Skip to main content

Kampung Girl [8]

Nantikan kemunculan novel ini di pasaran, pertengahan Januari 2012 terbitan KaryaSeni. :) Selamat Membaca.

 
Bab 8

MATA Ashraf dipejam celikkan berkali-kali. Langkahnya seolah tergam, tidak dapat nak bergerak walau selangkah lagi.
            Apa sudah jadi? desisnya sendiri sambil menggosok matanya buat kesekian kalinya.
            “Terpegun!”
            Eh! Suara siapakah itu? Laju Ashraf memusingkan wajahnya dan terus matanya bersabung dengan pandangan Puan Mazlin. Ashraf diam tidak menjawab soalan itu namun otaknya tidak berhenti memikirkan logik. Boleh jadi sampai tahap ini ke? Direnungnya kembali pada ‘objek’ yang sedang bergerak keluar dan masuk dari dapur.
            Sebenarnya, dia tak nak tergam di posisi kedudukannya ini. Tetapi dia tidak mampu hendak menggerakkan kakinya. Disebabkan mindanya tertanya-tanya, refleksi menjadikan kakinya tidak mampu melangkah. Matanya juga seakan tidak jemu meratah ke segenap inci wajah itu. Siapa dia? Bukan ke semalam mummy cakap budak kampung itu ada di sini, tapi ini siapa pula?
            “Siapa tu mummy?” soalnya apabila Puan Mazlin sudah hendak melangkah ke meja makan.
            Puan Mazlin mengerutkan dahi. Aik! Hentakan dekat kepala semalam kuat sangat ke sampai dah tak ingat tentang budak kampung dia. Tiba-tiba saja Puan Mazlin menarik senyuman. Ada peluang terbuka luas untuk mengenakan Ashraf. Lantas tangan Ashraf ditariknya mendekati meja makan dan terus didudukkan pada kerusi kosong di situ.
            Apabila wajah Ainnur muncul kembali dari dalam dapur dengan menatang sedulang air, Puan Mazlin melebarkan senyumannya.
            Kenapa yang Ashraf boleh tidak kenal dengan Ainnur? Rasanya dia sudah dapat meneka sebabnya. Ainnur kelihatan sangat berlainan dengan sepasang blaus hijau pucuk pisang yang dipadankan dengan skirt labuh berwarna hitam. Nampak cantik dan moden. Hilang gaya kampung yang sering dibawa dengan pemakaian kain batik itu. Patutlah Ashraf tak dapat nak kenal pasti dengan mudah.
            “Jemput makan aunty,” pelawa Ainnur pada Puan Mazlin. Ashraf yang ada di depan mata, tidak dipelawa langsung. Tangannya terus saja menuangkan minuman ke dalam cawan. Pinggan dicapai lalu disendukkan nasi goreng ke dalamnya.
            “Sedap bau ni… Ain masak ke?” soal Puan Mazlin sambil menyudu nasi goreng ke dalam mulutnya.
            Sementara itu, lagi seorang insan bernyawa di atas meja makan itu seakan terkaku mendengar nama yang diutarakan oleh bibir Puan Mazlin. Budak yang datang dari Utara? Ini budak kampung yang aku tak suka?
            “Ain masak biasa-biasa saja aunty…” balas Ainnur merendah diri. Matanya dilarikan ke sana sini. Renungan si Ashraf nampaknya belum sudah lagi. Ainnur menjadi tidak betah berlama di situ. Terus saja dia melangkah masuk ke dapur. Susah juga nak berhadapan dengan orang yang kita suka dalam keadaan dua hati tidak mencapai satu rasa.
            Ainnur terus saja bergerak ke singki, membasuh apa-apa yang berbaki. Bibik sudah memulakan kerja-kerja mengemas rumah, jadi Ainnur dengan senang hati melakukan kerja di dalam dapur ini.     
            “Kau buat apa dekat sini?”
            Tersirap darah Ainnur apabila suara itu kedengaran begitu dekat dengannya.
            “Dekat kampung kau tu dah pupus populasi lelaki ke sampai kau kena ke bandar nak cari calon suami?” sinis saja soalan Ashraf.
            Ainnur mengetap bibir. Mangkuk seorang ini kalau bercakap, langsung tak pernah fikirkan perasaan aku kan. Kalau iya pun tak nak fikir apa yang aku rasa, sekurang-kurangnya fikirlah yang aku ini manusia! Takkan itu pun susah.
           Ainnur diam tidak mahu menjawab. Biar teruji kesabaran pak cik yang sedang setia berdiri di belakangnya itu. Biar kematu kaki dia berdiri dekat belakang aku. Desisnya.
            “Makin cantik ya kau sekarang!” luah Ashraf tanpa sedar. Dia seakan tidak perasan apa yang dikatakannya.
            Sedangkan Ainnur… muahaha! Dipuji sebagai cantik… rasanya lelaki ini sememangnya bukan berada dalam kondisi yang waras. Boleh pula dia puji ‘nenek kebayan’ jadi cantik kan? Sekurang-kurangnya mulut itu sudah menarik salah satu fakta daripada menjadi label dirinya.
            Dikalihkan wajahnya menghadap Ashraf. Senyuman diukirkan di bibir lalu terpamer susunan giginya yang tidak begitu rapi. Namun itu bukanlah satu kekurangan untuk diri Ainnur kerana senyumannya mampu saja memukau pandangan mata yang melihatnya. Dapat dilihat dengan jelas wajah Ashraf yang berubah warna.
            Eh! Aku senyum, dia pula yang malu. Tak rasa macam scene lakonan diterbalikkan ke? Selalunya perempuan yang kena malu-malu… ini tidak.
            Tanpa kata, Ashraf berlalu ke ruang makan. Ainnur tersenyum menang. Tiga hari dia akan berada di bawah satu bumbung dengan Ashraf. Hari pertama mata bertemu, Ashraf jatuh pengsan. Kejadian lawak sepanjang zaman. Rupanya penakut juga budak Bandar ini. Muka saja nampak gagah, tapi dalaman pengecut. Sungguh memalukan untuk menjadi suami aku.
            Hari kedua, seawal pagi begini Ashraf sudah menghadiahkan pujian buat dirinya. Perkara ikhlas atau tidak, kita tolak tepi dahulu. Apa yang pentingnya, ia lahir dari bibir berlagak milik lelaki itu. Rasa macam nak bersorak riang untuk kemenangan kecil yang berjaya diperolehi tanpa sebarang paksaan ini. Tunggu sekejap lagi, ada kejutan besar yang bakal dilagukan buat pendengaran lelaki itu. Entah bagaimana pula responnya hari ini. Pengsan sudah, malu pun sudah… tinggal reaksi apa lagi yang belum sudah?

Comments

  1. i love this story.even my boyfriend likes it.good job.

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Cerpen: Lain di Mulut, Lain di Hati

JAMBANGAN bunga ros yang berada di atas mejanya itu dicapai. Tanpa melihat nama pengirim pun dia sudah boleh meneka, siapa pengirimnya. Terus dengusan tidak senang dilepaskan. Tanpa menunggu sesaat, jambangan bunga itu sudah terhumban ke dalam tong sampah di sudut bilik.             Huh! Apa dia fikir aku ni perempuan, nak cair kalau disogokkan dengan bunga. Kalau aku cakap benci, memang akan benci selamanya! rungutnya.             Serentak itu, pintu biliknya diketuk. Terjengul wajah Selina, setiausahanya.             “Encik Irfan, Puan Eryna nak jumpa.”             Sekali lagi dia melepaskan dengusan kasar. Tidak cukup dengan bunga yang merimaskan, sekarang, tuan punya badan pula muncul di depan mata. Ah, benci!             “Suruh dia balik! Saya tak nak jumpa dia.” Kuat dan lantang sekali suara Irfan sehingga begitu jelas buat pendengaran Eryna yang sedang duduk menunggu di luar bilik. Eryna tersentak. Riak wajahnya terus beruba

Cerpen: Dia yang aku cinta

Berdebar-debar rasanya saat menanti di ruang legar ini. Menanti kehadiran insan yang disayangi. Menanti saat yang ditunggu-tunggu selama ini. Disunting menjadi suri dalam hidup lelaki yang dicintai. Ah! Indah sungguh rasa…             “Tahulah nak tunggu insan tercinta. Kut iya pun… tak perlulah tayang riak wajah teruja, yang terlebih perisa pulak!” teguran berunsur perlian itu hanya membuatkan dia menjeling manja.             “Biarlah!” balasnya dengan menyampah.             Tiada siapa pun tahu apa yang dirasainya selama dua tahun ini. Hidup berjauhan dengan insan yang memenuhi ruang hatinya. Sungguh menyeksakan jiwa dan raga sahaja!             “Akak…” panggilan itu membuatkan dia melepaskan dengusan manja.             “Apa?!” soalnya geram. Geram saat khayalan indahnya dicantas dengan kejam. Sedangkan, hanya itu yang mampu dilakukan di saat ini.             “Tu…” mulut si adik sudah memuncung ke satu sudut.             Matanya turut berlari mencari. Seketika dia

Cerpen: Hati ini [End]

BUNYI suara yang bertingkah dari ruang tamu mengkakukan langkah Ana di anak tangga terakhir. Dia yang turun ke bawah dengan niat untuk membasahkan tekak terkaku seketika. Tidak mahu menonjolkan diri di hadapan tetamu mama dan papa, tanpa berfikir panjang dia sudah memalingkan badan hendak bergerak ke atas semula. Namun sekali lagi, dirinya terus kaku di situ. Suara yang melaungkan namanya membuatkan badannya menjadi gementar secara tiba-tiba.             “Ana…” namanya dipanggil sekali lagi. Dia kenal suara itu. Terlalu kenal. Tetapi dia tidak mahu memalingkan wajahnya. Atas sebab apa, dia tidak pasti. Ikutkan sahaja kata hati.             Sentuhan di bahu membuatkan Ana tersentak. Pantas dia berpaling dengan wajah yang sudah berubah riak. Dia tidak suka dengan sentuhan itu. Sentuhan yang tidak menghormati dirinya sebagai seorang wanita muslim. Seketika mata mereka bertemu. Ana terkedu. Seakan tersedar dari mimpi… senyuman yang menghiasi