Skip to main content

Tidak ku sangka 17



MERAH muka Adila. Tidak disangka, seawal ini dia akan tertangkap. Oleh Anis pula tu! Masaklah… Melihat Anis mengetap bibir dengan kuat, Adila tahu sangat, dia bakal menerima kemarahan sejumlah yang tidak dapat dispesifikkan.
“Berani kan?” soal Anis dengan nada yang meninggi. Namun segera direndahkan suara apabila ada mata lain yang mula memandang.
“Akak…”
“Yang Adila nak sibuk-sibuk dalam hal ni, kenapa? Adila tu nak periksa… kenapa nak serabutkan kepala. Fikir pelajaran sudah!” Bebel Anis.
“Akak…”
“Dah, jom ikut akak balik!” Anis sudah menarik lengan Adila yang kemas berbaju kurung cotton. Berani sungguh adiknya keluar dari rumah seorang diri dan datang untuk bertemu dengan Anas. Padahal, kalau pergi kelas tambahan pun berjemput dan berhantar dengan abah.
“Akak… Adila dah janji, nak jumpa…” Ayat itu tidak mampu dilengkapkan oleh Adila. Pandangan mata Anis yang tajam menghunus wajah.
“Dah janji nak jumpa Anas? Dia tak boleh datang! Dah, jom balik!”
Anis terus menarik lengan Adila untuk mengekor langkahnya. Namun Adila enggan. Dia sendiri yang mengirimkan sms pada lelaki itu dan dibalas dengan kata okey. Mana ada dibatalkan. Dan kalau tidak bertemu hari ini, bila lagi?
“Akak… Anas tak cakap dengan Adila pun yang tak jadi jumpa. Biarlah Adila selesaikan, takkan lama. Sekejap aje.” Adila cuba untuk melepaskan pegangan erat Anis. Dan akhirnya Anis sendiri melepaskan tangan itu. Dan kini Anis bercekak pinggang pula di hadapannya.
“Anas? Who is that Anas? Tahu tak dia tua sepuluh tahun daripada Adila?” Tekan Anis dengan rasa terkejut. Adila mana boleh memanggil dengan nama sahaja. Tidak hormat namanya. Dan Adila juga sangat menitikberatkan pangkat panggilan jika lebih tua daripadanya.
“Itu bukan isulah akak… sekarang ni, biar Adila jumpa dia macam yang dah dijanjikan. Akak boleh tunggu kalau nak, tapi akak jangan munculkan diri.”
“Adila… mana boleh macam ni? Adila kenapa nak masuk campur? Akak boleh uruskan.” Serius dan tegas Anis menuturkan.
“Tak boleh! Kalau akak yang uruskan… Adila tahu sangat, akak mesti akan tersuka dengan Anas.” Adila menyuarakan apa yang terbuku di hati. Dia sekadar hendak membantu mengelakkan mana-mana hati tersangkut pada tempat yang tidak dikehendaki.
“Mana ada? Akak dah ada Iman Anas, kenapa nak kena suka Anas pulak?” soal Anis pelik. Dia pula bingung dengan kerisauan Adila. Apa yang meresahkan adiknya ini?
“Anas ni suka akak…”
Terlopong Anis dibuatnya.
“Dan Adila tak nak abang ipar selain Abang Iman.” Tegas bicara Adila. Tangannya sudah memeluk tubuh sendiri. Tegak badannya menunjukkan protes enggan berganjak daripada tempat berdiri. Biar Anis sedar, Adila buat ini bersebab.
“Dan Adila nak menyamar jadi akak?” soal Anis merenung ke wajah adiknya. Tidak disangka, Adila akan menjadi setegas ini berkaitan hal Iman Anas.
Dalam hati, Anis tersenyum lebar. Risau Adila itu bertempat, tapi dia tidaklah seburuk itu. Takkan semudah itu dia hendak beralih arah kepada Anas hanya kerana dia sudah menjumpai lelaki itu? Kalau bukan disebabkan Asma, Anis pasti tidak akan berusaha mencari Anas. Hanya Anas yang mampu memberikan bantuan agar kembarnya itu bertanggungjawab terhadap Asma.
“Adila tak kisah pun kalau Anas tu dapat cam, yang Adila bukan akak… akak tau tak suara dia semalam charming gila! Adila lagi risaulah kalau hati akak tu terbabas…” Bukan main lagi Adila membahas.
Anis yang tadinya tiba dengan mood marah, kini terasa hendak ketawa berdekah. Hatinya terbabas? Suara charming? Haih… Adila!
“Atau ada hati orang lain yang terbabas dengar suara si charming tu?” usik Anis nakal.
Adila mengetap bibir, menyembunyikan perasaan. Hatinya masih dalam longitud yang selamat. Belum terbabas dan pastinya tidak akan terhempas.
“Hei… Anis.”
Dan Adila seakan terdengar bunyi crash dalam sistem badan. Dia tahu, mereka sudah disapa Anas kerana suara itu, begitu mesra pada pendengaran.

ANAS terdiam mendengar butir kata daripada bibir Anis. Sungguh dia tidak terkejut dengan fakta Zahran berpasangan dengan Asma tetapi ada rasa kesal yang bertandang. Zahran memang suka sangat bertukar-tukar teman wanita tanpa perasaan. Tetapi jika sudah sampai tahap mewujudkan benih baru, itu benar-benar melampau. Mungkinkah disebabkan abang kembarnya itu membesar di oversea maka dia tidak prihatin dengan adat dan budaya masyarakat timur ini? Anas juga tidak mengerti.
“Adik Anis macam mana?” soal Anas simpati.
“Macam tulah, asyik menangis malam-malam. Makan pun tak jaga. Mak dengan abah saya, memang marah pada mulanya. Tapi, nak marah lama mana Anas? Memang dia dah buat silap… tapi kalau biarkan aje dia terkontang-kanting tanpa sebarang sokongan… takut jadi benda lain pulak…” Anis bercerita tanpa meninggalkan satu fakta pun. Anas wajar mengetahui tentang itu.
“Anas…” Anis memanggil dengan serba salah. “Saya bukan nak salahkan Zahran seorang, adik saya pun salah jugak. Tapi… boleh tak awak tolong cakapkan dengan Zahran, datang bincang sebaiknya dengan adik saya. Benda ni bukan kecil… melibatkan maruah kami sekeluarga.”
“Saya faham Anis… saya pun kenal Zahran macam mana. Saya boleh tolong, tapi… saya tak dapat nak janji dia akan setuju. Kalau saya cerita ni dengan parents saya pun… adik awak jugak akan disalahkan… dia orang aneh sikit, Anis.”
Anas hendak bercerita secara terperinci tentang keadaan keluarganya, tidak tahu bagaimana hendak dimulakan kisah. Sesungguhnya, dia juga tidak faham keterbukaan yang diamalkan oleh ahli keluarganya. Baik mama dan papanya, dua-dua begitu.
Kadang-kadang, dia rasa sangat bersyukur, kerana sejak kecil dia dijaga oleh neneknya. Biarpun tinggal di kampung, tapi Anas bersyukur. Hidupnya mewah dengan kasih sayang. Mewah dengan didikan agama. Didikan yang tidak pernah diterima oleh Zahran daripada mama dan papanya ketika berada di luar negara.
Dulu kalau dikenangkan perkara itu, dirasakan dirinya tersisih. Tetapi bila dilihat keadaan hari ini, terbuka matanya. Hikmah yang dijanjikan Allah lebih besar. Tinggal bersama nenek menjadikan Anas seorang manusia yang kenal hukum agama berbanding Zahran yang mengabaikan semuanya.
“Boleh saya datang jumpa family Anis?” soal Anas. Terdetik secara spontan di hatinya. Mungkin dia mampu memberikan sedikit semangat buat emak dan abah Anis. Mungkin juga dia boleh bertanya serba sedikit daripada Asma.
“Boleh…” Anis mengangguk, bersetuju dengan mudahnya.
Adila di sisi Anis mulai gelisah. Hendak datang ke rumah kenapa pula? Bukankah sudah selesai perbincangan mengenai Asma di sini? Atau mungkin Anas ingin menyunting Anis pula? Hati Adila mula hendak ragu tidak tentu.
“Kalau boleh… saya datang sekarang Anis,” ujar Anas lagi. Perkara ini tidak perlu dilengahkan lagi.
Melihat Anis mengangguk setuju, hatinya terasa lega. Tetapi ia menjadi tidak tenang apabila terpanah dengan renungan adik ‘kembar’ Anis! Anas tidak tahu kenapa Adila sejak dari tadi menghadiahkan pandangan itu kepadanya. Seolah tidak suka. Seolah tidak percaya.
Family Anis tak kisah ke?” soal Anas. Sempat dijeling lagi pada Adila yang sudah makin tidak senang duduknya. Berkerut dahi Anas melihat reaksi Adila itu.
“Tak kisah… nak kisahkan apa? Ini melibatkan Asma dan abang awak. Jadi, saya sangat hargai pertolongan Anas.” Anis rasa bersyukur sebab Anas faham dan tidak banyak melatah. Kalau Anas bertindak menuduh Asma bagaimana? Pasti Anis makin buntu untuk mencari penyelesaian buat masalah adiknya.
“Tapi… macam ada someone yang sangat kisah saya nak datang rumah awak sekarang ni…” Mata Anas terhenti pada wajah Adila.
Adila pula menjadi serba salah. Makin terasa panas punggung bila Anis pun berpaling sama melihat wajahnya. Aduh! Masalah…
Anis tersenyum nipis. Hati kembali ingin mengusik. Adila ini risau tidak bertempat. Tahu sangat apa yang dirisaukan oleh Adila.
“Dia risau… ada hati yang terbabas,” usik Anis sambil memandang ke wajah Adila. Spontan juga wajah itu bertukar merah. Takkan Adila pula yang sudah ditimpa perasaan? Anis sekadar menyimpan soalan dalam hati.
Anas pula tidak faham melihat kedua adik dan kakak yang berbicara dengan isyarat mata. Adila sudah tertunduk dengan wajah yang merah. Anis pula tersenyum nakal dengan wajah yang mengusik.

IMAN Anas yang baru melangkah masuk ke dalam rumah dikejutkan dengan soalan emaknya yang begitu serius.
“Betul ke adik Anis mengandung?”
Iman Anas tidak cepat menjawab. Daun pintu ditutup rapat dan dikunci. Sempat dia melihat Qaiser yang sudah mengambil tempat di depan TV. Selalu pun memang begitu rutin emak dan Qaiser di rumah. Rutin hariannya sahaja yang berbeza.
“Iman, mak tanya ni… betul ke?” soal Puan Rohani sekali lagi. Apabila soalannya dibalas sepi tanpa jawapan.
“Mana mak dengar ni?” Iman Anas tidak terus memberi jawapan. Soalan dibalas dengan soalan. Dia tidak boleh melulu andai kata emak dan abah Anis tidak menghubungi emaknya terlebih dahulu. Nanti apa pula yang Anis akan fikir. Hati dan perasaan keluarga tunangnya itu juga perlu dijaga. Perkara ini akan mendatangkan aib sahaja.
Dan daripada Anis juga dia sudah mendengar, gadis itu sudah bertemu dengan Anas. Si dia yang Anis tersalah faham. Nama yang buat Iman Anas juga rasa marah. Tetapi kini, daripada Anis juga dia dapat tahu, Anas sudi untuk membantu.
“Maaf, saya tak tolong awak apa pun kan? Maaf…” luah Iman Anas ikhlas. Terasa dirinya tidak mampu untuk menghulurkan apa yang patut agar Anis lebih tenang dengan urusan menyelesaikan masalah Asma.
“Anas… tolong dengar saya cakap ni pun, dah cukup besar.” Balas Anis. “Saya rasa happy sangat dapat kenal dengan awak. Awak baik… sangat!” Puji Anis.
Iman Anas berdehem. Mengembalikan fokus mindanya pada emak di depan mata. Boleh pula fikiran terbabas seketika memikirkan Anis dan pujian yang dihadiahkan buat dirinya.
“Mak Anis telefon tadi… dia cakap masalah dah makin rumit. Si lelaki tu datang rumah maki-maki dia orang. Yang ada dekat rumah, mak Anis dengan adik dia aje.” Puan Rohani menyampaikan cerita.
Jujur dia terkejut bila dapat panggilan daripada Puan Amina. Dan khabar yang disampaikan pula sedemikian rupa. Asma mengandung anak luar nikah. Lelaki yang bertanggungjawab itu dengan tiada segan silunya datang mengugut supaya Asma menggugurkan anak dalam kandungan. Siap akan dibayar berapa sahaja yang Asma hendak.
Begitu pun ada juga sikap manusia? Sudah melakukan dosa, hendak ditutup dengan wang ringgit yang tiada nilai pada hari pembalasan kelak.
“Kenapa Iman tak cakap dengan mak? Terkejut mak dengar cerita daripada mak Anis.” Puan Rohani kembali memandang wajah Iman Anas. Anaknya itu sudah mengambil tempat di sisi Qaiser. Puan Rohani ikut mengambil tempat di sofa.
“Aib orang mak… mana elok dibuka. Iman pun tak tanya banyak masa Anis bagitahu. Nak tanya lebih-lebih, Iman tak nak Anis malu… apa-apa hal itu memang memalukan. Sekarang ni macam mana?”
“Mak pun tak tahu… dengar kata Asma tu asyik meracau pulak. Tidur pun dah hilang lena. Lelaki tu memang takkan mahu bertanggungjawab punya. Kalau sampai dia suruh gugurkan anak tu… memang nampak sangat dia tak mahu.” Puan Rohani juga merasa kesal dengan perkara itu. Tambah apabila mendengar butir bicara daripada bibir Puan Amina, hatinya menjadi sedih. Makin sedih mendengar luahan daripada bibir itu.
“Mesti orang cakap saya ni yang tak reti jaga anak. Itu yang sampai boleh buat yang haram sebelum dihalalkan hubungan mereka. Saya sedih…” Puan Amina teresak.
“Apa yang kita boleh tolong untuk adik Anis tu, Iman?” Puan Rohani menyoal Iman Anas.
Sesak dadanya memikirkan perkara itu. Asma itu perempuan. Perempuan yang apabila sudah tercemar maruah, bukan mudah untuk lelaki lain menerima. Melainkan ada lelaki yang benar-benar ikhlas untuk menerima.
“Dia kena kahwin mak… itu yang Anis cakap dengan Iman. Sekarang baby dah nak masuk dua bulan… makin lama, dah tak mampu ditutup cerita. Nak dihantar ke mana-mana, mak dengan abah Anis tak nak. Anis pun tak nak macam tu… katanya biar Asma ada depan mata. Itu lebih menyenangkan mereka. Biarpun maruah keluarga bakal tercalar…” Iman Anas mengeluh kecil. Bagaimana hendak dibantu, fikirannya juga buntu.
“Kalau Qaiser nak cadangkan something boleh?”
Qaiser yang sejak dari tadi mendiamkan diri, tiba-tiba bersuara. Puan Rohani dan Iman Anas memandangnya dengan penuh tanda tanya. Tiba-tiba terasa liur tersekat di kerongkong. Tidak mahu membantu melancarkan bicara.

Comments

  1. Jgn kt nk suruh iman jd galang ganti.. tp klu qaiser sudi apa slhnya hihi...

    ReplyDelete
  2. Qaiser nk kahwin dgn asma ke?hrpnya anas fhm yg anis dh da iman

    ReplyDelete
  3. Qaiser nak asma ke? Tapi cm cter Adilla n Anas lg best lak...

    ReplyDelete
  4. Qaiser nak kahwin dengan Asma ke?

    ReplyDelete
  5. Qaiser nak cadangkan campkan lelaki yg x bertanggunjawab tu kt kadang Anita... boleh gitu... hehehe....
    Insyallah cadangan Qaiser tu biar boleh dipakai jangan libatkan Iman dan Anis berpisah sudah... dah lah Iman tu asyik teringat Anis ja sekarang... hahaha

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Cerpen: Lain di Mulut, Lain di Hati

JAMBANGAN bunga ros yang berada di atas mejanya itu dicapai. Tanpa melihat nama pengirim pun dia sudah boleh meneka, siapa pengirimnya. Terus dengusan tidak senang dilepaskan. Tanpa menunggu sesaat, jambangan bunga itu sudah terhumban ke dalam tong sampah di sudut bilik.             Huh! Apa dia fikir aku ni perempuan, nak cair kalau disogokkan dengan bunga. Kalau aku cakap benci, memang akan benci selamanya! rungutnya.             Serentak itu, pintu biliknya diketuk. Terjengul wajah Selina, setiausahanya.             “Encik Irfan, Puan Eryna nak jumpa.”             Sekali lagi dia melepaskan dengusan kasar. Tidak cukup dengan bunga yang merimaskan, sekarang, tuan punya badan pula muncul di depan mata. Ah, benci!             “Suruh dia balik! Saya tak nak jumpa dia.” Kuat dan lantang sekali suara Irfan sehingga begitu jelas buat pendengaran Eryna yang sedang duduk menunggu di luar bilik. Eryna tersentak. Riak wajahnya terus beruba

Cerpen: Hati ini [End]

BUNYI suara yang bertingkah dari ruang tamu mengkakukan langkah Ana di anak tangga terakhir. Dia yang turun ke bawah dengan niat untuk membasahkan tekak terkaku seketika. Tidak mahu menonjolkan diri di hadapan tetamu mama dan papa, tanpa berfikir panjang dia sudah memalingkan badan hendak bergerak ke atas semula. Namun sekali lagi, dirinya terus kaku di situ. Suara yang melaungkan namanya membuatkan badannya menjadi gementar secara tiba-tiba.             “Ana…” namanya dipanggil sekali lagi. Dia kenal suara itu. Terlalu kenal. Tetapi dia tidak mahu memalingkan wajahnya. Atas sebab apa, dia tidak pasti. Ikutkan sahaja kata hati.             Sentuhan di bahu membuatkan Ana tersentak. Pantas dia berpaling dengan wajah yang sudah berubah riak. Dia tidak suka dengan sentuhan itu. Sentuhan yang tidak menghormati dirinya sebagai seorang wanita muslim. Seketika mata mereka bertemu. Ana terkedu. Seakan tersedar dari mimpi… senyuman yang menghiasi

Cerpen: Dia yang aku cinta

Berdebar-debar rasanya saat menanti di ruang legar ini. Menanti kehadiran insan yang disayangi. Menanti saat yang ditunggu-tunggu selama ini. Disunting menjadi suri dalam hidup lelaki yang dicintai. Ah! Indah sungguh rasa…             “Tahulah nak tunggu insan tercinta. Kut iya pun… tak perlulah tayang riak wajah teruja, yang terlebih perisa pulak!” teguran berunsur perlian itu hanya membuatkan dia menjeling manja.             “Biarlah!” balasnya dengan menyampah.             Tiada siapa pun tahu apa yang dirasainya selama dua tahun ini. Hidup berjauhan dengan insan yang memenuhi ruang hatinya. Sungguh menyeksakan jiwa dan raga sahaja!             “Akak…” panggilan itu membuatkan dia melepaskan dengusan manja.             “Apa?!” soalnya geram. Geram saat khayalan indahnya dicantas dengan kejam. Sedangkan, hanya itu yang mampu dilakukan di saat ini.             “Tu…” mulut si adik sudah memuncung ke satu sudut.             Matanya turut berlari mencari. Seketika dia