Skip to main content

Kampung Girl [5]

Nantikan kemunculan novel ini di pasaran, pertengahan Januari 2012 terbitan KaryaSeni. :) Selamat Membaca.  

 
Bab 5

SEAWAL jam enam pagi Ainnur sudah menapak masuk ke dalam tandas. Entah kenapa moodnya pagi ini, terasa seperti terlebih gula saja. Selesai membersihkan diri, dia terus ke bilik untuk menunaikan solat Subuh. Usai bersolat, dia sudah terintai-intai ke dalam dapur. Kelihatan emaknya sangat tekun menyediakan bancuhan tepung.
            “Hai mak… pagi-pagi dah buka gerai ke?” sapanya dengan usikan sambil menghadiahkan kucupan di pipi Puan Masyita. Rindunya nak bermanja dengan emak.
            Seminggu cuti sekolah, seminggu juga dia akan pulun melampiaskan rasa rindu di dalam hati. Iyalah, rumahnya di Yan, Kedah. Kerjanya nun di Pulau Mutiara. Memanglah Kedah dengan Pulau Pinang itu jaraknya setakat dua jam saja, tapi jenuh juga dia nak menadah telinga mendengar bebelan berinti kerisauan daripada emak dan abah setiap kali dia memandu dari sana. Sudahnya, bila ada hal penting atau cuti panjang saja dia balik ke rumah. Bila emak complain lebih-lebih cakap rindu, dia balas balik cakap… siapa yang tak bagi drive balik rumah selalu.
            “Manja!”
            “Biaqlah orang nak manja… mak orang jugak!” balas Ainnur untuk komen Puan Masyita.
            “Memanglah mak orang… takkan mak beruang pulak!” terus Ainnur tersengih lebar. Nak meloyar buruk dengan emak, sekali dia yang kena loyar balik.
            “Mak buat apa ni?” soalnya dengan penuh minat. Kalau tidak silap tengok bahan dalam adunan, macam cucur udang. Wah! Ainnur sudah teruja sendiri.
            “Ashraf dengan aunty Maz kan suka cucur udang, tu yang mak nak buat.”
            Mendengarkan nama seseorang itu, membuatkan Ainnur terdiam sendiri. Lantas mindanya teringatkan kata-kata emaknya semalam.
            “Aunty Maz ada merisik pasal Ain dengan mak,” ucap Puan Masyita bagi menjelaskan kekeliruan agenda ikat hati yang dimaklumkan pada Ainnur sebentar tadi. Ainnur yang sudah elok berbaring di atas peha emaknya, diam saja mendengar butir bicara yang sedang disampaikan.
            “Untuk Ashraf,” sambung Puan Masyita lagi. Spontan Ainnur tersenyum kecil.
            “Takkanlah nak merisik untuk abang Adam pula kan mak… mahunya kak Pah merajuk tak cakap dengan Ain,” balas Ainnur berjenaka.
            “Apa kata Ain?” soal Puan Masyita terus. Tidak mahu memanjangkan cerita. Nanti meleret pula jadinya.
            Ainnur diam. Berfikir. Terfikir. Tidak habis-habis dengan fikirannya yang asyik teringatkan kata-kata sindiran lelaki itu.
            “Dia cakap Ain budak kampung bodoh mak!” luah Ainnur dengan kecewa. Itulah perangai Ashraf yang langsung dia tidak suka walaupun hakikatnya, dia terlalu sukakan lelaki itu dari pertama kali dia mengenal erti suka antara lelaki dan perempuan. Mulut si Ashraf yang langsung tidak pernah mengambil kira perasaannya ketika berkata-kata.
            Suka hati dia saja nak label aku sebagai budak kampung bodoh, sebabnya… dia tak sukakan aku! Kalau iya pun tak suka, tak perlulah nak melabel orang dengan branding bodoh kan! Macam dia itu pandai tahap apa saja. Omel Ainnur dalam hati.
            “Ain… benda tu kan dah lama. Patutnya Ain lupakan saja. Dia pun tak berniat nak kata macam tu dekat anak mak yang cantik ni…” ucap Puan Masyita lembut dengan harapan dapat membeli jiwa Ainnur yang sudah terluka dek kata-kata sindiran Ashraf. Siapa yang takkan terluka, lebih-lebih lagi ayat sindiran itu lahir dari bibir orang yang kita suka.
            “Mak cakap pasal cantik… baru Ain teringat mak. Dia kata Ain macam nenek kebayan miang, suka menggatal dengan dia!” ucap Ainnur lagi dengan wajah yang sayu.
            Nenek kebayan miang! Muka aku ini boleh dikategorikan sebagai miang ke? Memang buta kayu sungguhlah si Ashraf itu. Aku yang sangat sopan santun ini disamakan dengan m-i-a-n-g. Bengong!
            “Ain…” tegur Puan Masyita tidak senang. “Tak elok Ain duk ingat macam tu lagi… kan dah lama. Takkan dia tengok Ain sekarang pun, dia nak cakap macam tu jugak. Memang butalah kalau dia kata anak mak yang lawa ni macam nenek kebayan,” puji Puan Masyita dengan senyuman lebarnya.
            “Ain lawa apanya mak… anak ayam mak dekat reban tu lagi lawa daripada Ain.”
            “Ada ka samakan anak mak dengan anak ayam.” Spontan cubitan Puan Masyita mendarat di lengan Ainnur. Dia mengaduh kecil. Pedih rasanya penangan cubitan berbisa daripada emak.
            “Mak… sakitlah,” balasnya manja.
            “Ini kenapa anak-beranak tengah buat sesi luahan rindu ke?” Encik Azmi yang baru saja pulang dari masjid turut bersila sekali untuk mendengar story daripada dua orang wanita ini.
            “Ita tanya dengan Ain pasal risikan kak Maz. Abang rasa macam mana?” Puan Masyita bertanya pada Encik Azmi pula. Ainnur belum bagi jawapan pun lagi.
            “Abang rasa elok tanya pendapat Ain la.” Bagus punya jawapan daripada Encik Azmi. Ainnur perasan wajah emaknya sudah berubah riak. Ditahankan saja tawanya supaya tidak pecah. Mesti emak frust dengan jawapan abah yang terlalu umum dan nyata tidak dapat membantu apa-apa.
            “Macam ni Ain… esok aunty Maz nak datang, nak tanya dengan Ain terus.”
            Ainnur terus tersentak dan bangun duduk tegak menghadap kedua orang tuanya. Biar betul, nak tanya direct dengannya. Matanya terkebil-kebil memandang wajah emak dan abah yang setia merenungnya.
            Walaupun dia dengan aunty Maz agak kamceng juga, tapi kalau sudah masuk soal perkahwinan macam ini… rasanya malulah nak cakap terus dengan ibu kepada bakal suaminya.
            Erk! Did you say, bakal suami Ainnur?! Ah… gedik hang! Suka cakap suka… jangan nak buat mengada-ngada.
            “Ain toksah duk tayang muka comel tak kena gaya dekat sini. Mak sekilas pandang saja boleh tau dah apa yang ada dalam hati Ain tu.”
            Ainnur menelan liur. Nampak secara terang sangat ke di wajahnya. Memang langsung tidak ada skill untuk sembunyikan perasaanlah.
            “Tapi mak nak dengar dari mulut Ain sendiri… Ain suka ke tidak kalau jadi menikah dengan Ashraf?” soal Puan Masyita sambil merenung tepat ke dalam anak mata Ainnur yang berwarna hitam pekat itu. Ainnur terkedu. Apa jawapan yang dia boleh bagi?
            “Berangan!!!” tolakan di bahu membuatkan dia mengangkat wajahnya.
            Eh! Sejak bila aku dah duduk dekat meja makan dan emak pula… Ainnur menayang sengihan kelat bila Puan Masyita keluar dari dapur dengan sepinggan cucur udang yang sudah digoreng elok.
            “Lamanya dia mengelamun, fikirkan siapalah?”
            Ainnur tersengih lagi. Fikirkan siapa? Siapa lagi yang Ainnur terasa nak fikir. Tidak pernah dia memikirkan tentang orang lain, selain orang itu.
            “Mak dah siap goreng? Aunty Maz nak datang pagi-pagi ke?” soal Ainnur pelik. Pagi-pagi nak datang dah, biar betul?! Terasa macam Ashraf itu terlebih semangat hendak menatap wajahnya di pagi hari ini. Berangan! Ainnur tersenyum sendiri dengan angan-angan buah berangannya.
            “Aunty Maz datang petang. Ini untuk Ain… untuk aunty Maz, sat lagi mak boleh buat.” Mata Ainnur terus bersinar-sinar dengan sepinggan cucur udang terhidang di depan mata. Tanpa menunggu lama, dicapainya sepotong cucur udang dan dicicah ke dalam kuah kacang. Selamat sudah kunyahan yang pertama masuk ke dalam mulutnya.
            “Sampai tak ingat langsung nak pelawa mak kan!”
            Tersedak terus Ainnur dengan teguran itu. Ditepuk-tepuk dadanya sambil meneguk air kosong. Sebaik saja batuknya terhenti, seiring itu senyuman nipis tersungging di bibir.
            “Jemput makan mak,” pelawanya sopan. Puan Masyita menggelengkan kepala sambil menapak semula ke dalam dapur.

LAMAN yang penuh dengan daun kering di hadapan rumahnya membuatkan Ainnur terlebih rajin untuk membuat sesi pembersihan laman pada hari ini. Tambahan pula, al-maklumlah… orang jauh nak datang.
            Orang jauh itu siapa Ain? Soal hatinya sendiri dengan girang. Rasanya dia sudah tahu faktor dia terlebih gula sejak dia mencelikkan mata seawal pagi tadi. Sebabnya, dia akan berjumpa dengan abang Ashraf hari ini. Teruja sangat sebab akan berlaku juga pertemuan antara mereka setelah sepuluh tahun lamanya.
            Kata emaknya, Ashraf makin kacak dan bergaya. Dia tersenyum nipis dengan kenyataan emak. Sudah pastilah Ashraf akan kacak dan bergaya, tengoklah macam mana dia memilih untuk berkawan dengan aku disebabkan tidak setanding dengan dirinya. Tapi sekarang, boleh setanding ke?     
            Pandangan Ainnur dihalakan pada reban ayam Puan Masyita di depan rumah. Anak ayam mak lagi cantik apa! Desisnya sendiri.
            “Hoi nenek kebayan miang, tolong jangan menyendeng tepi aku boleh tak!”
            Ainnur tersentak. Matanya melingas ke arah sekeliling. Tak ada siapa pun! Tapi macam mana boleh muncul suara si Ashraf itu macam real saja.
            “Ain tak kacau abang, Ain duduk dekat sini saja.”
            Mata Ainnur tertancap pada beranda yang terletak di bawah pokok mangga itu. Seakan terlihat dengan jelas semua kenangannya di situ.
            “Kau kacau ke, tak kacau ke… aku nak kau pergi duduk tempat lain jugak!” marah Ashraf sambil memalingkan badannya membelakangi Ainnur yang sudah elok bersimpuh di tepi Ashraf.
            Ah! Kenapalah aku sangat tak tahu malu waktu-waktu remaja dulu. Suka sangat tersua-sua sedangkan sudah terang lagi benderang, Ashraf tidak suka.
            “Abang ni kenapa suka cakap kasar-kasar sangat! Kau, aku… tak boleh ke panggil Ain!”
             Ainnur tersenyum sendiri sambil melabuhkan punggung di beranda itu. Hari itu merupakan hari yang tidak disangka-sangka. Selamba saja mulutnya menegur gaya bahasa Ashraf yang langsung tidak disukainya. Patutlah tak boleh nak mesra, asyik berkau… beraku saja!
            “Kau… jangan cakap banyak!” balas Ashraf dengan telinga yang sudah memerah. Ainnur pandang saja wajah jejaka idamannya yang sudah naik berang. Wajahnya serius, gaya macam orang nak pergi berperang.
            “Abang ni kenapa suka marah-marah Ain. Cakap lembut-lembut tak boleh ke? Ain bukannya orang lain… bakal isteri abang juga!”
            Ainnur sudah melepaskan tawa dengan ucapan yang begitu segar dalam mindanya. Masa itu usianya berapa, dalam empat belas tahun kalau tidak silap. Hahaha! Rasa macam nak gelak berhari-hari dengan statement yang memalukan diri sendiri.
            Masih segar lagi dalam mindanya, Ashraf pada mulanya terpinga-pinga terus bangun berdiri sambil menghembuskan dengusan kasar.
            “Aku akan cakap ni, buat kali yang terakhirnya. Tolong gam benda ni kuat-kuat dalam kepala otak kau yang lembab ni… aku takkan kahwin dengan budak kampung bodoh macam kau. Jadinya, jangan nak berangan tak tentu hala.”
            Pada usia semuda itu, Ainnur hanya mampu tersentak dengan kata-kata Ashraf. Hatinya sudah terluka. Budak kampung bodoh dia kata! Wei… aku tiap-tiap tahun dapat nombor satu dalam kelas, dia bukannya tahu pun. Mentanglah gaya aku sememeh sikit, senang-senang saja dia cakap aku bodoh.
            “Ke tepilah! Menyampah aku datang kampung ni nak kena menghadap muka nenek kebayan macam kau… kebayan miang pulak tu!” sejurus mengucapkan kata-kata itu Ashraf sudah menapak masuk ke dalam rumah.
            Jemarinya Ainnur dilarikan ke atas beranda yang didudukinya itu. Seakan terasa kehadiran lelaki itu disampingnya.
            Kenapa ya… walaupun Ashraf cakap dia budak kampung bodoh, nenek kebayan miang. Walaupun semua tentang dirinya Ashraf tidak suka langsung, tetapi dia dengan senangnya jatuh suka dengan lelaki yang berlagak itu.
            Hati sudah suka, nak buat macam mana. Cumanya, dia terasa hairan… mahu pula Ashraf berkahwin dengannya. Sebab apa? Tak mungkinlah dia sukakan aku. Mahunya ribut taufan satu Malaysia. Tidak pun, dia kena paksa dengan aunty Maz? Part ini, ada logiknya juga. Tak apa, tunggu dia datang dan aku akan bersemuka dengan dia untuk meleraikan segala kekusutan dalam minda.
            Sebut pasal bersemuka, emak beritahu ada kirimkan gambarnya pada si mangkuk Ashraf itu. Agak-agaknya dia tengok tak rupa ‘nenek kebayan’ dia yang terkini? Agak-agaknya lelaki itu sudah menarik semula ke statement, nenek kebayan miang itu daripada label dirinya?
            “Ain… berangan tak sudah lagi ke?” teguran Puan Masyita membuatkan Ainnur mengangkat wajahnya. Senyuman sudah terukir di bibir.
            Hanya di sini saja Ain dapat berangan mak. Tempat-tempat yang ada kenangan Ain dengan dia. Walaupun semuanya bukan kenangan manis belaka tetapi ia tetap istimewa buat diri Ain. Bisiknya dalam hati.
            Baru saja Ainnur menyarungkan selipar hendak melangkah masuk ke dalam rumah, telinganya sudah menangkap bunyi geseran tayar kereta. Pantas dia berpaling. Honda CRV berwarna Chrome sudah memasuki perkarangan rumah mereka. Senyuman di bibir makin melebar. Tidak lupa juga, hatinya semakin berdebar-debar.

Comments

  1. salam....kebetulan....ad yg ckp muka sy ad iras skit dgn pelakon (nad zainal) dan sy kje sbg guru dgn panggilan cigu aini (ad kwn pgil ain).

    ReplyDelete
    Replies
    1. Oo.. ye ker.. org kampung mcm ain jgk k?

      Delete
    2. Oo.. ye ker.. org kampung mcm ain jgk k?

      Delete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Cerpen: Lain di Mulut, Lain di Hati

JAMBANGAN bunga ros yang berada di atas mejanya itu dicapai. Tanpa melihat nama pengirim pun dia sudah boleh meneka, siapa pengirimnya. Terus dengusan tidak senang dilepaskan. Tanpa menunggu sesaat, jambangan bunga itu sudah terhumban ke dalam tong sampah di sudut bilik.             Huh! Apa dia fikir aku ni perempuan, nak cair kalau disogokkan dengan bunga. Kalau aku cakap benci, memang akan benci selamanya! rungutnya.             Serentak itu, pintu biliknya diketuk. Terjengul wajah Selina, setiausahanya.             “Encik Irfan, Puan Eryna nak jumpa.”             Sekali lagi dia melepaskan dengusan kasar. Tidak cukup dengan bunga yang merimaskan, sekarang, tuan punya badan pula muncul di depan mata. Ah, benci!             “Suruh dia balik! Saya tak nak jumpa dia.” Kuat dan lantang sekali suara Irfan sehingga begitu jelas buat pendengaran Eryna yang sedang duduk menunggu di luar bilik. Eryna tersentak. Riak wajahnya terus beruba

Cerpen: Dia yang aku cinta

Berdebar-debar rasanya saat menanti di ruang legar ini. Menanti kehadiran insan yang disayangi. Menanti saat yang ditunggu-tunggu selama ini. Disunting menjadi suri dalam hidup lelaki yang dicintai. Ah! Indah sungguh rasa…             “Tahulah nak tunggu insan tercinta. Kut iya pun… tak perlulah tayang riak wajah teruja, yang terlebih perisa pulak!” teguran berunsur perlian itu hanya membuatkan dia menjeling manja.             “Biarlah!” balasnya dengan menyampah.             Tiada siapa pun tahu apa yang dirasainya selama dua tahun ini. Hidup berjauhan dengan insan yang memenuhi ruang hatinya. Sungguh menyeksakan jiwa dan raga sahaja!             “Akak…” panggilan itu membuatkan dia melepaskan dengusan manja.             “Apa?!” soalnya geram. Geram saat khayalan indahnya dicantas dengan kejam. Sedangkan, hanya itu yang mampu dilakukan di saat ini.             “Tu…” mulut si adik sudah memuncung ke satu sudut.             Matanya turut berlari mencari. Seketika dia

Cerpen: Hati ini [End]

BUNYI suara yang bertingkah dari ruang tamu mengkakukan langkah Ana di anak tangga terakhir. Dia yang turun ke bawah dengan niat untuk membasahkan tekak terkaku seketika. Tidak mahu menonjolkan diri di hadapan tetamu mama dan papa, tanpa berfikir panjang dia sudah memalingkan badan hendak bergerak ke atas semula. Namun sekali lagi, dirinya terus kaku di situ. Suara yang melaungkan namanya membuatkan badannya menjadi gementar secara tiba-tiba.             “Ana…” namanya dipanggil sekali lagi. Dia kenal suara itu. Terlalu kenal. Tetapi dia tidak mahu memalingkan wajahnya. Atas sebab apa, dia tidak pasti. Ikutkan sahaja kata hati.             Sentuhan di bahu membuatkan Ana tersentak. Pantas dia berpaling dengan wajah yang sudah berubah riak. Dia tidak suka dengan sentuhan itu. Sentuhan yang tidak menghormati dirinya sebagai seorang wanita muslim. Seketika mata mereka bertemu. Ana terkedu. Seakan tersedar dari mimpi… senyuman yang menghiasi