Skip to main content

Tidak ku sangka 10



DAN memang Anis tidak menyesal pun! Siapa cakap ungkapan Iman Anas itu satu gurauan. Memang mereka berada di zoo pun sekarang. Jelingan Anis pada Iman Anas tidak mendatangkan sebarang kesan. Buat penat mata itu sahaja. Menyampah pula!
Anis lihat si Bahar sudah terkinja-kinja di belakang Iman Anas. Sepertinya baru ini kali pertama menjejakkan kaki ke pusat pemeliharaan haiwan ini.
Iman Anas pula, tidak perlu Anis terangkan dengan panjang lebar. Sejak keluar daripada kereta yang dilanda demam bisu tadi, Iman Anas sudah bertranformasi menjadi makhluk lain di zoo ini. Meriah sungguh wajah itu dengan senyuman pada tuan dan puan haiwan.
“Akak… sinilah!” Bahar melambai dari jauh.
Anis mengeluh pendek. Terpaksa melayan dua orang makhluk yang lebih memilih untuk bergembira dengan haiwan daripada dirinya. Langkah yang berat diatur juga. Dilihatnya, Bahar turut meniru gaya Iman Anas mengusap seekor rusa. Masih kecil jasad itu. Comel. Anis mula memuji dalam hati. Senyuman mula melekat di bibirnya.
“Nama dia Sandra.” Bahar bersuara kuat sebaik sahaja Anis tiba di sisinya.
Mata Anis membulat. Sandra? Rasanya dia tersilap dengar. “Apa?”
“Bahar cakap, nama dia Sandra.” Ulang Bahar dengan kuat. Nama itu yang disebut oleh Iman Anas sebentar tadi. Wajah kakaknya yang kelihatan sangat terkejut itu mengundang tawa. “Apa akak ingat awek cantik aje ke boleh guna nama Sandra? Rusa pun bolehlah…” sambungnya dengan tawa.
Minda Anis seakan terpukul dengan kata-kata Bahar. Bukan perempuan cantik sahaja boleh pakai nama perempuan? Mindanya seakan mula terbuka luas. Wajah Iman Anas di sisi Bahar dipandang lama. Hendak tersenyum atau menangis dia di sini?
Memikirkan yang dirinya mungkin sedang cemburu dengan salah satu spesies haiwan di bawah jagaan Iman Anas di sini, membuatkan dia terasa sangat bodoh! Saat itu Anis terasa sangat tidak sabar, hendak bertemu empat mata dengan Anita. Makhluk apakah itu yang begitu disayangi Iman Anas… mesti sangat comel kan? Anis sudah berangan sendiri.
Ralit Anis meneliti setiap hidupan yang sedang berehat dalam kurungan masing-masing. Seperti sangat kenyang dan keletihan. Langkahnya mengekor gerak Bahar dan Iman Anas yang lebih laju ke hadapan.
“Cleopatra?” Suara Bahar yang terkejut itu menampar telinga Anis. Mata Anis terus laju mencari, siapa Cleopatra? Nama punyalah glamour, kalau nak ikut kata Anis… memang tak boleh blah!
Tiada yang lain singgah di ruang mata melainkan seekor badak sumbu yang sedang berdengkur nyenyak. Cleopatra? Anis mengulang sebut dalam hati. Kalaulah si cantik Cleopatra itu tahu bahawa namanya itu sekarang digunakan oleh seekor badan sumbu, pasti menangis tujuh keturunan tanpa kesudahan.
“Tak sesuai langsung…” komen Anis selamba. Sengaja dikuatkan suaranya, biar Iman Anas dengar. Daripada tadi asyik dijelaskan segala fakta dan keterangan kepada Bahar sahaja. Macam dia ini tidak wujud pula.
“Tak sesuai?” Iman Anas menyoal kembali. Wajah Anis yang tersenyum memerli dipandang seketika sebelum mindanya disapa satu idea. Dia pula tersenyum, menyindir kembali. “Betullah tak sesuai… kita patut letak Anis. Lebih sesuai…” balas Iman Anas sambil menggamit bahu Bahar.
Anis terlopong. Terbeku lidahnya. Iman Anas memang!!!
“Saya nak tengok Anita!” laung Anis kuat. Tidak mahu kalah. Biarlah nama Anis itu digunakan untuk siapa sahaja. Dia tidak mahu tahu. Yang lebih penting di sini ialah Anita. Selagi tidak melihat spesies itu, dia tidak akan berpuas hati.
Langkah Iman Anas terhenti. Jarinya sudah memberi isyarat supaya Anis mendiamkan diri. Jari telunjuknya sudah mengisyaratkan ke arah nama yang disebut oleh Anis itu. Tidak perlu menanti lama, reaksi Anis membuatkan Iman Anas mengalihkan wajahnya segera. Tidak tertahan rasanya untuk menelan ketawa yang begitu bersemangat untuk meletus daripada bibirnya.
Terdengar sahaja ketawa Bahar yang berdekah, Iman Anas melepaskan nafas lega dan terus ketawa. Tidak perlulah dia berlakon dengan menahan tawa yang melemaskan dirinya.
“Anita?” Anis menyoal juga dengan blur walaupun dia sedar dirinya telah menjadi bahan ketawa dua mangkuk di hadapannya ini.
“Singa betina…” jawab Iman Anas. Tangannya sudah menekup mulut. Sakit otot muka kerana ketawa sakan melihat Anis ternganga dengan fakta itu.
What a great surprise… singa betina, Anis.” Ucap Anis pada dirinya sendiri. Singa betina bersamaan dengan Anita. Kau ada ke Anis? Tak ada…

KAMILIA ketawa besar. Rasa penat baru balik daripada Sabah terus hilang dalam sekelip mata. Sememangnya Anis mempunyai penawar yang sangat mujarab.
“Dan kau tengah bagitahu aku yang kau kena marah hari tu sebab kacau dia date dengan singa? What a funny guy you have…” Kamilia ketawa lagi.
Funny guy? Don’t you think he is a weird guy?” soal Anis dengan mata yang tidak berkelip melihatkan dirinya dengan begitu kejam, sekali lagi menjadi bahan ketawa kepada Kamilia pula. Tetapi, biarkan sajalah…
Kamilia menjungkit bahu. “Weird or not… he is your future husband. Takkan kau dah tak berkenan dengan Iman Anas lepas keluar date  sekali ni? Walaupun tempat dating agak kelakar untuk manusia normal macam aku dengar.”
Anis menongkat dagu. Dari semalam dia memikirkan hal itu. Ada sesuatu yang pelik dengan Iman Anas. Perlakuan lelaki itu lebih mesra dengan haiwan. Dan itu adalah fakta yang begitu menyeramkan.
Melihat singa betina bernama Anita itu dicium oleh Iman Anas tanpa sebarang kawalan keselamatan membuatkan Anis hampir pengsan. Mujur tidak tumbang dirinya di hadapan Anita yang pernah menjadi mangsa cemburu Anis.
“Kau rasa, Anas boleh sukakan haiwan tak?” soal Anis dengan wajah serabut. Berkerut dahinya dengan andaian yang tidak ditemui jawapan itu.
“Mestilah Iman Anas tu sukakan haiwan… apalah kau ni. Tolong jangan tanya soalan yang pelik lagi ajaib boleh tak? Kalau dia tak suka haiwan, kenapa pula dia sanggup nak buat kerja yang dia pilih sekarang ni.” Jelas Kamilia serius.
Anis mendengus tidak puas hati. Kamilia tidak faham dengan soalannya.
“Kau ni… aku maksudkan dia ada perasaan dengan haiwan tu tak?” soal Anis dengan lantang.
Kamilia terlopong. Tidak menjangkakan soalan itu daripada mulut Anis. “Anis…” tegur Kamilia tidak senang. “Dia tunang kau. Yang paling penting… dia manusia.” Tegas Kamilia. Tidak tahu pula dia, Anis boleh bersyak wasangka dengan fakta yang tidak pernah terlintas di mindanya.
“Aku tanya aje…”
“Dan kau tak patut tanya soalan tu.” Marah Kamilia. “Kalau dia ada perasaan macam yang kau cakap tu, buat apa dia nak menyusahkan diri setuju nak kahwin dengan kau? Buat apa penat-penat dia datang rumah kau, minta izin dekat abah kau nak ajak keluar? Buat apa dia kenalkan dengan kau semua kesayangan dia, kalau bukan dia nak kau lebih kenal dengan diri dia? Takkan itu pun kau tak boleh faham?” Soal Kamilia bertubi-tubi. Dengusan kasar dilepaskan. Biar Anis tahu dia marah.
“Sekarang ni, aku tak rasa macam nak setuju dengan Qaiser yang selalu cakap Iman pelik. Sekarang ni kau lagi pelik pada pandangan aku!”
Serentak Kamilia sudah bangun daripada bangkunya. Langkah terus diatur keluar dari bilik. Meninggalkan Anis yang sudah tertunduk menekur muka meja mendengar kata-kata Kamilia.
Dan Anis terpandangkan sekeping poskad yang dijadikan hiasan atas meja. Poskad yang diberikan oleh Iman Anas sebagai hantaran. Tidak tahu apa yang menarik tentang sebuah poskad. Mungkin ia kelihatan menarik hanya kerana memuatkan gambar Iman Anas yang tersenyum disamping Orang Utan bergaya sakan di bahu lelaki itu.
Dicapai poskad itu. Tiada senyuman pada bibir. Wajah Iman Anas dipandang lama. Bimbang rasanya. Bagaimana kalau benar andaian yang berlegar dalam hatinya? Memang andaian itu buruk. Dan lebih buruk adalah orang yang sedang bersyak wasangka ini.
Anis meraup wajahnya kasar. Bagaimana hendak ditolak segala andaian ini? Takkan dia hendak menyoal Iman Anas pula? Itu memang kerja gila. Qaiser? Minda Anis terpanggil dengan nama itu. Qaiser pasti sahaja tahu tahap kepelikan Iman Anas itu.
Terus Anis berdiri. Tidak semena-mena poskad yang dipegang tadi jatuh ke bawah. Malas hendak mempedulikan poskad itu, Anis hendak terus melangkah sahaja. Namun, entah di mana silapnya. Kakinya tersadung dan hampir tersungkur. Sakitnya terasa amat. Terus dia terduduk di situ.
“Apalah nasib ni…” rungut Anis. Suaranya sudah serak. Rasa macam hendak menangis pula. Hendak ditunjukkan rasa marah itu pada Iman Anas. Ya! Kerana lelaki itu yang menjadi punca kemarahannya.
Poskad yang tersadai atas lantai itu dicapai dengan rasa geram. Direnyukkan dengan rasa geram. Hilang sudah seri wajah Iman Anas pada poskad itu. Sekali lagi Anis mengulang perbuatan itu. Sekuat hati dia membaling ke muka pintu.
“Aduh!”
Tepat mengenai hidung Kamilia yang pada masa sama melangkah masuk ke dalam bilik itu.
“Jangan nak buat sampah dalam bilik boleh tak!” Bebel Kamilia sambil tunduk mengutip benda yang entah apa dibaling oleh Anis sebentar tadi. Baru sahaja dia hendak memasukkan ke dalam tong sampah, matanya terpandangkan sesuatu. Bibirnya terus tersenyum sinis. Wajah Anis dipandang sekilas.
“Jangan jadi bodoh, Anis!”
Renyukan poskad itu dibaling semula. Tepat mengenai dahi Anis.
Anis tergamam.
“Jangan bagi aku sebut perkataan tu lagi… dan tolong simpan hadiah yang orang dah bagi pada kau dengan seikhlas hati.” Ucap Kamilia lagi. Dia sudah mencapai tas tangan di atas meja. Sekali lagi dia meninggalkan Anis sendiri.

AIR mata yang degil hendak mengalir itu dikesat kasar. Anis marah! Kenapa perlu dia menangis padahal dia yang salah? Memang dia bodoh!
Poskad yang sudah hilang rupanya menjadi bukti. Bodohnya dia menunjukkan perasaan pada sekeping poskad yang amat bermakna itu. Dengan rasa yang berbaur, sebaris ayat itu dibaca sekali lagi. Tidak tahu, masuk ini sudah kali keberapa dia mengulang baca. Tetapi perasaannya setiap kali ayat itu meresap masuk ke dalam jiwa, dia terasa sebak.
I love postcard. More than that, I love the picture on this postcard. And most than that, I wish I could love the one who keep this for me.
Pls… do keep it though it’s just a simple postcard that may not bring any luxuries but it is happiness for me.
Anis rasa tiada perkataan lain yang lebih sesuai untuk dihamburkan buat dirinya ini selain daripada, bodoh!
Masih terngiang kata-kata Kamilia sebelum pulang tadi, “Hanya manusia yang tak ada perasaan pada manusia lain, boleh bermadah macam tu. Kalau kau masih nak soal Iman Anas tentang perasaan dia pada semua haiwan yang dia jaga dengan penuh kasih sayang tu… kau memang tak layak untuk bersama dia. Kau tak faham apa erti sayang yang dia sedang tunjukkan pada semua makhluk tu…” Sinis kata-kata Kamilia. Melekap terus pada jiwanya.
Benarkah Anis begitu?
Tidak mahu mengakui, Anis terus menyembamkan wajah pada bantal. Rasa menyesal dan bersyukur pada masa yang sama. Menyesal kerana dia boleh berprasangka dengan kenyataan yang sangat pelik itu. Bersyukur kerana dia tidak terburu-buru menyoal orang lain tentang perkara itu melainkan Kamilia seorang sahaja.

Comments

  1. waa... best sangat! good job kak umi. cerita ni sangatlah unik dan lain macam... hihihi. kena dengan tajuknya. Tidak Ku Sangka... hehe. Love it :)

    ReplyDelete
  2. Anas nak Anis kenali diriKU... boleh gitu..
    Ingat Anas ni berani sangat tapi penakut juga ya...
    dengan Haiwan berani sangat dengan manusia ada kecut juga... tu tandanya masih berjiwa manusia wahai Anis... jangan takut hati Anas tetap pada Anis bukan Anita atau yg sewaktu dengannya.... hahaha

    ReplyDelete
  3. xsangka memang betol anas bawak anis p zoo...

    ReplyDelete
  4. kak umi,bile nk keluar entry jelita & perkasa 17?

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Cerpen: Lain di Mulut, Lain di Hati

JAMBANGAN bunga ros yang berada di atas mejanya itu dicapai. Tanpa melihat nama pengirim pun dia sudah boleh meneka, siapa pengirimnya. Terus dengusan tidak senang dilepaskan. Tanpa menunggu sesaat, jambangan bunga itu sudah terhumban ke dalam tong sampah di sudut bilik.             Huh! Apa dia fikir aku ni perempuan, nak cair kalau disogokkan dengan bunga. Kalau aku cakap benci, memang akan benci selamanya! rungutnya.             Serentak itu, pintu biliknya diketuk. Terjengul wajah Selina, setiausahanya.             “Encik Irfan, Puan Eryna nak jumpa.”             Sekali lagi dia melepaskan dengusan kasar. Tidak cukup dengan bunga yang merimaskan, sekarang, tuan punya badan pula muncul di depan mata. Ah, benci!             “Suruh dia balik! Saya tak nak jumpa dia.” Kuat dan lantang sekali suara Irfan sehingga begitu jelas buat pendengaran Eryna yang sedang duduk menunggu di luar bilik. Eryna tersentak. Riak wajahnya terus beruba

Cerpen: Hati ini [End]

BUNYI suara yang bertingkah dari ruang tamu mengkakukan langkah Ana di anak tangga terakhir. Dia yang turun ke bawah dengan niat untuk membasahkan tekak terkaku seketika. Tidak mahu menonjolkan diri di hadapan tetamu mama dan papa, tanpa berfikir panjang dia sudah memalingkan badan hendak bergerak ke atas semula. Namun sekali lagi, dirinya terus kaku di situ. Suara yang melaungkan namanya membuatkan badannya menjadi gementar secara tiba-tiba.             “Ana…” namanya dipanggil sekali lagi. Dia kenal suara itu. Terlalu kenal. Tetapi dia tidak mahu memalingkan wajahnya. Atas sebab apa, dia tidak pasti. Ikutkan sahaja kata hati.             Sentuhan di bahu membuatkan Ana tersentak. Pantas dia berpaling dengan wajah yang sudah berubah riak. Dia tidak suka dengan sentuhan itu. Sentuhan yang tidak menghormati dirinya sebagai seorang wanita muslim. Seketika mata mereka bertemu. Ana terkedu. Seakan tersedar dari mimpi… senyuman yang menghiasi

Cerpen: Dia yang aku cinta

Berdebar-debar rasanya saat menanti di ruang legar ini. Menanti kehadiran insan yang disayangi. Menanti saat yang ditunggu-tunggu selama ini. Disunting menjadi suri dalam hidup lelaki yang dicintai. Ah! Indah sungguh rasa…             “Tahulah nak tunggu insan tercinta. Kut iya pun… tak perlulah tayang riak wajah teruja, yang terlebih perisa pulak!” teguran berunsur perlian itu hanya membuatkan dia menjeling manja.             “Biarlah!” balasnya dengan menyampah.             Tiada siapa pun tahu apa yang dirasainya selama dua tahun ini. Hidup berjauhan dengan insan yang memenuhi ruang hatinya. Sungguh menyeksakan jiwa dan raga sahaja!             “Akak…” panggilan itu membuatkan dia melepaskan dengusan manja.             “Apa?!” soalnya geram. Geram saat khayalan indahnya dicantas dengan kejam. Sedangkan, hanya itu yang mampu dilakukan di saat ini.             “Tu…” mulut si adik sudah memuncung ke satu sudut.             Matanya turut berlari mencari. Seketika dia