Skip to main content

Ini Kisah Jelita & Perkasa [8]



BAB 8

SEKEPING coklat Cadbury yang diletakkan atas fail kuningnya secara tiba-tiba, menyebabkan dia menolak dengan spontan. Tiada senyuman di bibir Jelita Suria biarpun Putra Azad sejak tadi asyik menyengih sampai ke telinga. Entah kenapa dengan lelaki itu, sudah dapat sawan senyum agaknya!
            “Aku tak nak la… Azad!” Tegas suara Jelita Suria. Entah apa lagi yang perlu dikatakan kepada Putra Azad supaya lelaki itu faham. Faham bahawa Jelita Suria tidak suka diberi perhatian yang sebegini. Tetapi Putra Azad, harus dikategorikan sebagai lelaki yang keras kepala. Kalau minggu lepas dia sudah berhenti buat perangai pelik bagi coklat ini, minggu ini dia mulakan kembali. Jelita Suria pula naik pening.
            “Janganlah macam ni… Azad bagi ikhlas. Coklat aja pun...” pujuk Putra Azad bersungguh. Riak kecewa cuba disembunyikan daripada wajah dengan jayanya. Tetapi tidak guna juga, Jelita Suria ini pandang wajahnya pun tidak. Begitu sekalikah tahap bencinya pada Putra Azad?
            “Kalau ikhlas, bagi kat semua. Bukan aku aja.” Selamba Jelita Suria berkata. Sudah penat bibirnya hendak berbicara dengan Putra Azad. Lelaki yang dikenali lima tahun dahulu di Pusat Tuisyen yang sama sehingga kini. Harus diakui, dia lebih suka Putra Azad yang gemuk dan suka makan banyak dulu daripada yang sekarang, yang sibuk hendak hadiahkan makanan pada dirinya pula.
            “Kalau Jelita tak nak, bagi dekat akulah!” Marlisa yang baru sampai, terus menyampuk. Senyuman kelat di bibir Putra Azad hanya melahirkan tawa dalam hati. Tahu sangat, ada hati yang sedang beremuk kecewa dengan Jelita Suria. Tetapi ada Jelita Suria nak kisah? Tengok sajalah apa yang sedang dilakukan gadis itu pada ketika ini. Khusyuk benar dengan nota Kimia yang diberikan oleh tutor mereka di tuisyen Iqra Ilmu ini.
            “Ambil ajalah…” Entah ikhlas atau tidak, Putra Azad menghulurkan juga coklat itu pada Marlisa. Dengan langkah yang berat, dia kembali ke tempat duduknya. Ternyata, konsep yang pernah diberikan oleh abangnya dulu tidak berkesan pada dirinya sehingga kini. Buktinya, walaupun secara fizikalnya dia sudah berjaya mengurangkan berat badan dan secara mentalnya, dia sudah berjaya meningkatkan tahap IQ dengan mencapai keputusan terbaik dalam setiap peperiksaan. Namun, Jelita Suria… masih begitu. Masih tidak mahu memandangnya walau dengan ekor mata sekalipun.
            Sementara itu, Marlisa sudah menaikkan keningnya mengusik Jelita Suria. Jelita Suria pula sudah menarik jelingnya. Tahu sangat apa yang bakal ditanya oleh teman baiknya ini.
            “Kenapa ni Jelita? Tak baik tau asyik tolak pemberian ikhlas dia.” Nasihat Marlisa. Kesian pula dia melihat wajah berduka milik Putra Azad. Sudahlah lelaki itu kini boleh dikategorikan dalam senarai lelaki kacak. Tapi, Jelita Suria manalah nak layan itu semua.
            “Pemberian ikhlas?” Jelita Suria menyoal kembali. “Pemberian yang ikhlas, tak akan minta dibalas.”
            “Dia tak minta balas pun… sekeping coklat aja pun.” Entah sejak bila Marlisa assign masuk jadi parti penyokong Putra Azad. Tinggal tak bawa banner sahaja untuk menjadi penyokong tegar macam budak-budak dari tuisyen di lot sebelah. Semuanya tergedik-gedik untuk menjadi kenalan Putra Azad.
            “Sekeping coklat ni…” Jelita Suria mencapai coklat yang diletak atas buku Marlisa. “Mengharapkan sekeping hati aku yang sangat mahal… mana boleh! Baik aku beli sendiri dekat kedai. Berbaloi lagi rasanya…” tuturnya serius.
            “Takkanlah…”
            “Memang ya. Cuba hang tengok.”
            Jelita Suria sudah mengisyaratkan pada Putra Azad yang berada di hujung kiri kelas. Marlisa ikut berpaling pada arah yang sama. Ternyata mata Putra Azad masih di sini, memerhatikan mereka. Memerhati Jelita Suria lebih tepat bunyinya.
            So, memang takkan berbaloilah usaha dia?”
            I didn’t ask for it… he’s wasting his time, trying to get something that impossible.
            “Amboi, something impossible! Habis… siapa yang boleh selesaikan mission impossible ni baru boleh jadi your Mr. Right?” perli Marlisa.
           Jelita Suria mengjungkit bahu. “Aku pun tak tahu, siapa dia yang dah Allah jadikan untuk pegang title my Mr. Right.” Jelita Suria tersenyum nipis memandang wajah Marlisa yang memang tidak akan berpuas hati dengan jawapannya. “Sekarang bukan masa nak cakap pasal benda ni. Hang dah siap, 50 soalan semalam?” soalnya mengalihkan topik.
            Dan Marlisa hanya mampu menepuk dahi laju. Aduh, dia terlupa!!! Sibuk melayan Mega Movie di TV3 semalam dengan mama. Masaklah dia dengan tutor Kimia mereka sekejap lagi.

BARISAN ayat yang terukir cantik dengan aksara komputer itu membuatkan dia terus tersenyum. Matanya sekilas memandang ke luar tingkap yang tertutup rapat. Angin yang dingin itu hanya membuatkan badannya menggigil kesejukan. Tetapi, tatapan bait kata di depan mata mampu menghangatkan perasaan.
            Dear Abang (apalah nasib aku kena ber-dear dengan hang pulak, abang oiii)
            Lisa sihat, mama sihat, papa sihat… semua sihat belaka. Hehehe… mesti rasa nak ketuk kepala Lisa kan? Orang lain yang ditanya, dicerita pasal orang lain yang boleh masuk kategori tak ada kena mengena dalam kiriman emel ni.
            Dia pun, sangat sihat. Ohoh… makin cantik! Makin banyak mata nakal yang cuba memanah! *sila jealous* Tapi, biasalah… dia mana nak layan. Hatta nak terima as title kawan pun, nak kena fikir berzaman. Ada satu berita yang sangat mendukacitakan… dia tak pernah tanya pun pasal abang. Walaupun abang ni duk confident sangat cakap, ‘dia mesti tanya’. Dia kebal sangatlah bang… tak macam hang! Mudah tergoda! Muehehe… jangan marah. Lisa cakap pasal benda yang hakikat aja.
            Hadiah yang abang bagi pun… hurm, dia tak ambik. Abang jangan salah faham ingat dia tak suka, tapi itulah Jelita Suria… yang sangat jaga batas hubungan antara laki perempuan. You should be proud! Kalau satu hari nanti, memang ditakdirkan jodoh abang dengan dia, ohoh… 200 percent her loves will truly for you as her husband. J
            Lisa pulak yang jealous! Okeylah bang… hang pun jagalah hati tu baik-baik, jangan tercicir dekat mana-mana minah Irish pulak! Nanti yang rugi… abang jugak, tak dapat Jelita.
            We love you. Take care Abang Mirza.
            Adik yang selalu sayang abang,
            Marlisa Helmi
            Kursor dilarikan dan kotak emel itu ditutup. Badannya yang berbalut t-shirt berwarna kuning hitam itu dibaringkan atas katil bujang di sudut bilik. Rasa macam nak terbang balik Malaysia, sekarang juga. Tapi masih ada setahun pengajian yang berbaki di sini. Perjuangan yang masih belum selesai lagi.
            Pintu yang diketuk dari luar dan kemudian terkuak sedikit memaksa Mirza Haidar mengangkat kepala. Spontan bibirnya membalas senyuman yang dihulur oleh insan itu. Adik juniornya di University College Dublin, Ireland ini. Sudah tiga tahun mereka berkenalan. Dan sudah dua tahun juga menjadi teman serumah bersama dua orang teman dari Malaysia.
            “Berseri semacam… dapat emel dari Penang la tu.”
            Mirza Haidar terus ketawa. Macam boleh dibau dengan jelas sekali.
            “Bukan selalu… dengan mama, papa… seminggu sekali wajib cakap. Tapi emel ni, setahun sekali pun belum tentu dapat. Hang apa tau!” Mirza Haidar sudah melayangkan penumbuk mesra di bahu lelaki yang muda dua tahun daripadanya.
            “Kalau nak kata aku tak tau pasal bunga-bunga yang duk kembang elok dalam hati hang ni, walaupun hakikatnya tengah autumn in my heart dekat luar tu… memang penipuan yang nyatalah!”
            Dan sekali lagi, tawa bahagia Mirza Haidar bergema.
            “Kalau boleh… sekarang jugak aku nak masuk meminang dia!” Ayat penyata yang meminta telapak sirih disediakan dengan kadar segera. “Jarak dan masa memang menguji kesabaran akulah!” ucapnya jujur. “Hang pernah rasa macam ni, Armana?” Mirza Haidar sudah berkalih memandang Perkasa Armana yang sudah berbaring di lantai ber-heater itu.
            “Tak pernah!” Nada yang tidak berperasaan sahaja jawapan daripada Perkasa Armana.
            “Iya ke?” Mirza Haidar seakan tidak percaya. Tetapi tidak mustahil juga, lihat sahaja siapa manusia di sisinya ini. Perkasa Armana. Memang lelaki yang sengaja mengebalkan hati tidak mahu terjebak dalam kisah percintaan walaupun usianya kini sudah hampir 23 tahun.
            “Zalfa?” Sebaris nama itu ditutur dengan nada mengusik. Senyum nakal sudah tersungging di bibir. Zalfa… biarpun tidak kenal siapa gadis itu tetapi satu rumah ini sudah tahu, bagaimana gigihnya usaha penjajahan hati yang giat dilakukan oleh gadis yang kini berada di United Kingdom itu.
            “Aku tak ada apalah dengan dia…” malas Perkasa Armana membalas.
            “Sebab tak ada apalah dia rajin duk hantar hadiah tiap-tiap bulan.” Perli Mirza Haidar. Kalau hendak melihat Perkasa Armana mengaku akan hakikat itu, memang akan ribut salji agaknya di bumi Ireland ini.
            “Banyak sangat duit dia, tak tahu nak habiskan dekat mana agaknya. Aku tak boleh cakap apa… nak hantar balik, menghabiskan duit aku pulak. Jadi, baik kita sedekah… berguna jugak untuk orang-orang yang memerlukan… betul tak?” Bagaikan tiada perasaan, itu yang difikirkan Perkasa Armana. Mirza Haidar mula menjeling menyampah. Pasti bukan itu yang diharapkan sebagai jawapan daripada Perkasa Armana. “Lagipun… dia hantar hadiah, dia tak pernah mention pulak yang dia suka dengan aku. So, what’s the point for me liking her?
            “Aku bersimpati dekat Zalfa tu… kenapalah dia boleh bermurah hati menghabiskan duit untuk laki macam hang!” perli Mirza Haidar tidak berlapik.
            “Cakap Zalfa, hang pun sama jugak!” Diperli juga balasan yang diterima.
            “Hadiah special yang hang selalu kirim balik Penang, bukan untuk dia ke?” Perkasa Armana tersenyum sinis. Hendak menyindir orang pula si Mirza Haidar ini. Dia pun buat juga kerja gila itu!
            “Aku lain…”
            “Tak ada yang lain. Kalau dah kes terjatuh cinta ni, semuanya sama jugak! Angau tak kena gaya. Tengok nasi dalam pinggan pun boleh senyum sampai telinga… hairan aku, kalau setakat tengok macam tu, kenyang ke?” Giat lagi Perkasa Armana memerli teman di sebelahnya.
            “Belum kena, bolehlah cakap banyak. Nanti hang dah mula masuk kategori macam ni, tahulah aku nak buat apa!” Geram Mirza Haidar membalas. Sekali lagi bahu Perkasa Armana ditumbuk, kononnya melepaskan geram. Tumbuk pun ala-ala manja sayang!
            “Ya Allah, rindunya aku dekat Malaysia!!!” sambung Mirza Haidar sambil membenamkan muka ke bantal.
            “Secara spesifiknya, rindunya dekat dia!!!” sengaja Perkasa Armana menjerit di telinga Mirza Haidar sebelum lelaki itu mencapai bantal bulat di katil dan membaling ke arahnya. Marahlah tu!

MATANYA yang menghadap barisan ayat dalam buku rujukan Sejarah itu sudah mulai layu. Alahai… asal pegang buku sejarah sahaja, mesti hendak terkatup mata. Entah bila hendak sudah dibaca. Parah! Sudahlah latih tubi yang dilakukan, asyik banyak salah daripada yang betulnya. Alih-alih, dia mengambil keputusan untuk menghafal dulu fakta sejarah yang tercatit dalam buku ini.
            Disebabkan terlalu letih, diletakkan sahaja buku itu ke sisi. Telefon bimbit Samsung di sebelah yang berkelip-kelip, diambil. Ada mesej daripada orang jauh nampaknya.
            - On chat
            Ini mesti nak ajak bersembang. Tanpa berfikir panjang, lap top berjenama ASUS di atas meja belajar, dihidupkan. Sambil itu dalam kepala sudah mula berkira, pukul berapa di sana. Jarak perbezaan masa antara mereka, hampir lapan jam juga. Ini mesti rindu rumah. Kalau tidak, jangan harap orang itu hendak mengajak dia berbual secara tiba-tiba. Bibirnya tersenyum dan juga terasa hendak tergelak.
            Sebaik sahaja sign in menggunakan perisian Skype, nama itu sudah menegurnya.
            Armana: Gemuk, sihat tak?
            Putra Azad mengetap bibir, geram.
            Putra: Aku tak gemuklah! Grrr!!!
            Armana: Muahaha… mentang dah kurus sekarang! Duk buat apa tadi? Tak tidoq lagi?
            Putra: Study! Otak ni macam tak boleh nak hadam pulak dengan perkataan dalam buku sejarah. Peninglah… tinggal lagi berapa minggu ja nak exam. Azad tak habis revise lagi. Dah la masuk semua bab form 4.
            Armana: Relaks la… hang boleh! Just chill and try to revise calmly. Okey? Kalau selama ni boleh skor, takkan sekarang tak boleh. So, memang dah sepenuhnya insaf la ni? Fokus pada study ja.
            Putra Azad melepaskan tawa. Dia tahu sangat tentang apa yang diselidik oleh abangnya ini. Sudah belajar jauh-jauh pun masih mahu menyibuk. Puas sebelum berangkat ke Ireland, Perkasa Armana menasihatkan dirinya agar tidak terkejar belakang Jelita Suria. Kejar pelajaran dulu, yang lain boleh difikirkan kelak. Abangnya ini, memang dalam kepala otak hanya ada perkataan study semata-mata!
            Putra: Mana boleh lepaskan dia! Tengah usaha la ni… usaha dari lima tahun sudah, kalau mengalah sekarang, tak guna jugak. Lagipun, ikut nasihat siapa… abang jugak!
            Armana: Debab! Ni aku nak bagi nasihat… hang tu nak SPM lagi berapa bulan ja, at least untuk few months ni, tak payahlah nak sibuk dengan si Jelita tu. Hang fokus dengan study hang cukup. Mak dengan abah suruh nasihat! Ingat tu… tak lari gunung dikejar.
            Putra Azad mencebik. Tak lari gunung dikejar? Boleh ke apply benda ini dengan Jelita Suria? Dikejar dia lari, tak dikejar juga lari. Habis nak buat macam mana?
            Putra: Doakan aku berjaya!
            Armana: InsyaAllah. Dah pi tidoq. Aku ada kerja. Cakap dengan mak, aku tak jadi balik bulan depan. Aku balik tahun depan. Nak pergi melancong dan melencong dengan kawan-kawan… hehe.
            Putra Azad mencebik lagi. Ini tidak lain dan tidak bukan, sengaja hendak memarakkan api cemburu dalam dirinya. Tetapi dia tidak kisah sebab buat masa sekarang, belum ada impian lagi untuk keluar dari Malaysia. Yang penting, hanya perlu dekat dengan Jelita Suria. Oh, sangat penting sebab itu pemangkin yang bertindak balas memberikan mood untuk dia belajar dengan rajin macam sekarang ini. Sampaikan mak dan abah jadi begitu bangga sekali.
            Dan harus juga berbangga diri ini kalau dapat gadis seunik Jelita Suria yang susah nak pandang lelaki!

AHMAD Naufal bersandar pada dinding dengan wajah yang sebal. Jelita Suria memang sengaja hendak menyakitkan hatinya! Puas sudah dia merayu, tapi dia tidak diendahkan juga. Apa, dia tidak cukup comel ke?
            Apabila nampak sahaja kelibat Jelita Suria yang lalu depan mata, kakinya dihentak kuat. Sengaja hendak menarik perhatian. Sengaja dilepaskan renungan yang mampu mencairkan hati seorang Jelita Suria itu. Tetapi apa yang dia dapat, hanyalah renungan tajam yang membantu melahirkan cebikan serta menambahkan PH masam di muka! Bencilah!
            “Jelita!!!” jeritnya geram.
            “Apa dia?” suara itu juga menunjukkan rasa marah. Cukup sudah Jelita Suria bersabar dengan kerenah Ahmad Naufal ini. Waktu belajar pun hendak dikacaunya. Tidak cukup agaknya waktu selama sejam yang mereka luangkan bersama. Disebabkan rasa terganggu, Jelita Suria terus menjeling, marah.
            “Jelita… tak sayang aku ke?” sengaja Ahmad Naufal hendak menduga. Macam dia tidak tahu sahaja kelemahan Jelita Suria.
            “Tak sayang!”
            “Jelita…” rengeknya lagi. Manja. Dan Jelita Suria mempamerkan wajah seperti hendak loya. Nak termuntah. Ahmad Naufal memang sangat mengada. Kalau Jelita Suria tahu dia akan diganggu begini, awal-awal lagi dia akan berpura-pura dengan gaya kuku besi. Tetapi kata-kata comel yang lahir daripada bibir Ahmad Naufal ini berjaya mencairkan hati. Siapa tak sayang kan?
            “Jelita…” mata Ahmad Naufal sudah bergenang air mata. “Buatlah milo ais untuk aku. Dahagalah.” Pintanya dengan kecomelan yang maksima.
            “Mintalah dengan mak… kacaulah. Orang nak belajar ni…” Jelita Suria pura-pura fokus dengan bukunya. Tidak mahu akur dengan kata-kata si comel yang kontot ini.
            Cuppp!!! Pipinya dikucup penuh kasih. Ahmad Naufal tersengih sehingga mempamerkan barisan gigi yang sudah mula rongak. Banyak sangat makan gula-gula, inilah kesannya. Ahmad Naufal memang keras kepala. Yang dilarang itu juga akan diminta. Adiknya yang sudah berusia empat tahun ini memang banyak sungguh kerenahnya. Mentanglah sudah petah bercakap, ada sahaja perkara yang diomelkan pada Jelita Suria. Belum masuk lagi bahagian special request sebelum masuk tidur, kena urut kaki!
            Ahmad Naufal sudah mula melirikkan wajah yang comel pada kakaknya, Jelita Suria. Itu adalah taktik termudah untuk menggerakkan kaki gadis itu ke dapur dan menyiapkan milo ais yang dapat melegakan tekaknya. Haus sangat sebab cuaca panas di luar sana.
            “Yalah… yalah! Kacau aja masa orang nak belajar…” Dengan bebelan di mulut, Jelita Suria menurut juga permintaan si kecil yang tinggi sudah melebihi paras pinggangnya.
            Sedang dia mengeluarkan ais batu dari peti sejuk, wajah Ahmad Naufal terjenguk di situ. “Abah cakap, orang yang buat kerja sambil membebel… tak ikhlas la Jelita.”
            Jelita Suria menjegilkan biji mata. “Ketuk kepala tu satgi! Pi duduk depan!” marahnya dengan gaya hendak meluku. Ahmad Naufal laju mencicit ke depan. Jelita Suria menggelengkan kepala. Sekarang ini dia terasa begitu musykil… dia ke kakak? Atau Ahmad Naufal yang abang? Kuat sungguh memerintah dan gaya bercakap, kalah orang besar!
            “Jelita Suria… cepat sikit la.”
            Tengok tu… belum habis fikir dalam kepala, sudah kedengaran lagi suara memerintah itu. Tidak cukup dengan itu, aku yang kakak ini pun dipanggil nama saja! Memang Ahmad Naufal ni nak kena cukup-cukup dengan dia. Jelita Suria terus membebel di dalam hati. Tidak kisahlah kena cop tak ikhlas buat kerja.

Comments

  1. Ooh suke suke..hehe dah makin dewasa

    ReplyDelete
  2. waaaa da besar pon jelita... ingatkan td ahmad naufal tu salah sorg peminat jelita... rupe2nye adik... hahaha... pandai mengarah kakak dia...

    ReplyDelete
  3. ramainya peminat jelitaa??? wah.. tp serius mmg ada perempuan yg mmg ramai peminat cm gituu.. what next kak umi??

    ReplyDelete
  4. Hahaha kesian azad, dah hensem pun still kena reject jgak? Agakny jelita mmg tngh tunggu mirza kot..? Takpun diam-diam jth cinta dgn perkasa? ahah more speculation. Hello naufal! comelny die..kesian jelita kena buli..

    ReplyDelete
  5. hehe... teruskan meneka. kita tunggu dan lihat, siapa untuk siapa... ;)

    ReplyDelete
  6. 0mg....mirza best frend ngn permana...haizzz dok serumah largh pulak..semput bace cter ni...tk dpt nk bayagkn kisah selanjutnya.....(.@-@)

    ~uly ct~

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Cerpen: Lain di Mulut, Lain di Hati

JAMBANGAN bunga ros yang berada di atas mejanya itu dicapai. Tanpa melihat nama pengirim pun dia sudah boleh meneka, siapa pengirimnya. Terus dengusan tidak senang dilepaskan. Tanpa menunggu sesaat, jambangan bunga itu sudah terhumban ke dalam tong sampah di sudut bilik.             Huh! Apa dia fikir aku ni perempuan, nak cair kalau disogokkan dengan bunga. Kalau aku cakap benci, memang akan benci selamanya! rungutnya.             Serentak itu, pintu biliknya diketuk. Terjengul wajah Selina, setiausahanya.             “Encik Irfan, Puan Eryna nak jumpa.”             Sekali lagi dia melepaskan dengusan kasar. Tidak cukup dengan bunga yang merimaskan, sekarang, tuan punya badan pula muncul di depan mata. Ah, benci!             “Suruh dia balik! Saya tak nak jumpa dia.” Kuat dan lantang sekali suara Irfan sehingga begitu jelas buat pendengaran Eryna yang sedang duduk menunggu di luar bilik. Eryna tersentak. Riak wajahnya terus beruba

Cerpen: Hati ini [End]

BUNYI suara yang bertingkah dari ruang tamu mengkakukan langkah Ana di anak tangga terakhir. Dia yang turun ke bawah dengan niat untuk membasahkan tekak terkaku seketika. Tidak mahu menonjolkan diri di hadapan tetamu mama dan papa, tanpa berfikir panjang dia sudah memalingkan badan hendak bergerak ke atas semula. Namun sekali lagi, dirinya terus kaku di situ. Suara yang melaungkan namanya membuatkan badannya menjadi gementar secara tiba-tiba.             “Ana…” namanya dipanggil sekali lagi. Dia kenal suara itu. Terlalu kenal. Tetapi dia tidak mahu memalingkan wajahnya. Atas sebab apa, dia tidak pasti. Ikutkan sahaja kata hati.             Sentuhan di bahu membuatkan Ana tersentak. Pantas dia berpaling dengan wajah yang sudah berubah riak. Dia tidak suka dengan sentuhan itu. Sentuhan yang tidak menghormati dirinya sebagai seorang wanita muslim. Seketika mata mereka bertemu. Ana terkedu. Seakan tersedar dari mimpi… senyuman yang menghiasi

Cerpen: Dia yang aku cinta

Berdebar-debar rasanya saat menanti di ruang legar ini. Menanti kehadiran insan yang disayangi. Menanti saat yang ditunggu-tunggu selama ini. Disunting menjadi suri dalam hidup lelaki yang dicintai. Ah! Indah sungguh rasa…             “Tahulah nak tunggu insan tercinta. Kut iya pun… tak perlulah tayang riak wajah teruja, yang terlebih perisa pulak!” teguran berunsur perlian itu hanya membuatkan dia menjeling manja.             “Biarlah!” balasnya dengan menyampah.             Tiada siapa pun tahu apa yang dirasainya selama dua tahun ini. Hidup berjauhan dengan insan yang memenuhi ruang hatinya. Sungguh menyeksakan jiwa dan raga sahaja!             “Akak…” panggilan itu membuatkan dia melepaskan dengusan manja.             “Apa?!” soalnya geram. Geram saat khayalan indahnya dicantas dengan kejam. Sedangkan, hanya itu yang mampu dilakukan di saat ini.             “Tu…” mulut si adik sudah memuncung ke satu sudut.             Matanya turut berlari mencari. Seketika dia