Skip to main content

Tidak ku sangka 7



TEBAL seketika muka Anis apabila emaknya memberikan nombor telefon rumah Iman Anas. Dan dia harus mendail nombor itu sendiri untuk memulakan perbualan. Aduh… ini yang lemah seluruh urat badan. Anis mana boleh melakukan semua ini dengan sendiri!
Tepukan lembut yang singgah di bahu membuatkan Anis mengalihkan pandangan. Wajah Adila muncul dengan senyuman. Konon memberi semangat sangat!
“Akak boleh buat, teruskan…” ujar Adila sampai mencapai gagang telefon dan dihulurkan kepada Anis.
“Apa kata Adila tolong cakap untuk akak? Buatlah sesi beramah mesra dengan bakal abang ipar, bagus tu!” Anis, sekali lagi muncul dengan idea kurang warasnya. Kalau bab hendak mengenakan Adila, mindanya pasti laju sahaja bekerja dan memikirkan cara. Kalau bab hendak berbual dengan tunang, terus blank otak.
“Akak tak payah nak pusing cerita sangat. Sekarang ni telefon dan cakap sendiri!” Arah Adila.
Dia pula kena berlagak serius untuk memberi arahan kepada kakaknya. Tidak mahu menanti lebih lama di sisi Anis, cepat sahaja dia melangkah masuk ke dalam bilik. Baik dia belajar daripada menerima arahan yang tidak-tidak. Bukan boleh kira Anis itu… macam-macam idea ajaib yang akan timbul kelak.
Anis memandang langkah Adila dengan penuh kecewa. Sudah hilang harapan untuk menggunakan khidmat pertolongan Adila. Hendak diseru Asma, memang jauh sekali. Adiknya itu sudah begitu sibuk mencari rezeki. Orang nak kahwin kan…
Tidak mahu membuang masa, lantas Anis mendail sahaja nombor rumah Iman Anas. Pasrah dan redha. Tidak tahu apa yang hendak dicakap dan apa yang hendak ditanya. Main belasah sahaja, mungkin tidak apa. Siapa yang nak saman kalau salah cakap kan? Iman Anas sahaja pun… ya, Iman Anas!
Talian yang sudah bersambung membuatkan Anis menggelabah. Terus bibir dengan kalutnya berkata, “Anas ada?”
Soalan yang bersambut dengan ketawa. Anis terus mengetap bibirnya laju. Merah padam wajah di saat itu. Mujur teknologi telefon peti di rumah belum lagi berupaya untuk membolehkan pemanggil melihat wajah orang di sana.
“Nak cakap dengan Iman ya Anis?” soal Puan Rohani dengan tawa halus yang masih bersisa.
“Boleh tak mak? Anas ada ke? Mak bagi tahu, cakap Anas cuti hari ni.” Anis berkata juga dengan rasa gugup.
“Boleh… sekejap, mak panggilkan.”
Menanti suara Iman Anas di gagang, jantung Anis sudah mula dipalu gendang. Dan saat ucapan salam diberi, Anis seakan tidak percaya. Dia berjaya!

PAPAN kekunci diketuk dengan kuat. Segala yang ada di atas meja dihentak. Kalau boleh dibaling pasu kecil di atas mejanya, sudah dilakukan itu juga. Disebabkan tidak dapat memuaskan hati lagi, botol yang berisi air di sisi meja dicapai dan dihentak kuat. Baru puas hati!
“Dan untuk makluman kau, ada seorang jasad bernyawa dalam bilik ni bernama Kamilia. Dia masih muda dan belum mempunyai masalah pendengaran kalau itu yang cuba kau uji daripada tadi.” Sindir Kamilia yang juga sudah tidak tahan dengan bunyi-bunyian mesra yang hadir dalam bilik mereka.
Anis melepaskan dengusan. Terserlah rasa geramnya.
“Marah dekat orang atau marah dekat barang, sayanggg…” pujuk Kamilia lembut. Wajah Anis yang tegang itu harus dikendurkan. Anis bukan jenis pemarah orangnya. Sangat susah hendak melihat gadis itu menjadi tidak waras seawal pagi begini. Ini mesti ada yang sangat berani menjolok ke sarang tebuan.
“Anas!” Sepatah balas Anis.
“Apa yang Anas dah buat sampai kau marah ni?” soal Kamilia tenang lagi.
Bibir Anis sudah memuncung. Semakin dia menolak, semakin dia mengingatinya. Seminggu lepas dia menebalkan muka, menelefon ke rumah bakal mentua. Hendak berbual dengan bakal suami, kononnya! Tetapi apa yang diterima daripada Iman Anas…
“Lain kali tak payah telefon cakap dengan saya. Dengan mak pun boleh tanya semua. Apa pun awak decide la… saya tak kisah.”
Dan Anis pula ada kepantangannya sendiri. Dia pantang mendengar ayat, tidak kisah. Baginya tidak kisah ialah tidak peduli, lantak kaulah dalam bahasa kasarnya. Mungkin dia terlalu ekstrem membayangkan tidak kisah Iman Anas dalam perkataan itu. Tetapi, dia terasa. Dia hendak marah. Bagaimana hendak dikenali Iman Anas itu jika begini sikap pelik lelaki itu?
Kamilia melurut dagunya perlahan. Cerita Anis itu didengar dengan senyuman. Nampaknya, Iman Anas tidak mudah untuk Anis ajak berkenalan walaupun sudah menjadi tunangan.
“Dia suruh aku decide sendiri segala hal pasal kahwin. Baju ke, hantaran ke… apa ajelah, semua aku nak decide! Huh… hantaran lagi ke? Yang dapat hari tu pun dah cukup bagi sentuhan zoo dalam bilik aku.” Sambung Anis dengan wajah tidak berpuas hati. Bukan tidak puas hati dengan hantaran yang diterima, tapi tidak berpuas hati dengan Iman Anas yang tidak mahu turut serta memikirkan tentang majlis mereka bersama-sama.
Kamilia sudah melepaskan ketawa. “Iman Anas sangat menjaga adab ya orangnya… bagus! I like that attitude.” Puji Kamilia.
Dan Anis mulai mencebik kerana merasakan pujian itu tidak kena.
“Habis, aku kena kerah kepala dan otak aku untuk fikir semua dengan sendiri? Macam mana aku nak kenal dengan dia kalau macam ni?” rungut Anis. Kepalanya yang berbalut selendang hari ini dibetulkan berkali-kali. Sudah senget akibat keserabutan yang dialami. Mujur sangat, dia tiada kelas hari ini!
“Kau ni… adik ipar kan ada…” Kamilia tersenyum meleret dan menyambung kerjanya.
Anis terdiam. Dan otaknya mula teringatkan, Qaiser…

“NAH, nombor Iman.” Qaiser menghulurkan sekeping nota kecil yang tercatat nombor abangnya itu. Jelas di matanya, Anis kelihatan serba salah untuk menerima. Kerana itu Kamilia yang menjadi tukang tolong minta, bagi pihak Anis.
“Kenapa?” soal Qaiser.
“Masa saya  telefon rumah cakap dengan Anas, dia macam tak sudi nak bagi. Tak apa ke ni Qaiser?” soal Anis bimbang. Jujur, dia masih belum mengenali siapa itu Iman Anas.
Qaiser tersenyum. “Soal tu, Kak Anis tak payahlah risau. Telefon dan cuba ajak dia berbual…”
Anis tersenyum kelat. Ajak berbual lagi? Dan dia juga harus memulakan. Lagi? Biarpun agak keberatan dengan fakta itu, tapi bila difikirkan bakal suami, diketepikan sedikit rasa malu. Iman Anas sahaja pun. Bukan makhluk asing.
Kamilia yang pergi membeli air dan pisang goreng, mengambil tempat di sisi Anis. Melihat wajah bakal ipar di hadapannya ini, dahinya berkerut.
“Ada hal apa? Macam serius aje?” soalnya ingin tahu.
Dan pertanyaan itu dijawab oleh Qaiser sementelah Anis masih merenung kertas yang tertulis nombor tunangnya itu.
“Apa lagi? Telefonlah sekarang!” gesa Kamilia.
Anis terus mempamerkan riak tidak senang. “Sekarang ke?”
Kamilia menjeling menyampah. “Buat-buat tanya pulak… sekarang la!” marah Kamilia. “Aku tak mahu dah nak dengar orang tu duk complain kena fikir pasal hal kahwin seorang diri. Sekarang ni kau ambil phone, dan telefon.” Arah Kamilia serius.
Anis menurut juga bagaikan pak turut. Nombor Iman Anas disimpan dalam telefon. Dengan rasa gugup yang sudah mula mengetuk rasa, nombor itu didail juga. Lama menunggu, talian tidak bersambut.
Wajah Kamilia dipandang dengan rasa kecewa. “Tak jawab pun.” Luahnya, sedih. Mana tahu Iman Anas ada menyimpan nombornya, lantas tidak mahu dijawab.
“Cuba lagi… Iman takkan tak jawab telefon… dia taklah pelik sampai ke tahap tu.” Qaiser menokok dengan tawa. Cuba menceriakan suasana. Wajah Anis yang muram hanya menimbulkan rasa kasihan. Dia mahukan yang terbaik untuk Anis!
Sekali lagi Anis mencuba. Lama menunggu. Hampir sahaja Anis meletakkan telefon. Tetapi, tidak disangka… taliannya bersambut dengan salam. Senyuman mulai berkuntum.
“Anas…” ucap Anis gembira. Tetapi balasan yang diterima mematikan senyuman. Berderai rasa gembira yang baru mula berkembang.
“Iman!” Serius suara itu membetulkan katanya.
“Anas… Anis ni.” Maklum Anis.
“Panggil Imanlah!” Anis dimarah.
Berubah riak wajah Anis dihadapan Kamilia dan Qaiser. Rasa marah terus menyerbu dada. Kenapa isu nama pun hendak dimarah? Oh ya… Anis seperti terlupa, Iman Anas sudah memberi peringatan tempoh hari. Jangan dipanggil lelaki itu Anas lagi! Tapi kenapa? Tidak pula Anis bertanya dan dia tetap mahu memanggil lelaki itu dengan panggilan yang mesra di bibirnya. Anas!
“Anas…” Anis memang sengaja hendak menyimbah petrol pada api yang mulai marak.
“Hei… tak faham ke, Imanlah!”
“Yang awak nak marah sangat ni kenapa?” marah Anis senada. Wajah Kamilia dan Qaiser yang tersentak di hadapannya dibuat tidak peduli.
“Marahlah kalau orang kacau masa saya tengah dating!”
Wajah Anis pula berubah riak. Dating? “Dengan siapa?” soalnya laju. Ingin tahu dan ingin dipelangkung kepala Iman Anas itu. Jujurnya mengaku dengan tunang sendiri bahawa lelaki itu sedang berdating.
“Anita.” Dan talian terus dimatikan.
Anis tergamam. Pandangannya meluncur tajam ke wajah Qaiser. Riak serba salah di wajah Qaiser tidak dipeduli. Dia mahukan jawapan untuk soalan ini. “Siapa tu Anita? Girlfriend Anas ke?” soalnya dengan rasa marah. Cemburunya terasa sampai ke hujung kepala. Rasa macam nak tembak Iman Anas dengan senapang gajah!

Comments

  1. Keh keh keh.. Anita tu beruk kot. Tak pun beruang ke rimau ke. Insan bernama Anita jgn pulak marah kat saya ye.. Tak menghina

    ReplyDelete
  2. hehhe.. apa la Anas nie.. kalau kita pun berangin gak. selamba badak ckp dating dengan tunang sndiri..entah2 dating dengan badak tak? bestttt tq umi..

    ReplyDelete
    Replies
    1. kejujuran Anas, menyiksa Anis.. glemer gila badak nama Anita. haha.. tunggu esokkkk ;)

      Delete
  3. Sian pulak dekat Anis....
    Semua benda dia nak kena fikir sendiri...

    ReplyDelete
  4. Hahaha...I rasa Anita tu orang utan la...kalau I jd anis, mmg Iman Anas tu kena pelangkung jgak. Sabar ye anis, korek je rahsia dr Qaiser

    ReplyDelete
  5. Nape la Iman xsuka anis panggil name dia anas eh? pernah ade kes kot sblom ni... Anita 2 mst binatang2 kat zoo coz iman kan suke bg name pelik2...

    ReplyDelete
  6. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  7. Anis apa kata buat x tahu ja hal kahwin tu... bagi kelurga yg uruskan sendiri...biar pada muka si Anas tu ... x pun Anis cakap kat ibu buat kenduri kahwin kt ZOO ja ... biar puas hati si Anas tu ... takut sangat binatang kt zoo x ada org lain jaga... hehehe
    Anita ni org hutan ke singa betina... Qaiser jawap ... kalau sayang kak ipar.... hehehe

    ReplyDelete
  8. Anita tu binatang apa plk...anas ni byk makwe la kt zoo...haaha

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Cerpen: Lain di Mulut, Lain di Hati

JAMBANGAN bunga ros yang berada di atas mejanya itu dicapai. Tanpa melihat nama pengirim pun dia sudah boleh meneka, siapa pengirimnya. Terus dengusan tidak senang dilepaskan. Tanpa menunggu sesaat, jambangan bunga itu sudah terhumban ke dalam tong sampah di sudut bilik.             Huh! Apa dia fikir aku ni perempuan, nak cair kalau disogokkan dengan bunga. Kalau aku cakap benci, memang akan benci selamanya! rungutnya.             Serentak itu, pintu biliknya diketuk. Terjengul wajah Selina, setiausahanya.             “Encik Irfan, Puan Eryna nak jumpa.”             Sekali lagi dia melepaskan dengusan kasar. Tidak cukup dengan bunga yang merimaskan, sekarang, tuan punya badan pula muncul di depan mata. Ah, benci!             “Suruh dia balik! Saya tak nak jumpa dia.” Kuat dan lantang sekali suara Irfan sehingga begitu jelas buat pendengaran Eryna yang sedang duduk menunggu di luar bilik. Eryna tersentak. Riak wajahnya terus beruba

Cerpen: Hati ini [End]

BUNYI suara yang bertingkah dari ruang tamu mengkakukan langkah Ana di anak tangga terakhir. Dia yang turun ke bawah dengan niat untuk membasahkan tekak terkaku seketika. Tidak mahu menonjolkan diri di hadapan tetamu mama dan papa, tanpa berfikir panjang dia sudah memalingkan badan hendak bergerak ke atas semula. Namun sekali lagi, dirinya terus kaku di situ. Suara yang melaungkan namanya membuatkan badannya menjadi gementar secara tiba-tiba.             “Ana…” namanya dipanggil sekali lagi. Dia kenal suara itu. Terlalu kenal. Tetapi dia tidak mahu memalingkan wajahnya. Atas sebab apa, dia tidak pasti. Ikutkan sahaja kata hati.             Sentuhan di bahu membuatkan Ana tersentak. Pantas dia berpaling dengan wajah yang sudah berubah riak. Dia tidak suka dengan sentuhan itu. Sentuhan yang tidak menghormati dirinya sebagai seorang wanita muslim. Seketika mata mereka bertemu. Ana terkedu. Seakan tersedar dari mimpi… senyuman yang menghiasi

Cerpen: Dia yang aku cinta

Berdebar-debar rasanya saat menanti di ruang legar ini. Menanti kehadiran insan yang disayangi. Menanti saat yang ditunggu-tunggu selama ini. Disunting menjadi suri dalam hidup lelaki yang dicintai. Ah! Indah sungguh rasa…             “Tahulah nak tunggu insan tercinta. Kut iya pun… tak perlulah tayang riak wajah teruja, yang terlebih perisa pulak!” teguran berunsur perlian itu hanya membuatkan dia menjeling manja.             “Biarlah!” balasnya dengan menyampah.             Tiada siapa pun tahu apa yang dirasainya selama dua tahun ini. Hidup berjauhan dengan insan yang memenuhi ruang hatinya. Sungguh menyeksakan jiwa dan raga sahaja!             “Akak…” panggilan itu membuatkan dia melepaskan dengusan manja.             “Apa?!” soalnya geram. Geram saat khayalan indahnya dicantas dengan kejam. Sedangkan, hanya itu yang mampu dilakukan di saat ini.             “Tu…” mulut si adik sudah memuncung ke satu sudut.             Matanya turut berlari mencari. Seketika dia