Skip to main content

Tidak ku sangka 14



“KALAU kata bulan malam tadi terang, terang lagi muka kau hari ni.” Usik Kamilia. Hampir dua minggu lalu dia melihat wajah serabut Anis dek kerana kecuaian mulut gadis itu sendiri. Hari ini baru nampak macam muka manusia bernyawa. Tersengih tidak sudah. Macam orang dapat bunga. Padahal, dapat cekodok saja pun dari rumah mentua. Tapi okey juga cekodok, dia boleh tumpang rasa buat kenyangkan perut.
“Cekodok, sedap!” Anis terus mencapai seketul lagi dan disumbat ke dalam mulut. Komen Kamilia disambut dengan senyuman saja. Tahu tak betapa leganya perasaan dia bila dapat sahkan kenormalan Iman Anas. Ah, Iman Anas memang normal, tapi Anis yang kurang normal agaknya!
“Seronoklah, ada adik ipar yang boleh tolong deliver makanan yang disediakan mak mentua.” Usik Kamilia lagi.
“Anas buat…” balas Anis dengan sengih yang tidak jumpa penghujungnya. Tidak disangka, Iman Anas pun ada bakat di dapur juga. Lega rasanya! Tak perlulah dia bersusah payah seorang diri di dapur lepas kahwin nanti.
Tersedak Kamilia mendengarnya. “Iman buat? Bagus betul kau cari calon suami kan… stok-stok yang pandai masak, kau sapu. Tunang aku tu, dengar cerita pinggan makan pun takkan angkat letak dalam singki. Nasiblah aku nak kena mendidik lepas kahwin nanti…” Kamilia sudah mendengus kecil memikirkan nasibnya yang harus menguruskan dapur seorang diri selepas kahwin nanti.
“Kalau dari kecik tak biasa, dah besar panjang macam ni, lagi susahlah nak dibiasakan.” Komen Anis. Terus dia terbayangkan Bahar. Itu pun satu spesies yang liat juga. Puan Amina terlalu manjakan dia. Kadang, sampai gelas air kosong pun tak tersampai ke singki dek kerana kemalasan yang berada di tahap tinggi. Mengenangkan itu, Anis menjadi simpati. Siapalah bakal bini adiknya nanti, memang meranalah diri!
“Jadi sekarang ni dah okeylah dengan Iman? Dah boleh bersembang dan berkenalan?” soal Kamilia teruja.
Anis menjulingkan biji mata. Kuat dia melepaskan dengusan. Biar Kamilia dengar. “Dalam mimpi!”
“Kenapa?”
“Kau ingat Anas tu nak bercintan-cintun dengan aku dalam telefon macam budak tak cukup umur? Dia cakap, kalau apa-apa telefon mak. Dan kalau aku nak ajak dia survey apa-apa barang untuk kenduri kahwin… telefon mak. Dan kalau nak say hi kat Anita pun, telefon mak…” ucap Anis sambil mengingati semula berapa kali Iman Anas mengulang kata, telefon mak kepadanya.
Kamilia sudah ketawa. Riak wajah Anis itu usah dikata. Sungguh tidak berpuas hati rasanya dengan arahan yang diterima daripada Encik Tunang itu. Dan Iman Anas pula, kreatifnya sama naik sahaja macam Anis.
Say hi  untuk Anita pun ada dalam agenda?”
Anis mengangguk laju. “Oh mesti… dia kan madu aku.”
Terkelu lidah Kamilia dengan jawapan itu. Madu? Anis dan Iman Anas sama-sama mereng agaknya. Ditelan sahaja fakta itu jauh ke dalam minda.

FAIRUZ macam biasa, melayan selera tekaknya yang sentiasa meronta hendakkan roti canai di waktu pagi. Iman Anas pula lama sungguh berdiri depan kaunter untuk membuat pesanan. Macamlah ada menu baru yang akan dipesan lelaki itu. Balik-balik, kopi pahit dan roti kaya juga. Tak ada variasi langsung. Komen Fairuz dalam hati.
Cakap dekat orang, padahal diri sendiri pun tak mampu untuk mengubah menu selain roti canai sebagai hidangan pagi. Chait!
Iman Anas kembali ke meja menatang dulang sarapan paginya. Bibirnya tersenyum kecil pada Fairuz. Sebaik sahaja dulang mendarat di atas meja, terbuntang biji mata Fairuz seperti yang dijangka.
“Apa ni?” Fairuz menyoal, tidak sabar.
Ommelette stail Malaysia.”
Fairuz yang mendengar, terasa buka seleranya. Dipandang lagi hidangan itu. Dua keping roti yang di atasnya terletak elok dua biji telur mata. Masih kelihatan basah warna kuningnya. Ditambah dengan sos dan mayonis meleleh jatuh ke atas pinggan. Aduh! Belum tahu sedap atau tidak, tapi dah terliur pula. Dipandang pinggannya yang terhidang menu boring. Sudah… boring pula.
“Air apa pulak ni?” soal Fairuz lagi bila terperasan, air dalam gelas Iman Anas tidak hitam pekat warnanya.
Cappuccino…” Dengan slanga dan lengkok bahasa Iman Anas menyebut. Wajah Fairuz yang sudah berkerut dahi itu dipandang sekilas sebelum dia menelan hidangan istimewa itu. Sengaja hendak mengubah selera.
“Kenapa yang hidangan lain daripada lain ni? Kau ni okey ke tak?” soal Fairuz risau.
Iman Anas tidak mempedulikan soalan itu. Dia terus memotong hujung roti bersama telur dan dicicah dengan sos dan mayonis. Dimasukkan ke dalam mulut dan dikunyah perlahan. Cuba menikmati, apa lainnya daripada roti kaya yang selalu menjadi pilihannya.
“Aku nampak roti tu macam biasa aje. Kau janganlah nak over sangat lahirkan reaksi dekat muka tu. Sengaja nak buat aku terliur pulak.” Komen Fairuz yang juga sedang mengunyah roti canai. Terasa macam roti canai pagi ini kurang sedap pula. Iman Anas punya pasal.
“Sedap gila…” ujar Iman Anas sengaja hendak membakar jiwa Fairuz.
Fairuz menjuihkan bibir. “Tak hairanlah. Sedap lagi roti canai ni…”
Iman Anas menjungkit bahu. Dia juga tidak kisah. Fairuz sahaja yang melebih-lebih menegur menu barunya ini. Hendak disebut secara terang, dia segan. Biarkan sahaja Fairuz dengan andaiannya. Dan biarkan dirinya dengan agendanya sendiri. Yang penting dia dapat belajar sesuatu yang baru.
Ya, yang baru-baru tentang Anis. Khabarnya, ini sarapan kegemaran Anis kalau singgah ke kedai mamak. Dan minuman itu, pasti juga yang digemari gadis itu. Teringat pula reaksi wajah Anis yang berpesan supaya dia menambahkan sedikit gula dalam kopi. Mulanya dia terkejut dan terfikir kenapa. Tetapi persoalan itu terjawab dengan sendirinya. Manusia di hadapannya ini memang banyak betul akalnya.
Melihat wajah Fairuz yang tidak begitu berselera, Iman Anas teringatkan sesuatu. Sesuatu yang membuatkan dia malu pada Anis.
“Kau kenapa cakap dengan Anis, sebab aku suka singa?” soal Iman Anas tanpa mukadimah.
Tersedak Fairuz dibuatnya. Benda yang sedang dibicarakan ini adalah kisah beberapa hari lepas. Hari ini baru hendak dikisahkan kenapa? Haish, Iman Anas ini pun…
“Aku mana ada cakap apa…” dalih Fairuz.
“Kau jangan nak pusing cerita… segan aku bila Anis cakap macam tu.” Jujur Iman Anas mengaku.
Serentak itu Fairuz ketawa. “Tahu nak segan… masa kau beria cakap dengan aku, kau suka tengok singa bergesel dengan manja, kau tak segan pulak? Lagi satu aku ingat… sampai sekarang aku ingat, ayat tambahan lepas part singa bergesel…” usik Fairuz. Ayat itu tidak disudahkannya. Wajah Iman Anas yang berubah warna makin merancakkan tawa. Tahu pula malu! Masa cakap dulu tak fikir semua itu.
“Kalau kau nak mandi dengan cappuccino ni, dipersilakan sebut…” Iman Anas mengugut.
“Aku tak hairanlah setakat air tu… yang penting, aku dah sampaikan benda tu dekat Anis. Mungkin dia boleh praktis.” Sekali lagi Fairuz mengusik. Keningnya terangkat. Wajah itu nyata mempamerkan riak gatal.
“Kau dengan aku, sama-sama tak kahwin lagi… jadi tolong, kurangkan kadar kegatalan yang terpamer dekat muka tu.”
Namun Fairuz, tidak peduli untuk mengendahkan arahan itu. Yang penting, puas hati. Iman Anas yang konon berimej sopan pada pandangan Anis boleh menuturkan kata yang sedemikian rupa. Kalau diingat semula boleh ketawa berdekah. Muka saja nampak sopan. Kononnya! Tapi kepala otak, tercemar…
“Tapi biasalah… semua lelaki pun nak jugak isteri yang pandai bermanja macam singa betina.”
Selesai ucapan itu, Fairuz terkedu. Iman Anas tidak pernah sekali bermain menuturkan kata. Apa yang dikata, itu yang dikota. Dan wajahnya, basah! Dan cappucinno sedaplah pula…

SEMENJAK dah minta maaf dengan Iman Anas, perasaan Anis lapang sekali. Balik rumah pun asyik tersenyum lebar sahaja. Sebaik sahaja dia memarkir kereta di depan pagar, hampir tercabut jantungnya melihat satu bagasi yang dibaling keluar dari rumah. Terkocoh-kocoh dia keluar dari kereta.
Wajah Puan Amina kelihatan begitu marah sekali. Sungguh, tidak dapat diandaikan kenapa reaksi itu yang dilihat sebaik dia sampai di rumah pada ketika ini. Segera langkah diatur masuk ke dalam rumah. Melihat nafas emak yang naik turun dengan kasar, Anis tahu ada masalah besar.
“Mak… kenapa?” soal Anis.
“Jangan tanya mak… tanya dia ni!” Jemari Puan Amina sudah menuding ke arah Asma.
Pandangan Anis jatuh pada tubuh Asma yang berbalut dengan pakaian rugged semacam. Belum pernah dia melihat adiknya itu berpakaian begini. Tetapi, takkan hanya kerana itu Puan Amina marah benar?
“Kenapa ni Asma? Apa yang kau dah buat sampai mak marah sangat?” soal Anis cuba berlembut. Asma langsung tidak mahu memandang wajahnya. Tertunduk menghadap lantai sahaja.
Sementara Anis menunggu jawapan daripada Asma, Puan Amina sudah meluru ke arah Asma. Bahu Asma dipukul bertalu-talu sehingga jatuh menitis air mata Asma. Anis yang cuba menghalang, dimarah.
“Biarkan dia Anis… dia buat salah. Dia memang layak kena!” Tutur Puan Amina dengan wajah yang sudah merah. Tidak sedar, pipi itu juga sudah basah.
Anis terasa pelik. Dia masih belum dapat khabar yang sebenar. Sekilas dia menangkap wajah Adila yang sayu bertenggek di balik pintu.
“Adila, kenapa ni… cakap dengan akak?” Anis menyoal Adila pula.
Puan Amina menangis di satu penjuru. Asma juga berbuat begitu di tempat duduknya. Anis makin pening melihat keadaan itu. Lantas kakinya diatur mendekati Adila. Sepantas kilat, Adila memeluknya.
“Kenapa ni?” soal Anis cemas.
“Kak Asma…”
“Kenapa?” suara Anis makin perlahan. Apa pula yang dilakukan oleh Asma. Adiknya itu tidak pernah pun menimbulkan apa-apa masalah. Tapi keadaan sekarang dilihatnya umpama masalah yang tiada penyelesaian sahaja.
“Dia mengandung…” perlahan suara Adila mengungkap. Air matanya jatuh lagi. Sedih melihat wajah emaknya yang kecewa. Siapa yang tidak akan kecewa, apabila kepercayaan yang disandarkan pada setiap anak dibalas dengan tuba. Dia sendiri tidak menyangka, Asma akan memberikan berita yang sedemikian rupa. Walaupun kakaknya itu jarang menghabiskan masa bersama adik-adik, tidak seperti Anis… tapi Adila yakin, Asma juga baik dan tidak akan melakukan perkara yang memalukan orang tua. Tetapi sekarang…
Anis pula terkaku. Terkelu lidah dengan kenyataan yang baru didengar itu. Hendak diulang sebut pun terasa gerun. Wajah Asma dipandang dengan pandangan yang mulai berbalam. Air matanya menitis juga. Benarkah Asma mengandung? Dia tidak percaya.
“Asma, jangan nak main-main macam ni… akak tau, kau takkan buat macam tu.” Anis cuba berlembut. Ditarik lengan Asma dan diminta adiknya memandang ke wajahnya.
Namun Asma tertunduk terus. Dan ayat yang diperdengarkan kepada Anis, makin merobek perasaan seorang kakak di saat itu.
“Sekali aje kami bersama… Asma tak sangka, jadi macam ni pulak.”
Anis terasa bagaikan ada batu besar yang menghempap kepalanya. Sekali sahaja bersama? Maknanya, ia berlaku dengan rela hati. Tidak disangka… adiknya yang kurang bercakap ini akan memberikan khabar sebegini.
“Kenapa jadi macam ni Asma? Hari tu mak cakap kau nak kahwin, rajin pergi kerja cari duit. Kenapa kau buat mak dengan abah macam ni?” soal Anis kecewa. Dia tahu, emak juga pasti hendak bertanyakan yang sama.
“Asma memang pergi kerja kak… Asma memang nak kahwin dengan dia. Tapi…” Tersekat suara Asma. Dia tahu Anis akan marahkan dia. Dia memang bodoh! Dia menjadi buta seketika.
“Tapi dia paksa kau? Siapa laki tak guna tu?” Anis menjadi berang. Apa gunanya dia sebagai kakak, tidak dapat melindungi adik-adiknya. Terasa dirinya tidak berguna. Dia langsung tidak prihatin dengan perihal Asma yang sudah berbadan dua. Aduh, pedihnya rasa hati.
Anis mencari wajah Puan Amina yang sepi. Nyata emaknya seakan sudah lemah kudrat untuk bertanya apa-apa. Jelas riak wajah Puan Amina kecewa bercampur bimbang. Dan Anis tahu, emak pasti bimbangkan abah. Bagaimana pula Encik Bohari hendak menghadapi berita ini?
Abah keluar siang malam mencari rezeki. Tetapi dalam kesibukan itu, abah tidak pernah lupa memberikan didikan yang rapi buat mereka semua. Tidak sekali pun Anis berasa kurang daripada pihak emak dan abahnya. Tiada! Tetapi kini, terasa begitu pula. Kurangnya perhatian kepada Asma, lantas ini pula yang diterima sebagai hidangan telinga.
“Asma, baik kau cakap dengan akak… siapa yang buat kau macam ni?” meninggi suara Anis. Asma masih sepi tidak memberikan jawapan.
“Cakaplah!!!” bahu Asma digoncang kuat.
Namun adiknya mengetap bibir kuat.
“Dia takkan cakap Anis…” Puan Amina mencelah.
“Dia tak mahu cakap… sebab dia sayang sangat dengan lelaki yang tak pernah sayangkan dia.” Sindir Puan Amina dengan nada yang kesal. Masih tidak terbuka mata Asma walaupun ini yang diterima sebagai balasan gadis itu yang hanyut dalam percintaan.
“Dia sayangkan Asma, mak!” Asma membalas keras.
“Kalau dia sayang, kau tunjukkan dia pada aku. Sekarang, jom!!!” Anis menarik lengan Asma untuk berdiri. Dia tahu Asma punya kudrat lagi. “Dan sebelum kita keluar, kau pergi tukar baju tak masuk akal ni… hodoh aje aku tengok.” Geram lagi Anis menyebut. Bahu Asma ditolak untuk bergerak masuk ke bilik. Gadis itu menurut sahaja tanpa banyak bunyi.
Sebaik sahaja Asma masuk ke bilik, Puan Amina sudah mendapatkan Anis.
“Anis…” Tangisan wanita itu dilepaskan di bahu anak sulungnya ini. “Kita nak buat apa? Dia nak lari daripada rumah tadi. Itu yang mak marah sangat… tapi hati mak yakin, lelaki tu bukan sayangkan Asma.”
Anis tidak tahu bagaimana hendak memujuk emaknya. Adila juga sudah meluru ke arahnya dan memeluk erat Puan Amina bersama.
Terasa begitu berat perasaan Anis di kala ini. Bahagianya sejak pagi tadi seakan lesap pergi melihat tangisan emak dan adiknya di saat ini. Langsung tidak disangka, ini yang akan menanti kepulangannya yang sedang menuju ke ambang bahagia. Bagaimana pula jika keluarga Iman Anas mengetahui tentang perkara ini?
Anis mulai resah. Fikirkan emak dan abah. Fikirkan Asma. Fikirkan lelaki keparat yang berjaya memperdaya adiknya. Fikirkan semua perkara yang tidak diduga ini hanya menyebabkan sakit kepala. Entah siapa makhluk tidak berguna yang telah menodai adiknya itu? Rasa macam nak suruh Iman Anas bawa Anita untuk membaham lelaki tak berguna itu!!!

_____________
Banyak benda yang tidak disangka, nanti sama2 kita rungkaikan... :)

Comments

  1. Mcm2 dugaan anis ni..tp x sangka jgk iman nk mkn apa yg anis suka mkn..diam2 iman ni..

    ReplyDelete
  2. Nk anis g serang laki tu, n berlaku prgaduhan.,
    Dlm mse tu mak anis xsedap ati, btawu anas.,
    Anas dtg bekap chenta hati dy♡♡♡ men2 mate.,
    Kawen cpt2 anis n anas., xsaba tggu.. hahaa

    ReplyDelete
  3. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  4. SEKURANG-KURANGNYA ANAS DAH MULA BELAJAR DAN TAHU APA KEGEMARAN ANIS... DUGAAN UNTUK MENCARI KEBAHAGIAN...

    ReplyDelete
  5. Part ni ada dua rasa... satu, rasa heppy ble tgk anas da mula makan apa yang anis makan... dua, rasa tak sedap hati... memang tak sangka asma blh tlnjur ngn pakwe dia... macam mana la penerimaan fmili anas nnt kalau dia tau... harap2 anis n anas akn terus bersama...

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Cerpen: Lain di Mulut, Lain di Hati

JAMBANGAN bunga ros yang berada di atas mejanya itu dicapai. Tanpa melihat nama pengirim pun dia sudah boleh meneka, siapa pengirimnya. Terus dengusan tidak senang dilepaskan. Tanpa menunggu sesaat, jambangan bunga itu sudah terhumban ke dalam tong sampah di sudut bilik.             Huh! Apa dia fikir aku ni perempuan, nak cair kalau disogokkan dengan bunga. Kalau aku cakap benci, memang akan benci selamanya! rungutnya.             Serentak itu, pintu biliknya diketuk. Terjengul wajah Selina, setiausahanya.             “Encik Irfan, Puan Eryna nak jumpa.”             Sekali lagi dia melepaskan dengusan kasar. Tidak cukup dengan bunga yang merimaskan, sekarang, tuan punya badan pula muncul di depan mata. Ah, benci!             “Suruh dia balik! Saya tak nak jumpa dia.” Kuat dan lantang sekali suara Irfan sehingga begitu jelas buat pendengaran Eryna yang sedang duduk menunggu di luar bilik. Eryna tersentak. Riak wajahnya terus beruba

Cerpen: Hati ini [End]

BUNYI suara yang bertingkah dari ruang tamu mengkakukan langkah Ana di anak tangga terakhir. Dia yang turun ke bawah dengan niat untuk membasahkan tekak terkaku seketika. Tidak mahu menonjolkan diri di hadapan tetamu mama dan papa, tanpa berfikir panjang dia sudah memalingkan badan hendak bergerak ke atas semula. Namun sekali lagi, dirinya terus kaku di situ. Suara yang melaungkan namanya membuatkan badannya menjadi gementar secara tiba-tiba.             “Ana…” namanya dipanggil sekali lagi. Dia kenal suara itu. Terlalu kenal. Tetapi dia tidak mahu memalingkan wajahnya. Atas sebab apa, dia tidak pasti. Ikutkan sahaja kata hati.             Sentuhan di bahu membuatkan Ana tersentak. Pantas dia berpaling dengan wajah yang sudah berubah riak. Dia tidak suka dengan sentuhan itu. Sentuhan yang tidak menghormati dirinya sebagai seorang wanita muslim. Seketika mata mereka bertemu. Ana terkedu. Seakan tersedar dari mimpi… senyuman yang menghiasi

Cerpen: Dia yang aku cinta

Berdebar-debar rasanya saat menanti di ruang legar ini. Menanti kehadiran insan yang disayangi. Menanti saat yang ditunggu-tunggu selama ini. Disunting menjadi suri dalam hidup lelaki yang dicintai. Ah! Indah sungguh rasa…             “Tahulah nak tunggu insan tercinta. Kut iya pun… tak perlulah tayang riak wajah teruja, yang terlebih perisa pulak!” teguran berunsur perlian itu hanya membuatkan dia menjeling manja.             “Biarlah!” balasnya dengan menyampah.             Tiada siapa pun tahu apa yang dirasainya selama dua tahun ini. Hidup berjauhan dengan insan yang memenuhi ruang hatinya. Sungguh menyeksakan jiwa dan raga sahaja!             “Akak…” panggilan itu membuatkan dia melepaskan dengusan manja.             “Apa?!” soalnya geram. Geram saat khayalan indahnya dicantas dengan kejam. Sedangkan, hanya itu yang mampu dilakukan di saat ini.             “Tu…” mulut si adik sudah memuncung ke satu sudut.             Matanya turut berlari mencari. Seketika dia