Nantikan kemunculan novel ini di pasaran, pertengahan Januari 2012 terbitan KaryaSeni. :) Selamat Membaca.
Bab
6
KAKINYA
menggeletar saat melangkah masuk ke dalam banglo tiga tingkat itu. Wajah Puan
Mazlin yang sedari tadi tersenyum melihatnya langsung tidak membantu untuk
meredakan gemuruh di dalam dada. Dikerling ke seluruh pelosok banglo itu.
Mak
aih! Janggalnya bila dapat merasa aura Ashraf itu di dalam rumah ini. Sepuluh
tahun, bukan sekejap… tapi sudah lama mereka tidak bersua.
Tiba-tiba
saja Ainnur merasakan dia tidak patut datang ke sini. Boleh tak kalau aku nak
balik Kedah sekarang juga? Wajah Puan Mazlin dipandang. Liurnya ditelan
berkali-kali. Gemuruh di dada sudah makin hebat. Menunggu masa untuk meletup saja.
“Ain
rasa macam nak balik rumah sajalah aunty…” ucap Ainnur dengan perlahan. Wajah Puan
Mazlin nyata terkejut.
“Eh,
kenapa nak balik? Aunty ajak Ain datang sini bukan nak suruh balik… tapi nak
suruh kenal-kenal dengan si Ashraf tu. Biar terbuka luas-luas mata dia… tengok
bakal menantu aunty yang sorang ni.”
Ainnur
tersenyum nipis melihat semangat Puan Mazlin untuk ‘mengajar’ anak terunanya
itu.
Semua
ini gara-gara emak terbuka cerita pasal budak kampung bodoh dan nenek kebayan
miang. Tak tersangka, terluah kata-kata itu dari bibir emak tanpa dapat
ditahan. Aunty Maz disangkanya akan terdiam, terkedu mungkin. Tetapi, jauh
sungguh daripada perkiraannya. Aunty Maz mengamuk sakan sambil memarahi
anaknya, siapa lagi… Ashraflah. Cumanya, bukan marah secara bersemuka sebab
Ashraf tidak ikut pun mereka balik ke kampung atas alasan ada perjumpaan dengan
klien. Ainnur tersenyum menahan pedih, perjumpaan dengan klien ke atau memang
sudah tidak sudi hendak menatap wajah aku.
“Ada
ke patut, bakal menantu aunty ni dikatanya nenek kebayan. Memang nak kena dah
budak seekor tu!” ucap Puan Mazlin tanpa sebarang penapisan.
Ainnur
menekup mulutnya daripada terlepas tawa. Nasib engkaulah Ashraf, mummy kau dah
naik marah.
“Sekarang
ni, Ain tak payah risau fikirkan mamat cekodok tu,” sambung Puan Mazlin lagi.
Ainnur
tidak mampu hendak menahan perutnya yang sudah sakit yang amat. Akhirnya
terhambur juga tawanya yang ditahan-tahan sejak tadi. Mamat cekodok! Aduhai…
kenapa bakal mak mentua aku sempoi sangat. Memang betul dia dengan Aunty Maz
boleh jadi geng sampai bila-bila.
“Aunty…
kenapa cekodok? Tak padan la dengan abang Ashraf yang handsome tu,” ucap Ainnur yang masih dengan tawanya.
“Dia
cakap dekat bakal menantu aunty nenek kebayan.. tak apa pula. Sikit punya lawa
macam ni, dikatanya nenek kebayan. Aunty nak tunggu saja biji mata dia terbuntang
tengok muka Ainnur nanti.”
Ainnur tersenyum kecil mendengar azam Puan
Mazlin. Dia pun tidak sabar hendak melihat reaksi Ashraf bila bersua dengannya
nanti.
“Dah…
sekarang ni, Ain pergi naik dulu. Rehat-rehat.” Ainnur mengangguk. Menurut
saja. Beg bajunya sudah diangkat.
“Bibik…”
laung Puan Mazlin kuat. Muncul wajah seorang wanita yang berpakaian serba biru.
“Kenalkan
ini Ainnur, bakal menantu saya. Ain… yang ni bibik Rianti.”
Ainnur
dan bibik berbalas senyuman.
“Bibik
tunjukkan bilik pada Cik Ain ya. Ain rehat dulu nanti petang sikit, kita
sembang-sembang,” ucap Puan Mazlin dengan senyuman manisnya. Dia kemudiannya
sudah mula mengorak langkah setelah mengarahkan bibik untuk menjadi pandu arah
pada Ainnur di dalam rumah yang sudah lama tidak dijejakkan kakinya.
“Mari
cik…” bibik Rianti sudah mula mencapai beg dari pegangan Ainnur.
“Eh…
tak apa. Saya bawa sendiri. Bibik tunjukkan bilik di mana saja pun dah cukup.”
Akhirnya,
Ainnur dibawa melangkah ke tingkat dua rumah tiga tingkat itu. Dua buah bilik
yang bertentangan di situ. Pintu yang disebelah kirinya dibukakan.
“Ini
biliknya cik.”
“Terima
kasih ya bik.”
“Kalau
mahukan apa-apa, panggil aja bibik ya.” Ainnur mengangguk dengan senyuman di
wajah. Bibik sudah kembali dengan tugasannya. Ainnur berpusing-pusing dalam
bilik yang luas itu. Matanya sudah melilau mencari kipas angin.
Seketika
kemudian dia sudah terlopong. Wei! Bilik tak ada kipas… yang adanya, air cond semata. Mati kesejukan aku
kalau macam ini gayanya. Patutlah si Ashraf itu tidak tahan panas setiap kali
ke kampung, diasuh dalam suhu dingin beku. Sekali dengan hati dia pun terbeku
sama.
Setelah
menghidupkan air cond pada suhu dua
puluh lapan darjah, Ainnur terus mengorak langkah ke katil. Hendak melelapkan
matanya yang sudah memberat sejak dari dalam kereta lagi. Namun ditahankan
saja, sebabnya segan dengan aunty Maz dan uncle Shahir. Sekarang ini, dia ingin
membuta dahulu sebelum berbuat sebarang kerja lain.
Tidak
perlu menunggu lama, sebaik saja kepalanya mendarat di atas bantal, matanya
terus terkatup tanpa dapat ditahan lagi.
SIANG sudah berlabuh, malam pula sudah mengangkat
tirainya. Usai menunaikan solat Maghrib, Ainnur sudah mula mengatur langkah
hendak turun ke bawah. Sekejap tadi bibik sudah datang menjemputnya untuk ke
bawah. Ainnur tersenyum sendiri. Tiba-tiba saja rasa macam anak raja. Hendak
turun makan pun nak kena jemput sampai ke depan pintu bilik.
Amboi
la kata! Kalau macam inilah gaya di rumah, memang seratus peratus aku akan transform jadi anak dara paling pemalas.
Dengan
mengenakan sepasang baju kurung cotton dan kain batik, Ainnur nyata berpuas
hati dengan penampilan kegemarannya itu. Tudung bawal hitam yang tersidai di
atas katil, dicapai dan disarungkan pada kepala. Tanpa menunggu lama, dia sudah
mengatur langkah untuk turun ke bawah. Keadaan dalam rumah ini, sunyi saja.
Kalau di kampung lain suasananya. Kalau pun sunyi dengan suara manusia, ada
juga suara ayam dan itik yang menggamatkan keadaan. Kadang itu, macam konsert pula
dekat luar rumah. Konsert ayam itik!
Sampai
saja di tingkat bawah, aunty Maz dan uncle Shahir sudah siap-siap menunggunya
di meja makan.
“Sorry… Ain lambat turun,” ucapnya sopan.
Datang rumah orang, kena pandai jaga hati tuan rumah. Iyakan?
“Tak
ada apalah Ain. Buat macam rumah sendiri… make
yourself comfortable okay. Ini pun bakal jadi rumah Ain jugak tak lama lagi,”
ucap Tuan Shahir dengan senyuman yang menyenangkan.
Ainnur
sekadar tersenyum menghargai. Nyata kehadirannya menyenangkan hati Puan Mazlin
dan Tuan Shahir.
“Ain
sekarang posting di mana ya?” soalan
mengiringi sesi makan malam mereka pada hari ini.
“SMKBJ,
Penang.”
“Nanti
dah kahwin, boleh minta tukar tak?” terus tersedak Ainnur dengan soalan itu.
Terkejut.
“Abang
ni… bagilah budak tu makan dulu, sampai tersedak dah dia,” balas Puan Mazlin
bagi pihak Ainnur.
“Insya-Allah,
boleh dapat with a strong reason.
Marriage will be a fine reason.”
Tuan
Shahir mengangguk-angguk. Sudah lama tidak berjumpa dengan Ainnur, rasa seperti
sudah ketinggalan banyak sangat info tentang kehidupan gadis itu.
“Ain
dua tahun dekat oversea, twinning
programme dari sini ke?”
“Ain
kan buat program persediaan di IPG, under
IPG programme untuk lepasan SPM. Dari sana Ain dapat sambung degree di oversea. Two years saja uncle…”
“University?”
“Victoria,
Welly.”
“Tengok
tu abang… Ain susah-susah pergi belajar di oversea,
anak abang yang macam cekodok basi tu senang saja cakap dekat dia budak kampung
bodoh,” rungut Puan Mazlin yang menyampuk tiba-tiba.
“Ashraf
tu… mana pernah nak ambil tahu pasal perkembangan orang lain, yang dia tahu
diri dia saja… Ain jangan ambil hati ya,” balas Tuan Shahir untuk meredakan
rasa tidak puas hati isterinya. Dilihatnya Ainnur tersenyum saja, isterinya
pula yang melebih-lebih tidak kena gaya. Tapi dalam hatinya sendiri, rasa
memang tidak patutlah Ashraf cakap macam itu. Bukan ke biadab namanya menggelarkan
seseorang itu bodoh. Sungguh tidak beradab anaknya yang seorang itu.
“Macam
hidup dalam hutan saja!” sungut Puan Mazlin lagi tidak puas hati. Satu hal
tentang sepupu sendiri pun tidak mahu diambil tahu. Nasib sajalah anak
sulungnya, Adam peramah terlebih, kalau tidak… mungkin saja anak-anaknya dicop
dengan label sombong tidak kena tempat.
“Salah
kita juga Maz… kita dah tau perangai dia macam tu, kita tak pernah nak tegur
dulu-dulu… sebab tulah sekarang hidup dia macam ni. Asyik kerja saja. Dunia
kawan-kawan entah ke mana, kurang bersosial dengan masyarakat. Hal saudara-mara
pun tak nak ambil tahu,” ucap Tuan Shahir yang nyata tidak senang dengan
perilaku Ashraf.
Ainnur
yang diam dan pura-pura menumpukan perhatian kepada makanan, sebenarnya tidak!
Dalam diam, dia mula menganalisis setiap minus
point Ashraf a.k.a si cekodok basi itu bak kata aunty Maz. Sesuai ke tidak
hendak dijadikan suami?
Tiba-tiba
saja dia meragui keputusan yang telah diberi. Mungkin ini yang selalu dikatakan
oleh pepatah, terlajak perahu boleh undur. Terlajak kata, mana ada gear untuk reverse dah! Nasib engkaulah Ainnur… sudah bersetuju untuk memperjudikan
nasib hidup dengan manusia seperti Ashraf Khairi.
Comments
Post a Comment