Skip to main content

Kampung Girl [7]

Nantikan kemunculan novel ini di pasaran, pertengahan Januari 2012 terbitan KaryaSeni. :) Selamat Membaca.

 
Bab 7

ENJIN Toyota Rush berwarna putih itu dimatikan. Saat kaki melangkah ke pintu rumah, dahinya seakan berkerut. Dia baru perasan, kereta Honda CRV milik daddy elok terparkir di garaj. Takkan dah selesai agenda di negeri Utara yang mereka cintai itu. Tanpa berlengah, Ashraf terus masuk ke dalam rumah.
            Keadaan rumah yang terang-benderang itu mengalirkan rasa pelik di hati. Dikerling pada jam di pergelangan tangan. Jarum jam sudah menginjak ke angka dua belas. Takkan masing-masing belum tidur lagi. Mindanya penuh dengan tanda tanya.
            Dari ruang tamu, kakinya mula melangkah ke ruang makan. Kosong!
            Haruslah kosong… sudah pukul dua belas malam, siapa yang nak makan tengah-tengah malam buta ini. Engkau ini Ashraf, pangkat saja besar tapi kadang-kadang membuatkan diri sendiri meragui, sesuai ke pangkat itu dengan kepintaran otaknya yang tidak berapa nak pintar ini.
            Sedang dia mengatur langkah menaiki anak tangga, telinganya seperti menangkap bunyi ketawa riang dari ruang TV di tingkat pertama. Tetapi dia tidak pula tergerak hati untuk ke situ kerana badan pun sudah letih, katil pun rasanya sudah memanggil-manggil namany. Lebih baik dia masuk tidur saja dulu sebelum ada yang jatuh tersembam atas lantai marmar ini.
            Tombol pintu bilik dipulas. Ketika dia hendak menutup pintu, terdengar tombol bilik yang bertentang dengannya dipulas dari dalam. Hatinya mula terasa tidak enak.
            Rasanya, bilik itu sudah lama kosong. Rumah daddy ini, ada kemungkinan spesies Han datang bertandang tak? Hatinya makin digaru resah, tetapi dalam masa yang sama, kakinya pula tidak mahu melangkah ke dalam bilik.
            Telinganya jelas menangkap tombol sudah mula dibuka dari dalam. Dia bertambah cuak.
            “Mummy!!!” jeritan lantang dilepaskan oleh Ashraf apabila wajah putih muncul di depannya. Entah apa yang terjadi selepas itu, dia sudah tidak sedarkan diri.

“ARGH!!!” jeritan Ashraf memenuhi ruang bilik itu.
            “Tahanlah sikit! Mummy baru nak letak ubat, belum kena pun lagi dekat kulit,” bebel Puan Mazlin. Ashraf ini jeritnya mengalahkan budak perempuan saja. Nasib Puan Mazlin boleh tahan dengan jeritan itu. Kalau tidak, ikutkan hati ini hendak ditolak saja kepala anaknya ke tepi.
            Darah di atas kepala sudah pun dibersihkan. Perlahan-lahan Puan Mazlin menyapukan ubat ke atas luka tersebut. Kini dia seakan meragui, hormon apa sebenarnya yang terkandung dalam badan anak lelakinya ini. Takut bukan main. Tengok wajah Ainnur yang bertempek bedak sejuk pun boleh pengsan. Sampaikan terluka kepala kerana terlanggar bucu meja di sebelah pintu. Nasib baik lukanya tidak dalam. Kalau tidak memang kena jahit dengan doktorlah jawabnya!
            “Kamu ni buat mummy hairanlah Ash…”
            Ashraf tidak memberi respon, sekadar menanti saja sambungan kata dari bibir Puan Mazlin. “Kamu ni anak lelaki mummy ke, anak perempuan? Boleh pula takut sampai pengsan… buat malu saja!”
            Ashraf diam sambil memanjangkan muncung di mulut. Dia bukan berada dalam mood yang begitu baik untuk mengulas kejadian yang memalukan dirinya tadi. Paling malu daripada kejadian memalukan dirinya itu adalah, di depan siapa yang dia termalu!
            Aduh! Kalau diberi pilihan, aku akan melangkah ke ruang TV tadi daripada kena kejutan jantung dekat depan bilik ini.
            Pengsan depan budak kampung itu, hanya mencalarkan maruah Ashraf saja. Hantu kampung itu pun satu, boleh pula kan dia bertempek bedak sampai tebal berinci. Aku yang melihatnya pun tak dapat nak bezakan, dia itu sebenarnya manusia atau keturunan spesies Han.
            “Dia buat apa dekat sini mummy? Nak ambil jadi orang gaji ke?” sinis Ashraf menyoal. Puan Mazlin mengetap bibir. Hantu punya anak! Dibawa pulang bakal isteri untuknya, dikata orang gaji pula. Nasib baik Ainnur tak ada dekat sini, kalau tidak tentu gadis itu akan berkecil hati nanti dengan kata-kata daripada mulut Ashraf yang tidak berinsurans ini.
          “Elok jugak jadi orang gaji dekat sini… mummy tak payah bayar gaji dia, sebab kita kan bersaudara. Aduh!!!” kuat Ashraf mengaduh. Tangan Puan Mazlin mengetuknya tepat di atas kawasan luka. Sakit sangat!
            “Mummy kenapa?” rengeknya sambil mengusap kepala yang terasa berdenyut.
            “Mulut Ash tu… langsung tak ada adab! Ada ke cakap dengan tetamu nak bagi jadi orang gaji rumah… ingat si Ain tu tak ada kerja lain ke selain nak jadi orang gaji dalam rumah ni,” marah Puan Mazlin sambil bercekak pinggang. Rasa macam nak cilikan saja mulut Ashraf sampai telinga dia berasap. Bercakapnya entah apa-apa. Tidak fikirkan perasaan orang langsung.
           Sungguhlah anak aku yang ini tak dikurniakan dengan perasaan yang normal. Rungut Puan Mazlin dalam hati.
            “Budak kampung tu ada kerja apa sangat mummy... dekat kampung tu, habis kuat yang dia boleh buat, turun ke bendang. Tak pun jaga anak ayam depan rumah…” sindir Ashraf lagi tanpa perasaan.
            Tidak perlu menunggu lama, sekali lagi kepalanya diketuk dengan kuat. Oleh siapa lagi kalau bukan Puan Mazlin. Ashraf mengaduh kuat kerana sakit. Berkerut-kerut dahinya. Wajah Puan Mazlin yang kemerahan jelas sekali menahan marah. Tapi dia tidak kisah, asalkan mulutnya dapat berkata apa saja tentang budak kampung yang tidak disukai itu.
            “Ash ni… bila bercakap, ikut sedap mulut dia saja kan! Kamu bukannya tahu yang si Ain tu…” baru saja Puan Mazlin hendak membuka hikayat pendidikan Ainnur yang tidak pernah Ashraf ketahui.
            “Aunty…” suara Ainnur sudah memanggil dari luar. Terhenti terus percakapan Puan Mazlin. Sempat dia menghadiahkan jelingan tajam buat Ashraf sebelum melangkah keluar dari bilik itu. Buat hati tuanya terasa panas membahang saja. Memang sudah melampau sangat Ashraf Khairi ini.
            Sementara itu, Ainnur yang tersembunyi di balik dinding bilik Ashraf sudah mengurut dada. Lagi sikit saja nak terlepas. Fuhhh!!! Nasib baik…
            Aunty Maz macam terlupa pula tentang perancangan untuk mengenakan si pak cik yang berlagak ini. Walaupun hatinya terasa sakit mendengar ucapan Ashraf yang nyata seperti orang yang tidak ada perasaan langsung tapi ditahankan saja rasa itu. Biarlah dia nak cakap apa pun yang menyedapkan hati dia, aku akan pastikan dia akan menarik balik semua yang dia pernah ucapkan pada aku. Tekad Ainnur.
           Dia bukanlah hendak membalas dendam, cuma hendak memberi sedikit pengajaran buat si jejaka idaman hati, Encik Ashraf Khairi. Bahawasanya, jangan terlalu celupar sangat mulut itu dalam menilai orang. Sungguhpun dia hanya seorang budak kampung, membesar di kampung, belajar di sekolah kampung tapi tidak semestinya dia tidak mampu berjaya setanding dengan budak bandar macam encik di dalam bilik itu.
            Sistem pendidikan di Malaysia sudah makin maju ke depan, takkan itu pun si Ashraf ini tidak tahu. Nama saja ahli perniagaan berjaya, pengetahuan am tentang pendidikan negara pun tidak terbaca. Berjaya apa kalau macam itu!
            “Ain…” terus saja Ainnur tersentak mendengar panggilan itu. Puan Mazlin memandangnya dengan renungan yang pelik sekali.
            “Aunty tak terlepas apa-apa kan?” soal Puan Mazlin separuh berbisik.        
            “Hampir… tapi terselamat!” Puan Mazlin sudah menekup mulutnya.
            “Maaflah… malam-malam macam ni, rasa mamai saja. Nasib baik Ain datang, kalau tak habis semua aunty nanti cerita dengan dia.”
            Ainnur sudah tertawa kecil. Sungguhlah gelabah bakal mertua aku ini. Amboi Ain! Bakal suami di dalam bilik itu nampaknya dengan keras takkan bersetuju, tapi aku dah bersemangat pula nak mengangkat aunty Maz jadi bakal mentua aku. Haruslah kan, sebab aunty Maz pun dah beribu kali panggil aku menantu.
            Ainnur tersenyum terus.

Comments

Popular posts from this blog

Cerpen: Lain di Mulut, Lain di Hati

JAMBANGAN bunga ros yang berada di atas mejanya itu dicapai. Tanpa melihat nama pengirim pun dia sudah boleh meneka, siapa pengirimnya. Terus dengusan tidak senang dilepaskan. Tanpa menunggu sesaat, jambangan bunga itu sudah terhumban ke dalam tong sampah di sudut bilik.             Huh! Apa dia fikir aku ni perempuan, nak cair kalau disogokkan dengan bunga. Kalau aku cakap benci, memang akan benci selamanya! rungutnya.             Serentak itu, pintu biliknya diketuk. Terjengul wajah Selina, setiausahanya.             “Encik Irfan, Puan Eryna nak jumpa.”             Sekali lagi dia melepaskan dengusan kasar. Tidak cukup dengan bunga yang merimaskan, sekarang, tuan punya badan pula muncul di depan mata. Ah, benci!             “Suruh dia balik! Saya tak nak jumpa dia.” Kuat dan lantang sekali suara Irfan sehingga begitu jelas buat pendengaran Eryna yang sedang duduk menunggu di luar bilik. Eryna tersentak. Riak wajahnya terus beruba

Cerpen: Dia yang aku cinta

Berdebar-debar rasanya saat menanti di ruang legar ini. Menanti kehadiran insan yang disayangi. Menanti saat yang ditunggu-tunggu selama ini. Disunting menjadi suri dalam hidup lelaki yang dicintai. Ah! Indah sungguh rasa…             “Tahulah nak tunggu insan tercinta. Kut iya pun… tak perlulah tayang riak wajah teruja, yang terlebih perisa pulak!” teguran berunsur perlian itu hanya membuatkan dia menjeling manja.             “Biarlah!” balasnya dengan menyampah.             Tiada siapa pun tahu apa yang dirasainya selama dua tahun ini. Hidup berjauhan dengan insan yang memenuhi ruang hatinya. Sungguh menyeksakan jiwa dan raga sahaja!             “Akak…” panggilan itu membuatkan dia melepaskan dengusan manja.             “Apa?!” soalnya geram. Geram saat khayalan indahnya dicantas dengan kejam. Sedangkan, hanya itu yang mampu dilakukan di saat ini.             “Tu…” mulut si adik sudah memuncung ke satu sudut.             Matanya turut berlari mencari. Seketika dia

Cerpen: Hati ini [End]

BUNYI suara yang bertingkah dari ruang tamu mengkakukan langkah Ana di anak tangga terakhir. Dia yang turun ke bawah dengan niat untuk membasahkan tekak terkaku seketika. Tidak mahu menonjolkan diri di hadapan tetamu mama dan papa, tanpa berfikir panjang dia sudah memalingkan badan hendak bergerak ke atas semula. Namun sekali lagi, dirinya terus kaku di situ. Suara yang melaungkan namanya membuatkan badannya menjadi gementar secara tiba-tiba.             “Ana…” namanya dipanggil sekali lagi. Dia kenal suara itu. Terlalu kenal. Tetapi dia tidak mahu memalingkan wajahnya. Atas sebab apa, dia tidak pasti. Ikutkan sahaja kata hati.             Sentuhan di bahu membuatkan Ana tersentak. Pantas dia berpaling dengan wajah yang sudah berubah riak. Dia tidak suka dengan sentuhan itu. Sentuhan yang tidak menghormati dirinya sebagai seorang wanita muslim. Seketika mata mereka bertemu. Ana terkedu. Seakan tersedar dari mimpi… senyuman yang menghiasi