QAISER
berusaha untuk menyembunyikan senyumnya. Mengingatkan apa yang terjadi siang
tadi membuatkan dia hendak ketawa. Lantas diceritakan kepada Puan Rohani. Dan
dia terus tertawa. Tanpa menyedari perubahan di wajah emaknya.
“Iman
cakap macam tu?”
Qaiser
mengangguk. Masih dengan tawa yang bersisa. “Anis tu dah pecah kepala fikir,
siapalah Anita. Perempuan cantik mana yang dah goda tunang dia.” Qaiser terus
menyambung ketawa.
“Qaiser…
dah, jangan nak gelak.” Puan Rohani menegur serius.
Hal
ini bukan perkara yang boleh dilayan dengan gelak ketawa. Ini serius. Puan
Rohani tahu Anita. Dan dia tahu betapa Iman Anas terlalu sayangkan Anita
berbanding kawan-kawan yang lain. Anita, si singa betina. Iman Anas memang
sayangkan haiwan itu, sungguh!
“Cakap
tak dengan Anis?” soal Puan Rohani risau. Bimbang pula jika perkara sebegini
akan memalingkan hati Anis daripada Iman Anas. Pertunangan selalu dikatakan
sebagai fasa yang paling mencabar dan tentunya sangat mencabar bagi Anis untuk
mengenali Iman Anas.
“Memang
takkanlah Qaiser nak cakap depan Anis… Anita tu singa kesayangan Iman. Mak,
perempuan akan lagi kecewa bila dapat tahu dia dimarah disebabkan seekor
singa.” Qaiser masih dengan nada mengusik.
Agar-agar
laici yang terhidang dalam piring dicapai dan dimasukkan ke dalam mulut.
Sedapnya terasa. Jam di dinding sudah mula berdetik mengenai angka lapan. Iman
Anas belum nampak muka. Qaiser berpaling ke sisi, merenung wajah Puan Rohani yang
sudah mula dirundung pilu. Bibirnya mengukir senyuman manis seperti selalu.
“Mak…
jangan risau. Setakat Anita… takkanlah Anis nak marah pula. Lagipun Qaiser
yakin, dia ikhlas sukakan Iman. Mana pernah ada perempuan yang tengok saja
Iman, terus jatuh suka. Pernah ke mak dengar cerita macam tu?” Dalam pada
berserius, Qaiser masih juga ada sendanya.
Puan
Rohani menarik senyuman nipis. Qaiser sememangnya penyeri dalam keluarga.
Sikapnya yang sentiasa positif dan mesra itu sangat menyenangkan hati Puan
Rohani. Sekurang-kurangnya, Qaiser ada untuk memujuk hatinya yang gundah ini.
“Mak
minta maaf pada Qaiser…” ucap Puan Rohani dengan serba salah.
“Maaf
kenapa pulak mak?”
“Mak
tak tahu… yang Qaiser suka tu, Anis…”
Qaiser
tersedak kuat. Laju sahaja lehernya melipat. Melihat wajah emaknya yang sama
muram seperti tadi.
“Mak
terdengar masa Qaiser sembang dengan Anis masa hari tunang… mak betul-betul tak
tahu. Maafkan mak…” ucap Puan Rohani lagi. Kali ini tangannya sudah mencapai
tangan Qaiser dan dipegang erat.
Qaiser
pula tersenyum manis. Tidak mahu Puan Rohani kesalkan perkara yang sudah
berlalu itu. “Mak… kalau pun mak tak pinangkan Anis untuk Iman, Anis tu bukan
nak pun dengan Qaiser. Jadi, mak tak payah nak sedih-sedih… sebab, Qaiser
okey.” Qaiser tersenyum terus. Jemari emaknya dikucup penuh kasih.
“Lagipun,
Qaiser percaya… kalau untuk Iman, mak boleh carikan Anis. Takkan untuk Qaiser,
mak tak boleh carikan yang sebaik itu juga?”
Menitis
air mata Puan Rohani mendengar kata-kata Qaiser. Terus sahaja diusap bahu anaknya
itu. Sungguh dia bersyukur dikurniakan anak sebaik ini.
SAMPAI
sahaja rumah, jam sudah melepasi angka dua belas malam. Ini semua disebabkan
duduk berbual dengan Fairuz dan Ghazali, temannya yang baru pulang daripada
United Kingdom setelah tamat pengajian doktor falsafah di sana. Konon hendak
berjumpa sekejap kata Fairuz. Dan Iman Anas harus akui, sekejap Fairuz itu
seringkali harus disalah tafsir.
Kereta
sudah dimatikan enjin. Namun Iman Anas masih belum hendak melangkah keluar.
Teringatkan sesuatu. Terusik hatinya. Telefon bimbit yang tidak dipedulikan
sejak tadi dicapai. Jari dilarikan pada skrin, matanya terus berlari pada bait
kata itu.
Maaf sebab salah saya panggil awak,
Anas. Tapi saya tak peduli, awak tetap Anas untuk saya.
Tidak
sedar, hujung bibir sudah mula terukir. Bibir beku itu juga mahu tersenyum.
Anis!
Jarinya
kemudian menekan lagi pada kiriman mesej seterusnya.
Jangan fikir saya senyap, saya
takkan marah. Sekarang ni, saya nak awak buat pilihan tepat… Anita atau Anis.
Dan kalau awak pilih Anita, jagalah… awak bakal dipancung kepala.
Kali
ini terhambur ketawa. Iman Anas tidak pernah terfikir dirinya akan ditemukan
dengan wanita kartun sebegini. Wajah yang ayu dan sopan yang dilihat sekali
itu, kembali bertamu di ruang minda. Agresif juga tunangnya itu.
Tetapi
yang dia pelik, apa perlunya Anis bersaing dengan Anita? Adakah Anis menyangka
Anita itu seorang wanita? Errr… Iman Anas terkelu sendiri.
Baru
sahaja dia berkira hendak keluar dari kereta, telefonnya berdering pula. Sambil
menekan simbol menjawab panggilan, dia terus keluar dari kereta. Dan mula
melangkah hendak masuk ke dalam rumah.
Suara
Fairuz yang mula berkicau di hujung talian disambut dengan bosan.
“Baru
tadi kan kita jumpa, kau nak apa?” soal Iman Anas.
“Aku
lupa nak pesan…” Suara Fairuz begitu bersemangat menampar cuping telinga.
“Tolong
layan bakal ipar aku, Anis dengan baiknya. Dan tolong… ingat pesanan aku ni,
dia bukan macam awek-awek kau kat zoo… dia bakal teman kau, sepanjang hayat…
yang paling utama, dia manusia!” Sinis sahaja nada Fairuz.
Iman
Anas mendengus geram. “Aku tahulah!”
“Kalau
tahu, tolong bagitahu dia semua nama awek zoo kau supaya dia tak salah faham.”
Serentak itu talian sudah terputus.
Iman
Anas terus memandang skrin yang sudah gelap. Sama ada makhluk bernama Fairuz
itu kehabisan kredit atau kehabisan bateri atau mungkin juga makhluk itu
tertidur. Bukan boleh percaya pun. Hilangnya suara Fairuz tidak juga memberi
ketenangan kepada Iman Anas. Mindanya terus teringatkan Anis pula. Entah apa
yang sedang difikirkan oleh gadis itu.
PAGI
yang cerah, dirinya disambut gembira oleh Puan Rohani. Dia sedar, wajah emak
semakin berseri sejak dia bersetuju untuk berkahwin. Jauh di sudut hati, Iman
Anas ingin menghadiahkan kebahagian itu sentiasa buat Puan Rohani. Tetapi
seringkali dia tidak mampu. Segala yang dilakukan hanya mengusarkan hati
emaknya. Dia tahu itu. Namun dipendamkan sahaja, biar terbenam jauh di sudut
hati.
“Iman
nak makan apa? Mak ada buat nasi goreng, mihun pun ada.” Puan Rohani menuangkan
air teh ‘o’ ke dalam cawan. Pandangan mesranya bertemu di wajah Iman Anas.
Letih jelas terukir di raut wajah anak sulungnya itu.
“Banyak
mak masak…” Iman Anas pelik.
“Qaiser
nak bawa bekal. Nak dijamu dekat kawan-kawan dekat kolej… nak bagi Anis sama.”
Maklum Puan Rohani dengan senyuman.
“Anis?”
Iman Anas pelik mendengar nama itu disebut.
“Anis
kan mengajar sama dengan Qaiser. Iman belum berbual dengan Anis ke?” sengaja
Puan Rohani menyoal begitu. Mungkin dengan ini Iman Anas akan berusaha untuk
mengenali Anis.
Iman
Anas menggeleng kecil. Dia tidak pernah berbual mengenai hal peribadi dengan
Anis. Tentang kerjayanya. Kerjaya Anis. Semua itu langsung tiada. Usaha Anis
untuk berbual pun dibalas dengan rasa dingin. Bukan dia tidak suka, cuma tidak
biasa dan dirasakan tidak perlu. Emak ada untuk memutuskan semua perkara.
Melihat
kebisuan Iman Anas, Puan Rohani cuba menyarankan agar Iman Anas lebih terbuka
untuk berbual dengan Anis. “Mak rasa, tak salah kalau Iman kenal-kenal dengan
Anis. Budak tu pun mesti nak tahu serba sedikit tentang Iman.” Lembut suara
Puan Rohani memberi cadangan.
“Lepas
kahwin pun boleh kenal kan mak?” soal Iman Anas pula. Nyata dia tidak mahu
menerima cadangan itu.
Puan
Rohani tersenyum.
“Memang
boleh Iman… tapi, Iman tak semua orang fikirkan pendapat yang sama. Lain orang,
lain pemikirannya. Mungkin bagi Anis kalau dia kenal Iman serba sedikit,
dapatlah dia nak belajar apa-apa sebagai persiapan untuk hadapi suami dia lepas
kahwin nanti.” Nasihat yang cuba menembusi hati Iman Anas. Puan Rohani melihat
sahaja riak wajah Iman Anas. Tiada apa yang berubah. Entahkan diterima atau
tidak saranan itu.
“IMAN…
fikirkan cadangan mak. Fikirkan Anis jugak… itu anak orang, yang ada hati dan
perasaan. Sayangkan dia juga, macam mana Iman sayangkan ‘anak-anak’ Iman.”
Tangan
Iman Anas yang mengusap lembut bulu si anak kecil kepada Anita itu. Jasadnya di
situ, namun mindanya masih memikirkan kata-kata Puan Rohani.
“Tak
lama lagi, boleh dukung anak sendiri pulak.” Teguran itu membuat Iman Anas
menarik senyuman nipis.
Jasmin,
temannya yang sentiasa membantu di makmal sudah tiba.
“Lambat
lagi…” balas Iman Anas pendek.
“Lambat
apa pulak… dah tunang, tak lama lagilah. Min dengar pun rasa teruja. Akhirnya,
Abang Iman…” Jasmin tertawa. “Siapa nama permaisuri yang bakal bertakhta di
hati Abang Iman?” soal Jasmin teruja. Dua minggu dia bercuti balik kampung.
Tidak sempat dibualkan bersama Iman Anas.
“Anis.”
Sepatah itu disebut bibir Iman Anas.
“Cantik
tak?” soal Jasmin lagi. Dia pula yang terlebih gembira.
Iman
Anas berfikir seketika. Cantik? Apa yang dikatakan dengan cantik itu? Kalau
ditanya kepada Iman Anas tentang kecantikan wanita, dia hanya tahu, Puan Rohani
adalah wanita paling cantik dalam hidupnya. Bagaimana pula dengan Anis?
“Apa
Abang Iman? Nak cakap cantik pun fikir setengah jam.” Rungut Jasmin.
Iman
Anas menjeling sekilas. Dia tidak peduli dengan rungutan itu. Dan tidak mahu
difikirkan pula tentang fakta Anis cantik atau tidak. Tapi, dia tahu… Anis itu
lucu. Kartun!
Tidak
sedar, dia tersenyum nipis.
Best.... #^_^
ReplyDeleteGeram btul dgn Iman Anas ni, dia ckp Anis tu kartun?!
ReplyDeleteErm, setuju dgn Fairuz supaya Iman Anas bagi tau Anis nama awek2 zoo dia. Salute kan Anis sbb berani hantar SMS mcm tu kt Iman Anas. Erm, tp org mcm Iman Anas ni lah yg menarik utk di explore..
haha... kalau boleh nak like statement ni. kan kak... laki yg mcm Iman ni byk buat org tertanya2... ;)
DeleteWaaa.... anis da pandai cemburu nampak... iman pulak dah pandai tersengih... hahaha... ada can la bunga bunga cinta nak berputik...
ReplyDeletedah agak Anita mesti singa betin sebab Iman kan singa jantan.... hahaha
ReplyDeletebetul kata Fairuz berterus terang tentang makwe Anas yg ada dalam zoo ni ... Anis tu manusia ada hati dan perasan yg perlu dijaga... cepat sambungggg....
betul lah apa fairuz tu ckp//i,am kena bgtau suma mekwe zoo dia kt anis..klu iman dh blh gelak dgn msg2 anis, msti hati dia dh tercuit perasaan kt anis kan
ReplyDelete