Skip to main content

Kampung Girl [11]

Jangan lupa untuk mendapatkan novel Kampung Girl terbitan KaryaSeni. :) Selamat Membaca.

 
Bab 11

ASHRAF mundar-mandir di dalam biliknya. Jarum jam sudah menginjak ke angka dua pagi tapi matanya masih segar dan bugar lagi. Sungguhlah tidak tenang jiwanya di saat ini.
            Ya Allah… makin aku menjauh, makin mendekat nampaknya.
            Selepas persetujuan kahwin keluar dari bibir Ainnur, mulut mummy sudah sibuk merancang itu dan ini tanpa sedikit pun bertanyakan dirinya. Bila dia menyampuk hendak membantah, apa yang dia dapat…
            “Jangan banyak bunyi! Ikut saja!” itu saja yang diulang-ulang untuk dodoian telinganya.
            Ashraf nak duduk pun tidak senang rasanya apatah lagi hendak melelapkan mata. Bila memikirkan yang dia diwajibkan untuk berkahwin dengan si budak kampung itu, dia menjadi serba tidak kena. Budak kampung dengan Ashraf Khairi, sangatlah tidak padan gandingannya. Desis Ashraf sendiri.
            ‘Tapi okey apa, budak kampung tu cantik kot!’ ada suara halus yang mengganggu konsentrasi mindanya.
            ‘Ah… cantik saja buat apa! Dia still budak kampung yang tak reti apa-apa!’ pantas saja Ashraf membidas sendiri.
            Matanya berpaling pada pintu biliknya yang terkatup rapat. Nafasnya dihela panjang. Sepanjang hidup selama dua puluh lapan tahun ini dia tidak pernah merasakan serabut sehingga ke tahap ini. Sebabnya, belum pernah dia disuruh untuk melakukan perkara yang dia tidak suka!
             Mummy dan daddy tidak pernah memaksa, langsung tidak pernah. Namun kenapa segalanya seakan tunggang terbalik semenjak dua menjak ini. Dia harus melakukan sesuatu agar penyakit serabut yang sedang berlegar di ruang mindanya berkurangan.
            Untuk itu, dia sudah memutuskan sesuatu. Kakinya laju dihayun ke muka pintu, lalu tombol pintu dipulas. Biasan cahaya dari celah pintu bilik di hadapannya membuatkan kerutan terbentuk di dahi.
            Aik! Takkan tak boleh tidur jugak kot? Dia menjadi pelik.
            Ashraf kini berdiri betul-betul di depan bilik yang didiami Ainnur. Tangannya mula berkira-kira, perlu ke tidak dia mengetuk. Kalau aku ketuk, dia akan ingat aku teringatkan dia ke? Tak pun dia akan ingat aku nak minta maaf semula? Tak pun, dia akan cakap…
            Belum sempat mindanya memikirkan ayat yang lebih sesuai, jeritan sudah keluar dari mulutnya.
            “Mummy!!!” jerit Ashraf kuat. Dalam pada beromong kosong dalam mindanya, Ashraf sekali lagi hampir pengsan kerana Ainnur sudah pun membuka pintu dari dalam.
            Namun kali ini, berbeza sedikit kerana Ainnur juga nyata terkejut dengan kelibat Ashraf yang sedang berdiri tegak sambil tangan diangkatkan gaya macam… nak ketuk pintu? Kening Ainnur bertaut.
            “Hisy!!! Kau ni… kalau tak bagi aku terkejut tak boleh ke!!!” marah Ashraf. Ainnur menjeling tajam.
            “Hoi pak cik!”
            Ashraf ternganga. Pak cik, dia panggil aku! Sungguhlah kurang asam jawa si budak kampung ini.
            “Awak tu yang berdiri depan pintu bilik Ain… ada hati pula nak marah-marah Ain. Sungguh la tidak logik!”
            Ashraf mencebik mendengar kata-kata Ainnur. Logik konon! Habis yang dia setuju nak kahwin dengan aku, logik ke? Perkara yang paling tak logik untuk abad ini. Gaya macam aku suka saja tiba-tiba kena kahwin dengan dia.
            “Mengutuk, mengata dalam hati. Kalau berani cakaplah depan-depan,” tambah Ainnur lagi. Tersirap darah Ashraf yang mendengarnya. Amboi!
            “Kau ni sejak bila yang suka melawan cakap aku? Tak reti hormat orang yang lagi tua ke?” soal Ashraf dengan bengang. Dia tidak suka macam ini. Dia tidak suka bila dia dibidas oleh si budak kampung. Langsung tak boleh nak terima akan hakikat itu.
            “Hormat orang tua? Abang Ash hormat Ain ke sampai Ain nak kena dengar semua cakap abang Ash?” balas Ainnur semula. Mungkin saja lelaki di depannya ini tidak tahu yang aku ini bekas debator sekolah. Kalau dia nak berhujah di sini, silap gayalah nampaknya. Aku akan pastikan telinga dia bernanah dengar hujah aku.
            “Kau tu budak kecik. Aku tak perlu hormat kau.”
            Ainnur tersenyum sinis.
            “Orang tua tak berakal. Umur saja meningkat tapi otak masih singkat. Bila kita nak minta sesuatu, maknanya kita kena beri sesuatu…konsep saling menghormati, pernah abang Ash dengar tentang benda tu?”
            Ashraf menjegilkan biji mata apabila terpukul dengan kata-kata Ainnur. Dalam hati dia berdesis lagi, boleh tahan juga mulut si budak kampung ini. Tadi kena pakcik, sekarang terus di upgrade jadi orang tua.
            ‘Ash… kalau kau berlama-lama dekat sini, confirm, kau akan jadi mayat hidup. Baik selesaikan tujuan perjumpaan dengan segera daripada nak menadah telinga dengar kuliah di pagi buta ni’ hatinya berkata-kata. Wajah Ainnur yang kelihatan serius itu direnungnya.
            ‘Cantikkan dia!’ Ashraf menelan liur dengan pujian yang dilagukan dalam hati. Aku gadaikan juga hati ini dekat pajak gadai. Main puji-puji si budak kampung bukan pujaan hati pula.
            “Kau tak payah balik esok,” terus saja Ashraf memainkan ayat yang telah dirangka dalam pemikirannya.
            “Kenapa pulak?” soal Ainnur pelik.
            “Jangan banyak tanya! Esok keluar dengan aku…” dan itu saja. Ashraf terus masuk ke bilik sebelum sempat Ainnur bertanya apa-apa.
            Dasar… berlagak!!! Bentak Ainnur dalam hati.
            Ainnur yang tadinya berniat untuk membasahkan tekak di dapur terus saja terbantut niatnya. Dia kembali ke dalam bilik. Seketika kemudian, dia seperti tersedarkan sesuatu. Mulutnya melopong, pantas tangannya melurut ke kepala.
            Fuhhh!!! Nafas lega dihembuskan. Mati-mati dia ingat tidak bertudung depan Ashraf sebab rasa ringan semacam pula.
            Dengan rasa malas yang bertandang di hati, dia sudah menarik tudung di kepala dan disangkutkan pada ampaian. Badannya direbahkan ke atas katil. Tilam empuk. Bilik sejuk. Lampu sudah dimatikan. Tapi matanya masih tidak dapat dilelapkan. Kenapa? Entahlah…
            Ingatkan esok dia sudah boleh beraman damai ke Kedah Darul Aman itu, nampaknya kena menurut kata-kata Ashraflah pula. Tapi hendak ke mana saja dengan orang tua itu?
            Eh… tapi dia siapa untuk aku ikut-ikut cakap dia? Pandai nak mengarah saja kan! Ainnur… apa kata kau balik saja esok. Biar padan dengan muka Ashraf Khairi! Biar dia kenal sikit perangai bakal bini dia yang sebenar.
            ‘Betul tu Ain… jangan bagi muka sangat pada anak murid macam Encik Ashraf Khairi tu, nanti dia tahunya pijak kepala orang saja’ sambut suara hatinya. Dalam pada memikirkan perihal Ashraf, tanpa sedar Ainnur sudah terlena akhirnya.

Comments

  1. salam dik..akak dah tempah buku adik ngan karya seni..awaiting for the parcel only. nanti bila akak dah khatam..akak komen ..ek..

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Cerpen: Lain di Mulut, Lain di Hati

JAMBANGAN bunga ros yang berada di atas mejanya itu dicapai. Tanpa melihat nama pengirim pun dia sudah boleh meneka, siapa pengirimnya. Terus dengusan tidak senang dilepaskan. Tanpa menunggu sesaat, jambangan bunga itu sudah terhumban ke dalam tong sampah di sudut bilik.             Huh! Apa dia fikir aku ni perempuan, nak cair kalau disogokkan dengan bunga. Kalau aku cakap benci, memang akan benci selamanya! rungutnya.             Serentak itu, pintu biliknya diketuk. Terjengul wajah Selina, setiausahanya.             “Encik Irfan, Puan Eryna nak jumpa.”             Sekali lagi dia melepaskan dengusan kasar. Tidak cukup dengan bunga yang merimaskan, sekarang, tuan punya badan pula muncul di depan mata. Ah, benci!             “Suruh dia balik! Saya tak nak jumpa dia.” Kuat dan lantang sekali suara Irfan sehingga begitu jelas buat pendengaran Eryna yang sedang duduk menunggu di luar bilik. Eryna tersentak. Riak wajahnya terus beruba

Cerpen: Dia yang aku cinta

Berdebar-debar rasanya saat menanti di ruang legar ini. Menanti kehadiran insan yang disayangi. Menanti saat yang ditunggu-tunggu selama ini. Disunting menjadi suri dalam hidup lelaki yang dicintai. Ah! Indah sungguh rasa…             “Tahulah nak tunggu insan tercinta. Kut iya pun… tak perlulah tayang riak wajah teruja, yang terlebih perisa pulak!” teguran berunsur perlian itu hanya membuatkan dia menjeling manja.             “Biarlah!” balasnya dengan menyampah.             Tiada siapa pun tahu apa yang dirasainya selama dua tahun ini. Hidup berjauhan dengan insan yang memenuhi ruang hatinya. Sungguh menyeksakan jiwa dan raga sahaja!             “Akak…” panggilan itu membuatkan dia melepaskan dengusan manja.             “Apa?!” soalnya geram. Geram saat khayalan indahnya dicantas dengan kejam. Sedangkan, hanya itu yang mampu dilakukan di saat ini.             “Tu…” mulut si adik sudah memuncung ke satu sudut.             Matanya turut berlari mencari. Seketika dia

Cerpen: Hati ini [End]

BUNYI suara yang bertingkah dari ruang tamu mengkakukan langkah Ana di anak tangga terakhir. Dia yang turun ke bawah dengan niat untuk membasahkan tekak terkaku seketika. Tidak mahu menonjolkan diri di hadapan tetamu mama dan papa, tanpa berfikir panjang dia sudah memalingkan badan hendak bergerak ke atas semula. Namun sekali lagi, dirinya terus kaku di situ. Suara yang melaungkan namanya membuatkan badannya menjadi gementar secara tiba-tiba.             “Ana…” namanya dipanggil sekali lagi. Dia kenal suara itu. Terlalu kenal. Tetapi dia tidak mahu memalingkan wajahnya. Atas sebab apa, dia tidak pasti. Ikutkan sahaja kata hati.             Sentuhan di bahu membuatkan Ana tersentak. Pantas dia berpaling dengan wajah yang sudah berubah riak. Dia tidak suka dengan sentuhan itu. Sentuhan yang tidak menghormati dirinya sebagai seorang wanita muslim. Seketika mata mereka bertemu. Ana terkedu. Seakan tersedar dari mimpi… senyuman yang menghiasi