Skip to main content

Tidak ku sangka 9



CEPAT sungguh masa berlalu. Sudah hampir dua minggu dia menanggung lara itu sendiri. Lara yang tidak begitu lara sebenarnya. Hanya kerana mesej yang dikirim tidak mendapat balasan waima sebaris kata pun daripada Iman Anas. Ditelan sahaja rasa kecil hati itu. Dia bukan budak tidak cukup usia. Dia harus terima jika itulah yang dimahukan oleh Iman Anas.
Seperti yang dikatakan oleh Puan Amina, Iman Anas mahukan perhubungan yang halal sebelum memulakan segalanya. Mungkin. Dan bak kata Kamilia, dia sukakan sikap Iman Anas sebegitu. Terjaga batas.
Tetapi terjaga batas yang bagaimana dimaksudkan oleh mereka itu jika Iman Anas berdating dengan Anita?
Sehingga ke hari ini, dia masih belum menerima jawabnya. Malas hendak fikir, dicapai terung yang diletakkan dalam bakul kecil. Dibelah dua seperti yang selalu dilakukan oleh emak. Kuat hentakan pisau berlaga dengan papan pemotong. Sehingga Anis ditegur.
“Yang kuat sangat memotong kenapa? Nak bagitahu siapa yang Anis nak memasak?” soal Puan Amina dengan senyuman. Nakal sahaja pandangan yang singgah di wajah Anis.
“Apa pulak mak? Anis potong macam biasalah…” balas Anis manja. Dan diteruskan juga pemotongan. Begitu juga. Kuat pisau menghentak. Rasa puas hatinya! Anis  menyimpan tawa dalam hati. Emak seakan dapat membaca gelogak dalam hati. Siapa yang hendak kau tipu, Anis…
“Potong macam biasa? Ada orang tu terpanggil-panggil dari sana…” ujar Puan Amina dan berlalu ke ruang tamu membiarkan Anis di dapur dalam keadaan terpinga-pinga.
Anis meneruskan sahaja kerjanya. Dalam masa yang sama, otak tidak mahu berhenti berfikir, siapa pula yang terpanggil dengan irama pisau itu. Tiada klu langsung. Hendak dijangka, Kamilia langsung tidak munasabah kerana memang Kamilia berada di Sabah. Kursus selama seminggu.
Tibanya Adila di ruang dapur dengan senyuman. Tudung ekspres dihulurkan pada Anis.
“Siapa yang datang?” soalnya pada Adila dengan harapan ada jawapan untuk soalannya.
Adila pula menjungkit bahu. Dan itu menghampakan Anis.
“Adila pun baru nak pi jenguk depan. Bahar yang datang pesan, suruh bagi tudung dekat akak...” jelas Adila. “Mak pesan suruh akak ke depan.” Sambung Adila. Dia sudah bangun dan mengambil cerek elektrik. Air diisi dan ditekan suis. Sudah dipesan oleh Puan Amina untuk melakukan itu.
Anis menyudahkan kerja yang masih berbaki sebelum bergerak ke ruang tamu.

HAMPIR terbuntang mata Anis melihat siapa yang bertandang ke rumah. Matanya sempat mengerling ke arah pintu utama yang terbuka luas. Cuaca hari ini begitu cerah. Mujurlah tidak hujan dengan kejadian yang tidak disangka ini.
What a surprise…” Anis tersenyum nipis. Keningnya sedikit ternaik. Tidak tahu hendak dipamerkan reaksi yang bagaimana. Muka terasa beriak tidak kena.
“Saja nak buat surprise.” Balas Iman Anas dengan kekok. Ada lebih daripada dua pasang di ruang tamu itu dan kini tertumpu padanya. Air liur ditelan berkali-kali. Di sisinya, Encik Bohari dan di sebelah lagi, Bahar. Nafasnya mula terasa sesak. Kalau hendak lari dan balik ke rumah pun sudah terlambat kerana dia sudah menyampaikan hasratnya kepada abah Anis sebentar tadi.
“Makan dulu ke baru keluar?” soal Encik Bohari pada Iman Anas yang terus membisu selepas menjawab pertanyaan Anis itu.
Up to Anis…” balas Iman Anas spontan. Jelas sekali di situ, dia sangat gugup. Siapa kata, senang nak ajak anak dara orang keluar. Perasaan terasa begitu berdebar-debar. Takut yang amat!
Bak pesanan yang diberi Puan Rohani, itu anak orang bukannya anak beruang. Mengenangkan itu, makin kecut perut Iman Anas. Kalau anak beruang dia tahulah nak uruskan macam mana. Kalau anak orang mungkin sangat susah.
Iman Anas yang sedang gemuruh dengan gangguan mindanya sendiri, tidak perasan dengan jelingan tajam daripada Anis. Anis mencebikkan bibir. Menyampah sungguh dia mendengar perkataan up to you itu. Dia kan pantang mendengarnya. Dan nampaknya, ia adalah perkataan yang begitu digemari oleh Iman Anas. Mampukah dia menahan telinga?
“Makan dululah… Anis tolong mak masak. Sementara tu, Iman boleh berbual dengan abah.” Cadang Puan Amina apabila melihat Anis dan Iman Anas kelihatan seperti ada yang tidak kena.
Anis tidak menjawab, terus sahaja berlalu ke dapur.
Iman Anas memandang wajah yang muncung itu berlalu. Terkelu lidah. Terasa aksi itu sangat comel sama seperti comelnya anak Anita. Memikirkan persamaan itu, Iman Anas terus tersenyum. Tidak sedar dirinya diperhatikan di situ.
“Anis memang begitu, jangan teragak-agak nak menegur kalau Iman rasa tak kena.” Ujar Encik Bohari cuba mengajak Iman Anas berbicara. Pada pandangannya, Iman Anas sememangnya kelihatan seperti pendiam. Hanya menjawab apa yang perlu sahaja.
“Tak ada apalah pak cik… mungkin ada salah saya juga,” balas Iman Anas dengan nada yang merendah. Dan sememangnya ada juga saham kesalahannya. Berapa banyak mesej Anis yang dibiarkan begitu sahaja. Tidak dibalas langsung. Mengenangkan perkara itu, terasa juga bahawa dia terlalu kejam. Melayan seorang gadis sebegitu.
“Kena saling memahami dan selalu bersabar… setiap hari, mesti ada benda baru yang kita akan kenal daripada pasangan kita. Ingat tu Iman… lepas dah kahwin, itulah waktu sebenar bermulanya satu perkenalan antara dua hati…” nasihat Encik Bohari.
Iman Anas mendengar dengan khusyuk. Wajah Encik Bohari ditenung sepuasnya. Raut wajah yang mesra mengingatkan dirinya kepada arwah abah. Jauh di sudut hati, Iman Anas sangat merindui abahnya. Namun ia dipendam jauh. Tidak mahu diluahkan kerana dirasakan tiada yang akan memahami rasa itu.
Di sebalik dinding yang memisahkan dapur dan ruang tamu, Anis mencuri dengar dan memandang tunangnya yang sedang ditauliahkan oleh abah. Wajah yang mendengar setiap bait kata daripada bibir Encik Bohari dengan teliti semakin memikat hatinya. Benar kata Puan Amina, Iman Anas seorang yang sopan. Lihat sahaja bagaimana tingkahnya di hadapan bakal mentua.
“Sudah-sudahlah tu akak menghendap Abang Iman. Lauk ni nak kena masak cepat…” perli Adila dari belakang. Mujur sahaja suaranya perlahan. Hampir merah wajah Anis disergah begitu. Malu!

PERTAMA kali Iman Anas menjamu selera bersama wajah yang masih baru dalam diari hidupnya. Semakin kekok kerana dia tidak biasa. Rancak bibir yang lain bersuara apabila ada topik yang timbul. Adik-adik Anis yang petah berkata-kata. Emak dan abah Anis yang sangat peramah.
“Iman, jangan malu-malu. Tambah lagi nasi tu… esok-esok pun kita dah jadi satu keluarga.” Puan Amina mempelawa dengan mesra.
Iman Anas menarik senyum nipis. Baru sahaja bibirnya berkira-kira untuk berkata tidak, tetapi sudah ada sesenduk nasi yang dimasukkan pada pinggannya. Anis!
Dengan wajah yang serius tanpa senyuman, Anis menghidangkan lauk lagi buat Iman Anas. Konon tanda protes. Konon masih marah. Sebab Iman Anas suka sangat dengan perkataan tidak kisah.
Sebentar tadi semasa ditanya hendak lauk apa, ayam atau ikan sambal… jawapan Iman Anas yang ringkas itu membuatkan darahnya mendidih mendadak. Disebabkan geram, diletakkan dua-dua. Senang cerita!
Walaupun sebenarnya tidak digalakkan untuk sekalikan hidangan makanan darat dan laut dalam satu hidangan. Kerana cas berlawanan yang dibawa oleh makanan laut dan darat boleh memudaratkan kesihatan. Itu pun adalah sunnah nabi.
Selesai menyudahkan makanannya, Anis sudah bangkit dan menuju ke dapur. Ketika sedang membasuh pinggannya, ada satu lagi pinggan dihulur. Iman Anas terus berlalu ke depan tanpa sebarang kata. Anis mengetap bibir tidak sudah. Buat apa datang ke rumah kalau masih tak nak cakap walau sepatah dengannya? Mahal sungguh suara Iman Anas untuk Anis.
“Akak, tinggalkan aje pinggan tu. Adila tolong basuh… akak pergi siap, Abang Iman nak ajak keluar tu.”
“Ajak keluar?” Membuntang mata Anis. Biar betul Iman Anas?
“Ya, ajak keluar… akak ada dengar Adila sebut ajak nikah ke?” perli Adila dengan nakal. Wajah kakaknya yang semakin merah hanya mencuit hati. Kalau boleh hendak diusik lagi. Bukan selalu dapat peluang begini. Selalunya Bahar yang menggiat Anis.
“Nak ajak pergi mana?” soal Anis teruja. Seronok pula. Amboi, tadi marah… sekarang suka!
“Dengar tadi macam zoo… tapi tak tahulah kalau Abang Iman melawak aje dengan Bahar.”
Jawapan Adila itu terus membantutkan mood Anis. Zoo? Alahai Iman Anas hoi… nak bawa bakal bini berjalan… zoo juga yang menjadi pilihan?
“Adila tak ikut?” soal Anis dengan nada yang mengendur. Terbang sudah keceriaan tadi.
“Bahar teman… dia jadi bodyguard akak… lebih selamat.” Adila mengenyitkan mata. Hendak mengusik Anis lagi. Tetapi apa yang dilihat, hanya senyuman tawar membalas kata. Berkerut dahi Adila melihat langkah longlai Anis keluar dari dapur. Seperti ada yang tidak kena.
Di bilik, Anis bersiap ala kadar. Hendak dibawa ke zoo kan? Hendak melaram apa sangat. Lantas dicapai sehelai blaus ungu gelap dipadankan dengan slack hitam. Tudung pula dicapai sahaja tudung ekspres yang sudah sedia bergantung pada penyangkut.
Keluar sahaja dari bilik, Puan Amina sudah menanti dengan senyuman. Tidak sampai sesaat melihat Anis, senyuman itu mati dan dahi tua itu berkerut.
“Kenapa pakai macam ni?” soal Puan Amina serius. Anis ini perkara macam ini pun boleh dibuat main.
“Cakap nak ajak pergi zoo… Anis pakailah macam ni. Okey apa mak.” Anis balas dengan nada memerli. Bibirnya sudah memuncung.
Puan Amina sudah kembali menarik senyum.
“Ada pulak Iman nak bawa Anis pergi zoo… siapa buat cerita ni? Sengaja nak kenakan Anis… dah, pergi tukar baju lain. Elok sikit… ini pakai macam pemalas nak siap!” Puan Amina menolak bahu Anis perlahan untuk masuk semula ke bilik. Tetapi Anis mengeraskan diri.
“Tak mahulah mak… macam ni ajelah. Dah okey…” Anis tetap berkeras. Berdegil dengan pilihannya.
“Suka hati Anislah… jangan menyesal pula nanti.” Puan Amina berlalu dengan ucapan itu.
Anis menyahut dalam hati, ‘Takkan menyesal pun!’

Comments

  1. best, tp pendek sgt, nxt n3 plz,,

    ReplyDelete
  2. Hahaha..agaknya betullah anas bwk g zoo..kenalkan anis dgn makwe2 dia kt zoo tu

    ReplyDelete
  3. umi cepat la upload n3 baru..wat panjang2 sikit

    ReplyDelete
  4. ngee sangat best..sukanya dorang ni..harap2 cepat la ke jinjang pelamin~ heee :D

    ReplyDelete
  5. Aiseh, Anis tanya la Iman Anas tu diaorg nk ke mana? Tp, kalau btul ke Zoo, mmg elok dh pki mcm tu kan. Tp, knp nak Anis ckp jgn menyesal plak? Saya pulak yg susah hati.

    ReplyDelete
  6. uiks... iman ni da pandai ckp anis nmpk comey plk eh...
    yg paling lawak dia blh plk samekn muka comey anis mcm muka ank anita...
    memang xleh tahan btol... hahaha...

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Cerpen: Lain di Mulut, Lain di Hati

JAMBANGAN bunga ros yang berada di atas mejanya itu dicapai. Tanpa melihat nama pengirim pun dia sudah boleh meneka, siapa pengirimnya. Terus dengusan tidak senang dilepaskan. Tanpa menunggu sesaat, jambangan bunga itu sudah terhumban ke dalam tong sampah di sudut bilik.             Huh! Apa dia fikir aku ni perempuan, nak cair kalau disogokkan dengan bunga. Kalau aku cakap benci, memang akan benci selamanya! rungutnya.             Serentak itu, pintu biliknya diketuk. Terjengul wajah Selina, setiausahanya.             “Encik Irfan, Puan Eryna nak jumpa.”             Sekali lagi dia melepaskan dengusan kasar. Tidak cukup dengan bunga yang merimaskan, sekarang, tuan punya badan pula muncul di depan mata. Ah, benci!             “Suruh dia balik! Saya tak nak jumpa dia.” Kuat dan lantang sekali suara Irfan sehingga begitu jelas buat pendengaran Eryna yang sedang duduk menunggu di luar bilik. Eryna tersentak. Riak wajahnya terus beruba

Cerpen: Hati ini [End]

BUNYI suara yang bertingkah dari ruang tamu mengkakukan langkah Ana di anak tangga terakhir. Dia yang turun ke bawah dengan niat untuk membasahkan tekak terkaku seketika. Tidak mahu menonjolkan diri di hadapan tetamu mama dan papa, tanpa berfikir panjang dia sudah memalingkan badan hendak bergerak ke atas semula. Namun sekali lagi, dirinya terus kaku di situ. Suara yang melaungkan namanya membuatkan badannya menjadi gementar secara tiba-tiba.             “Ana…” namanya dipanggil sekali lagi. Dia kenal suara itu. Terlalu kenal. Tetapi dia tidak mahu memalingkan wajahnya. Atas sebab apa, dia tidak pasti. Ikutkan sahaja kata hati.             Sentuhan di bahu membuatkan Ana tersentak. Pantas dia berpaling dengan wajah yang sudah berubah riak. Dia tidak suka dengan sentuhan itu. Sentuhan yang tidak menghormati dirinya sebagai seorang wanita muslim. Seketika mata mereka bertemu. Ana terkedu. Seakan tersedar dari mimpi… senyuman yang menghiasi

Cerpen: Dia yang aku cinta

Berdebar-debar rasanya saat menanti di ruang legar ini. Menanti kehadiran insan yang disayangi. Menanti saat yang ditunggu-tunggu selama ini. Disunting menjadi suri dalam hidup lelaki yang dicintai. Ah! Indah sungguh rasa…             “Tahulah nak tunggu insan tercinta. Kut iya pun… tak perlulah tayang riak wajah teruja, yang terlebih perisa pulak!” teguran berunsur perlian itu hanya membuatkan dia menjeling manja.             “Biarlah!” balasnya dengan menyampah.             Tiada siapa pun tahu apa yang dirasainya selama dua tahun ini. Hidup berjauhan dengan insan yang memenuhi ruang hatinya. Sungguh menyeksakan jiwa dan raga sahaja!             “Akak…” panggilan itu membuatkan dia melepaskan dengusan manja.             “Apa?!” soalnya geram. Geram saat khayalan indahnya dicantas dengan kejam. Sedangkan, hanya itu yang mampu dilakukan di saat ini.             “Tu…” mulut si adik sudah memuncung ke satu sudut.             Matanya turut berlari mencari. Seketika dia