sama…” nasihat Adila.
            Aku mengangguk. Hatiku terasa lapang buat seketika. Bayi aku masih selamat. Tetapi di mana Asad?
            “Asad mana?” aku tanya lagi pada Adila. Rasanya hati aku hanya akan senang bila dia muncul di depan mataku.
            “Asad ada… jangan risau, dia datang nanti. Untuk sekarang ni, kau menghadap muka aku dulu… bosan ke, tak suka ke… kena tengok muka aku jugak!” Aku sudah ketawa kecil dengan nada suara Adila.
            “Hah! Boleh pun ketawa… be happy okay, kau hampir membuatkan aku terkena serangan jantung tadi. Nasib tak ada apa-apa yang membimbangkan…” sambung Adila yang sudah makin serius percakapannya.
            “Okey…” aku mengiakan sahaja.
            “Jangan okey aje… otak tu, berhenti fikir yang bukan-bukan. Macam aku tak tahu otak kau ni… bukan boleh diam tanpa berfikir yang bukan-bukan…” tegur Adila dengan rasa tidak senang.
            “Siapa yang boleh tak berfikir bukan-bukan kalau ada orang yang tengah berusaha keras nak merebut gelaran madu aku…” ucapku dengan keluhan. Memang benarlah, aku tidak akan berhenti berfikir tentang hal itu walaupun Adila sudah melarang.
            “Wahai Puan Shamina yang disayangi oleh Tuan ‘Singa’ dengar sini ya…” Adila memandang tepat ke wajahku. “Menurut kata suami kesayangan kau tu… walaupun beribu perempuan tergilakan dia…” Adila terhenti seketika. Dia pecah gelak sendiri. Untuk apa, aku tidak mengerti.
            “Bajet handsome ala bintang filem pulak suami kau ni… boleh pulak dia buat statement masuk lif tekan sendiri ni…” Adila sudah ketawa senang. Aku blur.
            “Kenapa?” soalku pelik. Sudahlah dia belum menghabiskan ayatnya tadi. Sekarang, dia ketawa sendiri pula.
            “Iyalah… perasan beribu perempuan tergilakan dia, sedangkan ada dua orang aje pun. Kau dengan si minah Elisa tu…”
            Aku menjeling tidak senang. Tidak suka mendengar nama Elisa di dalam ruang ini.
            “Okey… berbalik pada statement perasan suami kau tadi…  walaupun beribu perempuan tergilakan dia, dia tetap gilakan Shamina dia aje…” Adila mencebik dipengakhiran ayatnya.
            Aku sudah tersenyum sendiri.
            “Kau pun dah gila ke Sham?” soal Adila dengan nada mengusik.
            “Hhhmmm…”
            “Gila apa?”
            “Gila dengan Tuan ‘Singa’ aku…”
            “Sama-samalah korang jadi gila… asal tak berjangkit dengan aku sudah.” Selamba sahaja Adila berkata. Jelingan aku sudah tidak dipedulikan. Tawanya sudah mula memenuhi ruang bilik yang sunyi sepi tadi. 
_________
Macam dah tak ada feel. Macam dah banyak melalut. Sorry kalau entry ni hanya satu penantian yang tidak berbaloi. Saya akan cuba sudahkan TSM secepat yang boleh...
Maaf pada yang menanti entry... saya dah tak banyak masa untuk menulis. Untuk makluman, saya tengah sambung belajar sekarang ni, jadi ada kepentingan lain yang kena bagi tumpuan.
Sorry and thanks. 

Comments

  1. statement xbley blah asad..hehehe..tp ttp suweet =)

    ReplyDelete
  2. saya tetap suka cerita ni... =)

    ReplyDelete
  3. eh best mcm selalu jgk! selamat smbung belajar. tp jgn lupa kat TSM plk ye.

    ReplyDelete
  4. bila la mslh Asad ni akan settle...kesian Sham...

    ReplyDelete
  5. lega..xde apa2jadi..

    ReplyDelete
  6. Fuh..!!! lega.. nasib baik x jadi apa2 kat Sham dan baby....

    ReplyDelete
  7. saya suka sangat Asad & Shamina nie....harap cik writter ada masa tuk next n3...thanx

    ReplyDelete
  8. WC da cuak da bile sham jatuh tadi... naseb baek baby xpape... kalo x, ade je modal elisa tu nak rampas asad...

    ReplyDelete
  9. saya x de merepek la kak umi....

    standard la perempuan mane x risau kalo ade owg tergilkan laki die...

    dah la tgh pregnant......mahu x gila kalo ade owg x phm bahasa...dah tau laki owg nk jgk........

    besttttttttt sgt cerita nie

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Cerpen: Lain di Mulut, Lain di Hati

JAMBANGAN bunga ros yang berada di atas mejanya itu dicapai. Tanpa melihat nama pengirim pun dia sudah boleh meneka, siapa pengirimnya. Terus dengusan tidak senang dilepaskan. Tanpa menunggu sesaat, jambangan bunga itu sudah terhumban ke dalam tong sampah di sudut bilik.             Huh! Apa dia fikir aku ni perempuan, nak cair kalau disogokkan dengan bunga. Kalau aku cakap benci, memang akan benci selamanya! rungutnya.             Serentak itu, pintu biliknya diketuk. Terjengul wajah Selina, setiausahanya.             “Encik Irfan, Puan Eryna nak jumpa.”             Sekali lagi dia melepaskan dengusan kasar. Tidak cukup dengan bunga yang merimaskan, sekarang, tuan punya badan pula muncul di depan mata. Ah, benci!             “Suruh dia balik! Saya tak nak jumpa dia.” Kuat dan lantang sekali suara Irfan sehingga begitu jelas buat pendengaran Eryna yang sedang duduk menunggu di luar bilik. Eryna tersentak. Riak wajahnya terus beruba

Cerpen: Hati ini [End]

BUNYI suara yang bertingkah dari ruang tamu mengkakukan langkah Ana di anak tangga terakhir. Dia yang turun ke bawah dengan niat untuk membasahkan tekak terkaku seketika. Tidak mahu menonjolkan diri di hadapan tetamu mama dan papa, tanpa berfikir panjang dia sudah memalingkan badan hendak bergerak ke atas semula. Namun sekali lagi, dirinya terus kaku di situ. Suara yang melaungkan namanya membuatkan badannya menjadi gementar secara tiba-tiba.             “Ana…” namanya dipanggil sekali lagi. Dia kenal suara itu. Terlalu kenal. Tetapi dia tidak mahu memalingkan wajahnya. Atas sebab apa, dia tidak pasti. Ikutkan sahaja kata hati.             Sentuhan di bahu membuatkan Ana tersentak. Pantas dia berpaling dengan wajah yang sudah berubah riak. Dia tidak suka dengan sentuhan itu. Sentuhan yang tidak menghormati dirinya sebagai seorang wanita muslim. Seketika mata mereka bertemu. Ana terkedu. Seakan tersedar dari mimpi… senyuman yang menghiasi

Cerpen: Dia yang aku cinta

Berdebar-debar rasanya saat menanti di ruang legar ini. Menanti kehadiran insan yang disayangi. Menanti saat yang ditunggu-tunggu selama ini. Disunting menjadi suri dalam hidup lelaki yang dicintai. Ah! Indah sungguh rasa…             “Tahulah nak tunggu insan tercinta. Kut iya pun… tak perlulah tayang riak wajah teruja, yang terlebih perisa pulak!” teguran berunsur perlian itu hanya membuatkan dia menjeling manja.             “Biarlah!” balasnya dengan menyampah.             Tiada siapa pun tahu apa yang dirasainya selama dua tahun ini. Hidup berjauhan dengan insan yang memenuhi ruang hatinya. Sungguh menyeksakan jiwa dan raga sahaja!             “Akak…” panggilan itu membuatkan dia melepaskan dengusan manja.             “Apa?!” soalnya geram. Geram saat khayalan indahnya dicantas dengan kejam. Sedangkan, hanya itu yang mampu dilakukan di saat ini.             “Tu…” mulut si adik sudah memuncung ke satu sudut.             Matanya turut berlari mencari. Seketika dia